Dalam artikel Senimalaya bertajuk “Seni, Pendidikan dan Kemanusiaan” (27 November 2025), Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen, menyuarakan hasrat agar inisiatif ‘Hari Seni untuk Semua’ diperluaskan ke sekolah harian biasa. Beliau melihatnya bukan sekadar sebagai sebuah program, tetapi sebagai satu gerakan yang wajar diraikan secara nasional, sepertimana sambutan hari sukan yang sudah menjadi sebahagian daripada takwim sekolah.
Pandangan ini mendorong saya untuk berfikir tentang kedudukan seni dalam sistem pendidikan kita. Sejak di bangku sekolah, sukan dan aktiviti kurikulum lain sering diberi perhatian yang lebih jelas dan tersusun. Aktiviti seni pula jarang dilihat sebagai agenda utama. Saya tidak menyatakan hal ini berdasarkan data kajian yang lengkap, tetapi daripada pengalaman yang saya sendiri lalui. Sepanjang persekolahan, saya tidak pernah melalui program yang benar-benar memberi tumpuan kepada seni seperti mana hari sukan atau hari kantin.
Salah satu isu utama di sini ialah persepsi. Seni sering dianggap sebagai bidang untuk mereka yang berbakat semula jadi. Jika seseorang pandai melukis atau menyanyi, maka dia dianggap layak untuk terlibat dalam seni. Jika tidak, seni seolah-olah bukan ruangnya. Persoalannya, bagaimana kita mahu meletakkan seni dalam pendidikan sebagai sesuatu yang lebih objektif dan dapat diakses oleh semua pelajar?
Di sinilah saya mencadangkan agar kita melihat seni melalui lensa kreativiti, bukan sekadar bakat. Saya mengemukakan empat sebab mengapa kreativiti perlu dijadikan asas dalam memahami kepentingan seni di sekolah.
Pertama: Kreativiti ialah bidang yang dikaji secara ilmiah

Kreativiti bukan istilah umum semata-mata, tetapi merupakan bidang kajian dalam psikologi, khususnya psikologi kognitif. Pada suatu ketika dahulu, individu yang cemerlang dalam seni atau sains sering dilabel sebagai genius. Pablo Picasso misalnya sering dianggap genius dalam seni lukis, sebagaimana Albert Einstein dianggap genius dalam bidang fizik. Malah Einstein sendiri diketahui mempunyai minat yang mendalam terhadap seni muzik.
Namun perkembangan kajian psikologi menunjukkan bahawa kecemerlangan seperti ini tidak semestinya harus difahami melalui konsep genius semata-mata. Oleh itu, kreativiti kemudiannya dibezakan sebagai keupayaan berfikir yang tersendiri, berbeza daripada kecerdasan (intelligence).
Ini penting kerana jika seni hanya dikaitkan dengan bakat atau genius, ia akan dilihat sebagai milik segelintir individu sahaja. Sekolah seharusnya tidak mengukuhkan persepsi bahawa seni bersifat elitis. Dengan meletakkan kreativiti sebagai asas, kita membuka ruang bahawa keupayaan berfikir secara kreatif boleh dipupuk dan dibangunkan secara inklusif, dan bukan hanya sekadar bakat.
Kedua: Kreativiti berkaitan penghasilan idea
Kreativiti merujuk kepada keupayaan menghasilkan sesuatu yang baharu dan bermakna. Ia berbeza daripada kecerdasan logik yang biasanya digunakan untuk menyelesaikan masalah berdasarkan kaedah sedia ada. Untuk menghasilkan sesuatu yang benar-benar baharu, seseorang perlu berfikir di luar kebiasaan dan melihat masalah dari sudut yang berbeza.
Ini tidak bermaksud logik tidak penting. Dalam seni reka misalnya, fungsi dan kefahaman tetap memerlukan pertimbangan rasional. Namun, kreativiti tidak ditentukan semata-mata oleh tahap kecerdasan. Kajian seperti threshold theory of creativity menunjukkan bahawa walaupun terdapat hubungan antara kecerdasan dan kreativiti, kecerdasan yang tinggi tidak menjamin tahap kreativiti yang lebih tinggi. Kreativiti mempunyai dimensinya yang tersendiri.

