MELUKIS berdasarkan teks adalah satu tugas yang mencabar lebih-lebih lagi apabila melibatkan naskhah dan penulisan sastera yang panjang selain pertimbangan terhadap askpek gaya bahasa, budaya, sejarah, emosi, alegori dan sebagainya.
“Untuk menulis perlu membaca. Untuk melukis juga perlu membaca. Apabila hendak melukis apa yang ditulis, ia merupakan sebagaian daripada budaya visual. Bukan sekadar menyalin naratif dari teks itu secara terus tetapi memerlukan penghayatan dan pentafsiran yang jelas,” kata Muhammad Lutfi Ishak, panel dalam sesi forum seni Hubungan Seni Tampak dengan Karya Sastera ketika hari perasmian Pameran Khayalan Sukma pada 4 Januari lalu.
Selain masa, proses penghayatan yang mendalam dan kritis adalah antara cabaran awal yang dilalui pelukis sebelum mencipta objek, simbol dan elemen visual seperti garisan, warna, jalinan, bentuk dan rupa yang dimanifestasikan dalam karya bagi menyampaikan makna, naratif, nilai sosial dan indentiti budaya.
Hal ini memainkan peranan penting dalam membentuk interaksi antara disiplin atau gabungan lebih daripada satu bidang kelilmuan atau kesenian seperti gabungan antara dua bentuk seni visual dengan seni sastera ini. Panel kedua forum seni Khayalan Sukma, Hasmi Hashim menjelaskan bahawa, “Sastera dan visual itu tidak perlu ditentangkan, malah wajar disatukan kerana ia sebenarnya sudah ada dalam diri, imaginasi dan khayalan kita dan yang boleh diterjemahkan secara falsafah mahupun visual.
Idea mentransformasikan teks kepada seni visual ini secara amnya telah lama berlaku seawal era Renaisans (Renaissance) di abad ke-15 lagi. Ia merupakan ciri utama era tersebut yang mencerminkan minat dan kecenderungan baru terhadap keagungan klasik selain Humanisme dan alam semula jadi. Antara teks-teks yang diinterpretasi menjadi karya seni termasuklah teks keagamaan, mitologi klasik, falsafah dan kesusasteraan bagi menyampaikan naratif yang dipersembahkan dalam karya “The Last Supper” (1495-1498), “Annunciation” (1280-1290) dan “Madonna Enthroned” (1280-1290) yang kebiasaannya dibiayai dan dihasilkan untuk gereja, rumah awam dan bangunan persendirian pada waktu itu.
Dalam konteks seni lokal pula, ramai pelukis sohor negara telah menggabungkan elemen teks dan visual atau lebih tepat lagi seni sastera dengan seni visual ini sebagai titik tolak terhadap memperkukuh pengisian seni yang menjadi lebih bermakna dalam mencari pengertian jati diri dan estetika budaya sejak era 90-an lagi terlihat seperti dalam karya Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal dengan karya bertajuk “Semangat Ledang” (1999) dan Jaafar Taib “Pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat” (1982) yang merujuk kepada teks Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah selain Anuar Rashid melukis “Kelahiran Inderaputera “(1978) berinspirasikan teks Hikayat Inderaputera. Dasar Kebudayaan Kebangsaan (1971) antara dasar yang menjadi pemangkin terhadap pendekatan seperti ini selain yang terbaru adalah Dasar Kebudayaan Negara (2021).
Sebagai langkah susulan, pada Oktober 2024 lalu menerusi ucapan Belanjawan 2024, cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggesa semua pihak untuk memartabatkan karya seni dan sastera negara sebagai usaha memupuk minat tertutamanya golongan muda terhadap karya agung. Maka, Pameran Seni Khayalan Sukma dianjurkan oleh Pengajian Seni Halus dan Pengajian Budaya Visual, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM Shah Alam anjuran bersama Balai Seni Negara bersempena dengan program Sayembara Lukisan Karya Agung: Cetusan Bakat Mahasiswa. Seramai 32 penuntut Seni Halus, KPSK UiTM Shah Alam yang terdiri daripada pelajar dari semester tiga hingga lima telah terpilih untuk mengambil bahagian dalam menghasilkan serta memperagakan sebanyak 31 buah karya mereka di bawah kendalian Encik Farid Raihan, sebagai ketua projek yang juga telah memilih nama Khayalan Sukma sebagai tajuk pameran. Menurut beliau, khayalan bermaksud sesuatu yang yang terbit dalam fikiran seseorang secara imaginasi, ilusi dan fantasi, sementara sukma bermaksud jiwa dan ruhani yang bersemangat dan mendalam. Maka, dalam konteks berpameran, nama Khayalan Sukma dipilih bertepatan dengan tema pameran yang menuntut peserta Bakat Mahasiswa untuk membaca, memahami dan menghayati teks sastera agung tersebut secara mendalam seterusnya melakukan interpretasi awal di minda sebelum dimanifestasikan ke dalam bentuk karya seni visual kontemporari pelbagai bentuk seni seperti catan, arca, instalasi, seramik, cetakan, media campuran dan media baru.

