‘Kolokium Sastera: Kajian Kepengarangan Malaysia’
Sempena Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 (10 Jun 2026)
“25 Sen? Tak Ada…”

Pada hari Selasa, 9 Disember 1975 saya menerima sepucuk surat dari adik saya, Kahtijah. Saya sedang menuntut di Universiti Malaya (UM) ketika itu, dalam tahun dua. Surat itu ringkas, sepanjang 78 perkataan, diulis oleh seseorang anak gadis yang berusia 10 tahun.
Antara lain Kahtijah menulis “Ayah semput tidak boleh pergi ke kedai”. Maksud beliau, ayah kami, Jaaffar tidak boleh pergi menggunting rambut disebabkan serangan asthma. Kahtijah juga mendoakan “Engah” (panggilan untuk saya) menghadapi peperiksaan tahun dua di Universiti Malaya (UM) dengan selamat.
Beliau juga memasukkan ayat ini,
“…Engah kan suruh beli Utusan Pelajar, tetapi Jah tak mampu membelinya. Kalau ada duit bolehlah Jah beli.”
Pada masa itu harga Utusan Pelajar terbitan syarikat Utusan Melayu adalah 25 sen.
Konteksnya: Pada tahun itu, pada 13 Oktober abang kami, Ismail meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Selama lima hari beliau dalam koma dan selama itulah saya di sisinya. Beliau menghembuskan nafas yang terakhir dalam pangkuan saya pada hari Sabtu, 18 Oktober jam 12.00 tengahari di Hospital Muar.
Ayah tidak sihat pada masa itu lalu tugas menoreh getah jatuh pada Emak. Ayah semasa sihatnya menoreh waktu pagi dan menggunting rambut pada sebelah petang. Dengan perginya Ismail, yang meninggalkan seorang balu dan dua anak, 4 dan 2 tahun, maka terjejaslah sumber pendapatan keluarga yang utama. Saya sendiri sedang belajar dengan dermasiswa yang amat kecil.
Kemiskinan mencorakkan saya dalam pelbagai hal – termasuk perspektif saya tentang hidup, bermasyarakat dan pandangan dunia atau worldview saya. Dan lebih-lebih lagi dalam konteks kepengarangan saya.
Saya sedar bahawa pada dekad 50-an, 60-an dan pada tahun-tahun 70-an sewaktu saya belajar di UM, orang Melayu masih rata-rata miskin, seperti juga dekad-dekad sebelum itu. Kemiskinan itu relatif tentunya. Tetapi cerita kemiskinan orang Melayu menjadi isu dalam sejarah persuratkhabaran Melayu sejak awal dan dalam dunia politik orang Melayu. Nasionalisme Melayu dicorakkan oleh keadaan hidup orang Melayu pada masa itu.
Saya tahu banyak teman-teman di UM yang datang dari keluarga yang susah. Dan kesusahan bukan eksklusif bagi saya. Saya tidak mendakwa saya sahaja yang datang dari keluarga miskin.
Sejarah kesusasteraan Melayu sejak awal lagi sarat dengan karya-karya yang menjadikan kemiskinan latar belakangnya. Filem-filem Melayu pada era emasnya pada tahun 1950-an dan 60-an banyak sekali mengetengah soal kemiskinan, termasuklah filem pertama arahan Allahyarham P. Ramlee yang berjudul Penarik Beca pada tahun 1956. Malah filem-filem sebelum itu yang diarahkan oleh karyawan filem dari India juga banyak menyentuh tentang soal kemiskinan orang Melayu.
Generasi hari ini mungkin tidak mengetahui makna kemiskinan yang dialami oleh generasi saya dan generasi sebelum saya, kemiskinan yang bukan sahaja menjadi bahan karya sastera dan filem tetapi bahan kajian banyak ilmuan dan ahli ekonomi.
Kemiskinan yang sebenar saya alami sendiri – bukan dari karya sastera atau filem, bukan sekadar daripada pemerhatian saya. Bayangkan pada tahun 1975 adik saya menulis surat pada saya memaklumkan bahawa dia tidak mampu membeli Utusan Pelajar yang berharga 25 sen.

Saya membesar di tengah masyarakat yang hidupnya sukar, mungkin peribahasa kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang memberikan gambaran sebenar di kebanyakan kampung ketika itu. Kampung saya, Sungai Balang Besar, 27 kilometer dari bandar yang terdekat, Muar, dihuni oleh mereka yang kebanyakannya daripada golongan ini. Sebagai contoh, Ayah mengenakan upah 35 sen untuk khidmatnya menggunting rambut. Banyak juga yang tidak mampu membayar harga gunting rambut dengan duit, di bawah rumah terdapat timbunan ubi, keladi atau sayur-sayuran sebagai bayaran ganti upah menggunting rambut.
