Judul: Cahaya Dari Perabung
Pengarang: Mukhtar Mustafa
Penerbit: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
MUKHTAR Mustafa pengarang kumpulan cerpen “Cahaya Dari Perabung” ini menulis semua genre, tetapi mengakui genre cerpen paling kuat dan dikuasainya serta memberi beliau rasa kepuasan.
Lewat percakapan dengannya di alam maya, Mukhtar mengakui motivasi utama yang mendorong beliau memilih genre ini adalah kerana menulis karangan sudah beliau mulakan sejak di tingkatan lima sekolah menengah dan semakin usia meningkat, kemahiran mengarang tersebut semakin dikuasai.
Di samping itu, beliau merasakan betapa melalui cerpen boleh meluah seberapa banyak idea, kritikan serta cadangan berbanding jika menulis genre yang lain.
Bagi Mukhtar, tiada sebarang kekurangan dirasakan bila menulis cerpen, kecuali terpaksa mengambil masa yang lebih lama.
Di sebalik setiap cerpen yang ditulis, selain ingin menyampaikan satu kisah, Mukhtar merasakan kepuasan kerana boleh menulis tentang segala yang ada di langit dan bumi.
Menghadapi alam yang dianggapnya boleh berkata-kata ini, Mukhtar merasakan pendekatan satira adalah tema yang tepat untuk digarap sebagai cerpen.
Secara umumnya, apa yang ingin disampaikan Mukhtar melalui kumpulan cerpen “Cahaya Dari Perabung” ini adalah sesuatu yang bertolak daripada kisah benar.
Misalnya bagaimana hobi dan keangkuhan, tanpa ilmu, latihan dan dipandu oleh mereka yang berpengalaman boleh bertukar menjadi tragedi dalam cerpen “Cahaya Dari Perabung” yang dipilih sebagai judul kumpulan ini.
Bagi sekumpulan anak muda di Pekan Merendang kisah bagaimana Wan Saksa berjaya menawan puncak Gua Terajam dan menikmati cahaya matahari adalah remeh dan palsu.
Bagi mereka,”Cahaya matahari tetap ada. Setiap manusia boleh melihat.” Mereka juga yakin semua boleh melakukan dengan mudah dan cepat serta tidak mengambil masa sehingga dua jam.
Tetapi bagi seorang yang mampu berfikir waras seperti Midi, setiap pendaki perlulah “membina stamina yang tinggi sebelum pendakian. Kita juga perlukan panduan daripada malim gunung yang berdaftar dengan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.”
Dalam cerpen “Bulldozer”, dengan tema satira, Mukhtar menjadikan bulldozer sebagai watak utama yang menceritakan peri kehidupan dirinya yang sebelumnya tersimpan di dalam stor lama dan dibaiki serta dipelihara untuk digunakan di projek pembinaan jalan raya.
Setelah projek pembinaan tersebut siap dan menteri akan datang merasmikannya, bulldozer pun dipindahkan dan tidak pasti bagaimana nasib dirinya seterusnya.
Tanpa selindung, melalui monolog watak bulldozer Mukhtar menyelitkan sindiran sinisnya, “Yang pastinya, harga hartanah akan melambung tinggi. Banyak pula orang kampung akan menjual tanah mereka dan tentunya orang kita akan merebut peluang untuk membelinya dan akan membina pusat-pusat pelancongan yang mewah. Akan bertambahlah nanti ladang durian Musang King di merata tempat.”
Kisah cinta dua negara turut disentuh. Teknik pengakhiran di luar dugaan dimanfaatkan Mukhtar melalui cerpen “Gadis Phatthalung”.
Cerpen ini memaparkan kisah percintaan Halim dengan Munirah, gadis pekerja di kedai borong miliknya dari Thailand (Phatthalung) yang terputus seketika lantaran COVID-19.
Kerana telah jatuh hati terhadap perangai baik Munirah, setelah perintah kawalan pergerakan dilonggarkan, Halim bersama keluarganya berangkat ke setesen teksi Sungai Golok untuk ke Phatthalung dan menemui keluarga Munirah.
Di situlah, ketika berdepan dengan seorang lelaki muda pemandu teksi yang akan membawa mereka ke sana, setelah melihat foto yang ditunjukkan, baru Halim diberitahu bahawa Munirah yang dicari Halim itu adalah isterinya yang bernama Siti Munirah.
Teknik pengakhiran di luar dugaan ini turut dimanfaatkan Mukhtar dalam cerpen “Ara” yang memaparkan kisah percintaan dua negara, Malaysia – Indonesia, di antara Ara watak pembantu rumah muda dari Indonesia dengan Munir, anak majikannya.
Di dalam cerpen ini, Mukhtar menaratifkan bagaimana Ara sedang mengemasi barangan miliknya yang akan dibawa bersama penerbangan pulang ke negaranya setelah kontrak pekerjaannya di rumah Datuk Talha dan Datin Maisarah tamat.
Jauh di sudut hatinya Ara berasa sedih kerana akan berpisah dengan dengan Munir yang telah berjaya bertakhta di hatinya secara diam-diam.
Mujurnya, pemergiannya ke lapangan terbang dihantar oleh Munir dan setelah berada dalam penerbangan barulah Ara menyedari betapa Munir turut menemaninya bersama.
Cerpen lain, “Banjir Air Mata” pula menaratifkan perjuangan dan pengorbanan Mat Seman, seorang penggembala lembu yang sanggup menggadaikan nyawa demi keselamatan lembu-lembu peliharaannya daripada lemas ditenggelami banjir.
Cerpen-cerpen lain di dalam kumpulan ini seperti Rumah Kami, Lilin Tidak Jadi Terbakar, Juadah Nik Som, Hotel, Wajah Sebuah Desa, DUN Kuala Sungai Tiga, Catatan Banjir dan Rumah Sejarah; tetap menarik dan seronok untuk dibaca.
Sebagai kesimpulan, kerana Mukhtar memilih menyajikan kisah-kisah di dalam kumpulan ini secara realis, maka rasa seronok dan kefahaman pembaca terhadap cerpen-cerpen dalam kumpulan ini tidak menjadi sulit atau terganggu.
Selamat membaca.
– MARSLI N.O merupakan seorang penulis dan penyair yang memilih berjalan sendirian.

