SERASA macam baru semalam saya mula baca artikel di Bawahtanahrasmi dan Noisy Headspace, mengenali ruang Rondivu di Mingguan Malaysia, menonton penstriman Gedegang! dan membaca ciapan Kamil Gondang. Hari ini, tidak semena-mena saya sedang menulis satu ulasan tentang buku kolaborasi mereka? Sedikit gila. Jari-jari saya seperti tak mahu menekan abjad-abjad di papan kekunci.
Terima kasih kerana tiada sekatan bahasa untuk esei-esei dalam buku ini. Sebagai seorang pembaca, saya suka apabila terjumpa perkataan atau frasa baharu, baik dalam bahasa Melayu mahupun Inggeris. Ada nada penulis itu sendiri dalam kepala. Seolah mereka bercerita kepada saya secara berdepan.
Beberapa perkara yang diutarakan dalam buku ini: ruang selamat dan ruang acara, hubung kait muzik dengan komuniti, hidup hyperpop (!) dan banyak lagi topik yang tak patut sekadar berlegar di meja restoran mamak atau bebenang panjang di laman X.
Walaupun saya boleh baca mana-mana esei dulu kerana tak ada ketetapan lingkungan topik, saya tetap mula baca dari awal. Saja ambil mood.
“Maybe the Scene is the Friends We Made Along the Way.” — Zim Ahmadi.
Saya setuju dengan Zim. Dari hari pertama saya menjadi pendengar indie (wah, sebelum ini anak muzik arus perdana ya), saya dapat kenal ramai kawan baharu. Berbeza latar belakang namun semangat berkomuniti mereka tinggi menggunung. Kalau boleh saya sebutkan satu, Kumandang Zine. Selalu menyambut hangat kugiran dan artis baharu dengan menyediakan platform untuk membuat persembahan. Kumandang yang diteraju Sofea tidak berhenti menganjurkan Lepak Akustik yang kini sudah mencecah siri ke-23. Bayangkan, perhubungan terjalin selesai saja acara. Membuka satu pintu ke satu pintu kerana peluang yang diciptakan.

Adapun itu, tak lari juga kita dari isu individu tidak memandang serius dengan kaharmonian berkomuniti dan bermasyarakat ini. Mungkin menyebar kebencian dan bergaduh sesama sendiri lebih puas. Ada ego yang perlu dibelai. Padahal scene kita ini kecil saja. Rugi, rugi.
Masuk esei keempat, saya termenung panjang. Farhira akhirnya berkongsi penuh pandangannya tentang tindakan Iqbal dengan ritualnya setiap kali Iqbal M. membuat persembahan. Saya dan Farhira pernah berbual tentang hal ini sejurus set Iqbal M. di #TAPAU10Tahun.
Saya memahami resah-risau yang diutarakan Farhira. Saya juga sedar keterikatan diri dengan muzik Iqbal, seakan memaafkan saja apa yang dia lakukan di atas pentas. Pernah beberapa kali terkeluar – “bodohlah” dari mulut saya sebaik ritual itu habis. Pilihan memang di tangan peminat, saya tak boleh label mereka ‘true tak true’. Perit apabila kita mahukan kelainan tetapi tak boleh abaikan apa yang menggugah pegangan. Sejauh manakah batas dalam berprinsip?
Selain itu, tahukah anda genre besar seperti hip-hop pun bukan ada gig setiap minggu? Pernah ada penganjur tak jadi buat gig bulanan sebab nak beri laluan kepada festival besar. Maka, kegusaran Hilman aktadiri ada logiknya. Tiada masalah band shoegaze terselit di acara berlainan genre. Jangan biarkan perpisahan genre berterusan. Jaga apa yang ada sekarang. Tak mengapa perlahan mendaki asal tetap sampai ke puncaknya.
Saya nak sentuh sedikit mengenai apa yang Ku Syafiq tekankan, tentang pendengar yang perlu keluar dari zon selesa algoritma platform strim dan media sosial. Saya tak nafikan hal itu. Namun, saya ada sedikit kemusykilan.
Adakah mencukupi sekadar promosi dan pemasaran lagu/album sebaik saja ia terbit? Bagaimana pula sepanjang proses pembikinannya? Setahun, dua tahun senyap. Bila produk baharu tak dapat sambutan, tak boleh terus salahkan pendengar.

Seingat saya, lama juga saya ambil masa untuk betul-betul jumpa selera muzik indie/alternatif pilihan saya. Saya yakin ramai lagi pendengar di luar sana yang masih dalam perjalanan menuju muzik indie.
Saya tak menuding jari pada kugiran dan artis. Saya berpendapat bahawa ada jalan lain untuk mengunci peminat sedia ada. Wujudkan komuniti kecil dengan pendengar. Libatkan mereka dalam perjalanan seni anda.
Saya lihat, Against Mel antara yang menggunakan kaedah ini sebaiknya. Channel Instagram AGAINST.4U mempunyai 290 ahli. Di situlah Mel kerap berhubung dengan pendengar. Malahan, Mel juga mengambil pendapat berapa harga tiket atau merchandise yang sewajarnya, mesra poket. Memang tiada keuntungan besar, namun saya pasti ia dapat membantu kelangsungannya untuk berkarya. Malahan, Mel boleh tahu lingkungan pendengarnya terdiri daripada para pelajar universiti.
Cukuplah sedikit komen saya perihal kandungan Algorifobik. Selebihnya, anda perlu beli, baca dan selaminya sendiri. Lima penulis dengan lima fikiran dan tumpuan berbeza. Buku ini adalah rahmat buat sesiapa yang dambakan penulisan muzik Malaysia dalam bentuk fizikal. Kalau Zhaf boleh kongsi perkembangan muzik di Sarawak, negeri-negeri lain boleh juga hantar wakil. Keluar dan menulislah! Mempeduli = menyayangi. Itu saja kesimpulan saya.
Saya jadikan kata-kata ini sebagai penutup;
“Sedangkan seni ada daya kemanusiaan. Seni boleh menghidupkan komuniti.” — Ku Syafiq
