Dalam sesi-sesi perbincangan, forum atau kuliah mengenai seni komik dan kartun yang saya kendalikan atau hadiri, masih banyak orang bertanya, apa perbezaan di antara seni komik, kartun dan karikatur?
Seni komik itu menampilkan watak-watak dan jalan cerita yang khusus yang dipersembahkan dalam beberapa panel secara berturutan atau bersekuen dengan menggabungkan imejan dan teks, iaitu bahasa visual dan verbal. Gaya lukisannya boleh berbentuk sama ada kartun mahupun realistik. Dihasilkan dalam bentuk bersiri dalam majalah, akhbar, laman web, media sosial ataupun buku, komik juga dikenali sebagai seni bersekuen, novel grafik dan naratif visual.
Menurut tokoh komik tersohor Will Eisner, terdapat empat ciri fundamental komik, iaitu naratif atau penceritaan; komposisi yang terbentuk dalam panel dan muka surat yang disusun secara bersekuen atau berturutan bagi tujuan naratif; watak atau para “pelakon” yang mendukung cerita dan akhirnya pengolahan visual yang membentuk ciri-ciri asas komik (Eisner, W., Comics & Sequential Art. Poorhouse Press, 2003).
Kartun pula adalah satu bentuk seni lukis yang dihasilkan menerusi kaedah pengubahsuaian atau penggayaan rupa sesuatu subjek. Dalam konteks kontemporari,kartun adalahkarya seni yang dibentuk menerusi kaedah penggayaan dan pengubahsuaian subjek untuk tujuan hiburan, satira, dokumentasi, pendidikan, propaganda dan lain-lain lagi, terhasil dalam bentuk media cetak, digital, Internet, animasi, kecerdasan buatan dan pelbagai teknik dan bentuk lain. Secara umum, terdapat tiga jenis kartun yang utama, iaitu kartun editorial, lerang dan animasi.

Kartun editorial mengupas hal ehwal dan isu-isu sosiopolitik semasa dan seringkali juga disifatkan sebagai kartun politik. Kartun jenis ini terbentuk dengan gabungan dua bahasa, visual dan verbal dan para kartunis editorial juga seringkali dianggap sebagai “jurnalis visual” lantaran mereka mengupas isu-isu dan hal ehwal semasa dalam bentuk grafik. Lazimnya kartun editorial dihasilkan dalam bentuk satu panel atau format, tetapi boleh juga terhasil dalam bentuk lerang (strips).
Kartunis editorial yang baik lazimnya mampu mengolah dan menyampaikan isu-isu yang kompleks dengan padu dan padat, dan makna serta mesej karyanya dapat difahami atau dicerap dengan cepat, pantas dan mudah difahami pembaca. Di samping humor yang menimbulkan tawa, kartun editorial adalah suatu bentuk komunikasi visual yang amat berkesan. Kartun editorial juga banyak kaitan dengan seni karikatur, lantaran isu-isu yang digarap seringkali melibatkan tokoh-tokoh politik atau pemimpin-pemimpin tertentu. Di Malaysia, sebelum merdeka, kartun editorial dikenali dengan istilah “karikatur politik.”
Sejarawan Seni tersohor, E.H.Gombrich dalam kajiannya menulis bahawa para kartunis, terutamanya kartunis politik dan editorial menggunakan apa yang disebutnya “Senjata Kartunis” untuk menyampaikan mesej, makna dan kritikan. Senjata kartunis yang dimaksudkan terhasil dalam bentuk penggunaan simbol, kiasan, perbandingan atau kontras, karikatur, teks, dialog, penggayaan, dan jenaka (E. H. Gombrich: “The Cartoonist’s Armoury,” 1963).

Ketika membuat kajian mengenai satira dan kritikan humor dalam kartun editorial Melayu sejak sebelum merdeka hingga tahun 1990-an pada tahun 1994 hingga 1997 di Cartoons and Caricature Studies Centre di University of Kent, Canterbury United Kingdom, saya dapati para kartunis editorial tanah air menggunakan “senjata kartunis” yang dimaksudkan oleh Gombrich dalam pelbagai bentuk, termasuklah penggunaan imejan haiwan, watak khusus atau “trademark characters,” dialog dan teks dalam bentuk pantun, peribahasa, simpulan bahasa, perbualan harian, mainan kata-kata dan adegan berbentuk kiasan atau metafora (Muliyadi Mahamood, The History of Malay Editorial Cartoons (1930s-1993), Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd., 2004).
Tidak seperti kartun editorial, kartun lerang atau strip cartoons pula mempunyai watak-watak dan jalan cerita yang khusus serta dipersembah secara bersekuen atau berturutan dalam beberapa panel. Animasi kartun pula menekankan ciri-ciri pergerakan, ekspresi, dan emosi dan terhasil dalam pelbagai bentuk persembahan seperti filem, siri TV, dokumentari, pengiklanan, permainan digital, Internet, media sosial, dan kecerdasan buatan. Animasi turut dihidupkan dengan sokongan muzik dan kesan bunyi.

