“KENAPA mahu tubuhkan Kultus Kata? Kehidupan sendiri pun sudah sibuk, inikan pula mahu menguruskan kelab buku?”
Banyak sekali pertanyaan ini saya dapatkan dari sahabat terdekat mahupun orang luar. Saya percaya kita semua mengejar masa. Begitu kencangya semesta ini menerjang. Sebuah buku untuk dihabiskan sebulan juga sukar bagi sesetengah orang. Jika wujud sebuah platfom yang menuntut kita membaca dan berbicara tentang sebuah buku (walaupun sebentar) tentu ia menguntungkan dan memberi manfaat pada yang memerlukan.
Pada era waktu bergerak lebih pantas dari kerdipan mata, membaca buku itu sebuah privilege.

Terus terang, saya sendiri perlukannya. Saya yakin ramai di luar sana merasakan hal yang sama. Apa lagi buat mereka yang tidak berada di ruang lingkup yang memerlukan mereka menelaah buku. Walau ada rutin membaca, sekurangnya setiap malam sebelum tidur – tapi jujurnya, untuk menghabiskan membaca sebuah buku, ia bergantung kepada banyak faktor. Kerja hakiki, urusan anak dan rumahtangga – tentunya mencuri sebahagian besar waktu kita. Apalagi kegiatan melihat layar gajet lebih mengujakan daripada membelek sebuah buku.
Membaca pada zaman digital ini memerlukan desakan. Jiwa kita perlu dipaksa untuk tetap menikmati pembacaan. Sesungguhnya kita semua tahu betapa besarnya manfaat membaca pada tubuh, otak dan jiwa kita. Bak kata Joseph Addison, penulis dan penyair klasik England, “Membaca adalah alat paling dasar untuk meraih hidup yang baik.”
Jadi, untuk membangunkan kehidupan yang lebih murni, saya harus membuka kelab buku. Kerana saya yakin, menerusi kolektif ini nanti, dapat membuka horizon pemikiran yang lebih luas – kerana adanya komunikasi dan perdebatan.
Sebuah angan-angan yang tertunda.
Kultus Kata telah berfungsi selama enam bulan sejak Januari 2024. Sebuah angan-angan yang sudah lama terpendam – akhirnya termakbul jua. Mungkin ada yang sedar atau tidak, saya pernah menguruskan dua buah rumah seni iaitu Markas Kota Damansara (2016) dan Serambi Karya (2018). Ketika membangunkan keduanya – saya turut menanam cita-cita untuk mewujudkan sebuah kelab buku sebagai cabang kepada kepelbagaian aktiviti di dalamnya. Jodoh bersama dua rumah ini tidak berpanjangan – namun hasrat untuk melahirkan kelab buku tidak pernah padam.
Sebelum 2024 menjelma, saya menyatakan kesungguhan dan keinginan saya kepada Maizatul Akma, yang merupakan sahabat, adik, dan juga partner in crime, “Apa pun jadi, kelab buku kita tahun ni mesti onz!”
Tanpa bantahan, Akma seorang avid reader terus menjulang tangan kanannya sambil melompat manja seraya menjerit, “Onz!”
Perbincangan yang khusyuk berlangsung antara kami untuk menentukan hala tuju, penyelarasan, logistik dan hal-hal yang berkaitan. Secara jujurnya saya terinspirasi dengan pergerakan Jakarta Book Party (JBP) yang diselenggarakan oleh anak-anak muda dalam usaha membudayakan pembacaan. JBP adalah komuniti para pembaca buku, yang bertujuan untuk meningkatkan minat membaca di kalangan masyarakat terutamanya generasi Z. Konsepnya adalah dengan berkumpul sesama mereka dan membincangkan serta berkongsi apa sahaja jenis bacaan yang menginspirasikan. Acara ini dilakukan pada hujung minggu di taman-taman awam. Saya suka prinsip yang mereka tekankan:
- Semua jenis bacaan diterima.
- Tidak ada genre atau jenis buku yang superior dari buku yang lain – selagi kamu membaca, kamu keren!
