Ada dua lagu nyanyian M Bakri yang sarat makna politik.
Lagu itu ialah Malaysia Baru dan Sumbangsih.
Lagu Malaysia Baru dinyanyikan pada tahun 1965 tetapi sebelum Singapura berpisah daripada Malaysia iaitu pada 9 Ogos 1965.
Lagu ini meraikan Malaysia sebagai negara baharu.
Pertama kali saya mendengar lagu-lagu ini adalah pada tahun 1970, ketika saya berada di darjah lima.
Saya mendengar lagu Malaysia Baru itu dari Radio Malaysia tetapi lagu Sumbangsih saya dengar dari Radio Singapura.
Pada awal tahun 1970-an di Johor, rancangan hiburan Melayu Radio Singapura lebih sering didengari daripada Radio Malaysia.
Lagu Malaysia Baru hanya sempat didengarkan di Radio Singapura untuk beberapa tahun dan ia tidak lagi kedengaran selepas Singapura berpisah dari Malaysia pada 9 Ogos 1965.
Selepas 1970-an, lagu Malaysia Baru dan Sumbangsih tidak lagi kedengaran oleh saya hinggalah pada tahun 2021 apabila saya mendengarnya dari YouTube.
Rupa-rupanya YouTube menyiarkan lagu Malaysia Baru lebih awal lagi iaitu 2012 yang dinyanyikan oleh Amir Dahlan.
Sementara nyanyian Aziz Jaafar iaitu petikan dari filem hanya disiarkan oleh YouTube pada tahun 2021.
YouTube mula boleh diakses di seluruh dunia pada tahun 2008 dan dilancarkan di Malaysia pada tahun 2012.
M Bakri menyanyikan lagu ini sebagai rakaman semula ke piring hitam dengan irimgan kugiran Swallows Combo, juga dikenali sebagai The Antartics beserta John Lee Orchestra.
Lagu asal Malaysia Baru dicipta pada tahun 1963 bagi meraikan penubuhan Malaysia oleh komposer Kassim Masdor dengan lirik ditulis oleh Omar Rojik.
Ia pertama dinyanyikan oleh pelakon Aziz Jaafar yang disiarkan dalam filem Kasih Tanpa Sayang yang diterbitkan pada tahun 1963.
Omar Rojik (1925-1997) adalah seorang pelakon dan pengarah filem Singapura dan Malaya semasa zaman kegemilangan filem-filem Melayu di Studio Jalan Ampas.
Lagu Malaysia Baru adalah lagu untuk menaikkan semangat yang korus liriknya berbunyi:
“Oleh itu mari kawanku / Berpimpin tangan berganding bahu / Segera capai cita yang satu/ Di alam Malaysia baru.”
Nyanyian Malaysia Baru oleh M Bakri ini terkandung dalam album format vinyl bernama Malaysia Baru bersama lagu-lagu Kasih dan Seruan, Mengapa Terkenang dan Hilang Tiada Berganti Album ini diterbitkan dengan label Parlophone.
Piring hitam itu berbentuk EP atau Extended Play iaitu satu album mengandungi hanya empat lagu yang merupakan satu kebiasaan bagi lagu-lagu Melayu pada zaman itu.
Tidak seperti zaman kemudiannya, kebanyakan album berbentuk Long Play (LP) yang mempunyai lebih banyak lagu.
Lagu Malaysia Baru adalah dalam rentak Twist, dikategorikan sebagai genre pop dan rock serta stail vokal.
Semua lagu dalam album itu saya pernah dengar pada masa 1970-an dan kini ia boleh didengar melalui YouTube.
Lagu Malaysia Baru menandakan perubahan kedudukan Malaya yang berubah menjadi Malaysia dengan semangat patriotik, optimisme dan mengalu-alukan penyatuan wilayah-wilayah Malaysia terutamanya antara Malaya dan Singapura.
Apa yang tidak dirasakan ialah perkara-perkara politik yang berlaku di sebalik harapan rakyat ketika itu. Ketegangan hubungan antara pemimpin-pemimpin Tunku Abdul Rahman dengan Lee Kuan Yew sepanjang tahun 1964 telah mencapai kemuncaknya dengan perpecahan pada 9 Ogos 1965.
