“SIBUK ke politik,” kata seniman paling sombong yang pernah kami temui, Azzaha Ibrahim. Dia marah kerana menurut dia negeri Kelantan mempunyai modal untuk menarik pelancong yang paling banyak di negara ini. Tetapi menurut dia lagi, Kelantan juga adalah negeri yang mendapat untung paling sedikit jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain.
Dia marah apabila anggota Kerajaan lebih sibuk berebut kuasa dari memajukan negara. Dalam hati kami kata “siapa yang tidak marah”.

Sebelum itu izinkan kami menangani hal gajah di dalam bilik itu.
Kami tidak hadir ke persembahan teater Persiapan Seorang Aktor yang menggegarkan arena teater negara itu. Jauh sangat tempatnya dan ditambah pula kami tidak faham seni teater. Namun setiap orang yang pergi menonton teater berkenaan memberitahu kami bahawa teater tersebut adalah sebuah persembahan yang terbaik sejak 100 tahun teater bermula di negara kita.
Aloy Paradoks kini diangkat sebagai pemain teater nombor wahid negara dan kita juga tidak melupakan Fazleena Hishamuddin yang hebat itu. Kami sendiri bersaksi bahawa Aloy adalah pelakon yang sepatutnya diberi perhatian sejak lama dulu jika kita serius mahu menang Oscar.
Dia yakni Aloy juga adalah seorang penulis skrip yang jitu. Skrip-skrip hasil tulisannya bersama dengan dua orang lain budak Kuantan yang kami sengaja tidak mahu menulis nama mereka hanya kerana mereka budak Kuantan sentiasa menjadi buruan.
Dari berita tidak sahih yang kami terima, teater Persiapan Seorang Aktor akan dipentaskan kembali. Kali ini katanya Fazleena pula akan mengambil peran sang actor. Dan menurut sumber kami lagi, seluruh persembahan teater ini nanti akan hanya berlatarkan sketsa mandi di tub yang popular tersebut.
Mengenai kacak atau hensem, kami mempunyai agak ramai sahabat dari negeri Perak. Diantaranya adalah si Posmen Pencen, Airmas Kepit, Meor Lantera, Hamzah Yazid dan juga Mohd Jayzuan dan kesemua mereka itu tidak terkenal kerana kekacakan mereka. Malah ada pendapat yang mengatakan bahawa menjadi kacak di Perak dianggap sebagai satu macam kecacatan.
Di Malaya ini biasanya orang Terengganu yang kacak. Kecuali jika orang Terengganu itu berpindah ke Perak seperti Laki Hanim misalnya. Sesiapa yang mengatakan Laki Hanim kacak adalah zalim.
Orang Perak secara amnya dan Aloy secara khususnya seharusnya menerima hakikat bahawa orang Perak sangat terkenal sebagai kumpulan manusia baik hati dan ramah tamah serta kuat beramal (dengan ilmu sihir). Malah mereka ada wayang gambar untuk membuktikannya.
Kembali kepada kisah lawatan kami ke Kelantan.
Semasa mula-mula merancang, kami memang sudah membuat Keputusan untuk melawat Studio Mokte Rende. Tetapi kerana tidak membuat tindakan susulan, semasa dihubungi, Mat Nor Mahmud mengatakan bahawa dia pada waktu itu ada di Kuala Lumpur bersama dengan pelukis terkenal Fauzin Mustafa yang kami sayangi itu.
Lalu kami menyarankan agar Raduan menghubungi seniman yang kami ketahui paling gedebe di negeri Kelantan iaitu Azzaha Ibrahim dan rezeki memang berpihak kepada kami.
Dia yang baru saja naik ke darat setelah melawat beberapa pulau-pulau kecil sekitar Kelantan telah sudi untuk bertemu kami dan segera memberitahu lokasi pertemuan tersebut.
Azzaha ini menurut kami agak bongkak orangnya, manakan tidak, setelah membuka studio, dia tidak pernah menjemput sesiapa pun pergi ke studionya itu sehingga dia benar-benar merasa kesepian. Demi mengisi kesepian tersebut dia mengajak orang yang terpilih bagi melayani nafsu sepinya itu. Kemudian semua karya-karya yang dihasilkan tidak pula dipertontonkan kepada khalayak.
Selepas dari itu, dia juga tidak sudi jika diajak berpameran. Bukan sedikit galeri yang menghubunginya untuk diajak berpameran namun semuanya dilayan acuh tak acuh.
Dia boleh jadi apa yang dimaksudkan dengan perkataan ‘seniman tulen’ yakni seseorang yang berkarya hanya untuk berseni. Hasil materi yang datang bersama karya mungkin dianggapnya sebagai satu kejahatan.
Namun begitu, kita tidak boleh salahkan dia kerana jika kami yang dijemput untuk bercakap di pentas Ted Talk sebagaimana dia, kami juga akan lebih sombong dari hari ini. Lebih membanggakan, Azzaha bercakap di pentas tersebut dengan menggunakan bahasa Melayu. Dikatakan juga bahawa dia adalah orang pertama yang berbuat demikian. Syabas anak Melayu.
Kami dijemput ke kedai Kopi Mesin Heritage di kawasan bandar lama Kota Bharu. Kedai tersebut juga merupakan studio dan galeri milik Azzaha. Disana kami dijamu dengan sedikit ‘pesegaran’ dan juga syarahan-syarahan mengenai peri pentingnya seorang seniman itu mengenal asal usulnya.
