Tema Kuasa dan Identiti – Kesinambungan Legasi Wacana
Tema kuasa dan identiti bukanlah sesuatu yang asing dalam wacana seni rupa Malaysia. Sebagai sebuah tema yang luas dan berlapis, ia sering bersilang dengan persoalan politik, sejarah serta pembentukan subjektiviti dalam masyarakat. Esei ini menumpukan analisis terhadap karya- karya Edroger Rosili, khususnya siri 1511 yang dipamerkan di Galeri Sareng pada Mei 2025. Bagi mencapai tujuan tersebut, saya cuba meneliti idea, perspektif dan secebis pengalaman peribadi seniman melalui sesi temu bual, di samping membandingkan siri 1511 dengan karya- karya lain beliau yang turut mengangkat tema kuasa dan identiti. Perbandingan ini bertujuan mendekati perubahan strategi Edroger dalam merungkai subjek yang sama, memperlihatkan kesinambungan dan perkembangan dari aspek olahan visual, penggunaan material dan pengucapan idea.
Saya melihat bahawa pengolahan tema kuasa dan identiti oleh Edroger merupakan kesinambungan daripada tradisi wacana yang telah lama diterokai oleh generasi terdahulu, sama ada dalam kalangan grand masters mahupun seniman kontemporari yang lebih senior. Kesinambungan ini penting untuk diperkatakan bagi memetakan perkembangan landskap seni rupa Malaysia, khususnya dalam hubungannya dengan nilai kemanusiaan, kesedaran sejarah, serta peranan pengetahuan seni untuk dikongsi dalam ruang sosial. Sejak dekad 1970 an, seniman Malaysia tidak ketinggalan daripada mengemukakan reaksi dan refleksi terhadap struktur kuasa politik dan perubahan sosial, yang sering kali berjalin rapat dengan persoalan identiti kaum, agama dan nasional. Tokoh seperti Syed Ahmad Jamal, Redza Piyadasa, Sulaiman Esa, Ismail Zain dan Choong Kam Kow telah meletakkan asas penting dalam membincangkan identiti nasional serta transformasi budaya, seiring dengan perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara pascakolonial yang masih membentuk jati dirinya. Seperti mana yang dijelaskan oleh T.K Sabapathy, “The search for national identity became a major impulse among Malaysian artists in the decades after Independence.”
Generasi seniman kemudiannya meneruskan legasi tersebut melalui pendekatan yang lebih rencam dan kritis. Tema kuasa, identiti dan politik terus diteroka melalui pengalaman berdepan arus modenisasi, peristiwa Reformasi, serta dinamika politik lokal dan global. Dari segi bahasa visual, pendekatan mereka juga berkembang melangkaui medium konvensional, merangkumi lukisan, media campuran, persembahan, video dan instalasi sebagai strategi representasi. Noor Azizan Rahman Paiman, misalnya, menggunakan satira sebagai instrumen untuk membedah struktur kekuasaan politik dalam Ali Baba dan 40 Penyamun (2012). Wong Hoy Cheong melalui projek Re Looking serta karya berkaitan seperti Chronicles of Crime (2006) menyoal semula naratif kolonial, khususnya bagaimana tubuh Asia dan sejarah migrasi dibingkai melalui lensa pentadbiran kolonial dan fotografi etnografi. Bayu Utomo Radjikin pula melalui siri potret dan figuratif seperti Lang Kacang (1991) dan karya berkaitan sejarah kepahlawanan Melayu, membangkitkan semula tubuh pribumi sebagai tapak ingatan yang berdepan pemadaman kolonial. Yee I- Lann melalui karya fotografi dan instalasi berasaskan imej arkib kolonial Borneo: Sulu Stories (2005) mengganggu semula tatapan imperial dengan menyusun, memotong dan mentafsir semula visual pentadbiran kolonial.
Seperti yang dihujahkan oleh Dr. Sarena Abdullah, praktik seni Malaysia sejak 1990- an memperlihatkan kecenderungan menggunakan strategi pascamoden seperti apropriasi, pengolahan semula imej arkib, parodi dan gangguan naratif sebagai cara untuk “destabilise dominant historical representations and question colonial authority through visual re inscription.” Dalam konteks ini, sejarah tidak lagi diterima sebagai rakaman objektif, tetapi sebagai konstruksi visual yang boleh dibongkar, disusun semula dan dinegosiasikan maknanya.
