Pengenalan: Komik di Era Pasca-Normal
Industri komik sedang memasuki suatu era yang ditandai oleh fenomena ketidakstabilan, paradoks, dan perubahan radikal, apa yang disebutkan sebagai dampak ‘pergeseran paradigma’. Dalam konteks ‘era pasca-normal’, yakni istilah yang merujuk kepada keadaan dunia yang digejalai oleh segala macam ketidaktentuan, kompleksiti, bahkan juga samar-samar, ekspresi komik bukan sahaja berfungsi sebagai medium penceritaan, namun menjadi refleksi terhadap dokumentasi visual kepada struktur sosial, budaya, dan digital, yang membentuk pengalaman-pengalaman manusia di alaf digital.
Artikel pada kali ini mencuba untuk membahas bagaimana revolusi digital, fenomena hiperrealiti, serta konsep simulakra, gagasan Jean Baudrillard berupaya untuk mengubah landskap penghasilan, pengedaran, serta pembacaan komik moden. Di samping itu, analisis hermeneutik digunakan bagi memahami makna budaya komik, dalam pandangan alam yang kian dicengkam oleh representasi digital, imej, dan kecerdasan buatan (A.I.). Kupasan secara sederhana, turut melibatkan contoh-contoh semasa daripada komik digital, webcomics, manga digital, dan komik janaan A.I., sebagai cerminan cabaran serta peluang baharu dalam memberdaya ekosistem kreatif pasca-normal.
Pesat majunya abad ke-21 yang sedang kita tempuhi ini, bertumbuh seiring dengan suatu semangat zaman, yang dijuluki dengan era pasca-normal. Ertinya, sebuah fenomena yang merujuk kepada keadaan dunia yang ditandai oleh tiga ciri utama, iaitu ketidakpastian, kompleksiti, dan kekacauan. Dunia kreatif, termasuk industri komik, terkesan secara langsung daripada fenomena ini. Perkembangan teknologi digital, kecerdasan buatan (A.I.), platform media sosial, dan globalisasi budaya, sebenarnya secara tidak langsung sedang mengubah cara komik dicipta, diterjemah, disebar, dan dihayati.
Sekiranya komik pada era moden awal, dianggap sebagai bentuk seni massa yang berfungsi menyampaikan naratif linear, komik pada zaman pasca-normal kini menjadi sebuah ruang interpretasi, ruang permainan identiti, serta ruang simulasi yang memanipulasi sempadan antara realiti dan fiksyen. Dalam konteks ini, teori simulakra dan simulasi Baudrillard (1981), menawarkan kerangka sentral untuk kita memahami bagaimana komik hari ini bukan sekadar mewakili realiti, namun menciptakan ‘dimensi baharu’, bagi menggantikan realiti sejati citraan para pengkarya.
Revolusi Digital dan Transformasi Industri Komik
Revolusi digital telah mengubah struktur industri komik, sekurang-kurangnya di dalam empat aspek utama, yakni:
Demokratisasi Penghasilan
Platform seperti Webtoon, Tapas, dan MangaPlus mengizinkan sesiapa sahaja mencipta dan menerbitkan komik, tanpa perlu melalui penerbit tradisional. Ini selari dengan ciri zaman pasca-normal, bilamana kuasa tidak lagi bertumpu, tetapi terus menyebar ke tangan-tangan pengguna.

Format Baharu: Komik Skrol, Animasi Ringan, dan Komik A.I.
Komik kini wujud dalam format vertical-scroll comics, komik dengan runut bunyi digital, panel interaktif, dan komik janaan sepenuhnya oleh kepintaran buatan (A.I. image generators). Perkembangan ini mengubah definisi komik itu sendiri, yang mana ia melampaui bentuk cetakan yang didatangkan secara konvensional.

