Pada 23 hingga 25 Jun lepas, saya berkesempatan ke Fakulti Seni Gunaan & Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Saya ke sana atas jemputan i-Create UNIMAS (Institute of Creative Arts & Technology).
Selain dari menyampaikan satu kuliah-persembahan berjudul “Living Archive”, saya juga dijemput sebagai panel untuk satu perbincangan berkenaan isu pemilikan dalam projek seni komuniti berasaskan ko-kreasi. Kandungan perbincangan itu saya serahkan pada i-Create untuk kongsikan.
Untuk perkongsian di sini, saya berikan pengenalan ringkas tentang ko-kreasi. Untuk itu, saya rujuk penyelidikan Phd Dr. Mohamad Faizuan Mat, yang juga salah seorang panel dalam perbincangan tersebut. Saya kongsi sedikit atas kapasiti sebagai penyelia Phd beliau dulu, serta penulis-bersama tiga artikel yang pernah diterbitkan dalam tiga jurnal. Perkongsian ini merujuk tiga artikel tersebut.

Penyelidikan beliau memberi tumpuan kepada bagaimana proses menghasilkan seni secara bersama antara artis dan komuniti dapat meningkatkan kesejahteraan sosial, rasa memiliki, dan kualiti hidup, dalam satu penulisan berjudul “Co-creation Method: The Role of Arts towards Impacting the Quality of Well-being” (2023),
Projek Bin di Kampung Muhibbah, Sarawak dijadikan sebagai kajian kes ko-kreasi bersama komuniti. Projek tersebut menunjukkan bahawa penglibatan komuniti dalam menghasilkan karya seni secara bersama dapat meningkatkan hubungan sosial, keyakinan diri, rasa kebersamaan, dan kesejahteraan komuniti. Dalam projek ini, seni tidak lagi hanya sekadar menghasilkan objek, tetapi menjadi medium intervensi untuk mendepani isu masyarakat seperti pengurusan sisa pepejal.
Satu lagi projek yang telah dijadikan kajian kes adalah projek perarakan usungan. Projek ini menunjukkan bagaimana penglibatan komuniti membantu memelihara warisan budaya sambil mengukuhkan identiti dan kerjasama masyarakat.

Ko-kreasi juga boleh dijadikan kaedah kuratorial. Faizuan mengembangkan idea bahawa ko-kreasi bukan sahaja kaedah menghasilkan karya seni, tetapi juga pendekatan kuratorial. Dalam konteks ini, pameran seni menjadi ruang dialog dan pengalaman bersama antara artis, kurator dan komuniti.
Model ko-kreasi yang sering digunakan oleh Dr. Mohamad Faizuan Mat merangkumi empat fasa:
1. Co-experience – mengalami dan memahami isu bersama komuniti.
2. Co-definition – mengenal pasti masalah dan matlamat secara bersama.
3. Co-elevation – berkongsi idea, pengetahuan dan kemahiran untuk memperkaya penyelesaian.
4. Co-development – menghasilkan karya atau penyelesaian secara kolaboratif.

Ko-kreasi boleh ditafsir sebagai satu proses kolaboratif di mana komuniti bukan sekadar menjadi penonton atau penerima manfaat, tetapi menjadi rakan pencipta (co-creator). Nilai utama bukan hanya terletak pada hasil karya seni, tetapi juga pada pengalaman bekerjasama sepanjang proses tersebut.
Katakuncinya ‘pengalaman’. Malah pengalaman boleh diambil sebagai hasil hasil utama ko-kreasi bersama komuniti. Ini menerangkan mengapa kaedah ko-kreasi bersama komuniti tidak begitu sesuai dijadikan bahan pertandingan seni yang berasaskan objek.

Apatah lagi jika dirumitkan dengan hadiah berbentuk wang. Begitu juga penggunaan sesebuah komuniti untuk projek seni yang melibatkan geran atau dana projek komuniti dari mana-mana pihak. Ada kemungkinan berlaku eksploitasi komuniti untuk kepentingan-kepentingan yang tidak berkaitan dengan komuniti itu sendiri.
Situasi begini memerlukan intervensi perundangan, termasuk perjanjian atau kontrak yang dipersetujui bersama sebelum projek dilaksanakan untuk mengelak sebarang bentuk ekslpoitasi.

Dalam penyelidikan Dr.Faizuan, kesejahteraan tidak hanya bermaksud kebahagiaan individu. Ia merangkumi
hubungan sosial yang lebih kukuh,
rasa memiliki terhadap komuniti,
pemerkasaan & keyakinan diri,
penyertaan aktif dalam pembangunan komuniti dan peningkatan kualiti hidup melalui penglibatan dalam aktiviti seni.

Faizuan Mat berhujah bahawa proses ko-kreasi dalam seni visual mampu menjadi pemangkin kepada kesejahteraan komuniti. Kejayaan sesuatu projek bukan hanya diukur melalui kualiti karya seni yang dihasilkan, tetapi juga melalui perubahan positif yang berlaku kepada individu dan komuniti yang terlibat. Penyelidikan beliau mengangkat seni sebagai satu pendekatan pembangunan sosial yang memberi impak kepada kesejahteraan.
Dalam konteks perkembangan sezaman, hubungan ko-kreasi, seni, komuniti, kesihatan mental dan kesejahteraan sosial kini mungkin juga boleh dibaca dari perspektif ekonomi pelancongan berasas pengalaman dan ruang komuniti setempat.

Jika dilihat dari perspektif budaya, ko-kreasi boleh menjadi pemangkin kepada pengembalian seni dari ‘seni untuk masyarakat’ kepada ‘seni bersama masyarakat’ untuk kesejahteraan bersama. Juga dari ‘seni sebagai objek’ kepada ‘seni sebagai pengalaman bersama’.
Jika dibaca sebagai anjakan paradigma, ko-kreasi mungkin boleh dlihat sebagai satu bentuk anjakan pulang-semula ke paradigma tradisi. Secara khususnya, kembali kepada semangat gotong-royong yang sebenarnya merupakan antara ciri-ciri keperibadian masyarakat tradisi di wilayah Nusantara.


Rujukan:
1. Mat, M. F., Saidon, H. J., Khiri, M. J. A., & Leong, S. N. A. (2023). Co-creation method: The role of arts towards impacting the quality of well-being. Journal of Visual Art and Design, 15(1), 37–48.
Research Gate
2. Mat, M. F., Saidon, H. J., Khiri, M. J. A., & Leong, S. N. A. (2024). Reviewing co-creation method in the context of visual arts: Co-creation: A case study of Usungan Parade Project. Journal of Visual Art and Design, 16(1), 45–58. https://doi.org/10.5614/jvad.2024.16.1.4
3. Mat, M. F., Saidon, H. J., & Leong, S. N. A. (2026). Co-creation art as curatorial method: A case study of The Bin 2.0 Art Exhibition. Curator: The Museum Journal. Advance online publication. https://doi.org/10.1111/cura.70053
Hasnul Jamal Saidon: Seniman multidisiplin, kurator dan ahli akademik perintis. Menerima latihan dalam bidang seni lukis di Universiti Teknologi MARA, Southern Illinois University dan juga Ijazah Sarjana Seni Halus dalam bidang Seni Elektronik dan Media Baharu daripada Rensselaer Polytechnic Institute, New York. Praktik beliau merangkumi seni lukis, video, pengimejan digital, instalasi, media interaktif, teknologi, budaya dan masyarakat kontemporari.
Baca tulisan beliau di: Kebun Jiwa Halus
