kulu kilir [ku.lu. ki.lir]: ke hulu ke hilir, jalan-jalan, pulang pergi, mundar-mandir, berkeliaran, merayau-rayau, kuang-kuit
****
UNGKAPAN ‘kulu kilir” adalah dialek daerah masyarakat di Negeri Sembilan, negeri kelahiran Kide Baharudin, yang datang daripada kata rasmi “ke hulu ke hilir”.
Ungkapan itu, jika ditarik jauh ke belakang, mempunyai asal-usul yang terikat kejap pada sejarah budaya dan sosioekonomi masyarakat Melayu dan alam Melayu.
Hulu dan hilir adalah antara dua perkataan yang dipakai sebagai kata penunjuk tempat.
Perkataan ini lahir daripada cara hidup masyarakat Melayu lama yang ramah dan akrab merangkul alam; cara hidup yang pada zamannya tidak terpisah daripada sungai.
Hulu ialah bahagian atas sungai atau pangkal tempat mula sungai, sekali gus merujuk pada kawasan pedalaman. Hilir pula ialah bahagian bawah sungai atau hujungnya yang membuka menjadi muara atau kuala sebelum lepas ke laut luas.
Hulu dan hilir, sebagai penunjuk tempat, tidak ada bezanya dengan kata “darat” dan “baruh” yang berpandu pada tanah tinggi.
Catatan sejarah menunjukkan kepada kita bagaimana kerajaan awal Melayu bertapak di tebing sungai sebelum
mengembangkan jajahan takluknya dan melebarkan pengaruh yang luas merentas Kepulauan Melayu. Sungai Melaka, Sungai Muar, dan Sungai Linggi di selatan Tanah Melayu, dan sebelumnya Sungai Muda, Sungai Batu, dan Sungai Kedah di utara adalah saksi keagungan sistem ekonomi dan politik masyarakat Melayu lama. Sungai ini menjadi lebuh raya utama orang datang dan pergi — ke hulu dan ke hilir.

Namun, pada amalan dan tanggapan umum, ungkapan “ke hulu ke hilir” mempunyai maksud yang menghantar isyarat atau bayangan yang cenderung tidak elok.
Seseorang yang disebut “ke hulu ke hilir” akan cepat diertikan sebagai mundar mandir membuang masa, tiada hala dan tuju — biarpun tidak semua perlakuan “ke hulu ke hilir” membawa erti ke sana dan ke mari tanpa tujuan.
Ke hulu dan ke hilir bukanlah sesuatu yang asing dalam hidup Kide. Sejak kecil, beliau membesar dalam suasana hidup orang yang datang dan pergi. Beliau lahir di Kuala Pilah, Negeri Sembilan tetapi ingatan zaman kanak-kanak dan awal remajanya adalah sebuah rumah inap milik keluarganya di tepi pantai di Kampung Penarik, Setiu,
Terengganu. Dunianya pada tahuntahun itu adalah antara Negeri Sembilan dan Terengganu, antara Seremban dan Penarik, Kuala Pilah dan Kuala Terengganu.
Selebihnya, melihat pengembara dan pelancong tempatan dan dari luar negara yang datang dan pergi, singgah bermalam di rumah inap itu.
Lebih 50 karya terbaru Kide yang dihimpunkan dalam pameran ini dikerjakan daripada pengalaman dan pengamatannya
“ke hulu ke hilir” dalam rentas masa itu, atau lebih khusus, sekurang-kurangnya tiga tahun, antara 2019 dan 2022. Dalam tempoh itu, selain berjalan ke serata pelosok tanah air, Kide yang ditemani isteri Ika Sharom
sempat berkunjung ke Tokyo, Kyoto, dan Osaka, dan tahun lalu mengembara pula dua minggu di Berlin, Leipzig, Amsterdam, dan London.
“Ini adalah respons atau reaksi spontan saya terhadap masyarakat dan hal-hal di sekeliling sepanjang perjalanan saya di Malaysia dan di luar negara.
“Ada juga respons saya terhadap isu-isu semasa yang saya kutip dari akhbar, tv dan media sosial.

“Saya melihat dan merasai rintangan dan kejayaan, kekalahan dan kemenangan, yang sedih, yang lucu. Ada kematian. Ada yang menakjubkan,” katanya.
