Kurang 10 milisaat untuk peluru meninggalkan laras pistol apabila picu ditarik. Kecepatannya tak boleh ditafsir akal sebab ia sangat laju. Sangat laju.
Selaju itu juga keputusan perlu dibuat apabila sampai masanya. Sama ada untuk menarik atau melepaskan picu. Memanjang atau menamatkan cerita. Untuk tinggal atau pergi.
Yang akan mempengaruhi kecenderungan kepada mana-mana pilihan ialah pengalaman lampau, baik dalam bentuk pengetahuan atau perasaan, mungkin trauma, dan ia tak selalunya jernih dan jelas.
Kurang 10 milisaat untuk peluru meninggalkan laras pistol apabila picu ditarik dan masa secepat itu membawa tekanan. Tekanan buat kita berpatah balik pada intuisi dan gerak hati, yang dibentuk deria dan ilham, acuannya pengalaman dalam bentuk pengetahuan dan perasaan.
Lalu keputusan dibuat, pilihan dimuktamad, dan kita hidup dengan kesannya.
Lalu picu ditarik.

Semiotik pilihan harian
“Setiap hari kita perlu buat pilihan, Kusya,” kata Fazleena Hishamuddin kepada saya, apabila saya tanyakan rasional pemilihan tajuk ‘Tarik Picu’.
Mungkin bukan Fazleena orang paling tepat untuk ditanya soalan itu. Sepatutnya saya tanya Amar Amir, penulis skrip ‘Tarik Picu’. Tapi Amar tak ada, dia kena urus anak. Fazleena orang kedua paling tepat sebab sudah menjadi tugas dia menangani naskhah itu, malah dia juga yang buat pembentangan 10 slaid kepada pasukan Mask Team untuk mempertahankan tajuk ‘Tarik Picu’.
Fazleena merupakan pengarah teater ‘Tarik Picu’ yang akan dipentaskan di Nero Event Space, PJPAC pada 16 hingga 19 Julai ini. Ia dipentaskan oleh Mask Team, dengan Juan Ab Aziz sebagai penerbit serta Arfie Shah, Idan Aedan, Jay Iswazir, Khenobu dan Amalina Arham sebagai pelakon utama.
Saya hadir melihat latihan mereka pada 7 Julai, sekali gus menemu bual pengarah dan pelakon untuk artikel ini. Dan itu sudah cukup buat saya tertarik untuk menontonnya nanti.
Sebab secara permukaan, ‘Tarik Picu’ sebuah cerita yang mudah. Asasnya, ia cerita rompakan. Sekumpulan rakan berkumpul, merancang dan melaksanakan rompakan. Kalau awak dah biasa tonton dan baca cerita rompakan, mungkin jalan ceritanya mudah dijangka.
Tapi jalan cerita yang mudah dijangka jadi kurang penting kalau isi ceritanya berat dan lebih menarik. Perhatian kita dikalih pada hal lain, seperti permainan watak, perkembangan watak, makna dialog dan sebagainya. Itu yang menarik dengan naskhah ‘Tarik Picu’.

Cerita rompakan itu menjadi berat dan berlapis-lapis melalui pertembungan watak-watak yang kompleks—Ron, watak yang dipegang Arfie Shah, seorang ketua yang kukuh pendirian dan berkarisma tetapi rapuh berdepan keluarga dan rakan. Dia terlalu mudah memaafkan dan optimis terhadap kebaikan manusia. Wan, watak adik Ron yang dibawa Idan Aedan penuh humor dan ria tapi dasar hatinya menyimpan dendam wasangka terhadap pengkhianatan orang pada abangnya.
Millie (Amalina Arham) menempuh hidup yang kasar beronak, maka dia selalu was-was pada sesiapa dalam hidupnya tapi dia juga manusia setia. Alan (Khenobu), kekasih Millie nampak gagah dan sasa pada luarannya tapi dihantui dosa lama. Acai (Jay Iswazir) lebih berterus-terang, lebih no bullshit, dia sanggup bakar seluruh bumi kalau itu dapat melindungi lingkungannya.
Watak-watak itu akhirnya bertembung dalam satu kisah rompakan, yang kalau kita meneliti aneka watak yang bertembung itu, kita tahu itu bukan semata-mata kisah rompakan. Rompak, wang, pistol kini terapung jadi metafora, jadi semiotik, jadi simbol tentang ketahanan (survival) dan pilihan. Maknanya melintang lebar, menegak dalam, buat kita terhubung pada setiap watak dan dilema masing-masing.
Perempuan dalam dunia lelaki
Penulis ‘Tarik Picu’ seorang lelaki dan empat daripada lima pelakon utamanya juga lelaki. Ia jadi satu cabaran buat Fazleena dan Amalina.
Kata Fazleena, dia cuba meneroka kelembutan dalam dunia yang serba keras dan lelaki itu. Ini lahir dari kepercayaannya sendiri bahawa manusia, walau gelap mana diri dan tindakannya, selalu ada sisi lembut dan jernih yang tersembunyi.
“Macam mana hitam pun watak kau, sentiasa ada sisi yang tindakan kau bersebab, bukan semata-mata mahu dibuat,” katanya, yang melihat ruang psikologi itu sebagai potensi kedalaman ‘Tarik Picu’.
Sebab lapisan psikologi itu yang membuka lebih banyak ruang tafsiran, sekali gus meninggalkan kesan yang lebih kekal dan panjang kepada penonton.