- Cuba menghapuskan stigma ‘membaca buku itu sangat kaku, baca buku itu sangat serius dan tidak menyenangkan sama sekali’.
Kolektif yang pada awalnya didirikan secara kebetulan oleh lapan orang sahabat – baca buku – sambil piknik makan jajan – kini sudah menjadi satu gerakan yang sangat signifikan. Sampai ke hari ini, gerakan ini sudah menjalar ke kota lain di seluruh Indonesia seperti Bandung, Yogyakarta, Pekanbaru, Lombok, Cikarang, Banyuwangi, Lampung dan banyak lagi. Di Instagram, mereka sudah mempunyai lebih 150 ribu orang pengikut. Ini membuktikan bahawa generasi Z mampu mengolah, berfikir dan mendorong gagasan demi kemajuan bangsa.
Walaupun saya generasi X dan Akma generasi Y, itu bukanlah penghalang untuk kami bekerjasama. Saya percaya setiap zaman itu mempunyai keunikan yang tersendiri. Sikap dan personaliti itu terbina dengan persekitaran dan lingkungan yang melatari kehidupan seseorang itu – namun, asasnya adalah common sense. Insya-Allah kalau ada common sense, segalanya akan lebih mudah diurus dan diselenggara.
Tidak mahu terlalu bercita-cita tinggi, kami mulakan dengan menentukan perkara asas terlebih dahulu. Kelab ini akan membincangkan karya penulis dan penerbitan dari Malaysia. Namun tidak mahu terlalu tegas, jika ada sambutan hari-hari istimewa, kami terbuka membincangkan karya besar dari negara luar juga. Antara yang telah disepakati:
- Lokasinya di ruangan terbuka iaitu di taman-taman awam sekitar Lembah Klang
- Durasi masa selepas asar dan berhenti sebelum Maghrib
- Satu kali perjumpaan setiap bulan
- Terbuka kepada semua
- Tiada yuran penyertaan
- Perbincangan sebuah buku dari penerbitan lokal
- Segala perhubungan dan maklumat lanjut diWhatsApp Group
- Kritikan, perdebatan dan diskusi secara sihat. No hearts feeling.
Nama Kultus Kata telah terpilih daripada sekalian banyak nama yang dicetuskan netizen – setelah saya mengumumkan bakal membuka sebuah kelab buku di semua aplikasi laman sosial. Saya rasa penting untuk sebuah nama diangkat berdasarkan majoriti yang menggemarinya. Cuba bersikap demokrasi untuk ini. Kultus Kata diilhamkan oleh Sufian Abas (pembaca mapan, jurugambar profesional, penulis dan penerbit mandiri yang penting sejak gerakan perbukuan indie tumbuh menyinari).
Pertemuan pertama yang mengharukan.
Taman Tasik Shah Alam merupakan lokasi pertama yang menjadi sejarah pertemuan kelab buku Kultus Kata pada 20 Januari 2024. Tiada perbincangan buku yang khusus kerana merasakan ia lebih molek dijadikan sesi pemanasan badan. Bertentang mata, berkenalan, bertukar fikiran, berkongsi pengalaman, minat dan persamaan.
Sewaktu tiba di tepian tasik, langit kelabu. Belum sempat kami selesai menyusun kerusi dan tikar, hujan turun membasahi bumi Shah Alam. Hampa jadinya hasrat untuk duduk beriadah bersama-sama ahli kelab Kultus Kata – bersandar pada pohon kelapa yang melambai, menghirup angin tasik sambil ditemani matahari terbenam yang menawan. Memang sengaja spot di hadapan Galeri Shah Alam itu dipilih kerana saya sering membawa anakanda Kesuma Hati melihat alam nan permai di situ. Senjanya sentiasa menawarkan keindahan yang menakjubkan. Namun ternyata, alam sentiasa bertindak lebih pantas daripada anganan dan jangkauan kita. Syukur kerana ada ruang perteduhan berhampiran Galeri Seni Shah Alam, yang luas dan selesa untuk kumpulan kami beradu kasih–kata dan cerita.
