LAPORAN saringan akhir Hadiah Puisi T. Alias Taib II (HPT2025) dibuka dengan membandingkan pandangan pengkiritik sastera dari Amerika Syarikat, Jonathan Culler dengan aliran romantik.
Bagi Culler, objek puitika sebenar ialah pemahaman pembaca, bukan teks karya itu sendiri. Oleh itu, bahasa dilihat sebagai objek tanpa sejarah; realiti dibentuk oleh struktur bahasa yang dibaca, sekali gus memutuskan hubungan pengarang dengan pemahaman dan tafsiran pembaca.
Ia bertentangan dengan pandangan romantik, kata laporan itu, yang berpegang bahawa penulis merupakan asal usul teks, pencipta dan penurunnya. Pandangan ini tidak memutuskan hubungan pengarang dengan teksnya, maka memahami teks perlu bermula dengan memahami penulis.
Dua pandangan bertentangan tersebut membentuk piawai yang digunakan para juri dalam menilai manuskrip yang diterima dalam HPT2025.

Menurut ketua juri, S.M. Zakir, kebanyakan manuskrip yang diterima tidak menemui keseimbangan antara kepentingan kata-kata dengan makna.
“Akhirnya ditemui kecenderungan yang kemudian menjadi klise, oleh keghairahan menghadirkan kata-kata tanpa berusaha untuk meletakkan keseimbangan antara makna dengan keghairahan melemparkan kata-kata, malah juga bentuk yang sarat-sembab, tetapi dengan tipis makna yang terapung-apung dalam kekaburan,” katanya.
Pengalaman membaca, pengalaman merasa
Para pemenang HPT2025 diumumkan dalam majlis sederhana pada 9 Mei lalu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sebanyak empat manuskrip dipilih sebagai pemenang, dengan Nama Pertama untuk Duka oleh Haniff Zikri sebagai pemenang Hadiah Utama, manakala Cuaca di Negeri Tubuh (A.A. Zailiani), Pecah & Lupa (Abdullah Hussaini) dan Dendam Perempuan Api kepada Bara (Hidayyah AT Mizi) sebagai Finalis.
Menurut Zakir, walaupun penganjur meletakkan sasaran lima pemenang, hanya empat naskhah tersebut yang betul-betul dapat dipertahankan oleh para juri.

Jelas beliau, keempat-empat pemenang tersebut berjaya menghidangkan satu bentuk keseimbangan antara pengalaman membaca dengan pengalaman merasa kepada khalayak.
“Meskipun keempat-empat manuskrip terbina dari makna dan bahasa yang berbeza, namun ia ternyata berkesan dalam mencapai tujuan puisi-puisi tersebut dituliskan.
“Diharap keempat-empat naskhah ini akan terus diperkata dan dibincangkan, sekali gus menjadi teks penting dalam kesusasteraan negara,” katanya.
Pemusatan kesedaran Haniff Zikri
Manuskrip Nama Pertama untuk Duka dilihat memaparkan keseimbangan dalam kedua-dua pandangan yang dinyatakan dalam pembukaan laporan saringan akhir: antara pandangan Culler dengan aliran romantis.
Jelas Zakir, manuskrip tersebut merupakan model yang mungkin sempurna untuk mempertemukan bahasa sebagai sistem makna dan penulis sebagai penglahir makna.
“Dalam kata lain, ia menggunakan sebuah kod makna dalam bahasa yang sistematik, namun pada masa sama meletakkan penulis yang gigih meletakkan pemahamannya untuk menjadi sumber kepada pengucapannya,” katanya.
Haniff Zikri mengambil peristiwa kejadian manusia sebagai tema utama manuskrip, seterusnya melahirkan pertanyaan-pertanyaan yang bagi Zakir, merupakan sebuah pemusatan kesedaran yang kemudiannya mencambahkan pengertian yang lahir daripada ‘pengetahuan’ yang ingin disampaikan penyair.
“Pemusatan kesedaran ialah kunci kata kepada pemahaman terhadap keseluruhan puisi dalam manuskrip ini.
“Ia memperlihatkan ‘kehadiran’ makna yang telah diletakkan secara sedar oleh usaha yang dilakukan bukan sahaja secara terancang, malah diatur dan disusun dengan penuh teliti serta rinci,” kata Zakir.
Aku, polos dan romantis
Cuaca di Negeri Tubuh pula lebih akrab kepada pemusatan diri penulis sebagai penglahir makna, kata Zakir.
A.A. Zailiani menggunakan kata “aku” sebagai pusat pengucapan, seterusnya menjadikan pemahaman makna dalam kumpulan puisi tersebut beralir mengikut luahan rasa penulis.
“Mungkin kekuatan kata-kata atau diksi yang dipilih dengan segala kesederhanaannya menjadikan puisi-puisinya indah untuk dihayati, seterusnya menemukan makna dalam pemusatan diri yang menumbuhkan pengertian demi pengertian,” katanya.
Pecah & Lupa pula lebih seimbang peranan kata-kata dan penulis sebagai penglahir makna, malah cemerlang dari segi penggunaan kata-kata yang mudah dan spontan.
“Dalam kata lain, ia tidak memaksa kata-kata menjadi indah tetapi kosong, sebaliknya membiarkan ia menjadi mudah dan tidak memaksa makna terbit untuk menjadi hebat tetapi membiarkan ia terbit semahu adanya.
“Hal ini adalah sebahagian unsur kekuatan puisi yang bersifat spontan, polos dan jujur,” kata Zakir.
Finalis terakhir, Dendam Perempuan Api kepada Bara pula adalah yang paling romantis.
“Kata-kata mengalir lancar sebagaimana perasaan yang lepas bebas. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa kata-kata dalam puisi-puisi ini indah.
“Mungkin ia bombastik. Mungkin juga ia melankolis. Tetapi ia menjarah daerah pengalaman yang tersendiri, membuatkan puisi-puisi berdiri kuat, kerana kata-kata yang kena dengan perasaan yang lahir,” kata Zakir.
Kesemua empat manuskrip tersebut telah diterbitkan sebagai buku, termasuk juga Laporan Juri yang menjelaskan proses penjurian serta ulasan untuk karya-karya yang terpilih. Buku-buku tersebut boleh didapatkan melalui penerbitan Katapilar Books.
