Jangan tuduh saya sebagai seorang yang nostalgik. Memang benar saya masih banyak menyebut atau mengimbau Sartre atau Camus dengan sebutan à la française, sesekali meromantiskan Nietzsche atau Jung.
Bukan kerana saya percaya pemikir-pemikir itu memiliki semua jawapan, tetapi kerana mereka mengemukakan persoalan yang masih belum selesai dijawab.
Persoalannya bukan semata-mata tentang bagaimana manusia hidup, tetapi bagaimana manusia berhadapan dengan kebebasan, makna dan dirinya sendiri.
Sejauh mana kita benar-benar bebas menentukan hidup sendiri?
Adakah kebebasan sentiasa membawa kebahagiaan, atau bolehkah terlalu banyak pilihan akhirnya menjadi satu bentuk beban?
Dan mengapa, dalam dunia yang menawarkan lebih banyak peluang daripada sebelumnya, manusia masih boleh berasa terperangkap, tidak cukup dan keletihan?
Saya tidak menolak idea-idea baharu. Setiap zaman melahirkan pemikirnya sendiri.
Selepas Perang Dunia Kedua, Sartre, Camus, Arendt dan ramai lagi cuba memahami dunia yang telah berubah dan manusia yang terpaksa hidup di dalamnya.
Tidakkah masuk akal jika abad ke-21 juga memerlukan falsafah yang mampu menerangkan penyakit-penyakit zamannya sendiri?
Dua puluh tahun kebelakangan ini melahirkan beberapa nama yang saya rasa cukup menarik.
Kate Raworth, misalnya, mengajak kita memikirkan semula sama ada ekonomi benar-benar wujud untuk manusia, atau manusia yang kini wujud demi memenuhi tuntutan ekonomi.
Daniel Christian Wahl pula mengembangkan idea bahawa matlamat kita bukan sekadar membina dunia yang lestari, tetapi dunia yang mampu memulihkan dirinya sendiri.
Kemudian ada Byung-Chul Han.
Jangan tuduh saya tidak pernah minat atau peduli dengan apa-apa yang lahir dari Korea semata-mata kerana saya tidak suka kimchi atau tidak pernah tonton mana-mana K-drama di Netflix.
Ahli falsafah kelahiran Korea Selatan yang mengajar di Jerman ini banyak menulis tentang masyarakat kontemporari, daripada neoliberalisme dan teknologi sehinggalah budaya digital.
Namun dalam The Burnout Society, tumpuannya lebih dekat dengan kehidupan seharian.
The Burnout Society pertama kali diterbitkan dalam bahasa Jerman dengan judul Müdigkeitsgesellschaft pada tahun 2010.
Terjemahan bahasa Inggeris oleh Erik Butler diterbitkan oleh Stanford University Press pada tahun 2015.
Bukunya nipis sahaja dan boleh dihabiskan sekali duduk. Pengarangnya cuba memahami mengapa manusia moden, yang hidup dengan lebih banyak kebebasan, lebih banyak teknologi dan lebih banyak peluang berbanding mana-mana generasi sebelumnya, masih kelihatan begitu letih.
Persoalan itu mungkin kedengaran mudah, tetapi jawapan yang diberikannya jauh daripada biasa.
Han tidak menawarkan petua untuk mengurus tekanan atau cara mencapai keseimbangan antara kerja dan kehidupan. Sebaliknya, beliau mengemukakan satu diagnosis.
Menurutnya, keletihan manusia moden bukan sekadar masalah individu. Ia ialah simptom sebuah masyarakat yang sedang berubah.

Perubahan itu bermula dengan sesuatu yang mungkin kita sendiri tidak sedari.
Han membezakan dua bentuk masyarakat. Yang pertama ialah disciplinary society atau masyarakat disiplin, satu konsep yang dipinjam dan dikembangkan daripada ahli falsafah Perancis, Michel Foucault.
Dalam Discipline and Punish, Foucault berhujah bahawa masyarakat moden dibentuk melalui institusi seperti sekolah, kilang, berek tentera, hospital dan penjara.
Melalui pengawasan, pemeriksaan, disiplin dan normalisasi tingkah laku, institusi-institusi ini menghasilkan individu yang patuh dan produktif.
Menurut Han, bentuk masyarakat inilah yang semakin berundur dan digantikan pula oleh apa yang beliau panggil sebagai achievement society atau masyarakat pencapaian.
Dalam masyarakat disiplin, kehidupan dibina di atas larangan dan arahan. Bahasa yang digunakan juga bahasa yang keras.
“Mesti.” “Tidak boleh.” “Dilarang”. Kuasa datang dari luar. Seseorang diperhatikan, dikawal dan dihukum apabila melanggar peraturan.