Ketiga: Kreativiti menjamin keaslian dan kebaharuan
Sesuatu karya atau idea dianggap kreatif apabila ia baharu dan bermakna. Dalam seni, keaslian menjadi nilai utama. Seniman dan pereka sentiasa berusaha menghasilkan sesuatu yang berbeza dan mempunyai identiti tersendiri. Masyarakat juga cenderung menghargai sesuatu yang dirasakan baharu atau mampu menawarkan penyelesaian yang belum pernah ada.
Jika kita melihat sejarah perkembangan ilmu, termasuk dalam bidang sains, pembaharuan berlaku apabila seseorang mengemukakan idea yang berbeza daripada kebiasaan. Kebaharuan ini lahir daripada kreativiti. Tanpa kreativiti, sesuatu bidang hanya bergerak dalam lingkungan kaedah dan pendekatan sedia ada.
Keempat: Kreativiti mendahului inovasi
Inovasi sering disebut sebagai pemacu kemajuan. Namun, inovasi pada asasnya ialah proses melaksanakan atau memperbaiki sesuatu idea. Idea tersebut perlu wujud terlebih dahulu sebelum ia boleh diaplikasikan. Di sinilah kreativiti memainkan peranan penting.
Tanpa kreativiti, inovasi hanya menjadi proses penambahbaikan teknikal atau pengoptimuman sistem yang sedia ada. Dengan kreativiti, kita berupaya mempersoalkan semula andaian lama dan membayangkan kemungkinan baharu. Dalam menghadapi cabaran semasa seperti perubahan iklim, teknologi disruptif dan isu kelestarian, penyelesaian tidak datang daripada satu disiplin sahaja. Ia memerlukan kerjasama antara pelbagai bidang. Kreativiti membolehkan hubungan antara disiplin ini dikenal pasti dan digabungkan.

Kreativiti dan Pendidikan
Bagaimana pula kedudukan kreativiti dalam keadaan semasa? Berdasarkan pemerhatian saya, pelaksanaan kreativiti dalam sistem pendidikan masih belum benar-benar jelas. Walaupun istilah kreativiti sering disebut, kita jarang melihat penunjuk yang konkrit untuk menilai sejauh mana ia benar-benar dipupuk di sekolah dan institusi pendidikan.
Dari sudut akses misalnya, pelajar seni lazimnya masih perlu menyediakan sendiri bahan dan perkakasan asas untuk menjalankan aktiviti. Sebaliknya, dalam bidang sains, kita sudah terbiasa melihat makmal yang lengkap dengan kemudahan. Perbezaan ini secara tidak langsung memberi gambaran tentang keutamaan yang diberikan kepada sesuatu bidang.
Dari sudut pengajaran pula, timbul persoalan sama ada para pendidik benar-benar memahami makna mendidik potensi kreatif. Membangunkan kreativiti tidak sama dengan melatih kepakaran teknikal semata-mata. Pelajar yang berpotensi untuk menjadi kreatif kadangkala bersifat non-conformist dan cenderung mencabar kebiasaan. Ini memerlukan kesediaan pendidik untuk bersikap terbuka terhadap idea yang baharu, malah yang mungkin kelihatan radikal.
Selain itu, persepsi terhadap pendidikan seni juga perlu dinilai semula. Adakah ia sekadar ruang untuk pelajar meneruskan minat peribadi, atau sebenarnya satu bidang yang mampu menyumbang kepada pembangunan intelektual dan kemajuan negara? Soalan-soalan ini wajar difikirkan secara serius.

Kesimpulannya, kreativiti tidak wajar dilihat sebagai kemahiran khusus untuk pelajar seni sahaja. Ia merupakan keupayaan asas untuk membina idea, melihat alternatif dan membayangkan kemungkinan yang belum wujud. Dalam pendidikan, kita sering menekankan maklumat dan pencapaian yang boleh diukur. Namun tanpa kreativiti, pendidikan berisiko menjadi sekadar proses penguasaan pengetahuan sedia ada.
Tambahan pula, jika inovasi ingin dijadikan matlamat, maka kreativiti perlu didahulukan. Mengangkat kreativiti di sekolah bukan sekadar untuk memartabatkan seni, tetapi untuk mempersiapkan pelajar menghadapi dunia yang semakin kompleks. Kreativiti bukan milik eksklusif sesiapa. Ia adalah keperluan bersama.
Dengan memahami kreativiti sebagai keupayaan yang boleh dipupuk, seni tidak lagi dilihat sebagai bidang yang terasing atau elitis. Ia menjadi ruang penting untuk melatih cara berfikir yang diperlukan oleh semua disiplin. Apabila masyarakat memahami nilai kreativiti, mereka juga akan lebih mudah memahami nilai seni. Maka, memperkasa kreativiti di sekolah bukan sahaja menyumbang kepada inovasi, tetapi turut mengukuhkan penghargaan terhadap seni itu sendiri.
