Baru-baru ini saya ‘terserempak’ dengan sebuah lagu bertajuk “Taman Bunga” di YouTube. Ia dimuatnaik oleh sebuah saluran Nostalgia Hassny pada 25 Ogos 2024 dan memperoleh hanya 25 suka dan 355 tatapan.
Walaupun saya membesar pada tahun 1970-an dan sering mendengar radio, tetapi inilah pertama kali saya mengetahui lagu ini. Mungkin lagu tahun 1959 ini sudah dianggap ketinggalan zaman pada waktu itu.
Lagu Taman Bunga di YouTube disiarkan dengan liriknya. Bagi saya sebagai dari generasi “baby boomers” iaitu seseorang yang lahir antara tahun 1946 hingga 1964, lagu ini dirasakan menenangkan dan nostalgik. Ia mendatangkan gambaran suasana permai pada zaman yang telah berlalu. Seperti kata catatan pada albumnya lagu ini memberikan rasa “waltz, sedate and reminiscent” (rentak lunak, menenangkan dan membawa kenangan).
Satu versi instrumental turut ada dalam YouTube yang dimuatnaik oleh saluran ud000 pada 3 Julai 2023. Ia memperoleh 8 suka dan 244 tatapan. Versi ini juga didendangkan oleh Orkestra Radio Malaya dan ia adalah dari album Lagu-lagu Melayu atau Music of Malaya yang diterbitkan oleh Radio Malaya. atau Jabatan Penyiaran, Kementerian Penerangan dan Penyiaran.
Lagu Taman Bunga itu dinyanyikan oleh Rubiah Lubis, dicipta oleh Ahmad Merican, didendangkan oleh Orkestra Radio Malaya dan disiarkan oleh Radio Malaya pada tahun 1959, iaitu tahun kelahiran saya. Ia juga tahun bermulanya Radio Malaya melakukan pancarannya di Kuala Lumpur. Sebelum itu, iaitu sejak tahun 1948, studio Radio Malaya berada di Singapura. Setelah Malaya merdeka, barulah pejabat Radio Malaya dipindahkan ke Kuala Lumpur. Tetapi hanya pada tahun 1959, siarannya dilakukan di Kuala Lumpur. Sementara studio di Singapura dijadikan Radio Singapura.
Taman Bunga pula merujuk pada Lake Garden, Kuala Lumpur yang dalam bahasa Melayu pada awalnya dipanggil Kebun Bunga. Tetapi pada tahun 1959 ketika lagu ini dicipta, ia dipanggil sebagai Taman Bunga. Tetapi orang ramai terus memanggilnya sebagai Lake Garden hingga ke hari ini. Kini nama rasminya ialah Taman Botani Perdana dan untuk pelancong, ia disebut sebagai Perdana Botanical Gardens.
Nama asal Rubiah Lubis ialah Rubiah binti HM Idris, lahir pada tahun 1923 di Selesai, Sumatera Utara. Beliau pada waktu remajanya telah nenyertai kumpulan teater bangsawan. Nama panggung beliau ialah Miss Rubiah.

Kumpulannya membuat persembahan di seluruh Nusantara termasuk Singapura dan Malaya. Di Singapura, beliau menyertai Special Singapore Malay Orchestra di bawah pimpinan “Mr Jaar”.
Rubiah sempat merakam suara di piring hitam di bawah label “Odean” (Brown Label Malay Electrical Records).
Di antaranya rakamannya ialah Pemimpin Bacha’an (1929) Nikeback (1929) Sri Kaseh (1929) Mascot (1929). Setelah berakhirnya perang dunia kedua pada tahun 1945, rakamannya di bawah label His Master’s Voice (HMV)
Beliau kemudian bergabung dengan Malay Film Productions (MFP) sebagai penyanyi lagu latar filem termasuk filem-filem lakonan dan arahan P. Ramlee.
Rakaman lagu Taman Bunga itu dipercayai dilakukan di Singapura pada tahun 1958 iaitu sebelum Orkestra Radio Malaya pindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1959. Pada awalnya pejabat Radio Malaya ditempatkan di Young Road (kini bernama Jalan Cenderasari) tidak jauh dari Taman Bunga. Pada tahun berikutnya, ia baru dipindahkan Federal House atau Rumah Persekutuan di Jalan Raja.
Ahmad Merican pula lahir pada tahun 1924 di Pulau Pinang. Beliau diberi gelaran Tokoh Muzik Tanah Air dan merupakan orang pertama diberi tanggungjawab merakamkan lagu kebangsaan, Negaraku.
Lirik lagu Taman Bunga itu menggambarkan keindahan dan ketenangan Lake Garden dan hubungannya dengan mercu-mercu tanda Kuala Lumpur.
Berikutlah seni kata lagu itu:
Hijau terhampar bak permadani di kayangan,
Pohon yang rendang melukis indahnya pandangan;
Tasik mengalit memancar sinar harapan,
Tempat hiburan kecil besar semua lapisan,
Taman bunga taman seri,
Tapak bangunan parlimen indah,
Lambang megah nusa bangsa mencapai jaya,
Tugu pahlawan memperingati perwira,
Turut menyeri taman bunga permai ria.
Dari lirik itu, ada dua baris yang menyatakan kepentingan Taman Bunga pada pembinaan negara. Dua baris itu menyebut mengenai tapak Bangunan Parlimen dan juga mengenai Tugu Negara.
Pada tahun 1959 ketika lagu ini mula didendangkan, Bangunan Parlimen belum didirikan. Bukit di mana tapak bangunan parlimen itu berada bernama West Folly Hill. Kini ia tidak bernama. Folly Hill itu bermaksud “bukit hiasan”. Perkataan West itu merujuk pada sebuah taman perumahan kecil berhampiran yang bernana West’s Folly. West itu merujuk pada pemajunya yang bernama Billie West.
