SENIMAN Datuk M Nasir dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persembahan pada Majlis Istiadat Konvokesyen Ke-26 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Sabtu.
Istiadat Konvokesyen itu berlangsung sehingga 30 November di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di Tanjong Malim.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Md Amin Md Taff berkata, penganugerahan kepada M Nasir atau nama sebenarnya Mohd Nasir Mohamed adalah berdasarkan pengalaman seninya selama empat dekad bermula 1979.
Menurutnya, M Nasir turut menjadi pakar rujuk dan penasihat dalam bidang seni persembahan di Fakulti Muzik dan Seni Persembahan UPSI sejak 2021, malah Syarikat Luncai Emas Sdn Bhd menjadi rakan strategik UPSI melalui perjanjian persefahaman sejak dari tahun 2016 sehingga sekarang.
“Sumbangan M Nasir sangat besar dalam mengangkat martabat dunia seni muzik, ianya mencapai tahap berprestij serta signifikan dengan pembangunan pendidikan negara dan pemikiran rakyat menerusi muzik,” katanya.
Pada 2014, M.Nasir menerima ijazah kehormat Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Industri Kreatif dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

