Prolog: Kuala Lumpur, Kitab, dan Keresahan Nihilis
Kota Kuala Lumpur, metropolis bingit, hingar dengan segala rencah dan dinamika hidup, sering sahaja bergelut dalam pelbagai keberagaman makna. Hidup-mati, baik-jahat, elok-jelek, cerdas-dungu, mentereng-nestapa, sentiasa sahaja mengintai-ngintai di antara sentosa dan sengketa, buat manusia menyusuri jejak umur serta jenjang masanya. Justeru, di balik menara-menara berkaca, limpahan lampu listrik, dan gempita urbanisme yang mencengkam, Friedrich Wilhelm Nietzsche (1844-1900), si pujangga cengeng, merangkap filsuf nihilis abad ke-19 sedang memunculkan ‘fikrahnya’ di antara kelam dan remang cahaya kota. Di kota ini, mungkin nama Nietzsche terasa canggung, bahkan aneh, tetapi ada keperluan mustahak yang perlu diterokai. Kita hidup dalam zaman pasca-benar yang berulit moraliti palsu, usungan identiti pasang-siap, dan kebenaran bernisbahkan‘aturan’ algoritma. Lalu Nietzsche datang bukan untuk menawarkan jawapan, tetapi mahu menggugat segenap ketenteraman semu yang sedang kita pedomani. Dia bukan hadir sebagai susuk sejarah, bukan cuma sekadar ‘akal’ zaman, tetapi sebagai‘resonansi’ yang mengganggu, menyapa kita dengan pertanyaan-pertanyaan filosofis, yang seolah-olahnya enggan untuk bertenang. Nietzsche sebenarnya sudah ‘berhenti’ menjadi manusia. Dia telah melemparkan dirinya sebagai ‘pendekar’ falsafah, sang adi manusia yang menuai segenap cita-cita dan nilai baharu manusiawi!

Di sela-sela kemabukan manusia berpetualang, bekerja, memanggul materi buat menafaskan azam kapitalisme yang terus membuana di belahan kota Kuala Lumpur, ada sebuah gedung cilik yang bernama Toko Buku Rakyat, milik pemikir dan aktivis muda nan tangguh, saudara Benz Ali. Pada hemat saya, saudara Benz Ali sedang meramu sebuah ruang kecil bagi menggeluti idea-idea raksasa, melalui jujukan kuliah rakyat yang beliau rencanakan sejak sekian lama. Nietzsche cuba dibangkitkan dari pemakaman dan gencar “bersabda” semula. Namun, kebangkitannya bukan melalui altar gereja, mimbar masjid, atau graha-graha kuliah di pengajian tinggi yang membungkam, tetapi melalui dialektika progresif serta mumpuni. Dua tarikh bertanda, yakni pada 20 Julai 2024 dan 24 Januari 2026, tidak sekadar gerak detik, tetapi dua undangan daripada saudara Benz Ali, untuk saya menuangkan sebuah provokasi intelektual melalui dua adikarya Nietzsche yang telah saya terjemahkan. Terima kasih kepada semua pembaca yang mendukung prakarsa alih aksara ini. Kalian telah memiliki ‘matan-nya’, maka moleklah jua saya syarahkannya, dengan ‘hasutan’ renungan eksistensial, buat menduga sedikit kelainan, membongkar kearifan ‘avant-garde’ dalam kesusasteraan Jerman moden. Membaca dan mensyarahkan Nietzsche di Toko Buku Rakyat, pada hemat saya adalah wahana simbolik. Wacana falsafah tidak lagi terkurung di menara tinggi, tetapi membumi bersama massa, menerjang ke toko-toko kitab, lalu membuana langsung ke ruang publik. Gagasan karya Nietzsche bukan sekadar untuk dicermati, tetapi menuntut penghayatan halwa dengar melalui syarah-syarah ekspresif. Ia membawa kita untuk mempersoalkan segenap anjakan nilai, yang dimulai daripada wahyu puitis dalam karya Maka, Bersabdalah Zarathustra (Thus Spake Zarathustra), sehingga anjuran untuk membenamkan akar-akar pesimisme umat manusia, di dalam naskah Di Seberang Kebaikan dan Kejahatan (Beyond Good and Evil). Alhasil, kita cuba menuai tanya, apakah yang sebenarnya sedang berlaku, tatkala buah fikir Nietzsche dicermati di tengah-tengah keresahan riuh kota raya?
