BELUM pernah lagi kumpulan ini mengadakan pameran dua kali dalam setahun. Kumpulan kami ini yang dimaksudkan ialah Jamil Mat Isa, Johan Marjonid, Norlisham Nor, Rosli Zakaria, Zainuddin Abidinhazir, Zaim Durulaman, Zainon Abdullah, Zaharin Mohammad, Hamdan Shaarani, Fakhrul Zaman Mohd Sambas dan kami sendiri Abdullahjones.
Ini bukan kumpulan dengan anggota tetap. Ada lima atau enam orang yang sentiasa ikut serta, sementara yang lain datang dan pergi. Yang paling baharu tentunya si Fakhrul yakni penggerak utama kolektif Hujung Tanah Art Residence di Johor.
Selain Fakhrul, pameran kali ini juga disertai oleh Zainon Abdullah. Kami berasa bertuah kerana dalam kesibukan melayan selekoh Bukit Tinggi atau melepak di Lemang Toki, beliau masih sanggup meluangkan masa untuk menghasilkan karya bagi pameran ini. Terima kasih, Zainon.
Zainon baru sahaja bersara dan seperti kebanyakan insan yang bersara, beliau membeli motosikal besar dan berlumba ke sana ke mari bagi melunaskan impian zaman remajanya. Orang bersara biasanya hanya mempunyai dua impian iaitu sama ada membeli motosikal besar atau melancong (kadang-kadang kedua-duanya sekali). Kami sebenarnya ingin mengulas lebih lanjut tentang hal ini, tetapi memandangkan artikel ini ditulis pada hari Jumaat, kami bimbang dosa berganda, maka umpatan itu kami simpan saja untuk diri sendiri.
Kali ini, kami semua akan berpameran di Galeri Karya, Janda Baik, Pahang. Nanti bila kehabisan modal untuk mengata orang, di bawah sana kami akan ceritakan lebih lanjut tentang Galeri Karya.

Pameran ini diberi judul ARCATAN ,gabungan perkataan arca dan catan. Kami sendiri tidak pasti sama ada arca termasuk dalam apa yang disebut sebagai catan. Jika ya, maka tajuk pameran ini boleh dianggap null and void. Jika tidak, maka ia adalah satu perkataan baharu yang agak menarik bunyinya.
Ada dua orang pengarca terkenal yang turut mengambil bahagian. Seorang ialah Rosli Zakaria, anggota yang tidak pernah ketinggalan, dan seorang lagi ialah Zainuddin Abidinhazir, yang kami tinggalkan dalam pameran yang lalu. Zainuddin agak terlambat memaklumkan persetujuannya untuk menyertai pameran terdahulu, dan kumpulan ini telah berjanji untuk membawanya bersama dalam pameran yang seterusnya. Maka, ARCATAN ialah pameran yang menunaikan janji itu.
Yang paling rajin mengikuti semua pameran tentunya Jamil Mat Isa, seniman cetak yang sangat konsisten dan produktif. Jamil ialah penyelaras kumpulan ini. Dia menguruskan banyak hal, termasuk pemilihan artis. Dia senang berkerja dengan artis yang “senang dibawa berbincang”. Beliau juga menguruskan kewangan, katalog pameran, dan memastikan para karyawan tidak leka. Terima kasih, Jamil.
Kami tentu tidak boleh meninggalkan Norlisham Nor dalam pameran ini. Beliau akan sentiasa bertanya, “Kenapa diorang tak ajak saya, bang? work saya tak laku ke, bang?” Dan tidak lama selepas itu, beliau akan mencapai gitar dan menyanyikan lagu Penunggu oleh Sweet Charity dalam versi paling sedih yang pernah didengar manusia. Bila dia menyebut “tlahhh…”, kita ingat dia akan menyanyikan lagu Fatwa Pujangga, tetapi rupanya lagu Penunggu. Binawe sungguh.
Norlisham berasal dari Singapura dan seperti Ramli Sarip, M. Nasir, Hasnul Rahmat, serta anggota kumpulan rock Love Hunter dan juga kumpulan Rusty Blade, semangat Melayunya sangat tebal. Begitulah sifat orang Melayu, suka mengenang kehebatan masa lalu kerana malas mencipta kegemilangan masa kini. Mereka gemar benar menoleh ke belakang dan melupakan apa yang ada di depan mata.