Dan saya tahu ada kalanya Ayah pulang tanpa membawa ikan, maka tugas sayalah untuk menangkap ikan di sungai sekiranya saya ingin berlauk esoknya. Saya mandi di sungai dengan air hitam pekat tanah gambut. Elektrik dan air bersih puluhan tahun lagi penantiannya. Tetapi kehidupan di kampung berjalan terus, semangat kejiranan tidak pernah terjejas, pakatan pinggan mangkuk dan khariah surau mencorakkan hidup bermasyarakat yang sebenar – cara orang susah berjiran dan hidup bersama.
Zaman Mahasiswa Menggugat…
Dalam suasana sebeginilah saya masuk ke UM pada tahun 1974, berlatarbelakangkan gerakan dan revolusi pelajar yang hangat. Sudah tentu dengan mudah saya dapat memahami perjuangan pelajar pada masa itu. Dengan moto “Mahasiswa Menggugat” dan “Mahasiswa Bersama Rakyat” mereka menjuari kepentingan orang banyak, orang bawah dan yang sering diabaikan. Mereka menentang penindasan dan penganiayaan ke atas mereka yang tinggal di perkampungan setinggan atau rakyat yang menderita akibat kejatuhan harga getah.

Maka itu penganiayaan ke atas penduduk Teluk Gong di Selangor, Tasik Utara di Johor menjadi isu besar seperti juga Baling di Kedah menjadi mercu tanda pembabitan kaum pelajar dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.
Di tengah kehangatan dunia kampus yang bergolak dan bergelora inilah, saya menajamkan kreativiti saya. Saya tidak sekadar ikut serta berdemonstrasi tetapi di dalam minda kreatif saya, saya mulai melakarkan kisah manusia-manusia kecil, terpinggir dan dilupakan di Kuala Lumpur (KL) ketika itu.
Maka pada tahun 1975, lahirlah “Kotaku Oh Kotaku”, drama saya yang pertama di KL. Pada masa itu saya tinggal di Kampung Datuk Keramat. Setiap pagi saya bermotor ke UM. Selalunya saya akan singgah di sebuah warung tidak jauh dari Pusat Kesihatan Jalan Bangsar. Salah seorang yang sering di warung itu adalah orang yang dikenal sebagai Leng Apek, bekerja sebagai pengangkut najis atau menggunakan istilah masa itu, night soil carrier. Tradisi mengangkut najis dari tandas rumah-rumah kediaman masih berkekalan di KL sehingga awal 80-an.
Terdapat juga Pak Amin, penyapu sampah Majlis Bandaran Kuala Lumpur. Mereka memperkenalkan saya pada dunia yang baharu – para pekerja kota yang memainkan peranan penting untuk “membersihkan” KL. Mereka unsung heroes yang sebenar.
Suara desakan pelajar dan realiti kehidupan manusia kecil di KL seperti yang saya temui di warung di Bangsar itu melahirkan skrip “Kotaku Oh Kotaku”. Selain Pengangkut Najis dan Tukang Sapu, saya tambah lagi beberapa watak manusia yang memberikkan warna pada KL: Pelacur, Penyair Agung, Pengarang Agung, Perancang Bandar, Doktor, Peon dan pasangan Teruna dan Dara selain Jebat. Terdapat 19 watak dalam drama itu. Saya bernasib baik Pengarah Kebudayaan UM pada masa itu, Arif Ahmad (Datuk) memberikan peluang pada saya untuk mementaskan drama pada Malam Berbunga Sajak II di Panggung Eksperimen UM.
Dunia kreatif saya berubah dengan pementasan drama itu. Pada malam itu saya “ditemui” oleh Usman Awang. Pada bulan Mac 1976, “Kotaku Oh Kotaku” menghiasi kulit Dewan Sastera. Itu merupakan penghormatan paling besar bagi seorang anak muda teater seperti saya. Saya juga menyesuaikan inti drama itu sebagai cerpen yang tersiar dalam akhbar Mingguan Malaysia, 16 November 1975.
Ayat pertama cerpen itu berbunyi:
“Dan berdirilah dia di tengah kota. Dengan sebatang penyapu di tangannya.”
