Bagai bulan jatuh ke riba. Peluang yang datang tanpa diduga. Siapa yang mahu melepaskannya?
Kultus Kata, kelab buku yang diusahakan secara runcit dan mandiri, diberi ruang untuk mengisi dua slot di Makar Fest edisi pantai 2026 di Kuantan. Riak Yang Berdengung, persembahan seni yang beragam dan Antara Debur dan Diam, jurnaling di pesisir laut berjaya direalisasikan pada cuti panjang Hari Buruh awal Mei lalu.
Semuanya bermula dengan satu cadangan ringkas. Bila tahu festival ini akan berlangsung di tepi pantai, idea untuk membawa sesi baca puisi ke ruang terbuka itu dikongsi kepada Pok Renn dari Sunburst (pengasas bersama Makar Fest). Dari situ, ia berkembang jadi dua program yang lebih jelas bentuknya. Kultus Kata tampil sebahagian kolektif yang diundang menghidupkan festival yang semakin mekar setiap kali penganjuran.

Makar Fest kini sudah memasuki edisi ke-6. Sebuah festival yang telah membina identiti sendiri dalam landskap budaya tempatan. Konsepnya berpaksikan tiga teras utama: Makar (fesyen), Makan, dan Muzik, tiga elemen yang membentuk pengalaman festival yang dekat dengan kehidupan seharian, tidak semata-mata hiburan pentas.
Nama “Makar” sendiri datang daripada loghat Kelantan yang merujuk kepada fesyen. Pada awalnya, ia kedengaran sangat lokal, sangat terikat dengan tempat asal dan bunyi bahasanya. Tetapi perjalanan festival ini berjaya membuktikan: bagaimana sesuatu yang bermula dari akar lokal tidak semestinya kekal kecil, sebaliknya boleh berkembang luas tanpa perlu kehilangan identiti asal.
Di situlah menariknya Makar Fest. Ia tidak menolak asal-usulnya, tetapi juga tidak mengehadkan dirinya kepada asal itu sahaja. Ia bergerak antara lokal dan terbuka, antara tradisi dan moden, tanpa memisahkan kedua-duanya secara kaku.

“Makar” sebagai fesyen bukan sekadar tentang pakaian atau trend. Ia adalah bahasa visual yang membentuk cara seseorang hadir dalam ruang. “Makan” pula menjadi platform paling manusiawi -tempat orang berhenti, berkongsi, dan berhubung tanpa perlu banyak formaliti. “Muzik” mengikat semuanya, dari bunyi moden hingga unsur tradisi yang masih berdiri dalam arus semasa.
Dalam satu ruang yang sama, festival ini membenarkan perkara yang jarang berlaku, wayang kulit, silat, tarian tradisional, dan muzik kontemporari wujud tanpa perlu bersaing. Ia bukan campuran yang dipaksa, tetapi penerimaan bahawa budaya tidak pernah tunggal; ia sentiasa berlapis dan bergerak.
Seperti yang pernah diungkap oleh Edward Said, “All cultures are involved in one another; none is single and pure.” Ia bukan campuran yang dipaksa, tetapi penerimaan bahawa budaya sentiasa berlapis, bergerak dan saling membentuk.

Edisi Kuantan di Pantai Batu Hitam membawa dimensi yang berbeza. Ini kali pertama festival ini diadakan di pantai terbuka. Siang hari panas membakar, tetapi malamnya pantai berubah menjadi lapangan terbentang dengan irama alam, laut di hadapan, langit tersingkap luas, angin bergerak tanpa halangan, dan pasir menjadi lantai untuk ribuan pengunjung.
Yang hadir bukan hanya penonton, tetapi masyarakat, keluarga, anak muda dan pengunjung dari pelbagai latar. Di ruang yang sama, mereka berkongsi pengalaman yang satu, walaupun masing-masing datang dengan kisah yang berbeza.
Ada sesuatu yang begitu mengujakan apabila budaya berlaku di ruang terbuka seperti ini. Ia mengingatkan bahawa seni tidak perlu eksklusif atau terasing daripada masyarakat; sebaliknya, ia boleh hadir di ruang paling dekat, di pantai, di ruang awam, dalam kehidupan harian itu sendiri.

Pengalaman bersama pasukan Makar Fest amat menyenangkan. Koordinasi jelas, kerja tersusun, namun masih memberi ruang untuk spontaniti di lapangan. Komunikasi yang jernih dan sikap toleransi menjadikan segalanyanya efektif.
Terima kasih kepada semua performer dalam acara Riak Yang Berdengung, ada yang pertama kali berpentas, ada yang pernah berpanggung sampai ke luar negara. Karyawan kecil dan lagenda saling mengisi ruang. Masing-masing menukang kesenian menjadi sesuatu yang dapat dinikmati bersama. Ada bacaan puisi dan cerpen, nyanyian akustik, komediri, Ted Talk dan lakonan teaterikal. Sesuatu yang sungguh mengagumkan. Ini membuktikan kita tak pernah ketandusan bakat, cuma platform yang lebih banyak harus disediakan.
Tidak dilupakan mereka di belakang tabir yang membantu mencari dan menghubungkan peserta. Walaupun tanpa bayaran, hanya dengan secangkir kopi, mereka tetap hadir, menuangkan tenaga dan masa tanpa berkira, pengorbanan yang sukar diukur dengan kata-kata, laksana air yang mengalir senyap, menyuburkan tanah tanpa menuntut pujian.