Pameran Khayalan Sukma ini telah berlangsung dengan dengan lancar selama dua minggu di GMBB Bukit Bintang bermula pada 28 Disember 2024, dan tamat pada 12 Januari 2025 lalu. Perasmian disempurnakan oleh Penolong Naib Canselor, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Shah Alam, Profesor Dr. Tazul Izan Tajuddin pada 4 Januari dan turut hadir bersama, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Ameruddin Ahmad. Selain berpameran, Khayalan Sukma turut menganjurkan forum seni, bengkel tie & dye, bengkel small painting serta lawatan pameran berpandu yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar Pengajian Budaya Visual, KPSK UiTM Puncak Alam. Sinergi antara dua bidang Seni Halus dan bidang Pengajian Budaya Visual dalam pameran kali ini dilihat sangat baik dalam mempertingkatkan pemahaman dan pengetahuan audiens khususnya terhadap karya jenis gabungan antara dua seni ini dengan lebih terperinci dan terarah menerusi aktiviti pameran berpandu itu tadi.

Meskipun tugasan menginterpretasi teks novel ini dilihat agak mencabar lebih-lebih lagi dibatasi oleh kekangan masa, namun pelajar-pelajar Seni Halus KPSK UiTM Shah Alam memanfaatkan kelebihan untuk memilih dan meneroka mana-mana tajuk novel sastera yang disediakan pihak Balai Seni Negara ataupun sebaliknya. Oleh yang demikian, pelajar cenderung menghasilkan karya kreatif pelbagai bentuk mereka yang mungkin bersifat individualistik atau multi-interpretive (pelbagai tafsiran). Turut diadakan sesi kritik di studio Seni Halus oleh para pensyarah bagi memastikan kualiti perkembangan seni pelajar dan mendorong untuk memperbaiki dan menyempurnakan hasil karya mereka dari aspek idea, teknikal dan konsep.

Pendekatan konstruktif, ‘mentor-mentee’ telah diterapkan melibatkan beberapa orang pensyarah untuk turut sama-sama berkarya dan berpameran dalam tema yang sama sebagai tanda sokongan moral dan motivasi kepada pelajar-pelajar mereka. Di samping itu, konsep ini menambah variasi perspektif dan terjemahan dan antara pelajar dan pensyarah. Fuad Arif, Farif Ab Jalil, Syed Zamzur Akasah, Farid Raihan, Wan Samiati Adriana dan Siti Hajar Abdul Rahman antara pensyarah yang turut serta dalam Pameran Khayalan Sukma.

Khayalan Sukma dilihat sebagai wadah yang bermanfaat kepada ramai pihak terutamanya dalam memberi peluang dan pendedahan kepada penuntut institusi tinggi untuk mencabar diri mengeksplorasi dan menginterpretasi bahan teks ke visual bersandarkan tema yang begitu signifikan ini. Hal ini dilihat mampu mengisi kelompongan terhadap kurangnya pengelibatan generasi muda dalam meneroka karya-karya sastera klasik. Justeru, peluang yang diberikan pihak Balai Seni Negara ini sememangnya mengasah kematangan, keyakinan dan kemahiran pelajar menginterpretasi teks sastera dalam menghasilkan karya yang berkualiti, dalam masa yang sama menghargai dan menjiwai karya sastera sebagai alat pendidikan dan pembangunan jati diri.

Menerusi Pameran Khayalan Sukma juga telah membuka jalan memperkukuh ekosistem seni di Malaysia menerusi kolaborasi dengan ramai pihak termasuklah para pelajar, pelukis, penulis, penaung seni, institusi seni, korporat dan masyarakat. Dari aspek penjenamaan, program Sayembara Lukisan Karya Agung: Cetusan Bakat Mahasiswa ini sebagai pemangkin yang memberi satu cerminan positif kepada imej UiTM sebagai universiti terawal yang menubuhkan kursus seni di bawah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) yang kini dikenali sebagai KPSK yang memupuk sikap keusahawanan, proaktif, kreatif dan berinovasi seperti kebanyakan seniman sohor negara seperti Awang Damit Ahmad, Amron Omar, Juhari Said, Raja Shariman, Ramlan Abdullah dan ramai lagi.
– ALIF HAIQAL MUSA merupakan Pensyarah Jabatan Budaya Visual, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Puncak Alam.