Bagi Fazleena, teater perlu meninggalkan sesuatu dalam fikiran penonton kerana ia bukan hanya hiburan untuk dinikmati sementara. Kalau cerita dan lakonan yang disampaikan boleh mengganggu, buat penonton tak selesa, itu lebih baik.
Amalina juga melihat cabaran yang sama. Untuk mendalami watak Millie bukanlah mudah, sebab dia perlu buat orang percaya yang dia perempuan dalam sekumpulan lelaki, yang hadirnya dalam kumpulan itu bukan tangkap muat.
Untuk menjelmakan lapisan psikologi dalam watak Millie juga tak mudah. Dia lasak, dia tabah, tubuhnya ada bau luka tapi dia juga menyimpan optimisme dalam diri, percayakan lingkungannya yang rapat, mudah menyayangi dan setia. Millie sangat setia.
“Dia setia sampai sanggup habiskan segala-galanya dalam hidup. Bila ada berlaku kejadian yang teruk, baru dia sedar sedangkan kesedaran itu dah ada sejak awal. Disebabkan kesetiaan dan kasih sayang, dia masih mahu percaya,” kongsi Amalina.

Perbezaan jantina jadi menarik dalam konteks ini, kerana mata yang mencipta cerita itu mata lelaki tetapi yang membentuk ia menjadi sebuah pementasan ialah perempuan. Malah, ceritanya didominasi hubungan lelaki, kemahuan lelaki dan keputusan lelaki. Tapi di tengah lelaki-lelaki itu ada seorang perempuan.
Yang berbeza dan tersendiri
Tiket ‘Tarik Picu’ dijual pada harga RM58, RM88 dan RM108.
Terdapat lima sesi pementasan, iaitu masing-masing satu sesi pada 16, 17 dan 19 Julai serta dua pementasan pada 18 Julai.
Semua perincian pementasan, termasuk susunan tempat duduk dan jadual pementasan boleh dilihat di sini.
‘Tarik Picu’ menjanjikan pengalaman teater yang berbeza. Fazleena sendiri mengakui, antara cabaran besar yang perlu dihadapi ialah naskhah itu sendiri yang ditulis seakan-akan untuk skrin, bukan pentas. Antara babak ke babak ada selingan, ada sunting silang (intercut), malah perjalanannya tak linear.
Para pelakon dicabar untuk mendalami watak, mengingati dialog dan cekap juga di belakang pentas—untuk menukar pakaian dengan pantas, mengingati posisi apabila babak bertukar. Semua pihak, termasuk kru, perlu cerdas dan bingkas.
Segala cabaran yang dihadap di belakang pentas akan menjelma di depan, dipapar pada mata para penonton melalui cerita yang tidak ortodoks, malah dalam dan rencam isinya.
Kalau mahu pengalaman menonton teater yang lain dari yang lain, beri peluang kepada ‘Tarik Picu’. Beli tiket, hadir dan nikmati kesendiriannya.
Pasukan Produksi:
Penerbit: Juan Ab Aziz
Pengarah Persembahan: Fazleena Hishamuddin
Penulis Skrip: Amar Amir
Pengurus Projek : Ridha Rahim dan Teh Aina
Pengurus Produksi, Pereka Kostum dan Tatarias : Nabil Zahan
Sinografer, Pereka Set dan Cahaya : Nawfal Zamri
Pengurus Pentas: Amiera Daniela, Damia Hanninah, Ayie Syuhairi dan Hana Yasmin
