‘Saman!’ kata seseorang. ‘Repot polis!’ kata orang lain pula. ‘Cari lawyer!’ kata orang yang satu lagi dan kemudian diikuti oleh maki hamun oleh beberapa orang. Ini adalah skrip yang sentiasa berulang-ulang, sebuah deja vu yang menyakitkan dalam komuniti seni kita. Reaksi awal sentiasa berapi-api, penuh kemarahan yang meluap-luap, seolah-olah seluruh sistem perundangan negara akan bergegar hanya dengan jeritan di media sosial.
Namun, selang tiga empat hari, semua orang lupa dan kembali memikirkan hal-hal remeh-temeh yang lain. Isu keadilan dan hak cipta diketepikan, dan masyarakat kembali sibuk memikirkan bagaimana orang asal Pulau Santorini boleh mewakili pasukan bolasepak Malaya.
Dalam dunia muzik misalnya, isu cetak rompak katanya didalangi oleh syarikat rakaman sendiri. Dakwaan ini tentu saja belum pernah dibuktikan. Ini mungkin kerana para pejuang isu ini jarang yang mahu melakukannya dengan dasar undang-undang. Kita senang berjuang dengan jerit dan dalam kalah, kita masih mahu disebut sebagai wira. Lemah.
Inilah kelemahan yang dieksploitasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Mereka tahu bahawa seniman, secara sifatnya, lebih cenderung kepada ekspresi emosi daripada pertempuran birokrasi. Mereka tahu bahawa api kemarahan itu akan padam, dan yang tinggal hanyalah abu kekecewaan yang tidak bermaya.
Beberapa minggu lalu, kami diberitahu bagaimana seorang teman pelukis terlihat beberapa karya seniman tempatan dicetak dan kemudian ditambah sedikit warna lalu dipamerkan di sebuah agensi Kerajaan. Karya-karya ini bukan diberi percuma malah dibayar oleh agensi Kerajaan berkenaan kepada pihak ketiga. Ini adalah situasi yang sungguh memalukan untuk sebuah agensi Kerajaan yang sepatutnya menjadi contoh dalam memelihara integriti dan menghormati hak harta intelek negara. Mereka ditipu sedemikian rupa, dan lebih buruk lagi, mereka menjadi pemudah cara kepada jenayah hak cipta.
Karya-karya yang dicuri ini adalah dari karya asal pelukis terkenal negara kita. Kata-kata ‘saman’, ‘repot polis’ serta maki hamun itu datang dari mereka yang marah, sama seperti jeritan apa pun yang dirasakan sebagai penganiayaan. Namun, setelah letih menjerit, memaki dan kecewa, mereka pun diam. Sebarang perbahasan ditangguh sehingga kes serupa berlaku lagi di masa akan datang. Ini bukan jeritan meminta keadilan. Ini adalah penangguhan keadilan yang tidak berkesudahan.
Menurut salah seorang artis yang terlibat, dia telah memaklumkan hal tersebut kepada Balai Seni Negara. Kemudian Balai Seni Negara memaklumkan yang mereka akan meminta nasihat bahagian undang-undang untuk sebarang tindakan lanjut. Ini adalah langkah yang betul dari segi protokol, tetapi dalam menghadapi kejahatan yang terang-terangan, respons ini terasa terlalu perlahan dan tidak bersemangat.
Seniman biasanya begitulah. Marah bila dikhianati dan perlahan-lahan melupakan kejahatan yang dilalukan orang kepada mereka. Insan seni kononnya. Jiwa pemaafnya teramat kuat. Rela dilakukan apa saja dan menyerahkan tindakan kepada orang lain. Mereka lebih gemar berkurung di studio sambil menghasilkan karya agung dari turun naik mahkamah untuk mempertahankan hak mereka. Tipikal.
Setakat hari ini tidak ada seorang seniman pun yang pergi ke balai polis dan melaporkan hal berkenaan. Lalu cerita begini datang berulang-ulang. Ini membawa kita kepada faktor yang paling kritikal iaitu ekonomi pertahanan hak cipta.