Ekonomi Perhatian dan Visualisasi Tanpa Batas
Dalam media sosial, komik sering tercipta untuk dunia yang gencar, pantas, mudah, bahkan murah. Hal ini dapat kita cermati pada tatanan meme grafik, komik mikro, dan naratif satu panel. Kesemuanya sedang memberi tumpuan kepada perhatian segera serta representasi visual yang mudah untuk diakses, sebagai tanda sebuah peralihan kepada budaya hiperrealiti yang dipenuhi ‘bayang-bayang’ simulasi.
Estetika Global
Tatkala mendepani gempuran zaman eko-teknologi serta digital, pastinya akan tercetus jua pautan silang budaya (cross-cultural aesthetic convergence), menjadikan gaya manga, manhwa, dan komik dari Barat bercampur, yang menatijahkan ‘persentuhan’ (hibriditi) estetika era pasca-normal.

Hyperrealiti Komik: Membaca Dunia yang Tersimulasi
Baudrillard (1981), mendefinisikan hyperrealiti sebagai suatu fenomena di mana representasi (salinan), lebih nyata daripada realiti itu sendiri. Dalam ekspresi komik moden, hyperrealiti beroperasi dalam beberapa cara, misalnya penghasilan karakter ikonik sebagai ‘percikan’ Simulakra. Justeru, watak atau dalangan seperti Batman, Iron-Man, Naruto atau Goku sudah tidak lagi mempunyai ‘asal-usul’ yang tetap. Watak-watak ini wujud dalam beragam versi, seumpama filem, animasi, permainan video, fan-art, komik alternatif, dan kini versi janaan A.I. Makanya, identiti mereka bukan berpijak kepada realiti, namun merujuk kepada rangkaian representasi yang saling meniru. Dengan demikian, inilah simulakra tahap ketiga dalam pengamatan Baudrillard, di mana ‘penanda’ tidak lagi mempunyai rujukan daripada subjek asal.
Komik Sebagai Dunia yang Mengatasi Realiti
Komik digital sering memaparkan versi realiti yang ‘melampaui realiti itu sendiri’, dengan mengolah paduan warna lebih cerah, emosi lebih intens, bahkan mempersembahkan dunia dalam keadaan yang lebih ekstrem. Pengguna mungkin lebih akrab dengan dunia ‘Attack on Titan’ atau ‘One Piece’, berbanding realiti politik dunia nyata.

Meme-komik dan Kitaran Tanpa Asal-usul
Meme yang berasaskan panel komik, sering diputar semula sehingga makna asalnya menghilang. Komik bukan lagi teks, namun menjadi alat komunikasi sosial yang bersifat hiperrreal, lalunya mengatasi konteks asal karya tersebut.
Komik A.I. sebagai Simulakra Tanpa Pencipta
Dengan munculnya perangkat-perangkat A.I. seperti Midjourney, Ideogram, atau DALL·E, wujud komik yang tidak memerlukan ‘pelukis’ tradisional yang manusiawi. A.I. sedang memproses, bahkan mensintesiskan jutaan imej-imej secara algoritmatik, lantas menjadikannya simulakra tulen, yang sudah tidak tidak punya ‘asal-muasal’.
Hermeneutik dalam Membaca Komik Era Post-Normal
Hermeneutik, seperti yang dijelaskan oleh Gadamer (1975), merupakan seni dan teori tafsiran. Komik, sebagai medium visual-tekstual, memerlukan pembacaan yang berlapis-lapis, misalnya secara;
Lingkaran Hermeneutik (Hermeneutic Circle)
Pembaca memahami panel individu melalui keseluruhan naratif, dan memahami naratif melalui panel. Dalam komik digital scroll, lingkaran hermeneutik menjadi lebih fleksibel kerana pembacaan tidak lagi bersifat linear.
Pra-andaian (Pre-conception)Pembaca hari ini memasuki komik dengan pra-andaian yang dibentuk oleh budaya digital, pengalaman bermain permainan video, cereka-cereka animasi, bahkan melalui timbunan-timbunan meme. Lantaran itu, makna komik terbentuk melalui dialog di antara teks dan horizon pengalaman pembaca.
