PENCEROBOHAN hutan yang berterusan telah mengancam kehidupan flora dan fauna, merosakkan ekosistem dan mengganggu keseimbangan alam. Kerakusan manusia dalam mengejar keuntungan material telah menyebabkan banyak kawasan hutan diteroka dan dimusnahkan, mengakibatkan pelbagai spesies haiwan kehilangan habitat dan seterusnya menghadapi kepupusan. Dalam menghadapi isu ini, para seniman memainkan peranan penting dalam menyuarakan kritikan dan kesedaran melalui karya seni mereka.
Seniman sering menggunakan karya mereka sebagai alat untuk mengkritik pencerobohan hutan dan menarik perhatian umum terhadap pentingnya menjaga alam sekitar. Contohnya, karya-karya Jaafar Taib sering kali memaparkan keindahan alam dan kehidupan liar, sekaligus menimbulkan kesedaran tentang perlunya pemeliharaan alam sekitar.
Jaafar, seperti yang kita tahu, merupakan pelukis catan hebat tanah air. Beliau telah menghasilkan puluhan catan siri burung, siri ayam hutan, siri haiwan-haiwan liar, dan lukisan figura lain.
Selain itu, Jaafar juga terkenal dengan kartun Jungle Jokes di majalah Gila-Gila yang diterajuinya. Salah satu karyanya yang menonjol dalam konteks ini adalah buku cerita untuk kanak-kanak, yang berjudul Damai.
Damai merakamkan kesedaran kita terhadap alam sekitar yang kian tercemar. Hutan tropika yang tertua di dunia ada di bumi kita, tetapi kerakusan manusia membuatkannya semakin lenyap. Haiwan-haiwan semakin pupus.

Sungai makin tercemar. Dan Jaafar menggambarkan keadaan ini – di mana adanya gua rahsia tempat gajah akan pergi apabila menyedari dirinya hendak mati. Hanya gajah dan haiwan-haiwan rimba sahaja yang tahu di mana tersembunyinya tanah perkuburan ini demi untuk mengelakkan gading-gading mereka dicuri manusia untuk dijual..
Perasaan kasih sayang sesama haiwan adalah harapan Jaafar kepada manusia. Sebagaimana monyet, gajah, tupai, rusa, dan lain-lain boleh hidup aman damai meskipun berbeza spesies -seharusnya manusia pun begitulah. Jika manusia dapat menghormati manusia lain, sayangkan alam dan faham erti tali perhubungan antara manusia, haiwan, dengan alam sekitar – maka kehidupan ini pasti akan d(D)amai.
Damai adalah nama seekor anak gajah yang mengembara bersama seekor monyet tua, Pak Mai, Mereka mencari kehidupan baharu setelah tempat tinggal mereka tidak lagi selamat untuk didiami akibat pencemaran hutan dan wabak misteri.
Bapa Damai, Wirasaka, adalah ketua kawasan tempat tinggal mereka. Sebelum mati, Wirasaka memberikan amanat terakhir kepada Pak Mai agar kesemua penghuni hutan simpan Lesong berpindah segera sebelum kesemuanya mati juga. Mereka akur dan berpindah. Yang tinggal hanya Pak Mai dan Inoi (balu Wirasaka) yang sedang mengandungkan Damai.

Selepas Damai lahir dan mula kuat, ibunya pula mati. Pak Mai tiada pilihan lain dan membawa Damai pindah ke tempat baharu, tempat di mana datuk dan neneknya yang telah lebih awal keluar dari situ. Di sinilah bermula perjalanan sebuah kehidupan.
Seperti kebanyakan cerita lain, unsur persahabatan, kasih-sayang dan kesetiaan akan bertembung dengan unsur kejahatan dan pengkhianatan. Perasaan akan bercampur-baur apabila membaca Damai meskipun watak-wataknya cuma ‘beraksi’ di atas kertas.
Dari rimba Lesong yang terletak di Selatan Pahang dan bersempadankan dengan Johor, mereka mengembara menuju ke Taman Negara.
Buku cerita kanak-kanak Damai yang diterbitkan pada tahun 2009 oleh Creative Enterprise Sdn. Bhd. (syarikat yang sama menerbitkan majalah Gila-Gila, Bambino, Humor dan Fantasi) memuatkan 213 ilustrasi warna-warni yang menggunakan media campuran, 4 muka surat tentang proses lakaran berserta langkah-langkah pembikinannya, dan lebih menarik lagi ia turut mengandungi 6 catan hidupan liar Malaysia menggunakan media akrilik dan cat minyak. Ini memberikan pengalaman pembacaan yang cukup mengujakan. Sambil membaca cerita menarik, mata kita dijamu dengan lukisan yang indah.
Bayangkan bagaimana menghiasi buku 125 muka surat ini dengan ilustrasi dan lukisan hutan yang cukup menarik. Turut dikreditkan di buku ini nama Azhar Senapon sebagai pembantu pelukis. Azhar, memang dikenali sebagai pelukis/ilustrator yang mampu meniru lukisan Jaafar.
Melayan Damai, bukan sahaja pembaca biasa yang akan tertawan, ia juga boleh menjadi sebuah buku rujukan lukisan untuk para pelukis baharu dan pelukis lama – mempelajari skill komposisi, sudut, tona, cahaya, dan warna. Jaafar memang mahir melukis watak haiwan yang berekspresi. Ini bukan sesuatu yang mudah. Melukis watak kartun harimau satu hal, menghidupkan watak tersebut dengan aksi serta berbagai mimik muka adalah satu kelebihan pada tahap yang lain. Di tangan Jaafar, segalanya lembut, tidak kaku, malahan watak-watak ini kelihatan hidup.
Dr Muliyadi Mahamood yang menulis kata pengantar pada buku ini menerangkan bagaimana gigihnya Jaafar mencurahkan segala tenaga, fikiran, dan waktu untuk membuat lukisan tersebut sebaik sahaja idea menghasilkan Damai tercetus di kepalanya sejak awal 1990-an lagi.
Menurut Dr Muliyadi, Jaafar mengambil masa cukup lama untuk mengarang cerita, meneliti, mengkaji, memperinci, mencipta watak, dan menghasilkan lukisan tersebut sebelum menghidangkan kepada pembaca 20 tahun kemudian. Melihat hasil lukisan dan kepadatan Damai, kita boleh simpulkan yang ia bukan sebuah usaha main-main dan tergesa-gesa. Mengenali Jaafar, memang beliau seorang yang cukup teliti dan cerewet dalam kerja lukisannya. Sehingga daun-daun kering di tanah pun dilukisnya dengan begitu terperinci.
Damai karya Jaafar sewajarnya mendapat tempat di sekolah sebagai bacaan wajib generasi muda yang semakin jauh meninggalkan buku akibat ‘serangan’ gajet. Bukan itu sahaja, Damai juga sarat dengan kisah moral dan pengajaran agar sifat kemanusiaan generasi muda dapat dipupuk terutama apabila melihat haiwan, sungai, dan tumbuh-tumbuhan. Itulah harta bumi kita yang tidak ada galang-gantinya.
Damai adalah sebuah mahakarya dari Jaafar Taib yang jarang diperkatakan.
– RONASINA merupakan seorang bekas guru yang kini berkecimpung dalam bidang seni.

Buku Damai ni…nak dapatkan kat mana lagi nih