Lima dekad dalam dunia muzik bukan sekadar ukuran masa. Ia adalah ukuran sejauh mana sebuah karya mampu bertahan, berubah tafsir dan terus hidup dalam ingatan khalayak terbanyak.
Bagi Dato’ M. Nasir, perjalanan karier dari 1979 hingga 2026 memperlihatkan bukan sahaja produktiviti seorang penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit, tetapi juga evolusi seorang seniman yang banyak karyanya telah menjadi latar imaginasi kepada muzik Melayu moden.
Kini, perjalanan itu diterjemahkan menerusi “Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5”, sebuah produksi di Panggung Sari, Istana Budaya yang mempertemukan 30 karya pilihan M. Nasir dengan bunyi dan skala Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).
Istilah ‘Magnum Opus‘, yang merujuk kepada karya terpenting seseorang seniman, memperoleh makna yang lebih luas dalam hubungannya dengan M. Nasir.
Ia bukan semata-mata menunjuk kepada satu karya manumental, tetapi kepada keseluruhan tubuh penciptaan yang terbina selama lima dekad, lebih 2,000 karya muzik yang merentasi genre, generasi dan perubahan selera pendengar.
Dari Kembara ke Solo: Sebuah retrospektif bunyi
Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 meneruskan kesinambungan dua produksi terdahulu. Magnum Opus Siri 1: Kembara Ke Solo, yang dipersembahkan pada 2017 di MATIC itu nanti akan menelusuri perjalanan seni M. Nasir daripada era Kembara hingga pembentukan identitinya sebagai artis solo.
Dua tahun kemudian, Magnum Opus Siri 2: Search, Wings & Rock ’N’ Roll di Auditorium DBKL memperluaskan naratif tersebut melalui forum yang menghimpunkan tokoh-tokoh industri muzik dan rock tempatan.
Edisi kelima dekad ini mengambil pendekatan berbeza. Daripada forum dan penelusuran sejarah, ia bergerak ke arah sebuah pengalaman persembahan berskala besar, satu bentuk retrospektif yang menggunakan muzik itu sendiri sebagai medium penceritaan.
Sebanyak 30 karya dipilih untuk mewakili pelbagai fasa penciptaan M. Nasir. Dalam pendekatan ini ini, pemilihan karya bukan sekadar soal populariti. Ia menjadi usaha untuk memperlihatkan perubahan bahasa lirik, melodi, susunan dan pemikiran seorang pencipta yang berkembang bersama zamannya.
Apabila lagu-lagu lama bertemu bunyi simfoni
Elemen paling signifikan dalam produksi ini ialah kolaborasi M. Nasir bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan.
Dengan susunan simfoni oleh Mohd Rafi Shafie dan pimpinan Eric Lee Yin Fah, karya-karya yang selama ini dikenali melalui rakaman studio atau persembahan langsung akan mengalami proses tafsiran semula. Bunyi-bunyian, ritma dan vokal yang menjadi sebahagian daripada identiti karya M. Nasir akan ditempatkan dalam ruang orkestrasi yang lebih luas.
Dalam durasi sekitar 150 minit, pendekatan ini berpotensi mengubah cara khalayak mendengar karya-karya tersebut. Lagu yang sudah dikenali tidak lagi hadir sebagai nostalgia, tetapi sebagai bahan muzik yang disusun semula, diperbesarkan dan dibaca melalui perspektif muzik kontemporari.
Di sini nilai sebuah persembahan retrospektif akan teruji: bukan sekadar sejauh mana ia mengembalikan memori, tetapi sejauh mana ia mampu memberikan makna baharu kepada memori tersebut.

Surrealisme sebagai bahasa pentas
Secara artistik, produksi ini turut menggunakan surrealisme, falsafah dan simbolisme sebagai asas pendekatan visual dan persembahan. Pilihan tersebut berhubung rapat dengan karakter karya M. Nasir yang sering bergerak antara bahasa puitis, imejan imaginatif dan renungan terhadap manusia, alam serta kehidupan.
Magnum Opus tidak dirangka sebagai sebuah konsert nostalgia yang bergantung pada pengulangan lagu-lagu popular, sebaliknya, ia cuba membentuk pengalaman baharu yang menghubungkan muzik dengan bahasa visual dan pemikiran.
Pemilihan Panggung Sari, Istana Budaya juga memberi dimensi tersendiri kepada produksi ini. Ruang tersebut bukan sekadar lokasi persembahan, tetapi menjadi jalinan yang mempertemukan muzik popular, seni persembahan dan simfoni orkestra dalam satu pentas institusi nasional.
Legasi bukan sekadar angka
M. Nasir telah menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang kerjayanya, termasuk melalui Anugerah Juara Lagu, Anugerah Industri Muzik, Anugerah Planet Muzik dan pengiktirafan MACP.
Namun, ukuran legasi seorang seniman tidak semestinya terletak pada jumlah anugerah. Ia lebih kompleks dan sukar diukur: pada lagu yang masih dinyanyikan, lirik yang masih dipetik, melodi yang masih dikenali dan pengaruh yang terus muncul dalam karya generasi baharu.
Dalam pengertian itu, Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 berfungsi sebagai semacam arkib hidup yang mengangkat semula karya yang telah melewati beberapa generasi, tetapi pada masa sama meletakkannya dalam interpretasi bunyi dan persembahan masa kini.
Magnum Opus mungkin tidak perlu menjawab persoalan tentang apakah karya terbesar M. Nasir, selepas lima dekad, persoalan yang lebih menarik adalah bagaimana sebuah himpunan karya mampu terus menyentuh khalayak apabila didengar semula oleh generasi yang berbeza.
Dengan 30 karya, sebuah orkestra dan lima dekad pengalaman, pentas Panggung Sari bakal menjadi ruang untuk menguji semula seluruh diskografi tersebut, bukan sebagai arkib nostalgia, tetapi sebagai bunyi yang masih mampu mengharungi masa dan kehidupan.
Lima dekad M. Nasir, dalam tafsiran simfoni orkestra menjadi bukan sekadar merayakan sejarah panjang masa lalu, tetapi satu usaha untuk mendengar semula apa yang mungkin masih belum selesai dalam perjalanan seorang seniman.
Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 (MOMND5)
Tarikh/Masa: Sabtu 5 Disember 2026 / 8:30 malam
Lokasi: Panggung Sari, Istana Budaya, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur
Tiket konsert MOMND5 akan mula dijual pada hari ini (Jumaat) 21 Ogos 2026 menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com
