Pada tahun 2004, sebuah filem ‘indie’ ultra bajet dengan kos sekitar tujuh ribu USD telah mengejutkan dunia perfileman apabila memenangi ‘Grand Jury Prize’ di festival filem Sundance tahun tersebut. Filem arahan Shane Carruth yang juga merupakan graduan jurusan metamatik serta bekas jurutera simulasi penerbangan itu kebanyakanya hanya di filemkan di rumah ibu-bapanya, filem tersebut berkisar tentang dua orang jurutera yang secara tidak sengaja telah mencipta ‘mesin waktu’ di dalam sebuah garaj. Hingga kini ia sering dirujuk sebagai sebuah filem sains fiksyen paling ‘realistik’ yang sarat dengan jargon teknikal dan tidak meringankan fiziknya kepada penonton.
Maju ke tahun 2025, seorang anak muda dari Malaysia seolah mengulangi sejarah tersebut, berbekalkan sebuah ‘filem bisu’ berdurasi 40 minit, dengan kos kurang dari seribu ringgit, yang lebih menakjubkan, filem yang diberi judul ‘LIFE’ (Living In Fear Everyday) kini sedang berlegar di festival-festival filem antarabangsa tanpa disedari oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Sehingga artikel ini diterbitkan filem arahan Justin Franz ini telah memenangi beberapa anugerah dan pengiktirafan di; Lift-Off First Time Filmmakers Session, United Kingdom – (Official Selection), NanoCon/Northwest International Film Festival, United States (Nominee, Best International Short Film), Southeast Asia International Film Festival, Thailand (Award Winner, Best Dramatic & Outstanding Performance for Short Film) Max Gauduchon, Golden Lion International Film Festival, India (Best Debut Filmmaker)Justin Franz, serta Toronto Global Film Festival, Canada (Official Selection).
Senimalaya masih belum berkesemptan untuk menonton filem tersebut tetapi berjaya dihubungi oleh pengarahnya Justin Franz , anak kelahiran Ipoh, Perak untuk menceritakan dengan lebih lanjut sinopsis serta latar belakang disebalik filem pertama arahannya itu.

Ditanya apa yang membuatkan beliau menggerakkan projek tersebut, katanya; seperti kebanyakan pembikin filem baru, dia juga bercita-cita besar untuk menghasilkan sebuah filem yang bukan sekadar mengagumkan dari segi teknikal, tetapi juga sesuatu yang mencabar norma, mencetuskan pemikiran serta membawa mesej yang memberi impak kepada penonton. Dia juga mengimpikan karyanya berjaya menembusi sempadan dan bergema di persada antarabangsa tanpa mengira bahasa atau latar budaya.
Visi tersebut menjadi asas kelahiran filem ‘LIFE’ (Living In Fear Everyday). Sebuah idea yang tercetus hasil dari perbualan panjang, perdebatan kreatif, serta sesi ‘teh tarik’ lewat malam yang tak terhitung banyaknya bersama Suran Hasan, yang juga merupakan pengarah fotografi untuk filem tersebut, seorang sahabat yang dikenalinya sewaktu menjadi rakan sekerja dan sering berkerjasama dalam kerja kerja kreatif, di samping berkongsi minat yang sama terhadap cerita dan pengkisahan.
“This is the time bro, to make our own film”, ayat keramat dari mulut Justin itu menjadi benih bagi ‘LIFE’, sebuah filem yang lahir dari kecintaan, matlamat dan kepercayaan bahawa sebuah kisah apabila diceritakan dari jiwa, akan berupaya mengubah cara seseorang melihat dunia.
Memulakan langkah pertama dengan sesi uji bakat pada awal 2023, ‘LIFE’ berkembang dan meneruskan perjalanan yang tak mudah, menempuhi banyak fasa pengulangan dan perubahan skrip, pembangunan watak serta pelarasan pemilihan pelakon, setiap satunya, walaupun mencabar tetapi membawa filem tersebut lebih hampir terhadap kisah tentang nilai kejujuran dan erti kemanusiaan yang ingin disampaikan. Semua itu dikekalkan selaras dengan tujuan ‘LIFE’ yang hanya mahu berbicara dari hati bagi mengingatkan semua bahawa nilai empati adalah bahasa sejagat yang tak semestinya perlu diungkapkan dengan kata kata.

Filem yang dibintangi oleh Elli Famira, Ken Thayalan dan Aairenee Zarina ini merupakan penampilan sulung mereka di layar perak. Ia turut menampilkan Max Gauduchon, warga Perancis yang menetap di Malaysia dan juga penampilan khas oleh Rika Adrina.
‘LIFE’ terinspirasi dari banyak peristiwa yang mengoncangkan kefahaman Justin tentang nilai empati dan kemanusiaan, khususnya pada sebuah peristiwa yang berlaku tiga tahun sebelum itu, sewaktu dia sedang makan bersama isteri dan anak perempuannya, suatu detik peribadi yang hadir bersama persoalan tentang fungsi hidupnya sebagai manusia, ia suatu pengalaman yang amat sukar diungkapkan dan terus kekal di ingatannya.
Secara dasarnya ‘LIFE’ adalah tafsiran Justin tentang setiap kewujudan punya makna, dan semua kehidupan punya nilai tersendiri. ‘LIFE’ adalah sebuah filem tentang empati, perhubungan, dan bahasa sunyi yang menyatukan semua. ‘LIFE’ berkembang dari luar secara organik, sifat ‘filem bisu’ yang melangkaui bahasa dan budaya itu dengan mudah dapat dihayati dan dihubungkan dengan emosi dan kemanusiaan.

‘LIFE’ kini menjadi pilihan dan permintaan di banyak festival filem, walau bagaimanapun menurut Justin, ia nya cuma suatu langkah permulaan untuk filem tersebut, Justin bersama pasukanya merancang suatu perjalanan yang lebih jauh untuk ‘LIFE’ dan percaya ketabahan dan semangat akan membawa mereka kesana. Walaupun masih terasa seperti sebuah pengalaman ‘suralis’ dengan projek yang hanya bersandarkan semangat dua sahabat, ‘LIFE’ kini berjaya menjangkau khalayak serta merentasi sempadan dengan gema dan mesej sejagat yang dibawanya.
Justin juga sangat berterima kasih kepada beberapa individu yang membantu dengan pelbagai cara seperti Dato’ Kamil Othman yang banyak memberi nasihat, panduan dan harapan, juga beberapa adiguru filem dunia yang banyak memberi inspirasi kepada beliau seperti Martin Scorsese, Quentin Tarantino, Kamal Haasan serta Denis Villeneuve, kesemua pengaruh itu sedikit sebanyak membantu ia membentuk visi kreatif ‘LIFE’, sebuah filem’non-liner’ tanpa dialog yang didorong sepenuhnya oleh emosi.
‘LIFE’ kini sedang berlegar ke festival-festival filem pendek seluruh dunia, dari Asia, Eropah dan Amerika Utara dengan sambutan yang amat merangsangkan; mengambil contoh filem tempatan yang berjaya menembusi festival antarabangsa seperti Prebet Sapu dan Tiger Stripes yang berjaya keperingkat Academy Awards (Oscars) Justin juga berharap akan ada kerjasama antarabangsa dimasa hadapan untuk ‘LIFE’ melangkah dengan lebih jauh, menyertai festival filem berprestij serta dapat membanggakan rakyat Malaysia dengan pencapaiannya.

Harap lebih banyak review filem ii tempatan yg hebat ii seperti matinya seorang patriot dan hang jebat.Tidak ketinggalan juga filem ii luar .Misalnya ,taxi driver dan stalker