Pisau seraut dua tiga,
Letak di tepi dalam perahu,
Dalam laut boleh diduga,
Dalam hati siapa tahu.
Saya tak ingat bila kali pertama bertemu dengan Mat Ramli Mansor. Tapi yang pasti sewaktu Rumah Seni Selangor (RUsSEL) masih dalam awal penubuhan, setelah kami mula mendiami kuarters banglo dalam Universiti Malaya itu, sekitar 2018 mungkin. Mat Ramli tinggal menghuni dan turut menjadi ‘penjaga’ kepada RUsSEL.
Jejaka bergaya ‘hippie’, berkumis, berambut panjang mengurai melepasi aras punggung yang diikat sanggul, kekadang juga dia melilit semutar di kepala, Mat Ramli atau nama panggilan oleh kami komiti RUsSEL sebagai Che Mat ialah seorang seniman pengarca. Dia merupakan salah seorang seniman residen pertama Rumah Seni dan sempat berpameran bertiga (Pameran AKAR, 2019) bersama Arina Kiswantoh dan Anasuha Suhairi.
Selaku pengarca kayu, Che Mat sudah tentu boleh melukis dengan baik malah aktif juga menghasilkan lukisan dan catan. Melalui pengamatan saya, gaya lukisan dan catan Che Mat agak kasar, bersahaja (spontan) dan ada lenggok impresionis, tapi ini dilihat dalam lukisan alam benda dan landskapnya yang terdahulu. Berbeza pula dengan lukisan figura dalam siri yang saya lihat dalam pameran berkumpulan Satu Kolektif, Beautiful Mélange di galeri Capital Fine Art Auction pada Januari lepas. Maksudnya gaya dan teknik pengkaryaan Che Mat berubah mengikut fasa dan perasaan seorang seniman yang tidak kekal abadi.

Che Mat belajar seni secara perantisan, dari Studio Pohon Rimbun (dimiliki seniman Zainal Abidin Musa) ke Studio Pohon Rendang (dimiliki seniman Tengku Sabri Ibrahim). Disebabkan hal ini, kita jarang melihat penerapan disiplin dalam anatomi dan figura seperti yang diamalkan pelajar seni halus lepasan institusi seni beracuankan Barat. Tapi lukisan tetap menjelma sebagai lukisan, baik daripada kesan didikan formal maupun tidak.
Nenek moyang kita terdahulu pun sebelum dijajah kuasa asing tetap saja melukis dan meniru motif-motif alam dalam karya mereka, dan sudah tentu mempunyai disiplin latihan yang tersendiri – diperturunkan dari satu adiguru ke adiguru seterusnya, baik secara tulisan atau lisan – yang dihafal dan ditekuni melalui rutin dan proses berkarya.
Dalam pameran Ekspresi, apa yang saya rasakan unik adalah kesemua lukisan dalam siri ini dihasilkan dengan tangan kiri berbanding kebiasaan Che Mat yang melukis dengan tangan kanan. Che Mat bukan seorang dwicekat (ambidextrous). Kesan kemalangan menyebabkan tubuh badan Che Mat beradaptasi secara inovatif. Kaedah pengkaryaan berubah mengikut fasa kehidupan yang dilalui. Seniman terdahulu; Van Gogh, Henri Matisse dan Frida Kahlo mengalami situasi ‘kecemasan’ sebegini. Bagaimana artis bekerja dalam fasa ‘kekurangan upaya.’
Secara jujur, kita nampak ‘kenaifan’ dan ‘kebersahajaan’ dalam siri Ekspresi ini. Kesemua lukisan ialah potret – diri sendiri dan beberapa insan/watak terdekat yang dihasilkan sewaktu fasa penyembuhan sekitar tahun 2023-2024. Mediumnya dakwat pena atas kertas nota bersaiz A5 (21.5 x 15.5 cm). Beberapa lukisan garisnya diguris secara satu gerakan, tidak terputus. Rujuk karya ‘one-line drawing’ oleh master Picasso yang terkenal itu. Kalau pelukis tempatan boleh rujuk karya-karya lukisan Ahmad Shukri Elias.

