BEBERAPA minggu selepas membuat persembahan terakhir di Birmingham, United Kingdom, ikon muzik heavy metal dan penyanyi utama kumpulan legend Black Sabbath, Ozzy Osbourne meninggal dunia oada usia 76 tahun.
Khabar duka itu disahkan menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan keluarga mendiang pada Selasa.
“Dengan kesedihan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata, kami mengumumkan bahawa insan tersayang kami, Ozzy Osbourne, meninggal dunia pagi ini.
“Beliau pergi dikelilingi keluarga dan kasih sayang. Kami memohon agar semua pihak menghormati privasi keluarga kami pada waktu ini,” kata hantaran itu.
Keluarga Osbourne turut memohon semua pihak menghormati saat-saat sukar yang sedang dilalui mereka ketika ini.
Mendiang Osbourne dilapor mengalami pelbagai masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kematian Osbourne berlaku hanya beberapa minggu selepas persembahan penuh emosi dalam konsert khas ‘Back to the Beginning’.
Di konsert tersebut, buat pertama kali dalam tempoh lebih dua dekad, Osbourne bergabung kembali bersama anggota asal Black Sabbath, Geezer Butler, Bill Ward dan Tony Iommi.
Sebelum persembahan terakhirnya, isterinya Sharon Osbourne sempat berkongsi kegembiraannya kerana dapat kembali ke pentas untuk menyanyi.
“Dia sangat teruja. Dapat bersama rakan-rakannya lagi dan semua kawan-kawannya. Ini sangat menggembirakan,” kata Sharon kepada BBC pada Februari.
Konsert itu turut digambarkan sebagai “penampilan terakhir” Osbourne oleh laman rasmi kumpulan tersebut.
Penyanyi yang digelar ‘Putera Kegelapan’ itu akan terus diingati sebagai ikon muzik global yang mengubah wajah rock, heavy metal dan budaya pop sepanjang lebih lima dekad.