Kami bahagikan ruang kepada dua bahagian: anak-anak dan dewasa. Ruang anak-anak diselia oleh Fini Pelangi yang menawarkan diri menyediakan pelbagai aktiviti yang mengujakan. Jujurnya saya tidak menyangka begitu ramai sekali yang hadir memberikan sokongan dan menunjukkan rasa minat yang mendalam kepada penubuhan kelab ini. Kejutan daripada Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan yang hadir bersama-sama anak serta keluarganya dan turut berdendang puisi bersama-sama – begitu mengharukan. Mereka yang melapangkan diri pada petang berkat itu datang daripada latar kerjaya yang berbeza: dari pelajar, pekerja sektor awam dan swasta, karyawan, berkerja sendiri, juga surirumahtangga. Rata-rata mengucapkan syukur atas kewujudan kultus ini yang memungkinkan mereka untuk saling berkongsi bahan bacaan, ruang bersosial bersama-sama rakan taulan dan memekarkan persaudaraan.
Gemalai hujan mengiringi pertemuan kami yang manis. Majlis diakhiri dengan bacaan puisi secara sukarela dan jamuan sederhana bertemakan juadah bawaan (potluck). Begitu lekas kemesraan terjalin, begitu puas dan lega kami rasakan. Sekurangnya ia sudah bermula. It’s really happening.
Nyala Kolaborasi.
Ketika pertemuan pertama, Sufian Abas dengan penerbitannya Laras 99 menghadiahkan buku percuma kepada setiap seorang yang hadir iaitu Wiski Pop, kumpulan cerpen Mohd Azmen. Buku itu menjadi taruhan untuk diperbincangkan pada sesi seterusnya. Mungkin inilah matlamat utama selain mewujudkan budaya membaca yang lebih inklusif – adalah untuk berkolaborasi dengan penerbitan tempatan yang mungkin kurang dikenali di arus perdana. Bentuk jalinan seperti ini adalah pemangkin kepada keutuhan sebuah kolektif dan komuniti.

Kami mula didatangi dan diundang untuk menjalinkan kerjasama. Win-win situation. Pekerjaan rela hati untuk membangunkan komuniti ini tunjangnya adalah dengan prinsip saling membantu. Secara tak langsung, setiap pihak mendapat keuntungan. Walaupun secara asasnya bukan materi yang menjadi prioriti. Sepanjang bergerak sebagai kultus buku, ini senarai aktiviti setiap edisi:
- 20 Januari: Pengenalan/pertemuan pertama Kultus Buku di Taman Tasik Shah Alam.
- 17 Februari: Wiski Pop, kumpulan cerpen oleh Mohd Azmen. Penerbitan Laras 99. Taman Tasik Kelana Jaya.
- 30 Mac: Perkongsian buku kerohanian sempena Ramadan di Reda Coffee Abstrax Headquarters.
- 27 April: Sayap Malaikat Berdarah Di Khan Younis oleh Nadhirah Ghani, Tasik Kelana Jaya.
- 26 Mei: Bayang Sudah Pandai Mengejek oleh Zul Azlin. Kolaborasi bersama SAPOT (sebuah organisasi yang menjalankan advokasi bagi isu kesihatan mental) bertempat di Tinta Budi.
- 22 Jun: Gonzo Tanpa Fiasco oleh Ku Syafiq. Kolaborasi bersama Rabak Lit yang berlangsung di Sunburst KL.
Berikutan masalah cuaca yang tidak menentu, kami turut memikirkan alternatif terhadap lokasi pilihan. Walaupun pada awalnya fokus kami pada taman-taman awam yang lebih terbuka sifatnya. Akhirnya terpaksa akur pada ruang bertutup yang kurang risiko terhadap ancaman cuaca.