Garis-garis Ekspresi dihasilkan dalam ‘tergesa-gesa’, ada mood marah, sebal dan melankolia. Che Mat melukis dalam ketikdaktentuan bagaimana nasibnya akan datang. Persoalan adakah dia akan lumpuh satu badan atau kembali sembuh beroleng-oleng di dalam minda. Lukisan dan contengan di atas buku nota adalah pengubat jiwa. Setiap garis adalah doa paling intim kepada Maha Penyembuh.
Lukisannya disusun tidak mengikut kronologi masa, namun dilihat berkembang dari penggunaan pena satu warna (hitam) ke campuran 2-3 warna (biru, hijau, dan magenta). Contohnya dalam Ekspresi #12 ialah lukisan satu garis dakwat hitam potret bentuk separa mujarad, manakala Ekspresi #35 menggambarkan satu potret dalam tiga rona pena dengan teknik rendering (kemasan) dan garis kontur pada satah wajah.

Sewaktu awal saya melihat dengan sekali lalu kesemua lukisan siri Ekspresi yang ditunjukkan oleh Che Mat, dalam hati terus terdetik, ‘ini macam kerja conteng-conteng nak siap cepat.’ Kemudian beberapa ketika suara kedua dalam diri saya membantah, ‘tapi, lukisan-lukisan ini kesemuanya dihasilkan ketika hamba Allah itu masih memakai penyangga leher (cervical collar), nak mandi pun sukar, nak menukar pakaian apatah lagi, pergerakan harian terhalang, memerlukan pembantu – yang sudah pasti mencambuk emosi. Kalau terjadi kepada saya, apakah saya berjaya mengharunginya sambil berkarya?’
Terdapat 35 buah lukisan ‘ekspresi’ dan menurut Che Mat jumlah keseluruhan sebenarnya lebih banyak daripada itu. Ini hanyalah sebahagiannya saja. Che Mat sendiri yang menjadi kurator Ekspresi, memilih lukisan yang baginya sesuai untuk dipamerkan, sambil meminta pendapat beberapa sahabat terdekat.
Selain melukis sewaktu fasa kesembuhan itu, Che Mat juga mengarang sejumlah nota dan puisi. Namun dalam pameran ini hanya tiga buah puisi saja dipilih kerana dana untuk berpameran tidak mencukupi, ujarnya.
Buku kumpulan puisi Mat Ramli Mansor dalam siri Ekspresi ini juga dalam perancangan untuk diterbitkan melalui kutipan hasil jualan karya bagi menampung kos percetakan. Berdasarkan keadaan ekonomi yang kita sedang hadapi, penerbitan buku lebih-lebih lagi genre puisi patut dihasilkan dengan penuh hemat. Dalam gahnya dunia seni lokal, lingkungan khalayak dan pengamatnya masih dalam skala kecil.

Che Mat sudah kembali sembuh kini, semoga dia terus berkarya dengan lebih produktif untuk fasa mendatang dan berkembang dengan teknik dan idea baharu yang diperolehnya hari demi hari. Anggaplah pameran Ekspresi adalah satu proses dan babak yang manusia alami dalam hayat sekejap cuma. Seniman itu manusia biasa, tak ada sebarang keistimewaan pun. Seniman hanya melorek dan meluah rasa peribadi dalam bentuk karya kreatif.
Walaupun sudah hampir lapan tahun saya mengenali Che Mat, tapi saya tidak kenal dengan perasaannya, ‘ekspresi’ yang diluah ke atas kertas bersaiz A5 sebanyak 35 keping ini hanyalah sekelumit daripada selaksa rasa di dalam jiwa Che Mat. Sepertimana diungkap pada mula karangan, serangkap pantun yang saya peroleh dari buku Puisi Melayu Tradisi yang disusun oleh Mohd. Yusof Md. Nor dan Dr. Abd. Rahman Kaeh (Fajar Bakti, 1985).
Pameran Ekspresi: Lakaran Ekspresi Diri & Himpunan Puisi Mat Ramli Mansor diadakan di galeri Nafasyahdu Art Space yang diuruskan oleh Komuniti Seni Batu Belah di Klang, Selangor bermula 25 Mei sehingga 8 Jun lalu.
– M. FAREZ KARIM masih bergelumang dalam dunia seni dan reka bentuk buku sastera tempatan. Sedang mengumpul kesemua tulisan berkaitan seni untuk dibukukan.
