Cuba tanggalkan semua hiasan, gimik, video muzik, instrumen tambahan, efek vokal, penari, set-apa jadi pada lagu awak?
Penyanyi lagu yang bergantung pada gimik dan trend akan takut pada soalan ini. Tapi inilah cara sebenar untuk menguji kekuatan sesebuah lagu, kalau yang dituju ialah kemalarsegaran. Dan hal tentang kemalarsegaran ini selalu dibangkit di musim hari raya.
Setiap tahun akan ada perbahasan tentang lagu raya sekarang vs dulu. Yang dulu lebih sedap, melekat, mengimbau memori, menaikkan semangat Aidilfitri. Lagu sekarang tak sedap, bingit, entah apa-apa, bla bla bla.
Tapi kalau kita rajin nak buang semua kebisingan, perbahasan itu sebenarnya tentang potensi malar segar lagu raya. Sebab lagu raya ada fungsi khusus yang tak ada pada lagu-lagu lain, iaitu membangkitkan nostalgia perayaan. Untuk tujuan itu, faktor kemalarsegaran jadi mustahak.
Mudah kata, lagu raya yang baik adalah yang mampu jadi malar segar. Yang diingat orang berpuluh tahun, yang mampu membangkitkan memori berhari raya.
Tapi, perbahasan tentang malar segar ada satu masalah yang besar—kita tak boleh tahu lagu itu malar segar selagi ia belum diuji masa. Paling kurang pun perlu 10 tahun, lebih baik kalau 20 tahun. Untuk cakap lagu yang terbit tahun ini tak malar segar, itu tak logik. Mengarut. Sebab, macam mana kita nak tahu kalau ia baru terbit?
Tapi kita boleh nilai potensinya dan potensinya itu ada pada elemen-elemen paling asas sesebuah lagu, iaitu melodi dan liriknya.
Sebab elemen-elemen lain seperti susunan dan instrumentasi, atau yang lebih bersifat kulit dan hiasan seperti video muzik dan efek tambahan, disusun mengikut zamannya. Ia dipengaruhi trend dan kesukaan audiens pada masa tertentu. Selepas trend dan kesukaan itu berubah, masihkan mampu lagu itu bertahan?

Melayu tak Melayu
Kebanyakan orang berpendapat, lagu raya perlu ada elemen Melayu yang kuat sebab majoriti yang menyambut raya di Malaysia ialah kaum Melayu. Saya tak nafikan hal ini tapi tak semuanya perlu begitu.
Antara lagu yang buat saya teringat kampung, keluarga dan kehangatan beraya ialah Raya Kita oleh Kolar Hijau yang tak pekat elemen Melayu. Malah, muziknya Coldplay. Tapi ia berkesan. Begitu juga dengan Siap Siap Nak Raya oleh Couple yang meriah dan cocok dengan raya.
Malah, lagu yang betul-betul buat saya teringat momen pagi raya ialah Salam Lebaran oleh Mark Adam, Eyza Bahra dan Waris. Ini lagu reggae/rap.
Cuma, lagu-lagu itu tak popularlah. Orang tak dengar sangat.
Tapi, tahun lepas nama The Impatient Sisters tiba-tiba dapat perhatian massa disebabkan lagu raya mereka, Galok Raya. Lagu ini juga tak pekat elemen Melayu walaupun rentaknya retro.
Dan – ini mustahak – lagu raya popular nyanyian M. Nasir juga tak ditulis berasaskan rentak asli Melayu seperti joget, inang atau masri. Cuba dengar versi asal Satu Hari Di Hari Raya yang terbit pada 1981, elemen Melayunya tak pekat sebab instrumen utamanya ialah gitar dan piano. Apabila ditambah sentuhan seruling pada versi baharu, baru nampak Melayu/Nusantaranya, itupun bukan asas. Begitu juga Salam Dunia yang folk dan world.
Jadi, elemen Melayu bukanlah syarat wajib untuk buat lagu raya itu diingati. Cuma, memang banyak lagu raya yang menggunakan rentak asli Melayu serta pekat elemen Melayu (saya dah anggap balada mendayu itu elemen Melayu) yang popular dan segar lama.
Pendapat saya, dari segi melodi, lagu raya perlu dinilai sama seperti lagu lain. Melodinya perlu sedap, tak tertakluk pada mana-mana rentak. Kalau mahu lebih berkesan pada psike Melayu, boleh tambah elemen-elemen Melayu pada instrumen atau lenggoknya.

