Karya Kide Baharudin bermula daripada perkara yang dekat dengan dirinya: Kuala Pilah, manusia, suasana dan serpihan kehidupan seharian masyarakat Malaysia.
Namun apabila praktik itu bergerak ke Jepun, konteksnya bertemu dengan satu sudut pandang yang baharu.
Dari pulau Shōdoshima di wilayah Setouchi hingga ke Nihombashi di tengah bandaraya Tokyo, karya Kide kini memasuki sebuah landskap sosial dan budaya yang berbeza, satu pertemuan yang membuka kemungkinan baharu terhadap cara kehidupan tempatan diterjemahkan, dilihat dan difahami di luar tempat asalnya.

Perjalanan ini bukan sekadar tentang membawa seni Malaysia ke Jepun.
Ia memperlihatkan bagaimana sebuah praktik yang berakar pada pemerhatian terhadap kehidupan seharian boleh berkembang apabila bertemu tempat, manusia dan pengalaman yang baharu.


Pada 24 dan 25 September 2026 yang lalu, Kide menghasilkan karya secara langsung di Nihombashi Muromachi Mitsui Tower, sebuah program yang dianjurkan oleh Mitsui Fudosan dengan kerjasama Benesse Corporation dan Setouchi International Art Triennale.
Sebelum itu, karya beliau telah dipamerkan di Setouchi Asia Gallery di Shōdoshima.


Karya baharu yang dihasilkan di Nihombashi pula dirancang untuk terus bergerak antara Tokyo dan Setouchi, menjadikan proses penghasilan, perjalanan dan pameran sebagai sebahagian daripada naratif karya itu sendiri.
Pergerakan ini penting kerana praktik Kide selama ini sangat dekat dengan kehidupan seharian masyarakat Malaysia.


seni Kideika di Setouchi Asia Gallery, Pulau Shodoshima
Lahir di Negeri Sembilan dengan latarbelakang kampung dan menekuni reka bentuk grafik, beliau membina bahasa visual yang dipenuhi watak, ruang bandar kecil, pasar, jalanan, komuniti dan pelbagai perincian yang sering terlepas dari pandangan jika kehidupan hanya dilihat sebagai sebuah latar.
Dalam karya Kide, kehidupan harian bukan sekadar subjek. Ia menjadi bahan untuk membina dunia visual yang padat, berwarna dan sarat dengan pergerakan.
Pengaruh reka bentuk grafik juga terlihat melalui kecenderungannya menyusun figura, objek dan ruang secara hampir seperti sebuah naratif bergambar.
Akan tetapi, kekuatan karya tersebut bukan semata-mata pada gaya yang mudah dikenali. Ia terletak pada keupayaan Kide menjadikan perkara yang biasa, orang, kedai, jalan, bangunan dan interaksi sosial, sebagai dokumentasi visual terhadap budaya yang sentiasa berubah.
Dalam kaitanya dengan Shōdoshima, pendekatan ini bertemu dengan ekosistem seni Setouchi yang sejak sekian lama meletakkan seni dalam hubungan langsung dengan komuniti dan kehidupan setempat.

Setouchi International Art Triennale sendiri berkembang melalui jaringan pulau di Laut Pedalaman Seto, dimana seni bukan sahaja ditempatkan di institusi tertutup, tetapi berhubung dengan kampung, bangunan, landskap dan komuniti.
Kehadiran Kide di Shōdoshima dengan demikian sangat selari dengan logika tersebut, dengan membawa perspektif yang berbeza: kehidupan sebuah negara Asia Tenggara dibawa ke dalam konteks sebuah pulau di Jepun.
Nihombashi pula mengubah keadaan itu.
Jika Shōdoshima menawarkan hubungan yang lebih rapat antara seni, landskap dan komuniti, Nihombashi pula adalah ruang metropolitan yang dibentuk oleh kepadatan bandar, sejarah perdagangan dan kesibukan aliran manusia.