Pemahaman Melalui Simbol Visual
Hermeneutik visual melibatkan tafsiran terhadap warna, perspektif, pengaturan panel, ekspresi watak serta metafora visual. Dalam era digital, simbol visual sering dimanipulasi oleh ‘kod budaya global’, yang justeru menjelmakan komik sebagai medan pertembungan makna.
Hermeneutik dalam Komik A.I.
Komik yang dijana oleh perkakasan A.I. sedang menimbulkan persoalan mutakhir tentang bagaimana hermeneutik dapat berfungsi, tatkala ‘pencipta’ tidak mempunyai niat (intentionality)? Jadi, hujah yang sederhana bolehlah dikatakan bahawa yang ditafsir bukanlah ‘niat pencipta’, namun ia adalah struktur data dan bias algoritma. Hermeneutik kini bergerak menuju suatu tafsiran kepada sistem, yang bukan lagi meletakkan karya manusia, sebagai subjek nan utama.
Industri Komik sebagai Ekologi Simulakra
Baudrillard (1994), ada memperjelaskan bahawa simulasi menggantikan realiti sebagai sistem dominan. Industri komik kini menjadi contoh jelas, dengan wujudnya adaptasi tanpa henti, di mana setiap komik popular telah diadaptasi menjadi filem, siri TV, permainan video, dan jualan cenderamata (merchandise). Adaptasi sebegini bukan sekadar memperluas naratif, tetapi sedang menumbuhkan ‘realiti alternatif’.
Cabaran dan Masa Depan Komik dalam Era Pasca-Normal
Isu Keaslian dan Hak Cipta
Ledakan kepintaran buatan (A.I.), secara dasar, sedang mengaburkan batas antara penciplakan, inspirasi, dan ciptaan-ciptaan kreatif. Dalam masa yang sama, akan bermunculan pula krisis makna serta pemecahan (fragmentasi) naratif. Sekiranya diinsafkan dalam dunia hyperrealiti, naratif komik berkecenderungan untuk menampilkan hal yang tidak linear, terpecah serta terasing, silang budaya yang tidak konsisten, dan tentunya, bakal kehilangan asal-usul.
Sejenak renungan
Industri komik hari ini bukan lagi semata-mata industri seni visual tradisional. Ia merupakan ekosistem kompleks, yang beroperasi dalam kerangka pasca-normal, hyperrealiti, dan simulakra. Komik bukan sekadar cerminan realiti, tetapi pembentuk realiti baharu yang mengubah cara manusia memahami identiti, budaya, dan pengalaman visual. Dalam kedua-dua perspektif hermeneutik dan simulasi, komik era digital berdiri sebagai teks berlapis-lapis yang perlu dibaca, bukan sekadar daripada upaya naratifnya, tetapi sebagai fenomena budaya yang merentasi sempadan realiti serta bayangan (simulasi). Komik moden abad ke-21 merupakan representasi tanda tanpa rujukan, realiti tanpa asal, dan simulasi tanpa penyudah. Namun begitu, dalam kekecamukan paruh pasca-normal yang sedang membuana, komik tetap menjadi salah satu medium paling berpengaruh dalam memetakan imaginasi, serta kegelisahan bahkan mungkin juga kehampaan manusia moden di alaf digital.
Rujukan
Baudrillard, J. (1994). Simulacra and Simulation (terjemahan oleh S. F. Glaser,). University of Michigan Press.
Gadamer, H.-G. (1975). Truth and Method. New York: Seabury Press.
McCloud, S. (1993). Understanding comics: The invisible art. New York: HarperCollins.
Postema, B. (2013). Narrative structure in comics: Making sense of fragments. RIT Press.
Sardar, Z. (2010). Welcome to Postnormal Times. Futures, 42(5), 435–444.
Stein, D. (2018). Comics and the critical imagination. University Press of Mississippi.
Yang, G. (2020). The digital turn in comics studies. Journal of Graphic Narratives, 7(2), 112–129.
