Memaknai Pratibha
APABILA menelusuri sejarah pemikiran estetika dunia, sering kali teori seni dari Barat mendominasi ruang fikir, kefahaman dan praktik kita. Hampir semua mengenali Plato dengan gagasan peniruan (mimesis) yang bersifat sejagat, Immanuel Kant dengan estetika pertimbangan rasionalnya yang ketat, Friedrich Nietzsche yang mengagungkan tragedi yang berpaksikan naluri (Dionysian) berbanding keseimbangan akal (Apollonian), hinggalah kepada teori-teori kontemporari pascamoden. Namun, di sebalik pengaruh besar wacana Barat ini, wujud aliran pemikiran dari Timur yang turut memperkaya khazanah estetika sejagat. Salah satu gagasan penting lahir daripada tradisi estetika India, yang dikenali sebagai Pratibha.
Pratibha dalam bahasa Sanskrit merujuk kepada daya kreatif batin atau bakat rohani luar biasa yang dimiliki oleh seseorang seniman. Ia bukan sekadar kemahiran teknikal, tetapi seumpama anugerah batin atau “kesaktian” yang mengalir dalam tubuh dan jiwa seniman. Martin Suryajaya dalam bukunya Sejarah Estetika: Era Klasik sampai Kontemporer (2016), meletakkan konsep ini sebagai titik penting dalam usaha memahami sejarah estetika yang tidak bersandar sepenuhnya kepada tradisi Barat. Menurut pengamatannya, Pratibha membuktikan bahawa seni bukan hanya lahir daripada kemahiran tangan atau peniruan realiti, tetapi lebih jauh daripada itu ia terbit daripada daya batin yang sukar diterangkan melalui logik akal atau pertimbangan rasional. Intuisi dan imaginasi seniman seolah-olah memiliki kekuatan magis tersendiri.
Dalam konteks ekspresi seni di Malaysia, konsep ini wajar direnungi. Para seniman tempatan sama ada yang berakar pada seni tradisi Melayu seperti wayang kulit, mak yong, ukiran kayu, mahupun yang berinteraksi dengan seni kontemporari seperti catan avant-garde, arca ekspresif, seni digital, mural jalanan, atau sinema sering kita anggap sebagai sosok yang memiliki bakat luar biasa. Maka timbul persoalan: adakah mereka juga sedang beroperasi dalam semangat Pratibha? Masih adakah “kesaktian” seniman pada hari ini, ketika dunia seni semakin dicengkam komersialisasi dan revolusi digital?
Konsep Pratibha dalam Tradisi Estetika India
Akar sejarah dan definisi
Dalam tradisi teori sastera klasik India (kavya shastra), Pratibha difahami sebagai kemampuan kreatif yang bersifat bawaan, yang memungkinkan penyair atau seniman melahirkan karya yang luar biasa. Pendekatan ini bertentangan dengan konsep vyutpatti (pengetahuan hasil pembelajaran) atau abhyasa (latihan teknikal). Pratibha dianggap sebagai “pelita akal” yang muncul dari dalam jiwa seniman. Tokoh estetika India seperti Mammata Bhatta (abad ke-11), melalui karyanya Kavyaprakasha, menyatakan bahawa Pratibha adalah syarat utama bagi terhasilnya sesebuah karya seni. Tanpa Pratibha, karya dianggap “tidak bernyawa”, stereotaip, lemah, dan sekadar permainan teknik semata-mata.

Tingkat Pratibha
Dalam teks estetika India, Pratibha terbahagi kepada beberapa lapisan:
i. Pratibha rendah (pratama): Bakat yang terhasil daripada manipulasi atau peniruan.
ii. Pratibha pertengahan (madhyama): Keupayaan mencipta variasi dan inovasi sederhana.
iii. Pratibha utama (uttama): Mencapai tahap “kesaktian” kreatif, melahirkan karya agung yang melampaui zaman, budaya dan sejarah.
Jelas bahawa estetika India sejak awal sudah mengiktiraf pelbagai aras keupayaan seniman — tidak semua akan mencapai kesaktian yang sama.
Kesaktian seniman
Unsur “kesaktian” ini lahir kerana Pratibha sering dikaitkan dengan yang bersifat mistik. Seniman bukan sekadar pencipta atau penghibur, tetapi individu yang mampu menembusi batas pengalaman biasa. Mereka dilihat sebagai “perantara” antara dunia dalam dan realiti. Namun menurut Martin Suryajaya, kesaktian ini bukan alasan untuk menolak peranan kemahiran praktikal. Ia tetap perlu diasah oleh pengalaman sosial. Di sinilah terjadinya pertembungan dialektik antara anugerah batin dan pembentukan budaya.
Kritik dan keterbatasan
Martin Suryajaya turut mengingatkan tentang risiko memuja konsep ini secara berlebihan:
i. Pendewaan seniman — Risiko mengkultuskan seniman seolah-olah berada di atas masyarakat.
ii. Pengabaian struktur sosial — Seni lahir dalam jaringan institusi, ekonomi, politik dan khalayak. Jika Pratibha dilihat semata-mata sebagai kesaktian individu, maka peranan struktur ini dinafikan.
iii. Kekok dalam era moden — Dalam lanskap seni kontemporari yang dikuasai kapitalisme, algoritma digital dan kecerdasan buatan (AI), konsep Pratibha mungkin dilihat terlalu mistik atau metafizik.