Inilah yang diratapi opeh M Bakri dalam lagu Sumbangsih.
Ketika saya pertama kali mendengar lagu ini pada tahun 1970, saya tidaklah terfikir maksudnya di sebalik lirik itu.
Saya menganggap ia hanyalah pernyataan kerinduan seorang lelaki yang ingin bersama kekasihnya.
Hanya apabila saya mendengarnya semula lagu ini pada tahun 2012, baru saya terdetak di hati bahawa lagu ini mempunyai maksud politik.
Ia merupakan ratapan orang Melayu Singapura apabila negeri mereka dipisahkan dari Malaysia.
Hubungan Malaya dan Singapura amat rapat, iaitu lebuh rapat berbanding bubungan Malaya dengan Sarawak dan Malaya dengan Sabah.
Timbul persoalan ketika Tunku mengambil keputusan untuk mengeluarkan Singapura dari Malaysia, tidakkah mereka memikirkan nasib dan perasaan orang Melayu di Singapura.
Saya kemudian mencari sesiapa yang mempunyai perasaan yang sama bahawa Sumbangsih itu adalah suatu ratapan terhadap pemisahan Singapura itu.
Rupa-rupanya Ku Seman Ku Hussein ada menulis tentang perkara ini dalam portal Kayang Post pada 21 Ogos 2018 dengan tajuk “Kisah Lagu Sumbangsih”.
Sebenarnya lagu Sumbangsih dicipta oleh Zainal S. Abbas dan liriknya ditulis oleh Rahman B.
Rahman B (1935-2022) lahir di Klang dan aktif dalam bangsawan sejak berusia lapan tahun. Beliau mengetuai kumpulan bangsawan Bintang Timor. Pada tahun 2004, beliau menerima Anugerah Seniman Negara.
Pertama kali lagu Sumbangsih dlinyanyikan adalah oleh R. Ismail semasa pementasan drama Sumbangsih di Victoria Theatre, Singapura pada 5 Disember 1965.
Perkataan “sumbangsih” adalah gabungan dua perkataan itu “sumbangan kasih.” Ini kerana acara drama itu adalah untuk mendapatkan sumbangan penonton dalam usaha mendirikan Gedung Seni.
Antara kandungan lirik itu berbunyi:
“Oh sumbangsih hati ke hati / Nada rindu luhur sejati / Kami insan rindu percantuman / Kami rindukan keadilan.”
Percantuman itu bermaksud gabungan Singapura dan Malaya. Bagi penulis liriknya, itulah keadilan. Lirik itu selanjutnya berbunyi:
“Kini semua hancur dan musnah / Niat bercantum badan berpisah / Kembang mawar kuberi padamu / Lambang kita pasti bersatu.”
Dengan perpisahan Singapura daripada Malaysia, semua impian pencantuman sudah musnah.
Namun begitu dinyatakan bahawa mereka berharap bahawa satu hari nanti Singapura dan Malaysia akan bergabung.
Dalam lirik itu, dinyatakan bahawa mereka iaitu orang Melayu Singapura merindukan keadilan.
Apa yang dimaksudkan dengan “keadilan” itulah kembalinya Singapura sebagai milik asal rakyatnya setelah dijajah sejak tahun 1819 apabila Stamford Raffles memperoleh pulau itu dari kerajaan Johor-Riau yang berpusat di Pulau Lingga, Sumatera ketika itu.
Singapura adalah sebahagian daripada kerajaan Johor-Riau yang memerintah sebahagian daripada pulau Sumatera dan Semenanjung iaitu Johor dan Pahang.
British kemudiannya menjadikan Singapura sebagai penempatannya bersama Pulau Pinang dan Melaka yang dipanggil Straits Settlements. Pada mulanya, ibu kota penempatan ini terletak di Pulau Pinang tetapi kemudian ia berpindah ke Singapura.
