“Datang nak menghasut,” jawab kami bila ditanya apa sebenarnya tujuan kami menjelajah sampai ke Kelantan dan juga Terengganu.
Lama dulu, kami berjanji dengan Raduan Norudin untuk berjalan-jalan ke Kelantan. Tujuannya tidak ada. Kami hanya sekadar mahu berjumpa dengan kawan-kawan melukis di negeri tersebut. Mahu makan angin. Namun di zaman semua orang ada kepentingan ini, mana ada orang mahu faham jika kamu hanya ingin bersahabat, maka lawatan kami disangka mempunyai motif tertentu.
Raduan juga ada rancangan untuk berziarah bertemu seniman lain di masa akan datang. Kami ikut saja kerana dia kuat sembahyang maklumlah, dia orang tabligh, sembahyang dan ziarah memang forte dia.
Yelah, kalau dia ajak tidur di masjid tiga hari kamu tidak mahu. Bimbang jadi orang Islam yang baik gamaknya. Jadi dia pergi jumpa kamu dan bercakap fasal seni yang tidak berfaedah itu.
Lalu kami pun menjawab bahawa lawatan ini bertujuan untuk menghasut semua orang supaya memohon dana Tabung Bantuan Seni (TBS) yang disediakan oleh Balai Seni Negara (BSN). Dan memang itu pun yang kami lakukan.
Setiap seniman yang ditemui, kami hasut supaya mereka memohon dana tersebut hatta untuk membeli sebatang berus lukisan sekali pun. Kami harap BSN bersedia untuk menerima limpahan permohonan untuk tabung berkenaan. Dan sayugia kami mencadangkan supaya nama tabung berkenaan ditukar kepada Tabung GALAKAN Seni misalnya kerana kata BANTUAN itu agak kasar bunyinya. Atau kalau kamu suka, namakan saja Tabung Seni Abdullahjones atas jasa kami mempromosi tabung berkenaan. Kami langsung tidak marah jika kamu menjaja nama kami sehingga sebegitu rupa.
Setelah tertangguh beberapa kali dan dicurangi oleh beberapa orang sahabat lain yang berjanji untuk turut serta, petang Jumaat baru-baru ini kami bergerak ke Kelantan.
Sepatutnya kami bergerak dengan dua buah kereta namun kerana ditunda, semua penumpang dari sebuah kereta lagi itu terpaksa membatalkan penyertaan mereka lalu hanya tinggal Pak Aris Aziz, Raduan, Meor Salim yakni si pereka set yang berhemah itu serta kami sendiri yang bergerak menuju Kelantan melalui Lebuhraya Pantai Timur sebelum melalui jalan-jalan kampung untuk ke Kota Bharu.
Sampai di Jerteh, kami semua sudah amat letih dan membuat keputusan untuk berehat. Sebagai orang tabligh, Raduan mencadangkan supaya kami semua tidur di markas tabligh daerah tersebut. Walaupun sering memanjakan diri dengan hotel-hotel mewah, kami bersetuju dengan cadangan Raduan hanya kerana mahu merasai hidup sebagai manusia yang sederhana.
Lalu kami pun bermalam di Masjid Pakistan yang bersebelahan dengan Balai Polis Jerteh. Kami mendapat rehat yang cukup di masjid berkenaan. Mungkin ada keberkatan datang bersama masjid berkenaan yang menyumbang kepada segarnya tubuh badan kami setelah bermalam di sana.
Selesai sembahyang subuh, kami pun bergerak ke Kota Bharu. Cadangnya adalah untuk makan pagi di pertengahan jalan sebelum masuk di bandar tersebut namun setelah berhubung dengan pelukis Mahmood Mat, kami terus menuju ke rumah dia.
Di sana dia sudah menunggu kami dengan pelbagai juadah. Nasi berlauk dengan daging lembu dan kambing bakar serta nasi tumpang yang tersedia memang menyelerakan. Kami sendiri hanya mampu untuk melahap nasi dengan kambing bakar. Nasi tumpang kami sisihkan kerana perut boroi kami tidak mampu lagi diisi.
Haji Mahmood mempunyai sebuah bengkel kecil tempat berkarya. Tempat letak kereta yang diubah suai menjadi studio itu amat sederhana namun tentu menjadi sarang yang nyaman kepada seorang seniman. Yang sedikit merunsingkan adalah bila di sisi rumahnya yakni tempat asal dia berkarya sebelum berpindah ke tempat sedia ada, terkumpul karya-karya lama yang tidak dijaga rapi.
Mungkin kerana kekangan masa dan mungkin juga kerana tidak lagi sekuat dulu, karya-karya yang tersimpan di situ kelihatan amat kasihan. Dilonggok mengumpul habuk dan menanti untuk terus merosak. Mungkin sesuatu perlu dilakukan untuk mempertahankan karya-karya yang sudah tentu mempunyai sejarahnya itu.
Dia kemudiannya sudi untuk membawa kami berziarah ke rumah Muhamad Jusoh, seorang pelukis yang menurut kata Mahmood sebagai seorang pelukis yang terhalang menjadi terkenal dek kerana sifat pemalunya.
Galeri Titik milik Muhamad dibina di depan rumahnya. Dia mempamer dan bekerja di ruang berkenaan saban hari dan yang menariknya selain menggunakan cat air, dia juga seorang pelukis batik yang amat baik. Ini tidak menghairankan kerana dia mendapat tunjuk ajar dari pelukis batik terkenal tanahair iaitu Ismail Mat Hussin.
Lukisan batik yang dihasilkan oleh Muhamad sedikit berlainan dari apa yang biasa kita lihat. Dia menggunakan teknik titik untuk berkarya dan hasilnya menampakkan ketekunan dan juga kesungguhan dia.
Dia kini dalam rangka untuk menyiapkan beberapa buah karya untuk sebuah pameran empat orang pelukis dari Kelantan. Kami lupa di mana pameran berkenaan akan diadakan namun jika berkesempatan kami ingin ke pameran tersebut hanya kerana mahu melihat sendiri karya terbaru pelukis batik ini.
Muhamad adalah pelukis batik yang harus diberi perhatian jika kamu mahukan sesuatu yang baru dalam dunia karya-karya batik.
Kami akan sambung tulis ini dalam artikel yang lain. Selain dari taktik supaya dibayar banyak kali untuk satu lawatan yang singkat, kami sebenarnya agak letih hasil dari lawatan tersebut.
Bergerak dan berhenti tanpa rehat yang selesa tentu saja meletihkan buat kami yang selama ini seharian tidur dan bercanda.
Sesuatu yang kami pelajari dari lawatan singkat ini adalah bahawa kita sebenarnya mempunyai ramai seniman yang hebat dan mereka juga agak selesa kehidupannya. Mungkin ini beza seniman yang berkarya dengan mereka yang hanya bergantung kepada populariti.
Jarang ditemui pelukis misalnya yang rengsa hidupnya terutama ketika agak berusia berbanding pelakon dan juga penyanyi. Pelukis sentiasa ada karya untuk didagang sementara mereka yang hanya bermodalkan kacak dan cantik tidak lagi dicari setelah kecut dan kendur memakan diri.
Populariti ada hadnya namun kerja berkarya akan sentiasa segar jika kita tetap teguh melakukannya.
*******************
ABDULLAHJONES adalah seorang penulis dan pelukis yang berkawan baik dengan Jimi Mahmud.
