Naskhah Penilaian SPM Sekolah Seni Malaysia Perak.
Selepas dijenamakan semula dengan teras pembangunan komuniti, projek teater francais ‘Zombi Serang’ kini dijadikan naskhah penilaian SPM Sekolah Seni Malaysia Perak dengan satu lagi judul khusus – Zombi Serang Sekolah.
Selain bentuk interaktif-naturalis dan site-specific yang menjadi elemen utama, projek ini mendedahkan pelajar dengan industrial practice di dalam sesebuah pementasan teater.
Rata-rata yang terlibat menyimpulkan ini adalah projek ‘air mata’ lebih-lebih lagi buat guru penyelaras, Encik Aqil Ridwan atau mesra disapa dengan panggilan Aqil.
“Produksi ni.. banyak jatuhkan air mata.” Awalnya saya tak berapa faham.
Air mata yang menitis di sini dalam sudut positif. Ketika Aqil jelaskan lebih perinci, saya juga turut sayu, dapat rasa semanusiawi apa peran seorang guru.
“Ada masa saya memang garang dengan murid, tapi kali ni.. air mata..” Aqil tambah.
Sebaik mendengar ini, untuk saya sebagai pembikin, tersenyum sayu, sememangnya dari medium emosi literasi sebagai teras membangun sahsiah dan komuniti melalui teater, boleh dikatakan berhasil.
Benar, proses mementaskan naskhah ini unik mengikut tempat dan orang yang terlibat. Lebih-lebih lagi versi kali ini, melibatkan pelajar-pelajar bawah 17 tahun yang berbeza latar psikologi dan demografi.
Mengimbau pertemuan saya dan Cikgu Aqil, sebagai persediaan, dia banyak berkongsi tentang sikap perangai pelajar-pelajarnya, baik, buruk, degil, manja, dan banyak ragam pelik. Namun begitu, kepercayaannya cukup tinggi untuk menjayakan naskhah ini.
Team produksi bukan sahaja dikalangan pelajar yang dinilai, bahkan juga melibatkan sebahagian murid menengah rendah dan semua pelajar tingkatan empat, skalanya jadi semakin besar.

Beberapa pertemuan awal, saya tekankan kepada Aqil bahawa konsep lakon dan sistem pengurusan pementasan naskhah ini bukan seperti teater kebanyakan, cukup sukar untuk orang baru lagi-lagi budak sekolah mendalami sistem kerja bentuk teater begini, devised, site-specific, yang digabung dengan interaktif, dan apatah lagi ada elemen naturalism.
Aqil tetap dengan pendiriannya, dan percaya terhadap murid-muridnya. Lebih mencabar, kali ini konteksnya agak lain, iaitu sebagai satu naskhah untuk ujian SPM. Cabaran itu saya sahut.
Beberapa hari pertama latihan di Sungai Siput, saya bersama pembantu yang turut serta sebagai mentor projek ini mulakan proses devise. Mengejutkan, pelajar-pelajar sangat kontributif dengan bahan-bahan personal mereka selepas memahami konteks naskhah. Ini sangat membuatkan kami teruja.
Rentetan proses awal ini, beberapa fasa dilewati sebelum terbentuknya satu cerita dasar sebagai latar utama. Dari proses ini, air mata tak berhenti, cerita-cerita semakin personal, dan hubungan kami sebagai mentor di pentas, dah lebih dari itu. Sangat emosional.
Hari demi hari, prosesnya semakin rumit, rasa yang dikongsi ketika proses devise semakin vivid bukan sahaja di kalangan pelakon, bahkan rasa itu menjadi tunjang memanusiakan semula kelopongan fasa berapi-api sebagai remaja.
Kami saksikan mereka berproses, dan kami menghidu ada celaru dan sakit di dalam setiapnya, sesuatu yang kita semua lalu ketika remaja dulu. Inilah elemen paling mahal dalam projek Zombi Serang Sekolah.
Hari pementasan tiba. Full house di setiap pementasan.
“Saya rasa dihargai dalam produksi ni.” Ayat ini datang dari mulut beberapa pelajar yang selama ini dikenali dengan kenakalannya, lalu air mata bergenang.
Zombi Serang bukan tentang nilai artistik semata, ia lebih daripada itu. Mungkin judulnya agak pop dan tak nampak edukatif untuk sebuah projek pembangunan komuniti. Ya saya akui. Tapi harus diketahui, projek francais Zombi Serang dan berjaya bangunkan komuniti melalui teater, Zombi Serang Masai dah lahirkan komuniti aktif teater di Johor Bahru, iaitu Halusinis House dan Ladik Naulah.
Zombi Serang Kuantan pula berjaya menjadi nadi gerak produksi berbasis di Kuantan bersama gabungan alumni-alumni Universiti Malaysia Pahang, iaitu Orang Gerhana yang kini semakin aktif. Manakala Zombi Serang Pasor menjadi projek teater pertama Persatuan Peniaga Kreatif Ipoh, rentetan itu lahir minat-minat terhadap pembikinan teater kecil lain di Ipoh.

Untuk pengetahuan umum, pasca pandemik, naskhah Zombi Serang ini dah dipentaskan di Pasir Gudang (Zombi Serang Masai), Gambang (Zombi Serang Kuantan), Ipoh (Zombi Serang Pasor) dan ini adalah kali pertama dipentaskan di sekolah, maka judulnya Zombi Serang Sekolah.
Berbalik kepada Zombi Serang Sekolah, menurut Cikgu Aqil, jika bercakap dari sudut kreatif dan lakonan, pendekatan membawa naskhah ini ke Sekolah Seni Malaysia Perak sebagai naskhah penilaian SPM adalah berasaskan elemen interaktif separa-naturalisme yang memberi ruang kepada murid untuk mengalami situasi lakonan secara lebih realistik dan spontan (improvisasi).
Melalui konsep ini, murid bukan sekadar ‘berlakon’ tetapi belajar membina kesedaran diri, memahami emosi, serta bertindak balas secara jujur terhadap situasi yang diberikan. Pendekatan ini membantu mematangkan lakonan murid dengan menekankan penghayatan dan kefahaman terhadap realiti watak, sekali gus membentuk persembahan yang lebih dan meyakinkan.
Katanya lagi, projek ini dijadikan sebagai penilaian bagi subjek Produksi Seni Persembahan SPM Kesenian 2026, sekali gus memberi peluang kepada murid agar dapat mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dalam konteks produksi sebenar.
Para pelajar mengikuti bengkel intensif bersama pengarah dan mentor sebelum memperagakan hasil kreativiti mengikut pembahagian penilaian masing-masing.
Pelajar-pelajar yang dinilai adalah di kalangan Astawana Production, sebuah kumpulan produksi yang ditubuhkan di atas inisiatif pelajar dengan seliaan guru-guru. Zombi Serang Sekolah merupakan kolaborasi khas Sekolah Seni Malaysia Perak bersama Sisi Seni Production, dan turut mendapat sokongan Port Ipoh dibawah program Port School.
Zombi Serang Sekolah (2026)
Sisi Seni Production, Sekolah Seni Malaysia Perak, Astawana Production dengan sokongan Port Ipoh
Naskah dan arahan: Cech Adrea
Mentor: Putera Haritz, Cech Adrea, Haziqah Azemi
Guru penyelaras: Cikgu Aqil Ridwan
Menampilkan pelajar Tingkatan 4 dan 5 Sekolah Seni Malaysia Perak serta penampilan khas Putera Haritz, Haziqah Azemi, Cikgu Aqil Ridwan dan Cikgu Nyna Roslan
Teks oleh: Cech Adrea