Maka, Bersabdalah Zarathustra: Utusan wahyu nir-langit
Maka, Bersabdalah Zarathustra bukanlah teks falsafah, yakni dalam ertian formatif gaya akademika yang konvensional. Ia tidak ditanggapi sebagai risalah keilahian, bukan pula tatanan kaku, dan bahkan tidak juga datang dengan esei-esei yang lewah, berlapis-lapis, sekaligus membingungkan seperti nukilan Kant mahupun Hegel, malahan Karl Marx sekalipun. Ia merupakan kitab nubuat tanpa pesuruh ilahi. Ia korpus teks yang ditulis seakan-akan Al-Kitab (Injil), namun sarat berlanggamkan aforisme Tuhan yang telah “mati”. Zarathustra turun dari gunung, bukan untuk menyelamatkan umat manusia, tetapi untuk menggugat iman serta nilai-nilai lama yang mencengkam mereka. ‘Zarathustra’ menetaskan beberapa gagasan sentral Nietzsche tentang:
I. Kewafatan Tuhan (Gott ist tot)
Deklarasi ini sebenarnya merupakan sebuah singgungan kritis yang seharusnya dimengerti melampaui laras kefahaman kita secara harfiah. Masakan Tuhan yang maha berkuasa bisa mati? Nietzsche sedang menawarkan diagnosis budaya, di saat betapa runtuhnya nilai-nilai mutlak yang selama ini menjadi anutan serta mazhab orang-orang di Eropah. Manusia moden masih tekal dengan moral tradisional, tanpa diinsafi pijakan metafiziknya.
II. Adi Manusia (Übermensch)
Ia tidak menisbahkan kepada keperkasaan tubuh atau raga semata-mata, sebaliknya anjuran kepada umat manusia yang untuk menciptakan nilai-nilai baharu. Übermensch adalah petunjuk untuk kita menyingkirkan segenap kehampaan-kehampaan nihilisme, menjadi manusia yang kental dengan keberanian-keberanian eksistensial.
III. Kehendak untuk Berkuasa (Will to Power)
Kehidupan, dalam renungan Nietzsche, bukan hanya hidup sekadar hidup, namun sebuah keinginan, semangat, keazaman, cita membara bahkan hasrat untuk mengatasi dirinya sendiri. Ia adalah anjuran untuk kenal akan potensi peribadi serta menafsirkan semula makna-makna tradisi.
IV. Pengulangan Abadi (Eternal Recurrence)
Ujian paling berat: sanggupkah kita mengulangi hidup ini, dengan segala sengsara dan kekecewaan buat selama-lamanya?
Zarathustra ‘berdakwah’ dalam langgam aforisme (susunan kata-kata menusuk dalam perenggan-perenggan pendek), prosa-prosa puitis dan bercorak alegori (berkias dan bermetafora). Akal dan nurani kita bukan sekadar diganggu, namun jiwa turut terusik serta dipesonai jua oleh jalur naratif yang kelam, kelabu, sekaligus misteri!

Di Seberang Kebaikan dan Kejahatan: Azimat falsafah sesudah ‘wahyu’ Zarathustra
Jika Zarathustra adalah kitab wahyu, maka saya anggapkan naskah Di Seberang Kebaikan dan Kejahatan merupakan anjuran kepada sebuah tindakan berfikir nan radikal, kejam tetapi polos, dalam melayani ‘wahyu -wahyu’ Zarathustra. Di sini, Nietzsche menanggalkan jubah sang nabi (Zarathustra), lalu mengenakan busana seorang filsuf cerdas dan perkasa. Kita sudah tidak mendengar lagi khutbah-khutbah moral yang berjela-jela. Yang beraksi kini, adalah aforisme tajam, sindiran sinis, dan analisis terhadap moral, agama, sains, dan falsafah itu sendiri.