Variasi stail atau gaya dalam kartun antara lain dipengaruhi oleh faktor-faktor berikut: budaya, masyarakat, agama dan kepercayaan, zaman, sifat dan jenis media, sama ada cetak, digital, atau Internet, pemilikan media, undang-undang, dasar-dasar media dan kerajaan serta pembaca sasaran. Dalam konteks dunia media kontemporari terutamanya media sosial, kartunis yang berkarya secara bebas tidak terikat dengan dasar dan kehendak mana-mana pemilik media.
Pertalian erat di antara seni karikatur dengan kartun editorial atau kartun politik amat sukar untuk dipisahkan, lebih-lebih lagi kerana isu-isu yang digarap kartunis editorial menyentuh hal ehwal semasa dan bentuk seni ini seringkali digunakan sebagai senjata kritikan atau protes, dan tidak kurang juga sebagai alat propaganda. Justeru itu, tidak hairanlah ada kartunis editorial atau politik yang memihak dan tidak kurang juga yang bersikap neutral.

Seni karikatur itu mendokumentasi atau merakam raut wajah model, subjek atau individu yang dilukis menerusi kaedah penggayaan atau pengubahsuaian ciri-ciri tertentu yang unik atau signifikan pada raut wajah, misalnya mata, kening, hidung, mulut, bibir, gigi, telinga, gaya rambut dan seumpamanya. Meskipun setelah digayakan atau diperlebih-lebihkan, personaliti atau wajah model masih boleh dikenalpasti. Dalam konteks ini, seni karikatur berperanan sebagai suatu bentuk dokumentasi visual yang menampilkan ciri-ciri yang unik pada wajah seseorang yang dilukis.
Kalau kekuatan seni catan potret selalunya diukur menerusi ketepatan atau kesamaan rupa subjek yang dilukis secara realistik dan kadar banding yang betul lagi tepat, kekuatan seni karikatur pula diukur menerusi keunikan subjek yang dijelmakan menerusi kaedah penggayaan, pengubahsuaian dan perlebih-lebihan rupa subjeknya.

Dengan kata lain, karikatur itu merupakan suatu bentuk kartun berbentuk potret individu tertentu yang berupaya mencerminkan personaliti watak serta berperanan sebagai wadah hiburan, dokumentasi, satira dan kritikan. Gombrich pula menyifatkan karikatur sebagai “mock portraits” atau “potret olok-olok”: potret yang memperolok-olok, mempermain-main dan mempersenda (Gombrich, E. H., Looking Back on Laughter. In The Art of Laughter, Cartoon Art Trust, 1992: 9).
Mengikut sejarah, istilah karikatur atau “caricature” berasal daripada perkataan bahasa Itali “carico” dan “caricare” yang bermaksud membesar-besarkan atau melebih-lebihkan dengan pendekatan melukis potret sedemikian dirintis oleh pelukis adik beradik berbangsa Itali, Annibale dan Agostino Carracci pada tahun 1590-an dan kemudiannya berkembang ke negara-negara Eropah lain seperti England pada abad ke-18 menerusi William Hogarth dan Perancis pada abad ke-19 melalui karya-karya Charles Phillipon dan Honore Daumier (Emma Taggart, “Caricature Art: The Fascinating History of the Art of Exaggeration,” dalam https://mymodernmet.com/caricature-art/2021). Asalnya karikatur dihasilkan bagi tujuan hiburan, namun potensi dan peranannya berkembang menjadi senjata politik, protes dan kritikan.