Apabila British Malaya ditubuhkan pada tahun 1914 yang merangkumi Negeri-negeri Melayu Semenanjung dan Straits Settlements, maka Singapura dijadikan ibu kotanya.
Sejak itu, Singapura bukan saja merupakan pusat pentadbiran utama British tetapi ia berkembang sebagai pusat kebudayaan Melayu serantau. Maka banyaklah budayawan dan seniman dari seluruh Nusantara berhijrah ke situ.
Bukan saja aktiviti bangsawan yang melahirkan banyak pelakon dan penyanyi tetapi juga dalam bidang kesusasteraan dan kewartawanan. Maknanya selain dari studio Jalan Ampas, Singapura juga melahirkan penulis, penerbit dan penjual buku.
Dengan adanya mesin cetak dan pelabuhan bagi memperoleh bekalan kertas, maka dunia penerbitan akhbar, majalah dan buku berpusat di situ termasuk akhbar Utusan Melayu yang mula terbit pada tahun 1939.
Selepas Perang Dunia Kedua, British memisahkan Singapura dengan Malaya apabila mereka menubuhkan Malayan Union pada tahun 1946. Sejak itu mula perjuangan supaya Singapura digabungkan semula dengan Malaya, yang menggunakan istilah “merger”, lama sebelum idea Malaysia dikemukakan pada tahun 1961.
Semua parti politik Singapura menyokong penggabungan dengan Malaya, baik Partii Buruh, Parti Tindakan Rakyat (PAP), Barisan Sosialis malah Parti Komunis Malaya (PKM) yang bermarkas di Singapura.
Apabila British memansuhkan Malayan Union pada tahun 1948 dan menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu, mereka terus memperjuangkan penggabungan itu.
Piihak yang menolak percantuman adalah UMNO kerana melihat bahawa gabungan Singapura-Malaya akan menjadikan orang Cina majoriti di negara gabungan ini.
Namun begitu, British dapat meyakinkan Tunku supaya penggabungan Singapura-Malaya itu akan turut melibatkan Sarawak, Brunei dan Borneo Utara dalam satu gagasan Malaysia supaya Bumiputera tetap kekal majoriti.
Maka apabila Tunku mengumumkan cadangan itu di Singapura pada tahun 1961, PAP pun menyatakan sokongan.
Pihak yang menentang ialah PKM dan Barisan Sosialis. Mereka menganggap gagasan Malaysia ini adalah projek neo-imperialis British-Amerika.
Tetapi setelah berjaya ditubuhkan, Tunku dan Lee Kuan Yew berbalah.
Tiada usaha bersungguh oleh UMNO dan PAP untuk mempertahankan keberadaan Singapura dalam Malaysia. Maka terpisahnya Singapura daripada Malaysia dan menimbulkan rasa kekecewaan bagi sebahagian rakyat Malaysia dan Singapura, terutamanya penduduk Singapura kelahiran Malaysia.
Sebelum dipentaskan pada tahun 1965, drama Sumbangsih pernah dipentaskan pada tahun 1961 dengan nama “Cinta Si Kudung”.
Drama itu membawa watak Yahya, seorang pemuda miskin yang kehilangan sebelah kakinya dan Sapura, kekasihnya. Mereka terpisah kerana kemiskinan. Dalam pementasan awal itu tiada lagu tema.
Lagu Sumbangsih dijadikan lagu tema drama itu apabila ia dipentaskan bagi kali kedua.
Yahya dan Sapura adalah perlambangan bagi Malaya dan Singapura yang hubungannya terputus
Ia kemudian dipentaskan lagi pada tahun 1979 di Pesta Drama Melaka dan memenangi dua hadiah. Pada Mac 1987, ia dipentaskan lagi bagi mengenang Zanal S. Abbas.
Pementasan pada tahun 1965 itu diarahkan oleh Bani Buang dan dianjurkan oleh Perkumpulan Seni dengan tujuan untuk mengumpul dana bagi pembinaan Gedung Seni.
Adalah dilaporkan bahawa perlambangan politik dalam teater itu adalah kuat hingga mengharukan para penonton.