Saya ikhtisarkan beberapa azimat ampuh di dalam karya Di Seberang Kebaikan dan Kejahatan:
I. Kritik terhadap Moral Mutlak
Nietzsche mempersoalkan asal-usul konsep “baik” dan “jahat”. Moral, baginya, bukan kebenaran sejagat, tetapi hasil sejarah, kuasa, dan kepentingan.
II. Moral Tuan dan Moral Hamba
Moral Kristian dan humanisme moden dilihat sebagai moral “hamba”, lahir daripada ressentiment (rasa dendam, iri hati, serta kebencian yang terpendam, yang tidak mampu diluahkan secara langsung, lalu ditukar menjadi sistem nilai moral), iri hati, dan kelemahan yang disublimasi (diubah) menjadi sebuah kekuatan.
III. Falsafah sebagai tatanan yang sedang bersembunyi
Nietzsche bernada bahawa setiap sistem falsafah, adalah pengakuan peribadi sang filsuf. Maka, tiada falsafah yang benar-benar bersifat “objektif”.
IV. Kritik terhadap Dogmatisme Saintifik
Sains juga tidak bebas nilai; ia sekadar satu tafsiran dunia, bukan kebenaran mutlak.

Epilog: Maka, Bersabdalahlah Nietzsche…
Jika Zarathustra meneriakkan wacana kemenjadian “manusia masa depan”, Di Seberang Kebaikan dan Kejahatan, mengutuskan suara-suara keberanian untuk umat manusia memeriksa dirinya sendiri. Aforisme serta anjuran falsafahnya terasa lebih tajam, mendingin, sarat pula dengan laungan-laungan provokatif serta melawan! Meski gaya dan bentuknya berbeza, kedua-dua karya ini berkongsi gelora yang senada, yakni penolakan terhadap kebenaran mutlak, kritik keras terhadap segenap moral-moral lama, seruan kepada penciptaan nilai baharu, lalu ‘disita’ teguh dengan keberanian eksistensial untuk berdiri tanpa sandaran metafizik tradisi. Kedua-dua karya mencemuh para manusia pasif nan lemah, yang hanya mewarisi nilai tanpa diaju soal, pasrah membuta tuli, jiwa hamba yang terpasung oleh dokrin gereja! Nietzsche menyedari bahawa tanpa pembongkaran terhadap ilusi moral dan epistemologi lama, visi Zarathustra akan kekal sebagai puisi nihil atau mitos eksentrik.
Oleh itu, karya Di Seberang Kebaikan & Kejahatan berfungsi sebagai jambatan di antara visi estetik dan kritik filosofis. Makanya, Thus Spake Zarathustra dan Beyond Good and Evil tidak boleh difahami secara terpisah, tanpa kehilangan dimensi penting pemikiran Nietzsche. Yang pertama mencipta horizon nilai baharu, manakala yang kedua membersihkan medan intelektual daripada runtuhan nilai lama. Hubungan antara kedua-duanya bukan linear, tetapi dialektik, yakni antara penciptaan dan pemusnahan, antara melankolis dan radikal, antara mitos dan kritikan. Dalam ertian falsafah moden, gabungan kedua-dua karya ini memperlihatkan Nietzsche bukan sekadar sebagai pengkritik moral, tetapi sebagai pemikir yang memahami bahawa, sesuatu anjakan nilai memerlukan transformasi cara berfikir, merasa, seterusnya menilai dunia. Nietzsche, dalam apa jua bentuk, sentiasa menyeru kepada kejujuran radikal terhadap diri sendiri. Jadinya, secara sederhana bolehlah saya ikhtisarkan sebegini; Zarathustra sedang menyemarakkan api, manakala Di Seberang Kebaikan dan Kejahatan mengasuh kita mengendalikan gelora ‘bakaran’ tersebut, agar membakar seluruh raga dan jiwa!
Dan, kota Kuala Lumpur sedang digempur oleh sabda-sabda falsafah!
