“Kadang-kadang, kita tidak perlu keluar jauh atau merantau untuk mencari subjek, kerana subjek ada di sekeliling kita”.
Itu adalah antara kata-kata yang saya ingat disebut oleh Dr. Zakaria Ali ketika merasmikan pameran “KITA: Naratif Visual & Pengalaman” atau “KITA: Pasar ke Dapur, Rumah ke Jalan…” di Galeri Ruang Teduh di Exchange 106, TRX pada petang Sabtu, 11 Julai 2026 lalu.
Pameran seni yang berlangsung dari Jun hingga Julai 2026 lalu itu menampilkan kehidupan seharian, pemandangan sekitar, hal-hal dan objek-objek di sekeliling kehidupan pelukis sebagai tema dan subjek seni lukis.
Jelasnya, pameran ini mengangkat hal-hal dan objek-objek dalam kehidupan di sekeliling kita, perkara yang sebenarnya, bukan yang di luar kenyataan, atau bukan yang bukan-bukan.
Menampilkan Shah Nizam Zainudin Ithnin, Ryzalman Misran, Shaarim Sahat, Mohd Foad Hassan dan Dr. Zakaria Ali, pameran ini, sebagaimana tajuknya, mengajak pengunjung dan khalayak menghayati persekitaran kita menerusi tema-tema dan objek-objek biasa yang diangkat sebagai subjek seni menerusi karya-karya berbentuk landskap, potret, figura manusia, dan alam benda.
Pelukis-pelukis ini menunjukkan kepada khalayak, betapa perkara-perkara atau objek-objek yang kelihatan biasa, sebenarnya mempunyai naratif dan makna yang tersendiri bagi setiap orang, iaitu “KITA”.
Sudah lama juga rasanya kita tidak dihidangkan dengan pameran sedemikian rupa, yang lebih membawa semangat pendekatan konvesional dan seni moden, berbanding gaya seni kontemporari yang eklektik dan pluralistik.
Pelukis-pelukis gerakan seni moden awal seperti Impresionisme dan Postimpresionisme memang gemar pada subjek-subjek sedemikian rupa.
Malahan, sejarah seni catan yang menggambarkan suasana kehidupan seharian sebagai subjek telah bermula lebih awal daripada seni moden pada era Renaisans sekitar abad kelima belas lagi menerusi karya-karya Peter Bruegel, dan mencapai kemuncaknya pada sekitar abad ketujuh belas di Belanda terutamanya menerusi sentuhan seni JohannesVermeer.
Dalam konteks sejarah seni dunia, kemunculan suasana kehidupan seharian sebagai subjek catan yeng disebut “catan genre” atau “genre paintings” ini ada kaitan dengan perkembangan sosiobudaya masyarakat di Eropah yang pada awalnya meletakkan seni catan keagamaan khususnya berkaitan agama Kristian di tempat tertinggi.
Hal ini ada kaitan dengan hakikat bahawa seni catan dinaungi oleh pihak Gereja, sementara catan genre berada di kedudukan yang bawah, di belakang karya catan keagamaan dan ilustrasi manuskrip.
Peter Bruegel kemudiannya menogkah arus dengan menghasilkan siri karya yang menggambarkan suasana kehiduapn seharian, seperti gambaran kehidupan petani, suasana kerja dan majlis keramaian di desa, meskipun begitu masih memiliki nilai-nilai moral dan pengajaran.
Di Belanda, pada abad ke-17, Vermeer mengangkat subjek harian ke dalam catan genre ke tahap yang tinggi menerusi pengolahan seni yang penuh kehalusan, ketelitian dan ketepatan. Karya-karya pentingnya seperti “The Milkmaid” (1657-58), “Woman Reading a Letter” (1657-58) dan “The Lacemaker” (1669) mencerminkan pengamatan yang tajam terhadap model dan objek menerusi pengolahan warna, kesan cahaya dan bayang yang tepat.
Pelukis-pelukis Sepanyol pula cukup hebat dan terkenal dengan karya-karya catan alam benda yang realistik. Sewaktu menuntut di Universiti Kent, di Canterbury, England (1994-1997), saya telah berpeluang melawat pameran “Spanish Still Life From Velasquez to Goya” di National Gallery London yang berlangsung daripada 22 Februari hingga 22 Mei 1995.