Mitsui Fudosan sendiri memilih Nihombashi sebagai lokasi kerana kawasan tersebut mempunyai sejarah panjang sebagai titik pertemuan manusia, barangan dan budaya.
Di sini karya Kide mula mempertemukan sebuah lapisan baharu.
Karya yang sebelumnya berakar pada pemerhatian terhadap masyarakat Malaysia kini mengambil petunjuk daripada persekitaran Nihombashi, termasuk seni bina dan orang yang hadir ketika proses penghasilan berlangsung.
Karya itu tidak sekadar “membawa Malaysia ke Jepun”; ia mula menyerap Jepun ke dalam bahasa visual Kide.
Perbezaan ini penting. Dalam pertukaran budaya, seni mudah terperangkap dalam idea representasi: sebuah negara dilihat melalui simbol, motif dan imej yang dianggap mewakilinya.

Pendekatan Kide bergerak dengan cara yang lebih terbuka, Malaysia tidak perlu diterangkan melalui ikon budaya yang jelas.
Sebaliknya, ia hadir melalui cara beliau melihat manusia, ruang dan kehidupan.
Apabila cara melihat itu berhadapan dengan Nihombashi, konteks baharu menjadi sebahagian daripada proses penciptaan.
Dengan itu, studio sementara Kide di ruang masuk Nihombashi Muromachi Mitsui Tower juga boleh dibaca sebagai sesuatu yang lebih daripada demonstrasi proses.
Ia mengubah penghasilan karya menjadi peristiwa awam.
Pengunjung bukan sekadar melihat hasil akhir tetapi berhadapan dengan proses karya itu terbentuk.

Mereka menjadi sebahagian daripada ruang pemerhatian Kide, dan dalam perancangan karya tersebut, sebahagian daripada imej tersebut akhirnya memasuki ruang karya dan visualnya.
Ini memberikan satu persoalan yang menarik tentang karya Kide: sejauh mana sesuatu karya masih merupakan gambaran tentang tempat asal apabila ia mula menyerap tempat baharu?
Jawapannya mungkin terletak pada sifat praktik Kide sendiri.
Beliau tidak bekerja daripada jarak yang jauh terhadap subjek, karya-karyanya dibina melalui pemerhatian, pengumpulan fragmen dan penyusunan semula pengalaman.
Maka apabila lokasi berubah, bahannya juga turut berubah.
Yang kekal bukan semata-mata imej Malaysia, tetapi kaedah melihatnya.
Dalam pengertian ini, perjalanan daripada Shōdoshima ke Nihombashi bukanlah perpindahan linear dari satu lokasi ke lokasi lain. Ia lebih menyerupai proses pengembangan sebuah bahasa visual.

Selepas Nihombashi, karya yang dihasilkan itu akan bergerak lagi ke Shinjuku Mitsui Building, di samping bahan berkaitan proses dan latar belakang Setouchi International Art Triennale.
Program tersebut dijadualkan berlangsung dari 2 hingga 27 November 2026, sementara karya yang dihasilkan di Nihombashi dirancang untuk diperkenalkan mulai 10 November.
Karya itu kemudiannya turut dirancang untuk kembali ke Setouchi.
Gerakan pulang ini menjadikan karya Kide menarik untuk dibaca bukan sebagai objek yang berpindah tempat, tetapi sebagai dokumentasi visual sebuah hubungan.
Ia membawa jejak Shōdoshima ke Tokyo, menerima pengalaman Tokyo, kemudian kembali ke Setouchi dengan sesuatu yang baharu.

Di sini perjalanan antarabangsa Kide memperoleh makna yang lebih besar.
Ia bukan semata-mata tentang seorang seniman dari Malaysia yang mendapat ruang untuk berkarya di Jepun, ia tentang bagaimana seni yang berakar dari pengalaman tempatan dapat bergerak tanpa kehilangan asal-usulnya, dan, pada masa yang sama, membenarkan dunia luar melakukan penalaan dan perubahan sewajarnya.
Dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur, Shōdoshima ke Nihombashi, Kide Baharudin sedang membina satu bentuk mobiliti artistik yang tidak bergantung pada penghapusan identiti.
Sebaliknya, identiti itu dibawa ke tempat lain, diuji oleh konteks baharu dan dikembalikan dalam bentuk yang sedikit berbeza.

Karya Kide akhirnya tidak hanya bergerak dari Malaysia ke Jepun.
Ia bergerak melalui manusia, tempat dan pengalaman, dan dalam proses tersebut, sebuah bahasa visual tempatan kemudian bertemu dengan indikasi geografi baharunya.
Teks oleh: Cik Gee Pitih
Kide Baharudin kini diwakili oleh Galeri Puteh Kuala Lumpur.