Jepun Attack Malaya sebagai Pintu Masuk
Pendekatan Edroger yang menggabungkan parodi budaya popular, apropriasi ikon massa serta tafsiran semula peristiwa sejarah memperlihatkan pertalian langsung dengan strategi pascamoden yang digariskan oleh Dr. Sarena Abdullah. Namun, jika generasi 1990-an dan awal 2000-an banyak beroperasi melalui imej arkib kolonial dan fotografi sejarah, Edroger memperluas strategi tersebut ke wilayah budaya popular kontemporari, menjadikan Ultraman, simbol komoditi dan mitos pop sebagai arkib alternatif untuk membaca kuasa. Di sinilah praktik beliau berdiri sebagai lanjutan sekaligus pergeseran, iaitu daripada dekonstruksi imej kolonial kepada pembinaan semula medan sejarah melalui bahasa visual yang lebih hibrid, teatrikal dan berlapis emosi. Dalam kesinambungan wacana ini praktik Edroger Rosili dapat difahami, bukan sebagai kemunculan yang terasing, tetapi sebagai sambungan kepada aliran pemikiran yang telah lama menyoal hubungan antara sejarah, kuasa dan pembentukan identiti visual di Malaysia. Namun, sumbangan Edroger terletak pada cara beliau mengartikulasikan persoalan tersebut melalui bahasa yang beralih, daripada sindiran budaya popular kepada renungan sejarah yang lebih mendalam dan berbekas.

Peralihan daripada siri Jepun Attack Malaya kepada 1511 memperlihatkan evolusi yang signifikan dalam bahasa visual Edroger, daripada strategi parodi budaya popular kepada pembacaan sejarah yang lebih padat, gelap dan berlapis. Jika Jepun Attack Malaya beroperasi melalui ironi dan permainan ikonografi massa seperti Ultraman, hasil bumi dan wira rekaan, maka 1511 menanggalkan lapisan humor tersebut lalu memasuki wilayah yang lebih kontemplatif, seakan menyelam ke dalam luka sejarah yang lebih purba. Di sini, visual tidak lagi sekadar menyindir naratif kuasa, tetapi cuba menyentuh struktur psikologi dan trauma kolektif yang diwarisi daripada detik kolonial awal. Secara pensejarahan, tahun 1511 menandakan titik retakan besar dalam kosmologi Alam Melayu. Kejatuhan Melaka bukan hanya peristiwa geopolitik, tetapi juga keruntuhan simbolik terhadap kedaulatan, perdagangan, bahasa dan sistem pengetahuan tempatan. Dalam tangan Edroger, peristiwa ini tidak diterjemah sebagai ilustrasi sejarah, sebaliknya sebagai medan resonans, iaitu ruang di mana imej, tubuh, senjata, kapal dan serpihan simbol bertembung dalam komposisi yang tegang. Jika dalam Jepun Attack Malaya pertembungan divisualkan sebagai spektakel epik, dalam 1511 ia hadir sebagai gema yang lebih senyap tetapi menghantui.
Dari sudut bahasa visual, evolusi ini dapat dilihat melalui peralihan daripada figurasi pop yang jelas kepada representasi yang lebih terurai, bertekstur dan kadangkala fragmentari. Sejarah tidak lagi muncul sebagai naratif linear, tetapi sebagai lapisan memori yang bertindih, seolah olah kanvas menjadi tapak arkeologi, tempat imej digali, dipadam dan ditulis semula. Pendekatan ini memperlihatkan kematangan 1511 dalam mengartikulasikan kuasa bukan sahaja sebagai peristiwa luaran, tetapi sebagai kesan dalaman terhadap identiti.
1511 – Apropiasi sebagai Reaksi
Jika Jepun Attack Malaya berfungsi sebagai pintu masuk, iaitu ruang di mana sejarah diuji melalui parodi, 1511 pula menjadi ruang pendalaman, tempat Edroger berhadapan dengan sejarah pada jarak yang lebih intim dan eksistensial. Evolusi ini menandakan pergeseran daripada strategi kritik yang bersifat satira kepada renungan yang lebih puitik dan reflektif, daripada menyoal bagaimana kuasa dipersembahkan kepada bagaimana kuasa meninggalkan bekas pada tubuh sejarah dan kesedaran budaya.