Untuk masuk kepada dunia undang-undang adalah satu usaha yang belum tentu membuahkan hasil, dan ia adalah satu risiko yang jarang mahu diambil oleh ramai seniman. Ini boleh difahami bila kita rajin menyeluk saku para seniman. Secara amnya, kerjaya seni adalah kerjaya yang tidak stabil dari segi kewangan. Mereka mempunyai had terhadap mana tempatnya harta benda mereka mahu dibelanjakan. Dan had yang mereka miliki biasanya tertumpu kepada usaha untuk meneruskan hidup.
Membiayai kes mahkamah adalah satu beban kewangan dan emosi yang sangat besar. Yuran guaman boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Di samping itu, artis perlu mengorbankan masa yang sepatutnya digunakan untuk mencipta. Masa yang secara langsung diterjemahkan kepada pendapatan dan bukannya untuk menghadiri mesyuarat peguam, mengumpul bukti, dan hadir ke perbicaraan. Risiko kalah, kerugian kewangan, dan tekanan mental adalah harga yang terlalu tinggi untuk ditanggung oleh individu seniman yang berjuang untuk kelangsungan hidup. Kesannya, ramai yang memilih untuk membiarkan sahaja, dengan alasan “merangkaklah nanti dia kat akhirat”. Tindakan pasif ini, walaupun difahami dari sudut ekonomi, secara kolektif merosakkan ekosistem seni tempatan.
Tidak dapat dipastikan sama ada undang-undang atau garis panduan yang jelas dalam hal perolehan karya seniman tempatan oleh agensi Kerajaan, terutamanya mengenai sama ada ia mesti melalui persatuan, galeri bereputasi, atau diambil terus dari seniman. Dan jika tidak ada, maka hal ini mesti diwujudkan sebagai suatu dasar perolehan wajib.
Adalah memalukan bila sebuah agensi Kerajaan yang mempunyai hasrat murni dan mahukan karya seniman tempatan lalu mengambilnya dari pihak yang hanya tertumpu kepada wang ringgit. Agensi Kerajaan adalah pemegang amanah wang awam. Mereka mempunyai tanggungjawab yang lebih tinggi untuk memastikan ketelusan dan keaslian setiap perolehan.
Sepatutnya, setelah keputusan untuk membeli dibuat, pihak agensi berkenaan akan segera pergi ke galeri atau mana-mana persatuan seni lukis yang walaupun banyak masanya asyik melayan sengugut untuk sekurang-kurangnya bertanya mengenai lukisan dan pelukisnya. Mereka perlu melakukan ketekunan wajar yang minimum. Maka jika ini berlaku, tentu saja sebarang penyelewengan, seperti kes karya yang dicetak dan diwarnakan semula, dapat dielak. Kegagalan agensi Kerajaan dalam hal ini bukan sekadar kecuaian, tetapi merupakan satu tindakan yang secara tidak langsung meremehkan nilai seni tempatan dan membuka ruang kepada penipuan.
Isu ini juga menjerumus kepada kegagalan kepimpinan dalam organisasi seni. Persatuan-persatuan pelukis negara ini agak pemalu sifatnya. Mereka gemar ditatang dari belajar berjalan sendiri dan dikenali. Mereka cenderung menjadi badan sosial yang fokus pada pameran dan perjumpaan, tetapi gagal sebagai badan perlindungan dan advokasi hak seniman.
Persatuan seni, dengan jumlah keahlian yang besar, sepatutnya menjadi suara kolektif yang lantang dan berpengaruh. Mereka harus menjadi pencegah utama. Jika ada laporan peniruan, persatuan seharusnya bertindak dengan segera, bukan dengan maki hamun, tetapi dengan tindakan undang-undang kolektif. Dengan mengumpulkan sumber daya dan dana daripada ramai ahli, beban kewangan untuk mengambil tindakan undang-undang dapat dikurangkan secara drastik. Namun, seringkali, persatuan memilih jalan yang mudah, iaitu diam atau mengeluarkan kenyataan tanpa tindakan susulan. Dan asyik ‘menyatakan simpati’ sambil kekal duduk goyang kaki.