Meskipun bersifat visual, seni karikatur seringkali dianggap dapat menjelmakan profesion, personaliti atau sifat-sifat peribadi individu yang dilukis, seperti tegas, bengis, garang, lucu, serius, dungu, bijaksana, atau seumpamanya. Hal ini bertitik-tolak juga daripada objektif dan tujuan karikaturis dalam melukis modelnya. Justeru itu, seringkali dikatakan bahawa seni karikatur itu bukan semata-mata berbentuk dokumentasi visual, sebaliknya mampu menjelmakan nilai-nilai psikologi watak.
Hal ini telah cuba dibuktikan sejak pertengahan abad ke-18 lagi oleh penyair, penulis, ahli falsafah, fisionomis dan teologis berbangsa Swiss, Johan Caspar Lavater (1741-1801) menerusi bukunya Physiognomische Frantgmente (1775-1778) yang memperkenalkan idea bahawa fisionomi atau bentuk raut wajah manusia itu berkait rapat dengan wataknya.
Sains fisionomi itu membaca sifat manusia menerusi ciri-ciri fizikal wajahnya. Dengan kata lain, ciri-ciri yang tersurat itu boleh memperjelaskan apa yang tersirat dalam diri seseorang: “to know the inner man by the outer, to apprehend the invisible by the visible surface” (Bevis Hillier, 1970. Cartoons and Caricatures). Inilah intipati seni karikatur!

Dalam kajiannya, Lavater turut menunjukkan transformasi wajah haiwan kepada manusia secara beransur-ansur, daripada wajah seekor katak kepada rupa manusia. Idea transformasi secara beransur-ansur atau berperingkat ini memberi ilham kepada banyak karikaturis, sebagaimana karikaturis Perancis Charles Philipon (1800-1861) dalam menghasilkan wajah Raja Louise Philipe seperti sebiji buah pear, dalam karya “Louise Philipe as a Pear” (1832, 1834). Pendekatan transformasi berperingkat ini turut digunakan oleh karikaturis Perancis lain seperti Honore Daumier (1808-1879) yang turut dipenjarakan kerana karyanya.
Charles Philipon membuktikan hujahan dan ideanya menerusi lakaran berperingkat transformasi karikatur Raja Perancis itu daripada wajah manusia kepada buah pear sewaktu mempertahankan akhbarnya Le Charivari yang diharamkan kerajaan di mahkamah. Akhbar tersebut (terbit di Paris, Perancis, antara 1832-1937) menerbitkan karikatur, kartun politik dan ulasan serta makalah seni dan hal semasa. Philipon dipenjara enam bulan dan denda 2000 franc kerana karikaturnya itu.

Karikatur “The Pear” kemudiannya diterbitkan dan dijual bagi menampung kos untuk membayar denda pengharaman Le Charivari. Menurut Mainardi dalam kajiannya, perkataan “pear” dalam bahasa Perancis ialah “poire,” turut bermaksud “bodoh” (Patricia Mainardi, “Of Pears and Kings” dalam The Public Domain Review, 9 Januari 2020). Kata “bodoh” di sini juga merujuk kepada seseorang yang mudah dipermain-mainkan dan diperbodoh-bodohkan. Hal ini menunjukkan bagaimana seni karikatur itu memainkan kelima-lima peranan utamanya: mendokumentasi, menghibur, mengkritik, mempersenda dan memprotes.
Dalam kajiannya, Lavater turut menegaskan tentang hubungan pendekatan siluet atau bebayang dengan fisionomi. Kaedah siluet kemudiannya menjadi salah satu pendekatan karikaturis yang penting dalam penghasilan karikatur. Malahan, menerusi siluet yang hitam pekat itu, rupa bentuk wajah yang dikarikaturkan dapat dikenalpasti dengan berkesan, sebagaimana karikatur “The Queen” dalam karya kartun editorial Inggeris oleh Peter Brookes sebagai tanda belasungkawa kemangkatan Ratu (IG. political_cartoon_gallery, 9 September 2022).
Transformasi imej haiwan kepada manusia sebagaimana ditunjukkan Lavater merupakan kaedah karikatur politik yang berkesan dan popular di Barat. Kal dalam karyanya “A Birdwatcher’s Guide to 2023: Kal’s Feathered Friends” menampilkan karikatur pemimpin-pemimpin dunia berbadankan unggas dan haiwan luar biasa. Setiap satunya mempunyai ciri-ciri unik kiasan kepada peribadi, dasar dan strategi pemerintahan politik mereka. Steve Bell pula menggabungkan karikatur pemimpin Parti Konservatif dengan imejan haiwan bagi melukiskan “lakonan dan drama” politik yang sedang berlaku di United Kingdom ketika itu (The Guardian, 23 November 1990).

