CAK. Cak. Cak.
Betul kata cicak. Kita ni tak ada taste!
Dari setinggi-tinggi jawatan Pak Menteri sehingga serendah-rendah jawatan Budak Pejabat – kita ini tak ada taste!
“Saya buat kerja ‘ja, bang!” Kata budak yang baru keluar kolej art and design itu.
Lihat sahaja logo Hari Kebangsaan kita! Lihat sahaja logo Tahun Melawat Malaya kita! Lihat sahaja buku laporan tahunan kita! Lihat sahaja poster kita! Lihat sahaja baju korporat kita! Lihat sahaja pakaian atlet kita ke temasya sukan dunia! Dan lihat sahaja segala macam tok nenek reka bentuk grafik untuk hal-hal rasmi kita! Tak ada taste!
“Saya buat tiga design, bang! Satu, yang saya suka. Satu lagi, yang saya suka juga dan yang saya fikir mereka akan suka. Dan yang last tu… saya buat cincai-cincai sahaja!” Kata budak yang baru keluar kolej art and design itu. “Mereka pilih yang cincai-cincai tu, bang!”
“Kenapa buat tiga design?” Tanya saya.
“Sebab mereka suruh.” Jawab budak itu.
“Kau tak pertahankan design kau ke?” Tanya saya lagi.
“Tak! Saya buat kerja ‘ja, bang!” Jawab budak itu lagi.
Definisi ‘tak ada taste!’ mengikut KIMD:
have (no) ~, (tdk) pandai membuat pilihan; he has no ~ at all.
Look at his clothes, dia tdk pandai membuat pilihan langsung. Tengoklah bajunya; (Kamus Inggeris-Melayu Dewan)
atau
be in bad ~, a. (of person’s choice of clothes, work of art, etc) pilihan yg tdk baik; (Kamus Inggeris-Melayu Dewan)
Dalam erti kata mudahnya – tak ada CITA RASA. Cita rasa kita cekai! Sepatah kata P. Ramlee dalam filem Masam Masam Manis, “Low class!” Tidak mencapai standard atau tidak mencapai piawaian.
Kata kawan saya, dari segi fesyen juga kebanyakan kita ini tak ada taste. Ada duit banyak – tidak kira secara halal atau ambil rasuah – orang kita dalam bab fesyen memang ke laut. Pakai designers brands tetapi tetap kelihatan buruk sebab tak ada taste. Kita beli apa sahaja designers brands yang ada dengan harga mahal walaupun designnya buruk dan hodoh. Kenapa? Sebab kita ini tak ada taste.
Apabila satu-satu reka bentuk grafik itu dikatakan oleh orang banyak sebagai buruk dan hodoh di media sosial – mulalah kita menunding jari kepada pihak lain. Walhal, kita jugalah yang bersetuju ketika ia dibentang dalam mesyuarat untuk dipilih dan diluluskan. Budak art design itu apa tahu!? Dia budak lagi! Dan dia pun dah bagitahu yang ‘dia cuma nak buat kerja dia sahaja (yakni nak buat reka bentuk grafik seperti apa yang dia dah belajar di kolej)’. Kerja pilih memilih ini dia tak buat! Sebab gaji dia kecil. Sebab dia malas nak bertekak dengan bos-bos. Sebab gaji bos-bos besar. Silap-silap, kalau melawan bos-bos, dia boleh dikenakan tindakan tatatertib dan dibuang kerja.
“Gaji saya ciput ‘ja, bang!” Kata budak itu, “Maklumlah… baru keluar kolej!”
Sudahnya, kita buat semula reka bentuk itu. Dan ini akan melibatkan kos tambahan (masa dan wang). Silap-silap budget boleh burst.
Dan itulah kita. Yang ada kuasa untuk memilih dan konco-konco kita yang sering mengangguk-angguk seperti merpati sedang mencari remah-remah di atas tanah. Pemikiran kita ini dah korup. Decadent! Kita nak buat kerja budak art and design itu sedangkan kita ini belajar Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa semasa di universiti dulu.