Antara pelukis-pelukis penting yang diketengahkan ialah Sanchez Cotan, Van der Hamen dan Zurbaran. Liputan pameran ini telah saya tulis dalam majalah Dewan Budaya keluaran Julai 1995 dan kemudiannya terbit dalam buku saya Seni Lukis Sezaman terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, (2007).
Saya amat kagum dengan ketepatan subjek alam benda yang digambarkan dengan teliti lagi terperinci, terutamanya menerusi karya-karya Sanchez Cotan (1560-1627) seperti “Still Life with Quince Cabbage, Melon and Cucumber”, cat minyak, 69.2 x 85 cm, (Koleksi San Diego Museum of Art).
Apabila melihat karya-karya catan alam benda oleh pelukis-pelukis Malaysia seperti Ahmad Zakii Anwar, ataupun Ryzalman Misran dalam pameran “KITA”, saya teringatkan karya-karya oleh Sanchez Cotan ini.
Daripada berada di tahap terbawah hiraki Seni Barat, catan genre dan alam benda kemudiannya beransur-ansur meningkat didorong oleh faktor-faktor perubahan sosiobudaya masyarakat.
Menurunnya pengaruh Gereja sebagai penaung seni, dan munculnya golongan bangsawan dan kelas pedagang, serta lahir pula kelas bawahan dan pekerja, telah menyuburkan tema-tema seni lain, meskipun catan sejarah masih berada di tahap tinggi khususnya dalam budaya Salon dan amalan seni akademi di Perancis pada abad ke-19.
Kemunculan seni moden seperti Impresionisme pada akhir abad ke-19 dan awal alaf baharu yang menggambarkan pemandangan kota dan desa, serta gaya kehidupan orang biasa dan kebanyakan adalah seiring dengan Revolusi Industri dan kemajuan hidup masyarakat bandar ketika itu.
Catan genre dan alam benda mula mendapat perhatian, sedikit demi sedikit menggantikan kepentingan catan keagamaan dan sejarah.
Jika ditinjau sejarah seni moden Malaysia pula, catan genre dan alam benda mendapat tempat yang istimewa di kalangan pelukis-pelukis Nanyang dan Angkatan Pelukis Semenanjung (APS), meskipun sudah dirintis oleh pelukis-pelukis cat air Pulau Pinang pada tahun 1930-an.
Pelukis-pelukis Nanyang banyak menimba inspirasi daripada pelukis-pelukis moden perintis terutamanya the School of Paris dengan menggambarkan kehidupan seharian dan alam benda sebagai tema, seperti dilihat dalam karya-karya Cheong Soo Pieng, “Kehidupan Tropika”, cat air, 88.9 x 45.6 cm, (1959) dan Georgette Chen, “Lychees and Peaches”, cat minyak, 38 x 46 cm, (1940-45) (Muliyadi Mahamood, Seni Lukis Moden Malaysia: Era Perintis hingga Era Pluralis (1930-1990), Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd, 2001).
Pelukis-pelukis Angkatan Pelukis Semenanjung (APS) seperti Mohd Hoessein Enas, Mazli Mat Som dan Mohd Salehuddin menyuburkan penghasilan seni catan genre yang menampilkan kegiatan harian dengan memberi tumpuan kepada pengolahan figura dan potret sebagai cerminan identiti bangsa dan budaya.
Antara karya-karya yang dominan dan kebanyakannya berada dalam koleksi Balai Seni Negara ialah catan Mazli Mat Som, “Menanti Nelayan”, cat minyak, 76 x 92 cm, (1958) dan Mohd Salehuddin, “Membeli-belah di Kampung”, 80 x 70 cm, (1959).