Kerja mencetak dan kemudian diwarnakan seperti yang terjadi baru-baru ini adalah satu tindakan yang licik. Perbuatan ini semestinya dilakukan oleh mereka yang arif tentang seni lukis. Hanya mereka yang tahu bagaimana satu-satu karya itu dihasilkan seperti struktur komposisi, penggunaan warna, dan teknik brushwork yang mampu berbuat demikian dengan meyakinkan untuk menipu agensi Kerajaan.
Ini bermakna terdapat tangan-tangan profesional dalam insiden penipuan ini, yang menjadikan jenayah ini lebih serius. Maka jika ada laporan kepada pihak berkuasa misalnya, kami yakin tidak sampai tiga hari akan diketahui siapa penyangaknya. Modus operandi ini bukan sembarangan. Ia melibatkan pengetahuan teknikal dan akses kepada rangkaian untuk menjual karya palsu kepada institusi berwibawa.
Seperti isu cetak rompak muzik, isu peniruan karya lukisan yang kita bicarakan ini dikekang oleh faktor wang ringgit. Maksudnya, mereka yang terkena tidak mahu membelanjakan duit sendiri untuk mengambil peguam misalnya. Hal ini tidak akan berubah melainkan kita mengubah infrastruktur sokongan untuk seniman.
Seni adalah cerminan tamadun, dan hak cipta adalah tiang kepada survival seniman. Sikap berdiam diri dan “jiwa pemaaf” yang terlampau hanya akan menggalakkan penyelewengan berulang. Kita perlu mencari penyelesaian yang konkrit
Satu Dana Pertahanan Undang-Undang Seniman mesti diujudkan misalnya.Persatuan seni negara harus segera mewujudkan dana khusus yang didanai oleh keahlian, geran Kerajaan, dan sumbangan korporat. Dana ini bertujuan untuk menanggung kos guaman bagi seniman yang karya mereka dicabul hak cipta atau sebarang kemusyikilan yang memerlukan Tindakan undang-undang. Ini akan menghilangkan halangan kewangan yang menjadi punca kelumpuhan tindakan.
Garis Panduan Perolehan Kerajaan juga wajib diadakan. Kementerian yang berkaitan dengan seni dan budaya mesti mewajibkan garis panduan perolehan yang ketat untuk semua agensi Kerajaan. Setiap pembelian karya seni tempatan bernilai tinggi mesti disertakan dengan Sijil Keaslian yang disahkan oleh pelukis atau galeri bereputasi, atau melalui semakan silang dengan Balai Seni Negara atau persatuan seni yang diiktiraf.
Kepimpinan Persatuan juga harus proaktif. Persatuan pelukis perlu melepaskan sifat tidak peduli dan menjadi entiti yang agresif dalam mempertahankan hak ahli. Ini termasuklah bekerjasama dengan firma guaman untuk menawarkan perkhidmatan pro-bono atau diskaun besar-besaran untuk kes hak cipta.
Selagi seniman terus memilih untuk berkurung di studio dan hanya menjerit di media sosial, selagi itulah penyangak hak cipta akan terus berleluasa. Masa untuk menjadi pemaaf sudah berakhir. Masa untuk mempertahankan hak dengan tindakan perundangan yang tegas sudah tiba. Ini bukan lagi tentang mencari hero, tetapi tentang membina sistem yang adil. Kegagalan untuk bertindak hari ini menjamin pengulangan kejahatan yang sama pada esok hari.
– ABDULLAHJONES merupakan seorang penulis dan pelukis yang tidak mempunyai PHD tetapi disenangi banyak pihak.

Konsep utama ‘copyright’ bukan semata-mata ekonomi tetapi juga kreativiti. Teras utama copyright adalah : nothing new under the sun. At one point, semua seniman pernah meniru. Selagi namanya manusia, tak mungkin apa yg kita fikirkan, tiada org lain fikirkan yg sama. Rasanya penulis boleh baca lagi berkaitan copyright untuk memaksukkan fakta yg tepat apabila menulis. Jika berkaitan penipuan, boleh rujuk Kanun Keseksaan. Untuk menulis kadangkala kita perlu ilmu, bukan emosi.