Menjadi auteur
Asas kedua ialah lirik dan saya fikir, elemen lirik lebih penting. Lagu-lagu raya baharu yang berbanjir diterbit sekarang sering mengambil mudah hal lirik, menyebabkan ia menjadi lazim, banal dan mudah dilupakan.
Dan untuk menghasilkan lirik berkesan, penulisnya perlu menjadi auteur.
Auteur yang saya maksudkan ialah pengkarya yang mempunyai visi yang lurus dan teguh, tak goyang dengan trend atau kehendak orang, dia mahu menyampaikan cerita dan cerita itu milik dia.
Macam lagu Sepasang Kurung Biru oleh Khairil Johari Johar. Tak ada siapa yang minta lagu raya tentang seseorang yang rasa sunyi rindu di pagi raya, tapi Habsah Hassan tulis liriknya jadi sebegitu. Akhirnya, ramai yang boleh berhubung dengan perasaan itu, menjadikannya popular.
Begitu juga Musafir Di Aidilfitri oleh S. Jibeng yang meneroka hal yang mungkin tak terfikir oleh orang lain—bagaimana manusia sebatang kara menyambut Aidilfitri? K. Amir dan Ismail H.S. mengisi kekosongan itu dengan lirik yang menyentuh, buat ramai simpati.
Menjadi auteur dalam penulisan lirik agak narsisistik. Penulis degil mahu menyampaikan ceritanya sendiri, bukan yang orang minta. Ada masa ia menjadi, ada masa tak. Tapi, apabila menjadi, lazimnya ia lebih diingati.
Auteurisme dalam penulisan lirik lagu raya seperti ada lonjakan pada 2024 apabila The Fridays menerbitkan Eid Mudarat dan Hacktick! datang dengan (tA0n NiE aQ) XnK BlIk RAyE. Kedua-duanya menceritakan sisi pandang Aidilfitri yang berbeza.
Ashraff Jamil yang menulis lirik Eid Mudarat memilih bercerita hal sukar dalam hari raya, iaitu apabila terputusnya sebuah hubungan serius. Jarang kita dengar hal ini tetapi ia berlaku. Seperti seseorang yang bercerai kemudian perlu meraikan Aidilfitri, sedangkan rutin Aidilfitri sebelum ini banyak melibatkan dia yang dah tiada.
Hyke Nasir pula meneroka perasaan mereka yang tidak teruja berhari raya dalam (tA0n NiE aQ) XnK BlIk RAyE. Orang yang ramai, keraian yang tak berhenti buat dia rimas dan tak selesa. Tapi akhirnya, segala kerimasan itu dihadap demi cinta pada keluarga.
Ashraff dan Hyke bersikap auteur dalam hal ini. Mereka tak peduli pada apa yang dimahu orang, mereka yakin topik yang dipilih perlu didengar orang ramai.

Bila lirik lagu jadi artikel SEO
Lagu LaLa Raya yang dinyanyi pempengaruh, AGY, penuh dengan perkataan-perkataan generik tentang Aidilfitri. Kuih, pelita, takbir, OOTD, raya, raya, raya, blerghhh.
Lirik sebegini, kalau kita tanya, “Kau nak cerita apa?”, jawapannya selalu mengecewakan. Ia sebuah pendekatan yang pemalas dan bacul—kumpul saja perkataan-perkataan berkaitan hari raya, dijahit dengan kohesi dan koheren yang paling nipis, boom jadi lagu raya.
Saya namakan ini lirik SEO.
Sebab itu ia perlu bergantung dengan gimik. Kontroversi, video muzik over the top, konten-konten tular, sampai pengarah video muziknya mengaku gagal dengan menjelaskan segala makna tersirat videonya, babak demi babak, di Threads.
Cuba tanggalkan semua hiasan, gimik, video muzik, instrumen tambahan, efek vokal, penari, set-apa jadi pada lagu awak?
Satu lagi lagu dengan lirik SEO ialah Raya Macam Raya oleh Hael Husaini dan ALPHA. Semuanya generik, tak ada topik atau persoalan yang mahu diangkat. Hanya campak campak campak perkataan berkaitan raya.
Hal sama dalam lagu raya terbaharu Siti Nurhaliza, Beraya Dengan Saya. Tidak ada cerita, hanya cuba membangkitkan suasana dengan bunyi penuh dan meriah. Dan lagu ini ditulis pencipta mapan dalam industri—Iqie Hugh, Omar K dan Siti Nurhaliza sendiri.
Sekali lagi, cuba tanggalkan semua hiasan, gimik, video muzik, instrumen tambahan, efek vokal, penari, set—apa jadi pada lagu awak?
Saya berpandangan, elemen cerita unik dan spesifik itu yang dirindukan ramai pendengar dalam lagu raya. Bagaimana kisah kepulangan diatur mendalam dalam Kepulangan Yang Dinanti, sakit berjauhan dalam Ku Pohon Restu Ayah dan Bonda, peritnya penyisihan dalam Cahaya Aidilfitri. Cerita-cerita sebegini masih wujud dalam zaman ini, menanti diekstrak menjadi lirik tapi pencipta lagu raya lebih mengejar tular dan kemewahan visual.
Yuna boleh bercerita perasaan beraya dengan pasangan baharu dalam Raya Oh Yeah, Monoloque mendalami makna kemaafan dalam Rindu Dendam Hari Raya dan SENARIOUNION masih gagah dalam penceritaan orang miskin mahu balik raya dalam Havocnya Raya.
Bila auteur mati, cerita mencair jadi generik lalu jiwanya pun kontang, sekontang kapsyen janaan ChatGPT dalam lagu-lagu raya tahun ini.
Keinginan menyampaikan sesuatu diganti keinginan menunjukkan sesuatu.
Kalau pada zaman ini tiada lagi penulis lirik yang mahu jadi auteur, yang tinggal nanti hanya yang bosan dan banal, macam yang banyak dilihat sekarang.
– KU SYAFIQ KU FOZI merupakan penulis dan pemerhati perkembangan Muzik dan lain lain hal berkaitan Kontemporari & Subbudaya. Gonzo Tanpa Fiasco, Veritas, Bual Bual Mustahak, Buku Hijau, Tatal & ANGH merupakan buku tulisan beliau.