Menurut Han, bentuk masyarakat inilah yang semakin berundur dan digantikan dengan masyarakat pencapaian.
Han tidak menolak analisis Foucault. Sebaliknya, beliau berhujah bahawa bentuk kuasa itu telah berubah. Kita tidak lagi hidup dalam masyarakat yang dikawal terutamanya melalui larangan, tetapi melalui dorongan untuk sentiasa mengejar lebih banyak pencapaian.
Bahasa yang menguasai kehidupan dalam masyarakat pencapaian bukan lagi “anda mesti”, tetapi “anda boleh” atau “anda mampu”.
Anda boleh membuka perniagaan sendiri. Anda boleh bekerja dari mana-mana. Anda boleh belajar apa sahaja. Anda boleh menjadi pencipta kandungan atau influencer. Anda boleh menjadi versi terbaik diri sendiri. Anda boleh menjadi Perdana Menteri.
Sekilas pandang, perubahan ini kelihatan membebaskan. Siapa yang tidak mahu hidup dalam masyarakat yang menawarkan peluang tanpa batas? Bukankah kebebasan sentiasa lebih baik daripada paksaan?
Han tidak menolak kebebasan tersebut. Sebaliknya beliau bertanya sama ada kebebasan itu benar-benar bebas. Di sinilah hujahnya menjadi menarik.
Menurut Han, masyarakat pencapaian tidak menghapuskan tekanan. Ia hanya mengubah bentuk tekanan. Jika dahulu tekanan datang daripada orang lain, hari ini tekanan datang daripada diri sendiri.
Dalam masyarakat lama, apabila seseorang penat bekerja, dia tahu siapa yang harus dipersalahkan. Majikan yang menekan. Penyelia yang zalim. Sistem yang tidak adil.
Tetapi dalam masyarakat pencapaian, kegagalan semakin dilihat sebagai kegagalan peribadi. Jika kita tidak berjaya, kita menyalahkan diri sendiri.
Jika kita tidak produktif, kita menganggap diri kurang berusaha. Jika kita tidak mencapai sasaran yang ditetapkan, kita percaya masalahnya terletak pada disiplin kita, bukannya pada sistem yang mengelilingi kita.
Daripada pemerhatian inilah lahir ayat Han yang paling terkenal: “The achievement-subject exploits itself until it burns out.”
Manusia moden tidak lagi memerlukan seorang majikan yang kejam untuk dieksploitasi. Kita semakin mahir mengeksploitasi diri sendiri.
Inilah paradoks masyarakat pencapaian. Kita berasa bebas, tetapi dalam kebebasan itu kita menjadi “pengawas” kepada diri sendiri. Kita menetapkan sasaran, mengukur prestasi, menilai pencapaian, kemudian menghukum diri apabila gagal memenuhi jangkaan yang kita tetapkan sendiri.
Bagi Han, bentuk kuasa yang baharu ini sebenarnya lebih berkesan daripada kuasa lama. Kuasa yang memaksa sentiasa menimbulkan penentangan. Sebaliknya, kuasa yang membuat seseorang percaya bahawa semua keputusan itu datang daripada dirinya sendiri jarang sekali dipersoalkan.
Daripada sinilah Han memperkenalkan satu lagi konsep penting, iaitu keganasan positif (the violence of positivity).
Istilah ini kedengaran ganjil kerana kita biasanya mengaitkan keganasan dengan sesuatu yang kasar atau memaksa. Han menggunakan perkataan “keganasan” dalam makna yang berbeza. Baginya, sesuatu yang terlalu positif juga boleh menjadi ganas.
Masyarakat hari ini dipenuhi dengan bahasa yang positif. Kita digalakkan mengejar impian, keluar daripada zon selesa, bekerja lebih keras, menjadi lebih baik dan sentiasa memperbaiki diri. Tidak ada satu pun nasihat itu yang salah jika dilihat secara berasingan.

Masalahnya ialah apabila semuanya digabungkan menjadi satu tuntutan yang tidak pernah berhenti.
Apabila setiap hari kita diingatkan bahawa kita boleh melakukan lebih banyak perkara, kita akhirnya percaya bahawa apa yang telah kita lakukan tidak pernah mencukupi.
Apabila setiap bakat dianggap boleh dijadikan kerjaya, kita mula berasa bersalah jika sekadar menikmati sesuatu tanpa menjadikannya sumber pendapatan. Apabila setiap minit boleh dioptimumkan, masa lapang mula kelihatan seperti satu pembaziran.
Di sinilah Han melihat lahirnya satu bentuk penindasan yang baharu. Tiada siapa memaksa kita. Namun kita sendiri tidak lagi memberi izin kepada diri untuk berhenti.