Rentetan itu, berjalan atau melintas lalu di hadapan galeri Ruang Teduh sambil menjenguk ke dalam, atau memasuki ruang pameran galeri ini, karya-karya yang dengan pantas menarik perhatian saya ialah catan-catan cat air dan akrilik oleh Ryzalman Misran dan karya-karya cat minyak dan akrilik oleh Dr. Zakaria Ali, bukan hanya kerana warna dan cahaya yang segar, terang dan menonjol, tetapi juga dari segi sifat realisme yang ditampilkan dengan kukuh, kemas dan teliti itu sudah berjaya menangkap perhatian dan penglihatan saya, malah mungkin juga audiens lain dari jarak yang jauh.
Ryzalman Misran menerusi karya-karya berjudul “Value Versus Worth”, akrilik atas kanvas, 112 x 60 cm, (2022), “Ikan di Laut, Asam di Darat”, cat air atas kertas, 76 x 56 cm, (2024) dan “Mengenang Asal Usul”, cat air atas kertas, 117 x 56 cm, (2026) melukis dengan teliti dan kemas benda-benda biasa dalam kehidupan kita, dalam konteks ini ikan segar dan ikan kering yang mungkin dibeli di pasar basah, kedai runcit atau di pasar raya berhampiran rumah kita, atau mengingatkan kita kepada asal-usul kehidupan keluarga kita yang susah di kampung.
Ryzalman menggerakkan kepekaan kita terhadap objek-objek yang kadangkala tidak kita pedulikan, kepada objek estetik yang meminta perhatian dan penghayatan.
Dia menunjukkan bahawa keindahan ada di mana-mana dan pada banyak benda, yang biasa ataupun yang kelihatannya tidak sempurna, justeru terpulang kepada kita untuk meneliti dan menghayatinya.
Malahan, misalnya, keindahan ada pada plastik pembungkus barangan runcit atau ikan yang dibeli di pasar atau kedai.
Hal ini yang disebut Leonard Koren sebagai “wabi-sabi” dalam bukunya Wabi-Sabi: Further Thoughts (Point Reyes, California: Imperfect Publishing, 2015), iaitu nilai estetik tradisional Jepun yang terbit daripada objek-objek yang tidak sempurna, tidak kekal dan tidak lengkap: keindahan pada benda-benda yang sederhana, keindahan pada benda-benda yang tidak konvensional.
Ataupun yang diperkatakan oleh Soetsu Yanagi dalam The Beauty of Everyday Things (Penguin Books, tahun terbitan tidak dinyatakan) tentang keindahan yang terdapat pada objek-objek biasa yang digunakan untuk kegunaan harian.
Karya-karya catan Dr. Zakaria Ali “Lockdown I”, cat minyak atas kanvas, 81 x 93 cm, (2020), “The Encounter”, cat minyak atas kanvas, 73 x 91 cm, (2022) dan “The Red Pulley, 9am”, cat minyak atas kanvas, 83 x 114 cm, (2023) menangkap cahaya dengan berkesan.
“Lockdown I” mengimbau ingatan ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 dengan semua orang terperap di rumah masing-masing dan tidak boleh ke mana-mana lantaran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Dalam karya ini, kesunyian amat terasa, diterjemahkan menerusi imejan sebuah basikal mainan kanak-kanak yang dibiarkan tertinggal di tengah jalan berlatarbelakangkan semacam sebuah bangunan atau rumah yang kosong tanpa kewujudan figura manusia, seperti menggambarkan ia ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa.
Walau bagaimanapun, hakikat ketiadaan imejan figura itu sebenarnya menunjukkan hal sebaliknya, suatu paradoks, perihal keberadaan dan kewujudan figura itu sendiri dalam minda kita. Hal yang serupa dapat dihayati dalam “The Encounter” dan “The Red Pulley, 9am” yang menunjukkan kecekapan pelukis menangkap kesan cahaya dan bayang dengan berkesan.
Sewaktu sesi “Bicara Tokoh” bersama dengan Zakaria Ali pada “Seminar Pemikiran Zakaria Ali” di UPM pada 18 Disember 2024 lalu, dia ada menyebut bahawa: “Sebagai seorang pelukis realis, setiap benda ada kesan cahaya yang jatuh kepada objek atau hal benda.
Cahaya adalah perkara yang sangat teknikal untuk pelukis meletakkan bayang-bayang.
Cahaya bersifat functional”.