Mengambil petikan temuramahnya dengan penulis esei katalog pameran 1511 iaitu Syed Muhd Hafiz, Edroger menyatakan minat beliau lebih terarah kepada sejarah-mikro yang berlandaskan peristiwa, tempat atau masyarakat yang spesifik, diselitkan dengan pembacaan subjektif terhadap sesuatu peristiwa sejarah. Karya- karya 1511 bukanlah suatu ilustrasi dokumentasi pensejarahan tetapi suatu jemputan terhormat Edroger untuk audien menilai kembali kepedulian kita pada hal- hal yang berlaku pada masa lalu, yang telah membentuk masa kini.
Suatu hal yang unik berkenaan siri 1511 adalah keengganan Edroger memberikan tajuk kepada setiap karyanya. Ia menyukarkan saya untuk merujuk karya secara terpeinci kerana tidak semua karyanya menggambarkan sketsa peperangan. Selain itu, ia juga akan membawa kepada permasalahan arkib di masa akan datang. Pada sebahagian besar karyanya, imej- imej pertarungan dikomposisi seperti sebuah sketsa dalam filem- filem peperangan epik seperti Braveheart (1995) atau Kingdom of Heaven (2005). Edroger menghentikan momen- momen tembakan meriam, hayunan pedang dan kapak serta tembakan busur yang menembusi tubuh- tubuh manusia. Kekuatan imaginasi dan kemahiran dalam pengolahan anatomi figura dan mimik muka menghidupkan suasana pertarungan dalam membentuk persepsi bahawa sketsa yang dicatankan telah benar- benar berlaku. Menatap karya- karya 1511 mengingatkan saya tentang karya Eugene Delacroix bertajuk Liberty Leading the People (1830). Kibaran bendera Perancis oleh personafikasi Dewa Kebebasan di tengah- tengah himpunan mayat askar pejuang Revolusi Julai menaikkan semangat yang berkobar- kobar bagi sesiapa saja yang melihat. Edroger seperti menghadirkan dirinya pada tahun 1511 untuk menyaksikan babak- babak permulaan kepada kemurungan bangsa dijajah ratusan tahun, oleh bangsa- bangsa yang berlainan, yang kesannya masih berparut hingga ke hari ini.


Sekumpulan 10 karya 1511 terhasil melalui apropiasi bentuk karya yang dihasilkan oleh Jorge Colaco pada 1922, berkenaan Pertarungan Aljubarrota yang berlangsung pada 1385. Panel jubin azulejo ini terletak di Taman Eduardo VII di Lisbon, Portugal. Ia menjadi karya kebanggaan Portugis yang berjaya memerdekakan dirinya dari Crown of Castile yang kini dikenali sebagai Sepanyol. Apropiasi panel jubin azulejo yang berwarna biru kromatik seperti strategi sindiran ironi karya- karya ini terhadap Empayar Portugis di mana bebasnya Portugal dari penjajahan Sepanyol disertai dengan menjajah Melaka pada 1511. Jorge Colaco meraikan kemerdekaan dan Edroger ‘meratapi’ penjajahan. Elemen jubin seramik azulejo juga diaplikasikan dalam siri 1511, walaupun bukan diperbuat dari bahan serupa. Setiap karya 1511 menggunakan bahan tanah liat pulpa, polivinil asetat, gipsum, resin akrilik, dan cat akrilik atas panel kayu bagi mencapai personafikasi jubin, namun lebih ringan. Imejan tentera Portugis bertempur dengan tentera Crown of Castile dalam Pertarungan Aljubarrota digantikan dengan pertempuran pahlawan- pahlawan Kerajaan Melaka dan tentera Portugis. Penggunaan imej malaikat (kanak- kanak bersayap) pada tiang- tiang binaan batu adalah suatu interpretasi perlambangan Kristian, sesuai dengan slogan penjajahan Gold, Glory and Gospel yang dibawa empayar penjajah Eropah termasuklah Portugal pada Zaman Penjelajahan dan Penjajahan yang berlaku pada abad ke-15 hingga 17. Binaan- binaan batu yang disalin semula hampir seratus peratus menyerupai Pertarungan Aljubarrota mewujudkan hubungan dialog antara kedua karya yang didasari dari perspektif yang dibezakan ideologi, ruang dan masa.

