
SEKUMPULAN lapan seniman muda dihimpunkan karya-karya mereka di sebuah galeri dan dipamerkan. Lapan individu ini sebenarnya bersahabat, sama-sama mengikuti kuliah di UiTM. Mereka semuanya pemegang ijazah jurusan senihalus.
Lapan orang seniman muda, lapan gaya dan cara berkarya, lapan latar belakang yang berbeza dengan lapan objektif hidup.
Mereka adalah diantara ribuan yang keluar setelah graduasi menjadi seniman atau sebagai artis sepenuh masa menghambakan diri kepada kerja-kerja seni demi kelangsungan hidup di ibukota sebagai anak seni dan mencari nama.
Faiz Mahdon (Fafa), Fakhriq Zulkifli, Haziq Syawal, Hidayat Arshad, Nik Shahfiz, Putra Nazri, Syahmi Jamaluddin dan Syukur Rani. Ini lapan seniman muda yang selayaknya diberi perhatian oleh peminat dan pengumpul seni.
Satu masa (atau sebenarnya sekarang) lapan seniman muda ini bakal menjadi satu nama besar dalam seni catan atau seni tampak.
Sokongan dan dukungan seharusnya diberikan kepada seniman muda ini, bukan hanya kepada lapan yang mengadakan pameran ini tetapi juga yang lain.

Percayalah bakat dan anugerah yang mereka ada pada mereka ini ada tempatnya, menanti masa dan ketika sahaja untuk ‘meletup’!
Semangat kental kelapan-lapan mereka ini harus diberi perhatian. Berdikari mencari rezeki bersandarkan kerja seni bukanlah satu kerjaya yang boleh dipandang ringan.
Mencari idea untuk menghasilkan sesebuah karya yang belum tentu dapat menarik minat pengumpul hasil seni adalah cabarannya. Ruang studio mereka sekitar Shah Alam Selangor.
Rata-rata menempatkan kediaman dan studio untuk berkarya. Mungkin ini adalah pekan terakhir mereka menghabiskan pengajian dan lebih selesa untuk mereka membina hidup di sini.
Setelah 5 tahun di arena ‘mainstream’ mereka yang kerap muncul dibeberapa pameran berkumpulan dan antara mereka sudah pun punya pameran solo.
Karya-karya mereka berbagai gaya dan rupa yang kerap berada dipasaran bersama pameran di galeri-galeri tempatan menjadikan mereka adalah yang kontemporari dan relevan sekarang.

Ini menjadi tanda aras keupayaan seseorang artis itu untuk disukat tahap kekuatan ‘survival’ di dalam keadaan arena ini, ekonomi dan ‘movement’ negara kita kini.
Misi mereka kini adalah ingin terus hidup sebagai seorang artis seni tampak yang akan terus dikenali, terus relevan, terus diminati dan ‘survive’.
Galeri Puteh tanpa sedikit pun kebimbangan dan ragu-ragu terus menyokong usaha dan semangat mereka dengan memberi ruang dan peluang, terus menonjolkan bakat mereka dalam pelbagai bentuk pameran serta promosi.
Seniman muda seperti mereka harus diberi perhatian, ini sudah menjadi satu tanggungjawab galeri seperti Galeri Puteh yang sangat aktif buat masa ini.
Lapan seniman muda ini, jika diberi peluang dan dengan izinNya boleh dibawa keluar agar lebih dikenali dengan bakat yang ada pada mereka ini.
Pameran yang akan dibuka secara rasmi pada 22 Julai 2023 lalu akan berlangsung sehingga 13 Ogos. Selama lebih kurang tiga minggu ini peminat dan pengumpul akan dihidangkan dengan satu pameran yang baru lagi segar dari mereka berlapan.