Ketika merasmikan pemeran “KITA” itu, Dr. Zakaria Ali telah menjemput hadirin bertanyakan soalan kepadanya, justeru menjadikan sesi itu bersifat interaktif dan semacam sebuah kuliah atau dialog seni.
Saya bertanya kepadanya, meminta reaksinya tentang ada sarjana seni yang menganggap karya-karyanya itu sebagai kesenian Islam dengan menyifatkan kesan cahaya dalam karya-karyanya itu mencerminkan cahaya atau “nur” yang sebenarnya terjelma daripada kekuasan dan kebesaran Tuhan.
Lalu dijawab oleh Zakaria Ali, baginya Seni Islam itu tidak perlu digembar-gemburkan menerusi imej-imej visual yang secara langsung dikatakan sebagai memiliki ciri-ciri keislaman, sebaliknya biarlah ia diterjemahkan secara halus, sebagai kiasan dan perlambangan.
Hal ini secara tidak langsung mengingatkan saya kepada prinsip-prinsip estetika Melayu yang diceritakan oleh Zakaria Ali dalam bukunya Seni dan Seniman: Esei-esei Seni Halus (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989), bahawa estetika Melayu itu ada enam prinsip: prinsip halus, berguna, bersatu, berlawan, berlambang dan bermakna.
Selain daripada karya-karya landskap suasana dan alam benda Ryzalman Misran dan Zakaria Ali, karya-karya pelukis lain dalam pameran ini seperti Shah Nizam Zainudin Ithnin, Shaarim Sahat dan Mohd Foad Hassan dipersembahkan dalam bentuk figura khususnya potret dan karikatur.
Karya Mohd Foad Hassan, “Brader… Terus Hidup”, akrilik atas kanvas, 60 x 80 cm, (2026) menampilkan seniman penyair Pyanhabib sebagai subjeknya dalam bentuk potret dan karikatur diiringi dengan petikan puisi perihal kemerdekaan.
Gabungan elemen-elemen visual dan verbal ini amat tepat dalam menterjemahkan peribadi Pyanhabib dengan puisi kemanusiaannya.
Seperti subjek seni pameran ini, puisi yang dipetik juga adalah perihal kehidupan orang biasa atau orang kebanyakan dengan keperluan-keperluan asas kehidupan yang diperlukan mereka.
Karya potret oleh Foad yang lebih realistik pula dilihat dalam “Tribute untuk Sahabat I”, media campuran, 66 x 92 cm, (1990).
Shaarim Sahat pula mengangkat tema dan subjek yang cenderung kepada peristiwa sejarah dan isu sosiopolitik, seperti dalam “Pejuang”, media campuran atas kanvas, 78 x 116 cm, (2026) yang mencerminkan semangat kental PMX dalam perjuangannya menegakkan kebenaran, sementara karya-karya Shah Nizam Zainudin Itnin pula agak surealistik dan bersifat pop, seperti dalam “Terbang Tinggi”, akrilik atas kanvas, 121 x 91 cm, (2026) yang menggerak imaginasi di kalangan khalayak.
Para pelukis pameran ini menunjukkan bahawa subjek dan hal benda seni ada di mana-mana di sekeliling kita, justeru itu terpulanglah kepada kita sendiri untuk memilihnya bersesuaian dengan objektif, hasrat, prinsip, pendekatan, gaya, teknik serta mesej dan makna yang ingin disampaikan serta hasil yang diinginkan.
Seperti membuat penyelidikan, menghasilkan karya seni juga memerlukan perancangan dan melalui pelbagai proses yang akhirnya meminta kita untuk membuat keputusan.
Dalam konteks ini, pameran “KITA” menampilkan kehidupan seharian, pemandangan sekitar, hal-hal dan objek-objek yang berada dan berlaku di sekeliling kehidupan pelukis sebagai tema dan subjek seni.
Jelasnya, pameran ini mengangkat hal-hal dan objek-objek dalam kehidupan di sekeliling kita, perkara yang sebenarnya, bukan yang di luar kenyataan, atau bukan yang bukan-bukan.



Dr. Zakaria Ali ketika berucap merasmikan pameran. Foto: Koleksi penulis.