1511- Strategi Meruntuhkan Propaganda
Dalam membaca praktik Edroger Rosili, karya beliau dapat difahami dalam kerangka seni sebagai dekonstruksi propaganda kolonial, khususnya propaganda negara penjajah Barat yang selama berabad- abad membentuk persepsi sejarah Asia melalui naratif dominasi mereka. Jika propaganda kolonial berfungsi menampilkan penjajah sebagai pembawa tamadun dan subjek terjajah sebagai pasif, mundur atau memerlukan penyelamatan, maka Edroger mengganggu struktur naratif tersebut dengan mengangkat semula nilai keperwiraan pahlawan- pahlawan Melayu sebagai subjek sejarah yang aktif, berdaulat dan berdaya juang.
Pendekatan ini selari dengan gagasan dekonstruksi Jacques Derrida yang menekankan pembongkaran hierarki makna dalam sesuatu teks atau representasi. Dalam konteks visual 1511, hierarki antara penakluk dan yang ditakluk tidak diterima sebagai struktur tetap, sebaliknya diterbalikkan melalui pengimejan semula tubuh pribumi sebagai pusat kekuatan simbolik. Pahlawan Melayu tidak digambarkan sebagai nostalgia romantik semata mata, tetapi sebagai figura resistensi yang mengembalikan agensi sejarah kepada subjek tempatan.

Dari sudut teori representasi, Stuart Hall menegaskan bahawa imej adalah tapak perebutan ideologi yang tentunya tidak bersifat neutral. Imej tidak bermaksud meniru realiti tetapi mewujudkan sesuatu realiti itu melalui bahasa, imej, simbol, dan media. Melalui kerangka ini, penggambaran semangat juang, keberanian dan maruah pahlawan Melayu dalam karya Edroger boleh dibaca sebagai proses pengekodan semula terhadap sejarah yang telah lama ditulis dari sudut pandang kolonial. Tubuh pahlawan menjadi medan visual di mana makna keberanian, pengorbanan dan kedaulatan dipulihkan daripada distorsi propaganda penjajah. Hujah ini senada dengan pemikiran Edward Said dalam Orientalism, yang memperlihatkan bagaimana Barat membina imej Timur sebagai lemah dan memerlukan dominasi moral serta politik. Dengan mengangkat figura kepahlawanan Melayu sebagai lambang ketahanan budaya dan militansi sejarah, 1511 secara tidak langsung mematahkan konstruksi visual yang pernah meletakkan masyarakat terjajah sebagai tidak berdaya. Visual kepahlawanan di sini berfungsi sebagai kontra naratif terhadap mitos penyelamatan kolonial.
Justeru, karya Edroger tidak hanya menghidupkan semula sejarah kepahlawanan, tetapi berfungsi sebagai medan dekonstruksi terhadap propaganda penjajah yang selama ini mengabsahkan penaklukan melalui bahasa penyelamatan dan pemodenan. Dengan menempatkan pahlawan Melayu sebagai subjek visual yang bermaruah, berani dan melawan, Edroger membina semula imaginasi sejarah yang lebih berdaulat, sekali gus menegaskan bahawa identiti pascakolonial tidak lahir daripada penyerahan, tetapi daripada ingatan terhadap perjuangan.

Dalam salah satu karya monumental daripada siri 1511 berukuran 198 cm x 489 cm, Edroger menampilkan pendekatan signifikan dengan meletakkan imejan dirinya dan rakan-rakan seniman sebagai pahlawan Melaka ketika berdepan dengan tentera Portugis. Figura seperti Bayu Utomo Radjikin, Ahmad Fuad Osman dan Masnoor Ramli Mahmud, antara lainnya, dibariskan bersama seniman lain dengan bersenjatakan senapang, pedang, keris dan tombak dalam komposisi dramatik yang sarat dengan semangat juang. Penyusunan ini mewujudkan suatu rentasan masa yang jelas di mana masa lalu seolah-olah dibawa ke masa kini, atau masa kini disisipkan ke dalam sejarah 1511.
Melalui pemikiran Georges Didi-Huberman, strategi ini boleh difahami sebagai anachronism yang disengajakan. Bagi Didi-Huberman, anachronism bukan kesilapan kronologi, melainkan cara untuk memahami bagaimana imej beroperasi merentasi dan melampaui batasan masa. Dalam pembacaannya terhadap Aby Warburg iaitu seorang sejarawan seni Jerman, beliau menekankan konsep survival (Nachleben) iaitu kelangsungan bentuk, gestur dan emosi yang muncul semula dalam konteks sejarah berbeza. Dalam konteks karya ini, figura seniman kontemporari yang mengambil posisi sebagai pahlawan Melaka memperlihatkan bahawa imej sejarah sentiasa hadir dalam keadaan tertangguh dan berlapis.