“Tapi, I cuma pilih saja, you! Kerja design-design itu bukan I yang buat, tau!”
Betul! Tetapi kamu membuat pilihan tanpa berlandaskan ilmu art and design. Pengetahuan dalam unsur seni dan prinsip rekaan (dan sejarah serta falsafah seni lukis). Ilmu tu kamu tak ada! Nol!
“I salah ke, you? Cakaplah! Cakap!!!”
Selain cantik dan menarik pada pandangan mata – satu-satu reka bentuk grafik itu mestilah berfungsi (functional)! Ini penting! Ini fatwa (dalam seni lukis). Ini dogma (dalam seni lukis). Tak boleh langgar. Kalau langgar, ‘berdosa’.
‘Graphics are visual elements often used to point readers and viewers to particular information. They are also used to supplement text in an effort to aid readers in their understanding of a particular concept or make the concept more clear or interesting.’
Lihat sahaja reka bentuk poster pemberitahuan sayembara kita! Sarat dengan teks. Semua benda kita nak sumbat dalam paparan bersaiz 6.12 inci diagonal telefon bimbit kita.
“Kan boleh zoom, you!”
Zoom menjadikan kamu lambat, sayang! Sungguh! Kerana maklumat perlu disampaikan dengan cepat. Dengan sepintas lalu. One glance!
Tidak bolehkah kita buat poster yang simple, yang one glance, tapi di bawahnya disertakan sekali dengan hyperlink untuk pembacaan atau maklumat yang lebih terperinci yang terkandung di dalam laman sesawang yang mempunyai kapasiti lebih besar?
Kadang, kita ni tidak faham fungsi poster.
‘Posters can be a highly effective means of advertising and promoting a product, service or event. They are a visual medium that can QUICKLY capture the attention of a target audience, convey key information, and leave a lasting impression.’
Yang kita menulis teks untuk poster macam nak mengarang cerpen itu mengapa? Dah gila?
Fakulti Art and Design ITM (kini UiTM) wujud sejak 1970. Kini telah melahirkan beribu-ribu orang pereka bentuk. Pelukis seni halus, pereka bentuk grafik, pereka fesyen, pereka bentuk tekstil, pereka bentuk industrial. Begitu juga dengan Malaysian Institute of Art (diasaskan pada tahun 1967) dan beberapa kolej seni lukis yang lain lagi di Malaya.
Tidak bolehkah kita menerima rekaan dan saranan pereka bentuk ini? Itukan kerja mereka. Tidak bolehkah kita upah pereka bentuk yang benar-benar kompeten dalam bidangnya? Pereka bentuk yang betul-betul pergi sekolah seni lukis. Dan bukannya pereka bentuk celup (yang dulunya entah apa pekerjaan mereka; hilang kerja kerana Covid-19; belajar bidang fotografi, videografi, dan reka bentuk melalui YouTube sahaja).
Kenapa kita masih nak upah mereka yang tidak ada latar belakang ilmu reka bentuk untuk membuat kerja-kerja mereka bentuk ini? Kenapa? Kerana boleh? Kerana kasihan? Tapi kamu tak kasihankah dengan reka bentuk yang macam celaka yang ada sekarang ini?
Slogan Now Everybody Can Fly (AirAsia) tidak boleh diterapkan dalam bidang ini sebagai Now Everybody Can Design. Tak boleh! Haram!!! Walaupun Desktop Publishing dan Artificial Intelligence (AI) membolehkan sesiapa sahaja melakukan pekerjaan tersebut, waima nenek kita sekali pun.Kerja-kerja mereka bentuk perlu datang dengan ilmu pengetahuan (dalam bidang tersebut). Period.
“You! Pandanglah muka I, You! Pandanglah…. Kalau I salah, I minta maaf!”
Ahhh!!!
Good design goes straight to heaven; bad design goes everywhere.
Betul kata cicak.
Cak. Cak. Cak.
– JIMI MAHMUD merupakan peminat nombor satu Janna Nick tetapi tidak pernah menonton drama atau filem lakonan pelakon pujaannya itu.

