PEMUZIK dan komposer lagenda dari Jepun, Kitaro bakal memeriahkan Rainforest World Music Festival (RWMF) 2024 yang bakal diadakan di Damai, Santubong pada 28 hingga 30 Jun depan.
Penampilan pemenang anugerah Grammy dan Golden Globe yang terkenal dengan muzik instrumental elektroniknya yang inovatif menjanjikan pengalaman yang memukau.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata,RWMF edisi ke-27 itu bertuah kerana berjaya menarik Kitaro yang dikenali di seluruh dunia untuk membuat penampilan pertamanya di festival tahunan itu.
“Saya percaya kehadiran beliau amat dinanti-nantikan penggemar muzik dan kita berbangga kerana dapat menampilkan pemuzik legenda itu untuk membuat persembahan ‘live’ di Kuching,” katanya pada sidang media pelancaran RWMF 2024 di Kuching, hari ini.
Selain Kitaro, penyanyi tersohor negara, Datuk Zainal Abidin turut diseneraikan untuk membuat persembahan di RWMF kali ini.
Menurut Abdul Karim, seramai 63 artis Malaysia juga akan tampil pada festival tiga hari itu.
Antara pemuzik antarabangsa yang akan tampil ialah Havana Social Club yang menggabungkan pemuzik dari Cuba, Venezuela, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura; Alright Mela Meets Santoo dari Pakistan dan Perancis; Bourbon Lassi (Australia); Imarhan (Algeria dan Perancis); Krakatau Ethno (Indonesia); Nini (Taiwan); Rhythm Rebels featuring Selonding Bali Aga (Indonesia); Rizal Hadi and Folk (Indonesia) dan Tribal Tide (Singapura).
Artis tempatan yang akan tampil pula ialah pemuzik Sape, Alena Murang; The Borneo Collective, Tuni Sundatang,Nisa Addina, Zarul@OurBodySound, Salammusik, The Colour of Sounds Malaysia, Adrian G dan Belle Sisoski.
Abdul Karim berkata, penggemar muzik boleh mendapatkan tiket untuk menyaksikan RWMF 2024 mulai April ini yang menawarkan pakej untuk tiga hari berharga RM635.
Beliau turut yakin penganjuran RWMF 2024 akan merancakkan lagi sektor pelancongan Sarawak yang mempamer prestasi memberangsangkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.