Namun secara ironi, di sinilah letaknya nilai Pratibha: ia mengingatkan bahawa seni tidak boleh dikecilkan menjadi sekadar komoditi atau kemahiran teknikal tetapi seni mesti berakar kepada jiwa manusia.
Landskap Seni di Malaysia dan Pratibha
Seni tradisi dan kontemporari sebagai medan Pratibha
Dalam tradisi seni Melayu, wujud pengiktirafan kepada seniman yang dianggap “berilmu”, “arif” atau “berjiwa seni”. Tukang ukir kayu tradisional, dalang wayang kulit atau penggiat mak yong sering dianggap memiliki anugerah luar biasa malah yang mahir sering digelar adiguru. Proses pewarisan seni lazimnya disertai unsur spiritual, seperti bacaan mantera, doa, pantang larang atau ritual. Ini selari dengan semangat Pratibha sebagai pancaran kesaktian batin.
Wayang kulit adalah contoh yang jelas. Tok dalang bukan sekadar penghibur, tetapi pencerita kosmik, pewaris ilmu dan pembawa hikmah. Melalui bayangan kulit, muzik dan improvisasi dialog, dalang melahirkan makna yang hidup melepasi teknik hafalan. Di sinilah Pratibha terjelma sebagai ilham batini yang mengikat akal, intuisi dan kesedaran rohani.
Semangat Pratibha ini turut bergerak merentas zaman dan medium. Dalam seni lukis moden, A. Latiff Mohidin melalui siri Pago-Pago (1960-an) menterjemahkan bentuk kosmik Nusantara dalam bahasa visual yang sarat kerohanian. Lukisannya bukan sekadar bentuk, tetapi tafsiran batin terhadap alam. Seniman seperti beliau ibarat dalang di atas kanvas.
Dalam sinema, Sabri Yunus melalui filem Duan Nago Bogho mengangkat loghat, lanskap dan jiwa budaya tempatan sebagai pengalaman sinematik. Beliau bertindak seperti dalang moden, menghidupkan roh tradisi melalui medium filem. Keaslian improvisasi penceritaannya memperlihatkan ilham yang lahir daripada roh budaya.
Semua ini – dalang wayang, lukisan Pago-Pago, filem Duan Nago Bogho – membayangkan Pratibha sebagai roh estetika yang menyeberangi medium, menyulam tradisi, imaginasi dan hakikat hidup.


Refleksi: Pratibha, Kesaktian dan Seni Malaysia Hari Ini
Pratibha boleh difahami sebagai jambatan antara seni tradisi dan seni kontemporari Malaysia. Ia mengajak penggiat seni untuk kembali menghayati intuisi, getaran batin dan ilham rohani sebagai sumber penciptaan bukan semata-mata logik pasaran. Karya agung tidak lahir kerana laris, tetapi kerana memiliki roh yang meresap ke dalam jiwa khalayak.
Sebagaimana dihuraikan oleh Martin Suryajaya, Pratibha ialah konsep yang meletakkan kreativiti sebagai kesaktian batin seniman. Ia mengingatkan bahawa seni bukan hanya hasil tiruan atau kemahiran, tetapi hasil daripada daya ilham yang misterius.
Dalam meneliti wajah seni Malaysia hari ini, konsep Pratibha masih relevan untuk dijadikan bingkai renungan baik dalam seni tradisi yang berakar spiritual mahupun seni kontemporari yang giat bereksperimen. Ia mungkin bukan konsep yang sempurna, tetapi dengan menempatkan Pratibha dalam wacana seni negara, kita membuka satu lagi lorong pengetahuan estetika yang lahir daripada tamadun Timur.
Moga-moga.
Rujukan
Konsep Pratibha: “Kesaktian” Seniman dalam Riwayat Estetika India Klasik. (2021, 12 Januari). Pojok Seni. https://www.pojokseni.com/2021/01/konsep-pratibha-kesaktian-seniman-dalam.html
Loho, A. M. (2021, 27 April). Pratibha, kesaktian seniman & proses kreatif seniman. Pojok Seni. https://www.pojokseni.com/2021/04/pratibha-kesaktian-seniman-proses.html
Martin Suryajaya. (2016). Sejarah estetika: Era klasik sampai kontemporer. Jakarta: Indie Book Corner.
Renungan filosofis terhadap buku “Sejarah Estetika”, Karya Martin Suryajaya. (2017, 18 Mac). Sarasdewi Blog. https://sarasdewiblog.wordpress.com/2017/03/18/renungan-filosofis-terhadap-buku-sejarah-estetika-karya-martin-suryajaya/
Sejarah Estetika & Tantangan Kritik Seni – Martin Suryajaya. (n.d.). Scribd. https://id.scribd.com/document/794575993/Sejarah-Estetika-Tantangan-Kritik-Seni-Martin-Suryajaya
