“Collectors are not your friends,”
Kata teman saya, seorang art dealer yang sudah lama dan matang dalam urusan jual beli karya seni.
“They are fundamentally market participants and patrons of art.”
Justeru, hubungan langsung antara kolektor dan pelukis pada dasarnya bersifat “transactional, strategic and defined by financial or status dynamics rather than unconditional friendship”, sambung beliau dengan pelat Inggeris yang dibuat-buat.
Saya mengangguk, walaupun tidak semestinya bersetuju.
Nah, kata-kata itu kemudian membawa saya jauh mengimbau pengalaman sendiri.
Saya terbayang teman-teman kolektor yang saya kenal sejak awal menjadi pelukis.
Ada yang kemudiannya menjadi sahabat dan sekutu yang sungguh akrab hingga hari ini, walaupun sudah lama berhenti membeli karya-karya saya.
Sememangnya kelektor ada yang datang dan pergi. Ada yang membeli sekali lalu menghilang diri.
Ada pula yang tidak pernah membeli satu pun karya saya tetapi mengikuti perjalanan artistik saya dengan tekun selama bertahun-tahun.
Lalu saya tertanya-tanya: benarkah kolektor bukan teman kita?
Puas juga saya mencari cebisan pengalaman untuk menolak “fatwa” teman art dealer saya itu.
Namun semakin jauh saya merenung, semakin saya sedar yang beliau tidak semestinya salah.
Hubungan antara pelukis dan kolektor memang tidak semestinya hingga ke Jannah.
Larry List, seorang kolektor muda di New York yang sering hadir ke Art Basel dan Frieze London, pernah merumuskan hubungan itu dengan ungkapan yang cukup romantis:
“You are dating the work, not the artist.”
Saya senang dengan ungkapan itu kerana ia seolah-olah memberi ruang yang sejahtera walau samar, antara karya, pencipta dan kolektornya.
Kolektor tidak wajib mencintai pelukis hanya kerana dia mencintai sebuah karya. Dari sudut yang sama tentunya dia boleh mencintai karya tanpa perlu mencintai orang yang melukisnya.
Tetapi sebagai pelukis, saya juga sedar bahawa sebuah karya tidak pernah benar-benar lahir ke dunia sendirian.
Dalam urinya ada niat, tubuh, pengalaman, ingatan, kegagalan, obsesi, material, masa dan perjalanan hidup yang panjang.
Karya mungkin berdiri sendiri, tetapi ia tetap membawa jejak/watak manusia seniman yang melahirkannya.
Maka mungkin benar: you are dating the work, not the artist.
Tetapi karya itu tetap membawa cebisan daripada jiwa seniman yang anda pilih untuk tidak mencintai.
Sepanjang perjalanan sebagai pelukis, saya mengenali ramai kolektor. Ada yang datang seperti deru angin-tiba, menyapa, beriklim dan bermusim.
Ada yang tumbuh berpunca, ranum merasa lalu perlahan-lahan layu dan binasa.
Ada juga yang petah berbicara, pandai bertawar dan bercerita, tetapi tidak perlu setia.
Tidak kurang juga yang penuh setia berakhir dengan syak wasangka.

Semuanya asam garam dunia seniman yang saya terima dengan lengan terbuka.
Namun dalam pada itu saya tidak harus menipu diri sendiri. Sebagai manusia yang mempunyai emosi, saya juga pernah terasa hati.
Kolektor yang saya pandang tinggi, hormati hati budinya dan saya anggap sebagai pemerhati perjalanan seni saya, tidak semestinya menjadi penyokong sejati.
Dan di situlah saya mula memahami bahawa kematangan seorang pelukis bukan hanya diukur daripada berapa banyak karya yang terjual, tetapi daripada sejauh mana ia mampu menerima hakikat bahawa orang yang membeli karyanya tidak semestinya membeli seluruh dirinya.
Matawang harga diri seniman bukan ditentukan dek pasaran apatah lagi pembeli.
Saya pernah mengumpul gelaran-gelaran yang telah diberikan kepada saya oleh seorang kolektor hebat: Lazy Artist, Cheapskate Artist, Jaguh Kampung dan Over-exposed Artist.
Cemuhan ini datang dari punca yang saya sendiri tidak jelas asbabnya. Ironisnya, sejumlah besar karya saya masih terdapat dalam koleksi beliau.
Saya tidak tahu sama ada itu suatu bentuk penghinaan, kekaguman, atau kedua-duanya sekali gus. Lebih trajis bila hubungan pelukis dan kolektor itu dinilai dari jumlah karya dalam simpanan koleksinya.