Pertembungan antara 1511 dan subjek masa kini menghasilkan apa yang boleh disebut sebagai anachronism produktif, satu gangguan terhadap lineariti sejarah kolonial yang lazim difahami sebagai naratif tertutup dan selesai. Sejarah tidak lagi muncul sebagai peristiwa lampau yang statik, tetapi sebagai sesuatu yang terus aktif dan membentuk kesedaran kontemporari. Kehadiran seniman bersenjata dalam medan pertempuran menandakan bahawa trauma, memori dan naratif penjajahan masih beroperasi dalam imaginasi kolektif.
Karya ini tidak berfungsi sebagai nostalgia terhadap heroisme Melaka. Ia menampilkan sejarah sebagai medan yang belum tuntas yakni satu masa lampau yang terus menghantui dan menuntut respons daripada subjek masa kini. Imej menjadi ruang temporal yang retak dan tidak seragam, di mana masa tidak hanya bergerak secara lurus, melainkan berlapis, berulang dan saling menembusi. Rentasan masa ini menjadikan karya tersebut sebagai representasi sejarah yang juga merupakan refleksi kritikal tentang bagaimana sejarah terus hidup dan membentuk tubuh, identiti serta posisi politik subjek kontemporari.
Penutup
Dalam wacana seni kontemporari, tema penjajahan terus relevan diperbincangkan kerana sifatnya yang dinamik, berevolusi dari bentuk penguasaan fizikal kepada dominasi sosio-budaya dan ekonomi. Konteks Malaysia memperlihatkan fenomena ini dengan jelas, di mana ruang media sosial menjadi medan pertembungan pelbagai tafsiran sejarah. Naratif-naratif yang bersifat propaganda tersebar bukan sahaja di kalangan masyarakat awam, malah dalam wacana cendekiawan dan elit politik yang memiliki kepentingan tertentu. Sentimen perkauman dan keagamaan terus dimobilisasi sebagai instrumen yang efektif, melanjutkan warisan sistem pecah dan perintah yang ditinggalkan oleh kuasa kolonial. Pengaruh naratif canangan Barat masih bertahan, sama ada disedari atau tidak, dalam membentuk persepsi kolektif terhadap sejarah dan identiti bangsa.
Di tengah kecelaruan wacana ini, Edroger tampil dengan karya-karya yang tidak bertujuan memberikan resolusi mutlak atau menyuarakan jawapan yang tegas. Siri 1511 mengundang audien untuk merenung kedudukan kita sebagai bangsa pascakolonial, bukan dari sudut nostalgia kelemahan, tetapi dari kesedaran untuk bangkit menghadapi dunia dengan kerangka pemikiran bangsa yang merdeka. Karya ini menuntut satu persoalan asas: bagaimana kita terus mempertahankan kemerdekaan tersebut dalam arus dominasi yang kian kompleks. Dalam usaha ini, membongkar dan meruntuhkan propaganda menjadi langkah penting. Proses ini bukan sekadar menolak naratif dominan, ia turut membina kesedaran kritis tentang bagaimana sejarah, kuasa dan identiti terus beroperasi dalam membentuk realiti kita.
Rujukan:
T.K Sabapathy (1994) Merdeka Makes Art or Does it? Vision and Idea: Re-Looking Modern Malaysian Art. Balai Seni Lukis Negara.
Sarena Abdullah (2018) Malaysian Art Since The 1990s: Postmodern Situation. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Syed Muhd Hafiz (2018) To Scratch The Itch. Katalog Pameran Satu Lima Satu Satu, Edroger Rosili. Galeri Sareng Sdn. Bhd.
Jacques Derrida (1978) Structure, Sign and Play in the Discourse of the Human Sciences: Writing and Difference. University of Chicago Press.
Edward W. Said (1988) Orientalism. Middle English Edition.
Stuart Hall (1997) Representation: Cultural Representations and Signifying Practices. SAGE Publications.
Komunikasi dengan artis melalui aplikasi Whatsapp (Januari 2026)
YeeThe Ch’i-lin of Calauit (from the series “Sulu Stories”) https://www.mori.art.museum/en/collection/2390/index.html
Georges Didi-Huberman (2008) Images in Spite of All: Four Photographs from Auschwitz. University of Chicago Press (English Edition).
