Live Nation Malaysia mengumumkan pelancaran KL Headline Season 2026, sebuah inisiatif yang menandakan peningkatan kedudukan Kuala Lumpur sebagai antara destinasi utama bagi jelajah muzik antarabangsa di Asia.
Dibangunkan dengan kerjasama PR Worldwide, Tourism Malaysia dan CelcomDigi, inisiatif ini bertujuan membawa lebih banyak hiburan bertaraf dunia ke ibu negara.
Sepanjang 2026, Kuala Lumpur dijadualkan menganjurkan 25 persembahan muzik antarabangsa di enam venue utama, dengan kehadiran dianggarkan mencecah 500,000 peminat dari Malaysia dan rantau ini.
Barisan artis merangkumi Lany, Laufey, Bryan Adams, DAY6, TREASURE dan Daniel Caesar, selain persembahan berskala stadium oleh Post Malone, The Weeknd dan BTS. Ia merupakan antara himpunan konsert antarabangsa paling padat yang pernah dianjurkan di Kuala Lumpur.

KL Headline Season sejajar dengan aspirasi ekonomi negara menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, yang mensasarkan 47 juta pelawat antarabangsa serta peningkatan hasil pelancongan melalui pengalaman premium berasaskan acara.
Konsert kini menjadi pemacu pelancongan yang penting, mendorong peminat merentas sempadan, melanjutkan tempoh penginapan dan meneroka destinasi dengan lebih mendalam. Melalui KL Headline Season, pengalaman peminat akan diperluaskan melangkaui venue konsert kepada pengalaman gaya hidup dan budaya yang menampilkan makanan, tarikan ikonik dan suasana bandar Kuala Lumpur.
Kesan ekonomi program ini dijangka memberi manfaat kepada sektor hotel, syarikat penerbangan, runcit serta makanan dan minuman, di samping membuka peluang kepada perniagaan dan komuniti tempatan.
Kedudukan strategik Kuala Lumpur yang berada dalam lingkungan penerbangan empat jam dari bandar-bandar utama Asia turut mengukuhkan daya tarikannya sebagai hab jelajah pelbagai pasaran bagi artis antarabangsa serta destinasi yang mudah diakses peminat serantau.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Puan Hannah Yeoh, berkata Tahun Melawat Malaysia 2026 memberi tumpuan kepada pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bernilai tinggi, dengan hiburan langsung memainkan peranan penting dalam menarik pelawat antarabangsa dan menyokong ekosistem pelancongan serta perniagaan tempatan.

Pengarah Urusan Live Nation Malaysia, Paramananthan Rajagopal, berkata konsert ‘live’ menyatukan artis dan peminat dengan pengalaman yang tersendiri. Menurut beliau, KL Headline Season diwujudkan bagi menawarkan rentak konsert yang konsisten, memperkukuh momentum untuk artis, peminat dan sektor pelancongan, serta menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi tetap dalam jelajah Asia.

Ketua Jenama dan Perkhidmatan Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling, berkata kerjasama tersebut memanfaatkan rangkaian syarikat telekomunikasi terbesar negara untuk menghubungkan lebih 20 juta pelanggan kepada pengalaman hiburan bertaraf dunia, sekali gus menjadikan persembahan muzik langsung lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.

KL Headline Season 2026 ialah inisiatif hiburan langsung utama yang bertujuan meletakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan artis jelajah antarabangsa dan peminat muzik serantau. Program ini menghimpunkan 25 artis utama dunia di enam venue utama dan dijangka menarik lebih 500,000 peminat, sekali gus merangsang pelancongan, impak ekonomi dan penglibatan budaya.
Jadual Konsert Baki Tahun 2026
30 Mei: TREASURE – Unifi Arena
31 Mei: Anson Seabra – Zepp KL
2 Jun: Laufey – Unifi Arena
26 Ogos: Kodaline – Idea Live Arena
27 September: Post Malone – TM Stadium Nasional
1 November: Lany – Unifi Arena
4 November: The Weeknd – TM Stadium Nasional
5 November: The Weeknd – TM Stadium Nasional
12 Disember: BTS – TM Stadium Nasional
13 Disember: BTS – TM Stadium Nasional
Maklumat lanjut mengenai jualan tiket boleh didapati di laman web Live Nation Malaysia.
Note Editorial:
‘Ada Telur’ adalah slanga atau istilah jalanan yang membawa maksud ‘Punya Wibawa’, bukan ‘gender bias’ atau bersifat seksis. (untuk rujukan Millennials & Gen Z)