Azzaha banyak menghabiskan masanya menyelidiki seni dan budaya negeri Kelantan dengan memberi tumpuan yang khusus kepada seni ukiran. Yang lebih membanggakan, dia juga telah mendaftar beberapa karyanya yang berupa motif bunga-bunga tempatan di bawah MyIPO.
Karya-karya itu kini sudah pun mula digunakan dalam pelbagai bentuk cetakan seperti gaun pengantin dan juga kain semutar.
Hal mengambil berat untuk mendaftar karya sebegini seharusnya diikuti oleh semua seniman. Ini memungkinkan karya-karya tersebut dapat dijejak asal usulnya di mana akan datang.
Sesuatu yang memeranjatkan kami adalah apabila dia memperkenalkan kami kepada Naga Kelantan. Kami pernah mendengar mengenai naga-naga lain di Malaya ini terutama legenda naga Tasek Chini dan juga Pulau Tioman dan ‘penemuan’ Naga Kelantan ini juga membuktikan betapa ceteknya pengetahuan kami tentang hal tanah air sendiri.
Beberapa buah buku catatan yang dihasilkan oleh Azzaha mengenai penyelidikan juga adalah amat penting. Dia dengan serius menerangkan makna dan cara bagaimana sesuatu motif pada hulu keris Tajung dihasilkan misalnya. Dia memiliki sejumlah koleksi buku catatan yang kami kira adalah sesuatu yang amat berharga dan perlu diterbitkan dan disebarkan kepada umum.
Kami mencadangkan agar dia bekerjasama dengan mana-mana perpustakaan kerana pihak tersebut ada menyediakan sedikit dana untuk menerbitkan manuskrip seperti itu. Dia nampak teruja dengan cadangan tersebut walaupun keterujaan tersebut kami tahu dibuat-buat. Kami syak dia masih mahu menyimpan buku-buku catatan tersebut sebagai milik peribadinya.
Baser gong.
Sedikit mengenai buku catatan. Laki Hanim pernah cuba untuk ‘sepelek’ buku-buku tersebut semasa dia melawat studio tersebut. Jenis tak ada akhlak.
Salah satu watak yang dihasilkan oleh Azzaha diberi nama sebagai ‘gelembung buaya’. Kami tahu nama ini dan mengatakan bahawa ianya adalah salah satu makanan Kelantan kegemaran kami.
Kami ulang dua kali mengenai hal itu dengan harapan dia akan segera ke kedai untuk membeli dodol tersebut demi untuk menggembirakan kami. Tetapi hampa apabila dia buat-buat tidak dengar dan terus sibuk bercerita mengenai kehebatan seni dan budaya negeri Kelantan.
Setelah berbual di Kopi Mesin Heritage, kami dibawa pula melawat studio yang terletak tidak jauh dari kedai berkenaan. Di studio tersebut kami dihiburkan pula dengan karya-karya Azzaha dalam suasana yang lebih intimate. Seluruh studio tersebut adalah karyanya dan kami mencadangkan kepada semua untuk datang melawat studio tersebut. Seeloknya si Azzaha ini ada sama untuk lebih memahami apa yang ada di tempat berkenaan.
Kerana hari sudah hampir malam dan kami pula sudah amat keletihan, kami meminta izin untuk bermalam di studio berkenaan. Sangka kami dia akan keberatan tetapi firasat jahat kami itu ternyata tidak benar. Dia dengan senang hati telah membenarkan kami untuk berehat di studionya sehingga pagi esok. Malah sebelum pergi dia juga telah sudi untuk membawa kami ke sebuah kedai roti tempayan yang terletak diseberang jalan studionya itu.
Kami juga mencadangkan kepada sesiapa yang singgah di studio Azzaha untuk pergi ke kedai tersebut kerana kami dapati ianya adalah diantara roti tempayan dan kuah kari yang paling lazat yang pernah kami nikmati.
Terdapat pelbagai jenis kuah yang disediakan seperti dhal, daging lembu dan juga daging kambing namun kami hanya memesan roti tempayan dengan kuah kambing tanpa isi. Mahu juga merasa kambing Kelantan namun kerana dia bertegas mahu membayar dan bimbang dia tidak mempunyai cukup wang, kami menghiburkan diri hanya dengan kuah tanpa isinya.
Dia kemudian meminta diri dan setelah kenyang, kami pun masing-masing mencari tempat tidur dan lena hingga ke pagi.
Azzaha juga adalah pencetus acara After Monsoon yakni satu acara seni yang seharusnya mendapat sokongan dari semua pihak. Acara ini adalah biennale yang kita tidak ada.
Tapi itulah, pejuangan fasal Langkasuka tapi tajuk pakai bahasa penjajah. Baser ngok-ngek.
Syarahan Azzaha di Ted Talk boleh dinikmati disini: https://youtu.be/N2bBRN8Zz7k?si=mo-FRsy8LMwZ4wxV
Kami katakan yang dia berbahasa melayu tetapi jika kamu memejamkan mata dan mendengar syarahan berkenaan, kamu akan dimaafkan jika menyangka bahawa kamu sedang menikmati sebuah persembahan dikir barat.
- ABDULLAHJONES adalah seorang pelukis dan penulis yang sangat sukar dihubungi.