Membeli puluhan/ratusan karya seorang pelukis tidak semestinya membeli harga diri seniman itu.
Perbandingan ini tidak datang dari satu sudut yang terasing kerana ada mereka yang tidak pernah memiliki karya saya tetapi mengikuti perkembangan perjalanan artistik saya dengan begitu dekat.
Malah mereka tidak pernah menyandang status kolektor bila berbicara tentang karya kerana belum layak katanya.
Ada pula yang mengumpul karya saya secara terpencil, kecil-kecilan, jarang-jarang, tetapi dengan penuh kasih sayang.
Di sinilah saya mula melihat hubungan pelukis dan kolektor sebagai sesuatu yang jauh lebih kompleks dari transaksi jual beli.
Kolektor mempunyai financial leverage dan dalam banyak keadaan membawa bersama market validation.
Pelukis pula menghasilkan cultural and economic capital yang memungkinkan karya itu bergerak aktif dalam ekologi seni.
Pertukaran ini mungkin saling menguntungkan, tetapi kuasanya tidak pernah benar-benar seimbang.
Masing-masing berdiri di pentas autonomi sendiri yang tidak mungkin diraikan dengan saksama.
Kolektor memiliki karya. Pelukis memiliki pengalaman sejarah yang melahirkan karya itu.
Kolektor boleh menentukan apa yang mahu dimiliki, tetapi tidak semestinya menentukan apa yang karya itu akhirnya bermakna.
Kolektor boleh mempamer, menjual malah membekukan karya, tetapi tidak semestinya membawa apa-apa impak kepada ketulinan jatidiri pelukis yang melahirkannya.
Pendek kata nilai diri pelukis tidak pernah menjadi taruhan kebesaran para kolektor.
Dan mungkin di sinilah kita perlu berhati-hati sebagai pelukis.
Jangan jadikan jumlah kolektor sebagai ukuran nilai diri. Jangan juga menjadikan siapa yang membeli atau berhenti membeli sebagai ukuran penting atau tidaknya karya kita.
Market validation is not the same as artistic validation.

Nah, ada karya yang ditatang pasaran tetapi dilupakan sejarah. Ada karya yang tidak laku pada zamannya tetapi akhirnya mengubah cara kita melihat dunia.
Kita sering lupa bahawa kolektor adalah peserta industri yang membeli karya kerana pelbagai sebab: kecintaan, pelaburan, status, memori, prestij, spekulasi, atau sekadar kerana karya itu membisik sesuatu dalam diri mereka.
Pelukis pula bekerja atas sebab yang kadangkala jauh lebih sukar dijelaskan.
Bagi saya, kita melukis kerana ada sesuatu yang belum selesai dalam diri kita.
Sebab itu, akhirnya saya tidak lagi kalut menentukan sama ada kolektor itu teman atau bukan teman.
Jika persahabatan tumbuh daripada hubungan itu, saya syukuri.
Jika ia berakhir apabila transaksi berakhir, saya terima.
Jika seseorang berhenti membeli tetapi terus mengikuti perjalanan seni saya, saya segani dan hargai.
Dan jika seseorang membeli banyak karya saya tetapi tidak menyukai saya sebagai manusia pelukis atau tidak menghormati perjalanan artistik saya, saya juga harus belajar menerimanya.
Kerana karya yang saya hasilkan tidak akan kekal bersama saya.
Ia akan terpampang di dinding ruang, ke rumah orang, ke dalam koleksi, muzium, gudang, pasaran, sejarah dan memori .
Pemilik berpindah begitu juga tafsirannya. Harga berubah begitu juga nilai pasarannya. Bahkan nama pelukisnya mungkin semakin jauh daripada karya itu sendiri.
Tetapi sebelum semuanya itu berlaku, ada satu perkara yang harus saya pertahankan:
Ia itu hak untuk menentukan kenapa saya melukis.
Kolektor boleh memiliki karya saya.
Pasaran boleh menentukan harganya. Kurator boleh menentukan kedudukannya.
Pengkritik boleh menentukan wacananya.Tetapi tiada seorang pun daripada mereka boleh menjadi pengganti kepada kesedaran saya sendiri tentang mengapa karya itu tercetus.
The market may validate your work, collectors may praise or dismiss your work but none of them can authorise your existence as an artist.
You are the ultimate warrant of your work.
Dr. Jalaini Abu Hassan merupakan pelukis kontemporari terkemuka tanahair, tokoh akademik dan juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN).
