KL Street Jam kembali dengan edisi khas sempena sambutan bulan kemerdekaan, membawa semangat kebersamaan dan keriangan kepada warga kota.
Program tahunan anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini terus mengekalkan semangat asalnya sebagai acara terbuka yang meraikan muzik tempatan dalam suasana santai dan inklusif.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2013, KL Street Jam menjadi antara acara bulanan yang dinanti-nantikan, bermula dari pentas jalanan ikonik di Jalan Raja Laut dan Dataran Merdeka.
Kini ia terus berkembang sebagai platform merakyat yang mendekatkan seni muzik kepada masyarakat secara langsung di ruang awam.
“Bagi tahun 2025, KL Street Jam dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 2 Ogos di Laman Jejak Pahlawan @ Bulatan Dato’ Onn, bermula jam 6.00 petang hingga 11.00 malam.
“Perubahan tarikh dan lokasi ini dibuat susulan satu perhimpunan besar di Dataran Merdeka pada tarikh asal, 26 Julai.
“Pemilihan Jejak Pahlawan sebagai lokasi baharu bukan sahaja memberi nafas segar, tetapi turut menyokong aspirasi DBKL untuk menjadikan ruang ini sebagai pentas tetap bagi acara budaya dan seni komuniti di tengah bandar raya,” kata DBKL dalam satu kenyataan.
Dengan tema “Merdeka Street Vibes”, edisi kali ini menjanjikan malam yang penuh warna dan nostalgia. Ia bukan sahaja menghiburkan, malah mengangkat nilai kebersamaan merentas usia dan latar masyarakat.
Antara nama besar yang bakal mengisi pentas ialah Haiza, Maman Teachers Pet, dan kumpulan Dr. Kronik.
“Persembahan mereka akan diiringi oleh Kombo Budaya DBKL dan Artis Budaya DBKL. Malam istimewa ini akan dihoskan oleh personaliti terkenal, Muaz.
“Dalam masa yang sama, Kool FM tampil sebagai rakan media rasmi, menyokong promosi acara dan mengukuhkan hubungan dengan komuniti seni tempatan,” kata kenyataan itu lagi.
Bagi menambah seri dan keselesaan pengunjung, beberapa gerai push cart turut disediakan untuk menjual makanan dan minuman ringan.
Lokasi berhampiran seperti D’Tebing dijangka menerima limpahan pengunjung, sekaligus menyumbang kepada suasana meriah dan menyokong kegiatan penjaja kecil serta ekonomi komuniti setempat.
Untuk memastikan kelancaran acara, satu lawatan tapak bersama jabatan-jabatan berkaitan telah diadakan pada 23 Julai lalu.
“Pemeriksaan ini bertujuan meneliti aspek pencahayaan, kebersihan, papan tanda panduan, keselamatan dan keselesaan kawasan acara.
“Dalam masa yang sama, promosi akan dipergiat menerusi saluran media sosial, paparan visual dan papan tanda di lokasi strategik agar kehadiran pengunjung dapat digalakkan secara meluas,” katanya.
KL Street Jam 2025 bukan sekadar pesta muzik jalanan, tetapi lambang komitmen DBKL dalam memperkasa seni bandar dan mengaktifkan ruang awam sebagai pentas ekspresi yang terbuka, segar dan berjiwa rakyat. Ia adalah perayaan seni, komuniti dan kemerdekaan dalam satu getar nadi kota yang hidup dan berbudaya.