Kemudian kita beralih kepada Zaharin Mohammad, pelukis yang boleh sahaja menjual kasihan, tetapi memilih untuk berusaha keras agar karya-karyanya sendiri yang berbicara. Zek bersara awal akibat komplikasi buah pinggang. Dan dosa dialah yang kami semua terpaksa tanggung, kerana dialah yang mencadangkan agar setiap peserta menghasilkan karya bersaiz satu kaki kali satu kaki. Dia tidak boleh melukis besar, lalu dipaksanya kami semua melukis kecil.
Memalukan sebenarnya apabila artis-artis yang biasanya menghasilkan karya bertaraf museum piece terpaksa mengerjakan karya sebesar setem. Kami mendoakan agar Zek segera sembuh dan kembali menghasilkan kanvas yang lebih mulia agar dapat menebus dosanya itu. Dalam setiap pameran yang kami sertai, karya Johan Marjonid biasanya menjadi tumpuan pertama pengunjung. Lukisan-lukisan hiperrealis yang dihasilkannya sering membuat orang terpaku, dan tidak jarang menjadi karya pertama yang terjual. Kami mengandaikan, selain hasil kerjanya yang menakjubkan, keberkatan itu datang kerana Johan tidak pernah lupa membawa ibu dan adik-beradiknya untuk meraikan setiap pameran yang disertainya. Cuma satu yang kerap dilupai oleh Johan iaitu untuk membelanja kami semua makan kari kepala ikan setiap kali karyanya terjual. Baser.
Hamdan Shaarani juga baru bersara, dan kami berdoa agar beliau tidak bercita-cita membeli motosikal berkuasa tinggi dan melepak di Kanchanaburi. Duduklah di rumah dan teruskan berkarya. Melukis bukan hobi, tetapi kerja seni yang harus ditelusuri dengan sepenuh hati.
Yang tidak menjadikan melukis sebagai hobi ialah Zaim Durulaman. Beliau aktif melukis dan juga mengajar. Zaim sering ke perkampungan Orang Asli di Perak bersama isterinya dan beberapa sukarelawan lain untuk membantu masyarakat setempat dengan cara yang wajar.
Selesai sudah mengata orang, jadi kami bercerita pula tentang Galeri Karya di Janda Baik bukan sekadar sebuah ruang seni. Ia adalah tempat di mana semangat, ketekunan, dan kasih terhadap dunia lukisan benar-benar hidup. Di bawah pimpinan Liza Othman, pelakon yang mempunyai kelas tersendiri, galeri kecil ini berkembang menjadi pusat pertemuan bagi pencinta seni, pelukis muda, dan sesiapa sahaja yang ingin bernafas sejenak di udara segar Janda Baik sambil menikmati karya tempatan. Apa yang menjadikan Galeri Karya istimewa ialah kejujuran dan kehangatan yang dirasai sebaik melangkah masuk ke ruangnya. Tiada kemewahan berlebihan, tiada formaliti yang menjarakkan. Sebaliknya, setiap lukisan, arca, dan karya yang dipamerkan terasa dekat, seolah-olah datang daripada tangan seseorang yang benar-benar mencintai apa yang dilakukannya. Liza sendiri sering berada di situ, menyambut pengunjung, berbual tentang seni, atau sekadar duduk di studionya melukis dengan penuh tumpuan.

Ruang ini menjadi tempat untuk berehat dan berfikir. Di luar, pokok-pokok menghijau, sungai kecil mengalir, dan udara Janda Baik yang tenang menjadikan galeri ini seperti tempat persembunyian bagi jiwa yang penat dengan hiruk-pikuk kota. Liza bijak memanfaatkan suasana ini , dia mengadakan bengkel seni, pameran kecil, dan pertemuan komuniti bagi memberi ruang kepada pelukis baharu mempamerkan karya mereka. Ia bukan sekadar tentang menjual lukisan, tetapi tentang menanam benih minat terhadap seni tempatan agar terus tumbuh dan bercambah.
Usaha sebegini jarang dan berani. Liza membuktikan bahawa keikhlasan dan ketekunan boleh melahirkan sesuatu yang bermakna. Galeri Karya bukan sahaja milik beliau, tetapi juga simbol semangat para seniman yang percaya bahawa seni boleh hidup di mana-mana, walaupun jauh dari kota, di lereng hijau Janda Baik.
Dengan sokongan masyarakat, pelukis, dan penggemar seni, tidak mustahil Galeri Karya akan terus berkembang dan menjadi ikon penting seni tanah air. Ia bukan sekadar ruang pameran, tetapi satu peringatan bahawa seni yang lahir dari hati akan sentiasa menemui jalannya, walau di mana pun ia tumbuh.
– ABDULLAHJONES merupakan penulis dan pelukis yang sedang merancang untuk mengadakan pameran solo di Solo, Indonesia.