Keputusan supaya West Folly Hill itu dijadikan tapak Bangunan Parlimen dibuat pada tahun 1959. Maknanya lagu ini digubah selepas pemilihan tapak itu dihebahkan melalui radio dan akhbar.
Pada tahun 1959, telah juga diadakan Pilihan Raya Umum pertama Tanah Melayu merdeka. Maka sidang parlimen pertama turut diadakan pada tahun itu. Namun begitu, bangunan khas untuk parlimen belum ada. Maka sidang pertama parlimen di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang. Kini ia menempatkan Pusat Maklumat Pelancongan Malaysia (Matic).
West Folly Hill diratakan untuk menjadi tapak Bangunan Parlimen itu pada tahun 1961. Pembinaan siap setahun kemudian dan sidang parlimen Malaysia pertama diadakan di situ pada tahun 1963.
Tugu Negara atau Tugu Peringatan Negara yang ada sekarang belum dibina ketika lagu Taman Bunga itu digubah. Tugu Negara itu baru dibina pada tahun 1966.
Apa yang disebut sebagai Tugu Pahlawan dalam lagu itu merujuk pada tiang batu konkrit yang dipanggil Cenotaph dan berada di Taman Bunga itu.
Cenotaph yang bermaksud “pusara kosong” dalam bahasa Greek merujuk suatu nesan besar bagi memperingati askar-askar yang terkorban dan tidak diketahui di mana mayat mereka.
Empayar British membina Cenotaph ini pada mulanya bagi memperingati tentera-tentera mereka yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama. Ia bukan saja ada di Whitehall, London, United Kingdom tetapi juga di Colombo, Sri Lanka; Hong Kong, China; Singapura, Georgetown, Pulau Pinang dan Ipoh, Perak.
Binaan Cenotaph Kuala Lumput asalnya terletak di dataran di tengah-tengah bulatan pertemuan antara Victory Avenue, Jalan Raja, Cenotaph Road dan Venning Road. Sekarang Victory Avenue bernana Jalan Sultan Hishamuddin, Venning Road adalah Jalan Perdana dan Cenotaph Road adalah Jalan Tugu. Asalnya Victory Avenue, Venning Road dan Cenotaph Road adalah sebahagian daripada Jalan Damansara lama.
Walaupun pada mulanya Cenotaph itu merupakan Tugu Peringatan Pahlawan adalah untuk askar-askar yang terkorban pada Perang Dunia Pertama, ia kemudian memasukkan pahlawan-pahlawan Perang Dunia Kedua dan Darurat.
Apabila kerajaan metancang pembinaan Bangunan Parlimen, ia juga membuat keputusan jalan baharu menghubungi tapak bangunan itu dengan Bulatan Merdeka (Bulatan depan Dewan Perhimpunan Cina). Untuk itu, jejambat perlu dibina di atas dataran di mana terletaknya Cenotaph itu. Maka tugu itupun dipindahkan ke Taman Bunga.
Maka ketika lagu Taman Bunga ini dicipta, Tugu Pahlawan itu sudah dipindahkan. Ia kemudiannya menjadi sebahagian daripada kompleks Tugu Peringatan Negara.
Taman Perdana, Bangunan Parlimen dan Tugu Peringatan Negara menjadi mercu tanda negara baharu Tanah Melayu yang dirakamkan dalam lagu Taman Bunga itu.
Beberapa tahun lalu, saya terjumpa satu gambar dalam Internet yang menunjukkan pemandangan Taman Bunga ini dipercayai diambil pada tahun 1963. Ini kerana Bangunan Parlimen dan Muzium Negara sudah ada.
Gambar itu diambil dari udara dan kelihatan Muzium Negara dan Bangunan Parlimen. Apa yang menarik ialah kehijauan rumput adalah seperti permadani dari Muzium Negara hingga ke Bangunan Parlimen dengan kelihatan pohon-pohon yang ditanam secara berjarak. Tasik Perdana juga kelihatan.
Suasana kelihatan permai kerana belum ada lagi lebuh raya yang kini membelah Taman Bunga. Lebuh raya yang dimaksudkan itu menghubungi Jalan Istana dengan Jalan Duta (kini bernama Jalan Tuanku Abdul Halim) dan juga dari Jalan Istana ke Jalan Mahameru (kini Lebuh Raya Sultan Iskandar).
Tanpa lebuh-lebuh raya itu, tiadalah kereta yang lalu-lalang membelah Taman Bunga asal. Akibat adanya lebuh raya itu, Taman Botani Perdana yang ada sekarang menjadi kecil berbanding Taman Bunga asal.
Ketika saya membesar sebagai remaja belasan tahun pada tahun 1970-an,, lebuh-lebuh raya itu belum ada. Terdapat sebuah bangunan kecil yang merupakan pusat aktiviti Women’s Institute (WI) yang terletak di sebelah Muzium Negara tetapi ia telah dirobohkan untuk memberi laluan pada lebuh-lebuh raya.
Ada satu ketika pernah dicadangkan supaya bangunan Perpustakaan Negara dibina bersebelahan Muzium Negara. Saya pernah melihat modelnya. Ia ditolak kerana kawasan berkenaan adalah untuk membina lebuh raya. Perpustakaan Negara akhirnya dibina di Jalan Tun Raxak.
Pertama kali saya pergi ke Taman Bunga ialah pada malam 31 Ogos tahun 1967 untuk menyaksikan pertunjukan bunga api sempena ulang tahun ke 10 hari kemerdekaan Tanah Melayu. Ketika itu saya berusia tujuh tahun.