Ketika acara Antara Debur dan Diam, ruang jurnaling di tepi pantai dibuka sebagai ruang refleksi. Namun apa yang berlaku sedikit berbeza daripada jangkaan awal. Kanak-kanak datang berkerumun, melukis dan mewarna mengikut cara mereka sendiri, ditemani ibu bapa masing-masing. Dari situ terlihat satu perkara, ruang seni tidak perlu terlalu rigid. Ia lebih bermakna bila setiap individu bebas mengisinya dengan cara sendiri. Mungkin juga alam mahu memberitahu, anak-anak adalah pewaris yang bakal menukil masa depan. Melaburkan masa untuk kesejahteraan mereka adalah puncak esensinya.
Justeru, sentiasa ada pelan B dan ruang untuk bergerak, menyesuaikan diri dengan situasi dan keadaan supaya semuanya tetap berjalan dengan baik.
Antara pengisian lain di Pesta Pantai Makar Fest termasuk aktiviti mewarna batik dan wau bulan, serta pembinaan istana pasir oleh anak-anak autism yang membuka ruang inklusif kepada semua. Malam culture pesta pantai menghidupkan suasana dengan gabungan persembahan wayang kulit, flashmob dikir barat, set DJ, persembahan fire show. Ada juga Fun Beach Race yang menampilkan perlumbaan motor dengan hadiah lumayan. Malam muzik pula menampilkan band seperti Satwo, Pitahati dan No Good, menjadikan keseluruhan festival ini satu pertembungan harmoni antara moden dan tradisi, sesuatu yang sentiasa menjadi pegangan Makar Fest sejak awal.

Yang membuat festival ini begitu menarik bukan sekadar programnya, tetapi cara ia menghidupkan budaya, fesyen dan muzik dalam bentuk yang dekat dengan generasi hari ini.
Sepanjang tiga hari, Pantai Batu Hitam dibanjiri pengunjung yang datang menyaksikan festival ini, ramai membawa anak-anak untuk menikmati pelbagai acara yang mesra keluarga. Sambutan yang begitu baik ini menjadi penghargaan tersendiri buat pasukan Makar yang bekerja keras di belakang tabir. Ia turut terhasil daripada hubungan yang akrab bersama para vendor dan komuniti setempat, yang sama-sama menjadikan festival ini satu kejayaan bersama.
Rata-rata yang hadir datang dengan gaya tersendiri, berfesyen penuh warna sebagai ekspresi diri, namun tetap membawa denyut tradisi di dalam diri.
Dalam perkembangan Makar Fest sendiri, timbul satu renungan untuk masa hadapan.

Selain Makar, Makan dan Muzik, mungkin wujud ruang untuk satu lagi lapisan, sesuatu yang mengangkat sastera, buku dan wacana. Ia boleh hadir sebagai Minda, ruang untuk idea, tulisan, puisi dan perbualan yang lebih reflektif. Bahkan ‘M’ itu sendiri boleh diperluaskan sebagai Membaca, sesuatu yang ampuh, yang wajar dijadikan sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.

Bukan sebagai elemen yang berat atau formal, tetapi sebagai ruang kecil yang memberi kedalaman kepada keseluruhan pengalaman festival. Kerana fesyen membentuk rupa, muzik membentuk rasa, makanan membentuk pertemuan, tetapi minda membentuk makna di sebaliknya. Di situlah mungkin sastera dan buku boleh berdiri, bukan sebagai tambahan, tetapi sebagai pelengkap kepada pengalaman manusia itu sendiri.
Akhirnya, semua ini kembali kepada satu perkara yang sederhana tetapi penting, manusia sentiasa mencari akar. Dalam dunia yang bergerak laju, kita mencari semula budaya, mencari makna, dan mencari ruang untuk memahami diri sendiri melalui apa yang kita lihat, dengar, pakai, dan rasakan.

Festival seperti ini mempunyai potensi yang besar jika diberikan sokongan, dana dan ruang yang sewajarnya, termasuk melalui kerjasama bersama badan serta institusi berkaitan. Dengan dukungan yang betul, Makar Fest mampu terus berkembang, mengerah idea dan tenaga kreatif untuk menawarkan sesuatu yang bermakna kepada masyarakat, sambil membawa budaya tempatan ke arah yang lebih bernilai dan membanggakan.

Terima kasih dan tahniah kepada seluruh pasukan Makar Fest, terutamanya Issey Fazlisham, Pok Renn Sunburst, Aimie Jamel, Beno Mustapha, Azhar Zainal dan semua yang menjayakan gerakan ini, yang bukan sekadar festival, tetapi satu pertemuan antara budaya, manusia, dan kemungkinan masa depan.

TahNiAH dan Terbaik