Jujur, saya bahagia bila berlangsungnya kolaborasi bersama SAPOT yang mana kami membincangkan isu kesihatan mental secara khusus. Bukan saja diskusi buku, malah mencerap isu yang penuh dengan stigma ini ke satu tahap yang komprehensif. Merasa begitu rendah hati kerana ada pihak yang percaya Kultus Kata dapat menjadi pelantar untuk menghubungkan masyarakat. Begitu juga untuk edisi ke-6nya, yang mana kami berbincang mengenai muzik mandiri Malaysia dari buku Ku Syafiq – secara tak langsung Kultus Kata telah membina ekosistem yang sihat dengan cara menggabungkan ranting-ranting budaya menjadi pohon yang kukuh. Muzik, fesyen, dan sastera bersatu di bawah satu bumbung dan kita meraikannya tanpa diskriminasi.
Sebuah harapan yang tertanam.
Jika tanya kepada saya apa yang diharapkan lagi dengan kelab ini? Apakah sudah tercapai misinya?
Secara peribadi saya berbangga dengan apa yang telah dikerjakan untuk kelab ini walaupun usianya masih bayi. Dalam kesibukan kerja hakiki dan menguruskan hal peribadi, kelab ini masih meneruskan fungsinya pada setiap bulan secara konsisten. Ahli kian bertambah, kehadiran juga sentiasa berbeza setiap kali ia dianjurkan. Kami juga banyak menerima permintaan daripada penerbitan, penulis dan lokasi tertentu untuk tujuan kolaborasi. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan!

Tenaga kerja masih empat orang. Akma kekal pening setiap bulan untuk mereka bentuk poster dan menjaga info keluar masuk di WhatsApp Group. Izzi dan Zuhairah membuat kerja rencam dan membantu di lokasi. Saya pula bertindak sebagai kurator untuk setiap sesi dan berkomunikasi dengan para kolaborator agar segala kerjasama berjalan lancar. Tiada sebarang dana atau keuntungan yang kami terima dari mula penubuhan kelab ini sehingga sekarang. Saya faham bahawa proses penyeliaan ini sangat penting – kerana tanpanya, maka tiadalah Kultus Kata pada hari ini. Ramai orang hanya mahu jadi pengikut, tapi tak gemar mengambil tahu tentang proses pengurusan. Tidak berusaha untuk menyelami tata-kelolanya.
Bukan mengeluh – cuma mahu menjelaskan situasi agar setiap ahli menghargai usaha ini dan tidak meminta lebih dari apa yang sepatutnya. Seperti mengharapkan lokasi dekat dengan pengangkutan awam, mohon untuk dirakamkan secara langsung (live) ketika acara berlangsung kerana tidak dapat hadir, memujuk untuk bikin acara pada hari yang mereka lapang, minta diulang diskusi yang sama sebab buku kesukaan dia – banyak lagi permintaan yang boleh saya sifatkan sebagai tersangat mementingkan diri sendiri. Inikan kelab membaca, sepatutnya buku menjadikan kita lebih empati dan manusiawi. Sudah tentu ketika membuat keputusan berhubung lokasi, masa, subjek perbincangan – telah diatur mengikut keperluan dan keselesaan majoriti. Tidak mungkin boleh memuaskan hati semua.
Hal-hal begini ada kalanya buat saya dan pasukan ‘empat kerat’ saya merasa sedikit kecewa – tapi selalunya tak lama. Kerana ada banyak lagi yang perlu kami lakukan untuk kelab ini agar terus tubuh subur dan mewangi. Di sudut hati paling dalam – satu hari nanti semoga setiap usaha, keringat, dan dedikasi pasukan Kultus Kata akan dihargai selayaknya.
Terima kasih setinggi-tingginya buat mereka yang baik budi dengan meminjamkan kemudahan seperti sistem siar raya mudah alih dan mikrofon untuk memudahkan penyelarasan. Juga kepada yang mengirimkan wang untuk makan-minum ketika acara berlangsung. Semoga setiap kebaikan dan keikhlasan tuan puan dibalas Tuhan.
Sebarang pertanyaan, kolaborasi dan sumbangan boleh ikuti dan DM kami di Facebook dan Instagram: Kultus Kata.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN seorang penulis, penggiat teater dan pengasas Kultus Kata.