Di Malaysia, penggunan imejan haiwan telah dilihat dalam karikatur-karikatur politik sebelum merdeka lagi, misalnya dalam karya Abd. Manan, “Barat Tinggal di Barat – Timur Tinggal di Timur” dalam akhbar Warta Jenaka, 7 September 1936 ketika semangat nasionalisme, pembentukan jati diri bangsa dan penentangan terhadap penjajahan menjadi agenda penting akhbar. Kartun politik dalam akhbar-akhbar lain ketika itu seperti Utusan Zaman dan Majlis turut menggunakan imejan haiwan sebagai kiasan konflik politik tempatan dan antarabangsa. Pada Era Reformasi dan PraMadani, kartunis Zunar juga menggunakan dan menggabungkan imej haiwan dengan karikatur pemimpin bagi menyampaikan mesej dan kritikannya terhadap kepincangan sistem pemerintahan negara.
Selain daripada imejan haiwan, karikaturis global juga menggabungkan wajah manusia dengan objek-objek lain seperti kenderaan, perabot, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan bagi menyampaikan maksud dan menterjemahkan sikap atau personaliti individu, pemerintah dan ahli politik yang dilukis. Imejan-imejan atau objek-objek yang disifatkan sebagai “props” atau “alatan lakonan” ini memberi makna atau menggambarkan personaliti watak yang dikarikaturkan.
Misalnya, kartunis Steve Bell di England menggambarkan mantan Perdana Menteri John Major dengan imej seluar dalam. Namun demikian, kaedah ini tidak dilihat dalam karya-karya karikaturis tempatan, barangkali kerana kekangan dan batasan nilai budaya dan perundangan membuatkan risikonya besar untuk berbuat demikian.

Jika diambil kira pendekatan perbandingan atau kontras yang disebut Gombrich sebagai salah satu senjata kartunis, sudah tentu seni karikatur juga berupaya menggunakan dan memenuhi pendekatan ini, terutamanya dalam kartun-kartun editorial. Contohnya kartunis Mike Peters dalam karyanya membezakan ketokohan dua pemimpin dunia, Presiden Zelensky dan Presiden Trump, yang satu sebagai seorang ahli komedi tulen yang kemudiannya menjadi Presiden, dan yang satu lagi seorang badut. Kaedah kontras dan perbandingan seumpama ini memang merupakan suatu bentuk senjata atau strategi berkesan dalam menyampaikan idea dan mesej yang bertentangan, menunjukkan yang satu lebih baik dari yang satu lagi atau dengan yang lain.
Di Malaysia, kartun editorial yang menampilkan karikatur-karikatur pemimpin dan tokoh politik kini semakin berkurangan lantaran kemerosotan penerbitan media cetak seperti majalah dan surat khabar. Dalam media sosial juga, kecenderungan terhadap kartun dan karikatur politik semakin menurun, kecuali beberapa kartunis seperti Rossem, Maro, Deen dan Megat yang dari semasa ke semasa melukis kartun yang mengupas atau menggambarkan isu-isu semasa dengan menampilkan karikatur tokoh-tokoh terbabit.
Dalam konteks ini, peranan seni karikatur kini lebih tertumpu kepada suatu bentuk dokumentasi visual dan catatan kenangan, alat hiburan, cendera hati dan produk seni komersial, tetapi tidak sebagai senjata kritikan, kecaman dan protes. Hal ini tercermin menerusi banyak penganjuran pameran dan pertandingan seni karikatur ataupun aktiviti-aktiviti melukis karikatur di kalangan kartunis dan karikaturis di pelbagai program yang kerap dianjurkan pelbagai pihak, seperti Balai Kartun Rossem (BKR), Pertubuhan Dunia Karikatur Malaysia (Pedukar) dan Anifest.
Meskipun demikian, hakikatnya, seni karikatur itu adalah suatu bentuk seni yang unik yang hanya mampu dilakukan dan dihasilkan oleh para seniman atau karikaturis yang memiliki kemahiran tinggi, kreatif, sensitif dan tajam pengamatannya, untuk melihat, menghayati, melakar dan menjelmakan rupa dan jiwa subjek-subjek yang dilukisnya.
Rujukan.
Eisner, W., 2003. Comics & Sequential Art. Poorhouse Press.
Gombrich, E.H., 1963. “The Cartoonist’s Armoury,” dalam Meditations on a Hobby Horse and Other Essays on the Theory of Art. London: Phaidon Press.
Gombrich, E. H., 1992. Looking Back on Laughter. In The Art of Laughter, Cartoon Art Trust.
Hillier, B., 1970. Cartoons and Caricatures. London: Studio Vista Limited.
Lavater, J.C., “Physiognomy” (1775) dalam Bevis Hillier, 1970. Cartoons and Caricatures. London: Studio Vista Limited.
Mainardi, P., “Of Pears and Kings” dalam The Public Domain Review, 9 Januari 2020.
Muliyadi Mahamood, 2004. The History of Malay Editorial Cartoons (1930s-1993), Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Taggart, E. “Caricature Art: The Fascinating History of the Art of Exaggeration,” dalam https://mymodernmet.com/caricature-art/2021).
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.