Perjalanan ke luar negara itu juga memperkayakan deria seni Kide apabila menikmati dengan mata kepalanya
sendiri karya-karya besar pelukis dunia yang diminatinya, antaranya Jean-Michel Basquiat, Max Beckmann, Neo Rauch, Bruguel, Picasso, Van Gogh, George Grosz, Henri Matisse, Jackson Pollock, dan Ernst Ludwig Kirchner.
Seperti karya-karyanya sebelum ini, pada kanvas lukisnya, Kide memenuhi keinginannya untuk memahami manusia yang sekarang atau yang sebelum, yang di desa atau yang di bandar. Beliau melakukannya sebagai pemerhati yang
memandang tidak saja dengan mata tetapi merenung dengan mata batin setiap sesuatu adegan yang terbentang di depan matanya.
“Kali ini saya ingin mencabar kekuatan penelitian dan imaginasi saya sendiri.
“Apabila sampai di sesebuah tempat, saya mengosongkan diri dan menyelam masuk cuba memahami manusianya, menikmati pemandangan atau makanannya, budaya, bahasa, dan mendengar bunyinya. Fokus saya ialah perasaan saya mengenainya,”
jelasnya, mengenai proses perjalanan dan pengkaryaannya.
Kalau karya-karyanya dalam Sa-harihari dibangunkan daripada menumpang pengalaman dan cerita orang tua serta foto lama daripada album keluarga, Kulu-Kilir merakamkan pengalamannya daripada pancainderanya sendiri.
Setiap sesuatu yang dilihat atau dialaminya menumbuhkan rasa, yang dinikmatinya sebagai kehidupan yang dijalani dengan sepenuhnya.
“Karya solo kali ini berbeza dengan yang lepas kerana kali ini semuanya tentang saya… apa yang saya fikir, apa yang saya rasa dan apa yang saya bayangkan, termasuk juga perbualan yang saya dengar, lagu yang saya dengar, berita yang saya hadam, buku yang saya baca.
“Semua yang saya alami dan saya lihat atau yang tidak saya lihat, saya gambarkan semula, tentunya dengan imaginasi dan reaksi saya terhadapnya.
“Bagi saya, yang tidak saya nampak itu lebih menarik kerana ia misteri, yang membuat saya lebih banyak bertanya-tanya dan mereka-reka apabila mengadap kanvas,” katanya.
Dalam Kulu Kilir, Kide menajamkan seni naratifnya bukan saja dengan bentuk manusianya yang lebih lepas, gaya yang lebih berani dan goresan yang lebih bebas, tetapi nadanya juga lebih sinis. Sindirannya lebih tajam dan menikam.
Selepas dua karyanya “Doa Sebelum Makan” dan “Doa Selepas Makan” yang ditunjukkan dalam satu pameran lain sebelum ini, Kide sekali lagi menyinggung perihal tabiat manusia moden yang terikat dengan teknologi. Mereka digambarkan dalam “Tunduk Hormat” dengan jalan menunduk dan masing-masing memegang telefon genggam, sesetengahnya dengan mata terbelalak.
Beberapa karya lain juga menegaskan lagi sindiran dan jenaka Kide, misalnya “Jalan Yang Benar”, sebuah lukisan dengan saiz 66cm x 310cm.
Lukisan ini menampilkan hanya warna kuning — sesuatu yang menyimpang daripada keseluruhan kumpulan karya dalam Kulu Kilir. “Kecoh PRU15” pula dikesan antara, kalau pun tidak satu-satunya, karya Kide yang secara langsung menyentuh perihal politik.
Karya-karya Kide cepat mengingatkan kita kepada sentuhan Zulkifli Dahlan yang meninggalkan khazanah seni antaranya Bumi Manusia dan Kedai-Kedai.
Malah gaya karikaturnya, serta kecenderungannya menggali masa lalu yang sebahagian besarnya sekarang hanya ada dalam ingatan, menyebabkan orang membandingkannya dengan Lat.
Namun, hanya ada seorang Zulkifli Dahlan dan seorang Lat — sama seperti hanya ada seorang Kide.
Artikel ini disiarkan di katalog pameran Kulu Kilir