Gedung Seni adalah projek impian penggiat seni Melayu Singapura untuk memiliki satu bangunan sendiri dan dijadikan sebagai pusat kegiatan sebagai sebagai pusat pentadbiran, ruang latihan dan pementasan karya budaya seperti tarian dan teater.
Pementasan Sumbangsih itu amat berjaya dengan tiket untuk tiga hari telah habis dijual. Tetapi rancangan untuk membina Gedung Seni itu tidak berjaya.
Terdahulu Perkumpulan Seni itu pula diasaskan pada tahun 1956 tokoh-tokoh seni Bani Buang, A Ghani Hamid dan Zubir Said.
Tujuannya ialah memelihara dan memajukan seni Melayu khususnya drama, tarian, muzik dan sastera. Hari ini Perkumpulan itu masih aktif tetapi kegiatannya menjadi lebih luas, merangkumi bangsawan dan pemeliharaan warisan Melayu.
Tetapi apa yang membuat lagu Sumbangsih popular ialah melalui nyanyian M. Bakri dalam album Sumbangsih yang terbit pada tahun 1968.
Lagu-lagu lain dalam album itu ialah Hati dan Budi, Lantaran Budi Haus Dahaga dan Kenangan. Nyanyian beliau diiringi kugiran Kumpulan Dendang.
M. Bakri (1938-2001) dilahirkan di Muar, Johor dan menetap serta berkeluarga di Singapura tetapi mengekalkan kewarganegaraan Malaysia.
Sepanjang hayatnya, beliau telah merakam 80 lagu. Beliau bermula sebagai penyanyi Orkestra Aliran Muda. Pada tahun 1957, beliau menjadi Bintang Radio Seluruh Malaya
Beliau mula merakam lagu-lagu dengan album Kenang Daku Dalam Doa Mu (1963), Malaysia Baru (1965), M Bakri Dengan The Antartics (1966), Berilah Berita (1967) dan Sumbangsih (1969).
Dalam tahun 1980-an, beliau aktif dalam Kumpulan Sriwana. Pada tahun 1995, beliau turut mengasaskan Kelab Artis Kampong Ubi yang terkenal sebagai sebuah persatuan hiburan komuniti aktif pada tahun 1990-an dan 2000-an.
Kelab ini bergabung di bawah Kelab Masyarakat Kampung Ubi. Kampung Ubi asal sudah tiada kerana di tapaknya sudah mengalami pembangunan semula. Kegiatan-kegiatan mereka diadakan di Pusat Komuniti Kampung Ubi.
Nama Kampung Ubi asalnya datang dari ladang ubi kayu yang ada di situ. Ia merupakan salah satu kampung tradisional Melayu yang terdapat di merata-rata tempat di Singapura sebelum penubuhan Republik Singapura
Kawasan Kampung Ubi yang kini menjadi Ubi Estate dibahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, kawasan perumahan yang terdiri daripada 50 blok flat Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) dan satu taman perumahan bernama Kampung Ubi Greenville. Kedua, kawasan perindustruan industri ringan sebagai pusat jualan dan membaiki kereta dan ketiga, Pusat Komuniti Kampung Ubi yang di situ ada stesen MRT Ubi
Seperti banyak kawasan di Singapura, perkara yang asal sudah ditiadakan. Apa yang tinggal hanyalah nama untuk menjadi memori dan rujukan. Maknanya Singapura telah maju ke depan dan apa yang sudah berlaku hanya tinggal sejarah dan kenangan.
M Bakri meninggal dunia di Mekah ketika menunaikan haji pada tahun 2001.
Lagu Malaysia Baru dan Sumbangsih tinggal dalam kenangan, memori dan sejarah bangsa Melayu Singapura yang pernah pada satu masa bersatu dengan Malaya.
Lirik-lirik dalam Malaysia Baru dan Sumbangsih adalah cermin emosi bangsa dalam bentuk harapan dan kekecewaan pada zamannya.
Tetapi kini zaman berubah dan Malaya bersama Singapura hanya tinggal nostalgia bagi generasi yang pernah melaluinya.
