Diwaktu seni kontemporari semakin bergerak merentas sempadan geografi dan budaya, persoalan tentang makna “tempatan” menjadi semakin rumit. Namun, bagi TAKSU Kuala Lumpur, istilah Locals Only! bukanlah sesuatu yang bersifat kedaerahan, sebaliknya satu titik tolak untuk meneliti semula kekuatan, kepelbagaian dan evolusi seni kontemporari Malaysia melalui suara-suara yang lahir daripada konteks tempatan.

Memasuki edisi ke-24, Locals Only! 2026 terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform pameran berkumpulan berpengaruh dalam memperkenalkan perkembangan seni visual Malaysia. Pameran tahunan ini telah menjadi ruang penting untuk menghubungkan seniman daripada pelbagai generasi, sekali gus menawarkan gambaran yang sentiasa berubah tentang landskap seni kontemporari negara.


Apa yang menjadikan edisi tahun ini lebih signifikan ialah kembalinya inisiatif panggilan terbuka (Open Call) selepas beberapa lama tidak dilaksanakan. Dalam ekosistem seni yang semakin dipacu oleh rangkaian institusi, galeri dan pasaran, mekanisme sebegini membuka ruang kepada bakat-bakat yang belum dikenali untuk muncul di pentas yang lebih luas.
Langkah tersebut memperlihatkan kesediaan TAKSU bukan sahaja meraikan nama yang telah mapan, tetapi turut melabur terhadap potensi generasi baharu yang bakal membentuk naratif seni Malaysia pada masa hadapan.

Pendekatan ini menghasilkan sebuah pameran yang bersifat intergenerasi. Sebanyak 24 seniman mengambil bahagian, merangkumi artis yang sedang mengukuhkan kedudukan mereka bersama pengkarya yang masih berada pada fasa awal perjalanan seni.
Kepelbagaian ini menjadikan Locals Only! 2026 lebih daripada sekadar himpunan karya; ia berfungsi sebagai potret terhadap ekosistem seni visual Malaysia yang semakin berkembang melalui pertemuan pengalaman, idea dan pendekatan artistik yang berbeza.

Barisan artis yang menyertai pameran kali ini terdiri daripada Ainin Fadli, Akhil Latiff, Amar Shahid, Amirul Yazid, Arikwibowo Amril, Arman Rizaudin, Azrul Azrai Mohyi, Faizal Suhif, Fauzulyusri, Fendy Zakri, Hafizi Sohaimi, Hamdan Shaarani, Issarrezal Ismail, J. Rahman, Meor Saifulah Lulaed, Nasrul Rokes, Nazhan Fikri, Ong Kar Mun, Po’Oi, Syahmi Jamaluddin, Syukur Rani, Tresyah Join, Wednesday Lim serta kolektif WE!, masing-masing membawa bahasa visual dan kecenderungan estetik yang tersendiri.
Kepelbagaian medium yang diketengahkan, daripada lukisan, catan dan arca kepada instalasi serta media campuran turut memperlihatkan bagaimana seni kontemporari Malaysia semakin bebas merentasi disiplin.


Medium tidak lagi sekadar menjadi alat penyampai, tetapi sebahagian daripada strategi konseptual yang digunakan artis untuk membicarakan isu identiti, memori, urbanisasi, hubungan manusia dengan ruang, materialiti serta perubahan sosial yang membentuk kehidupan hari ini.
Locals Only! mencerminkan perubahan peranan galeri komersial dalam ekosistem seni semasa. Jika suatu ketika dahulu galeri lebih tertumpu kepada representasi artis dan pasaran koleksi, hari ini institusi seperti TAKSU semakin berfungsi sebagai pemudah cara wacana, ruang eksperimen dan platform pencarian bakat baharu.

Pameran seperti ini menunjukkan bahawa pembangunan seni kontemporari bukan sahaja bergantung kepada muzium atau institusi awam, tetapi turut disokong oleh komitmen galeri yang sanggup mengambil risiko memperkenalkan suara-suara baharu kepada khalayak.
Lebih menarik, tema “tempatan” dalam pameran ini tidak pernah dilihat sebagai sesuatu yang statik atau bersifat nasionalistik. Sebaliknya, karya-karya yang dipamerkan memperlihatkan bagaimana identiti Malaysia hari ini terbentuk melalui pelbagai pengalaman budaya, teknologi, sejarah dan kehidupan harian yang saling bertindih. Dalam pengertian itu, “local” menjadi sebuah ruang perundingan yang sentiasa berubah, bukannya satu kategori yang di kotak merpati-kan.

Selepas 24 edisi, kekuatan Locals Only! bukan cuma terletak pada jumlah artis yang dipamerkan, tetapi pada keupayaannya merakam denyut nadi seni kontemporari Malaysia pada sesuatu masa. Setiap edisi menjadi semacam arkib hidup yang merekodkan perubahan bahasa visual, kecenderungan estetik dan persoalan yang sedang mengisi imaginasi seniman tempatan.
Berlangsung di TAKSU Kuala Lumpur dari 9 Julai hingga 1 Ogos 2026, Locals Only! 2026 mengajak pengunjung melihat seni Malaysia bukan sebagai sesuatu yang telah selesai ditakrifkan, tetapi sebagai medan yang sentiasa dirunding, dipersoalkan dan dibentuk semula oleh generasi artis yang terus berkembang.

Dalam suasana seni yang semakin bersifat rentas sempadan, pameran ini mengajak kita melihat bahawa kekuatan seni tempatan tidak lahir daripada batas geografi semata-mata, tetapi daripada keberanian para seniman untuk terus mengolah pengalaman mereka sendiri dengan bahasa visual yang baharu.

TAKSU Kuala Lumpur
17 Jalan Pawang, 54000 Kuala Lumpur, Malaysia
Tue – Sat, 10am – 6pm / T: +603 4251 4396
(Closed on Sunday, Monday and Public Holidays)