Atas sebab itu, Han tidak melihat burnout sebagai sekadar masalah psikologi seseorang individu. Beliau melihatnya sebagai penyakit sebuah tamadun.
Kita sering bercakap tentang burnout seolah-olah ia berpunca daripada kelemahan seseorang mengurus masa atau tekanan kerja.
Han berpandangan sebaliknya.
Jika semakin ramai mengalami keletihan, keresahan dan kemurungan, persoalannya bukan lagi mengapa individu gagal menyesuaikan diri, tetapi sama ada masyarakat yang sedang kita bina itu sendiri sedang menghasilkan keletihan sebagai sesuatu yang normal.
Ini membawa kepada satu lagi pemerhatian yang menarik.
Han mengatakan masyarakat hari ini semakin kehilangan keupayaan untuk memberikan perhatian yang mendalam.
Kita semakin cekap melakukan banyak perkara serentak, tetapi semakin sukar menumpukan perhatian kepada satu perkara dalam tempoh yang panjang.
Perhatian kita sentiasa beralih daripada satu rangsangan kepada rangsangan yang lain.
Bagi Han, keadaan ini bukan tanda kecerdasan yang semakin meningkat. Sebaliknya, ia menandakan perhatian manusia semakin cetek. Keupayaan untuk merenung, memikirkan sesuatu secara perlahan dan memberi tumpuan yang mendalam semakin terhakis.
Di sinilah beliau menghubungkan perhatian dengan kebosanan.
Dalam dunia moden, kebosanan sering dianggap sebagai musuh. Setiap saat yang kosong perlu diisi. Setiap masa menunggu perlu dihapuskan. Kita semakin sukar menerima kewujudan ruang yang tidak menghasilkan apa-apa.
Sedangkan, menurut Han, kebosanan yang mendalam bukan sesuatu yang harus dielakkan. Daripada ruang kosong itulah lahirnya renungan. Daripadanya lahir imaginasi, dan daripadanya juga lahir kreativiti.
Apabila kehidupan dipenuhi rangsangan tanpa henti, manusia kehilangan keupayaan untuk benar-benar berhenti dan memikirkan dirinya sendiri.
Han juga tidak pernah menyalahkan telefon pintar atau media sosial. Bagi beliau, teknologi tersebut lebih merupakan manifestasi kepada logik masyarakat pencapaian daripada punca sebenar masalah. Jika telefon pintar hilang sekalipun, logik itu masih akan mencari bentuk yang lain.
Penyakit sebenar bukan terletak pada teknologi, tetapi pada cara kita mula memahami diri sendiri.
Kita tidak lagi melihat manusia sebagai manusia. Kita melihat manusia sebagai sebuah projek. Sebuah projek yang tidak pernah selesai. Sentiasa perlu dipertingkatkan. Sentiasa perlu diperbaiki. Sentiasa perlu membuktikan nilainya.
Saya rasa di situlah kekuatan The Burnout Society. Han tidak memberikan penyelesaian yang mudah. Beliau tidak menyuruh kita berhenti menggunakan media sosial, meninggalkan pekerjaan atau pulang ke kampung.
Seperti kebanyakan ahli falsafah, beliau tidak tergesa-gesa menawarkan jawapan. Sebaliknya, beliau memaksa kita melihat semula andaian yang selama ini kita anggap benar.
Mungkin selama ini kita menyangka bahawa semakin banyak kebebasan akan menjadikan manusia semakin bahagia. Han mengingatkan bahawa kebebasan juga boleh berubah menjadi beban apabila setiap kebebasan datang bersama tuntutan untuk sentiasa membuat lebih banyak pencapaian.
Dan mungkin di situlah persoalan sebenar yang ditinggalkan Han. Bagaimana jika kita sebenarnya sudah bebas, tetapi tidak pernah berasa bebas? Bagaimana jika kita tidak lagi dipaksa oleh orang lain, sebaliknya telah belajar memaksa diri sendiri?
Mungkin di situlah paradoks terbesar manusia moden. Kita mempunyai lebih banyak pilihan, lebih banyak peluang dan lebih banyak kebebasan berbanding mana-mana generasi sebelumnya.
Namun dalam mengejar semua kemungkinan itu, kita juga menjadi generasi yang paling sukar untuk berhenti.
Dan mungkin itulah bentuk keletihan yang paling sukar dipulihkan.
AHMAD KAMAL ABU BAKAR berharap bekas rakan-rakan sekerja beliau kini faham kenapa beliau lebih banyak menghabiskan masa terlantar di sofa pejabat. Beliau boleh dihubungi di tulislajulaju@gmail.com