Drama itu nyaris-nyaris tidak dipentaskan. Pada bulan Oktober, sebulan sebelum dipentaskan, abang saya terlibat dalam kemalangan jalan raya hingga membawa kematiannya. Saya berdepan dengan dilema. Ayah tidak sihat dan Emak sendirian menoreh. Selain Kahtijah, dua orang anak arwah Abang ketika itu, Rozanita dan Rozi tinggal bersama Emak di kampung. Saya hampir-hampir mengambil keputusan meninggalkan UM dan bekerja.
Sekembalinya dari kampung Arif bertanya sama ada saya masih mahu mementaskan drama itu. Atas desakan kawan-kawan saya meneruskannya. “Kotaku Oh Kotaku” menjadi drama ikonik bagi tahun 1975.
Warung di Bangsar itu juga mengetengahkan saya pada dua orang manusia Istimewa di situ, orang yang saya ketahui kemudiannya sebagai Bang Lamin dan Kak Jah. Bang Lamin seorang periang dan penuh gelak ketawa. Seingat saya Bang Lamin berkerja dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM). Isterinya tidak pernah bercakap. Beliau sentiasa memakai selendang yang menutup sebahagian mukanya. Pada masa itu amalam bertudung dan berhijab di kalangan wanita Melayu Islam tidak lagi berleluasa. Wanita ini penuh misteri malah mereka yang berkunjung ke gerai itu tidak pernah menegurnya.
Pada satu pagi Bang Lamin terpaksa meninggalkan isterinya di gerai itu disebabkan ada utusan penting. Tidak lama kemudian seorang kenalan Bang Lamin bersama-sama seorang lain sampai ke situ dengan keadaan cemas. Mereka memberitahu Bang Lamin kemalangan motosikal dan telah dihantar ke Hospital Universiti (UH) di Petaling Jaya (PJ). Tidak ada orang lain yang bermotorsikal pada masa itu lalu saya mempelawa Kak Jah membonceng saya. Perjalanan ke UH tidak jauh. Pada tahun itu, 1975, topi keledar tidak diwajibkan lagi.
Apabila turun di hadapan Wad Kecemasan UH, selendang yang dipakainya tersingkap. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat sebahagian mukanya termasuk matanya rosak sama sekali. Saya juga baru menyedari bahawa tangan kirinya juga berbalut.
“Kakak bekas pesakit kusta,” beliau memberitahu saya.
Itulah kali pertama saya mendengar suaranya, dan kali terakhir juga. Saya membawanya masuk mencari suaminya. Mujurlah Bang Lamim tidak cedera teruk. Hanya kemudiannya Bang Lamin memberitahu saya Kak Jah berada di Pusat Kusta Sungai Buloh selama lebih 20 tahun. Dia sudah pulih sepenuhnya dan Bang Lamin mengahwininya pada tahun 1969.
Peristiwa itu kekal dalam ingatan saya. Seorang lelaki mengahwini seorang bekas pesakit kusta. Kusta merupakan penyakit yang digeruni sejak zaman berzaman. Namun mereka nampak hidup sebagai pasangan suami isteri yang normal dan pastinya bahagia.
Lama selepas peristiwa itu saya menceritakan kisah itu pada Abdullah Zainol, seorang penerbit drama RTM. Beliau tertarik dengan kisah itu dan meminta saya menulis skrip tentang pesakit kusta. Maka lahirlah Pemandu Teksi, kisah seorang wanita bekas pesakit kusta bernama Umi yang mengahwini seorang pemandu teksi bernama Adan. Mereka mendapat seorang anak bernama Nuriah yang diberikan kepada keluarga lain disebabkan Umi khuatir anaknya malu jikalau mengetahui siapa sebenarnya ibunya.
Nuriah dibela dengan penuh kasih sayang oleh Encik Bakri dan Puan Mariyam. Dalam drama ini saya perlihatkan tentang sikap Umi yang malu dengan keadaan dirinya.
Saya sesuaikan dialog drama itu dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh Bang Lamin tentang isteriya. Dalam drama itu watak Adan berkata pada isterinya:
“Aku tak malu. Aku tak malu nak tunjukkan apa yang ada pada kau pada kawan-kawan aku. Aku tak malu ada bini macam kau. Apa aku nak malukan? Bini aku dulu sakit, sekarang dah baik. Doktor kata kau dah boleh campur dengan orang, apa nak aku malukan?”
Peristiwa di warung itu tidak berakhir dengan kisah Bang Lamin, Kak Jah, Leng Apek dan Pak Amin. Saya mengenal seorang “penarik wan” (istilah orang Johor), repossessor atau bouncer tarik motor bernama Debok. Saya tidak tahu namanya yang sebenar. Debok tugasnya merampas motorsikal orang yang tidak membayar sewa beli bulanan.
Pada masa itu saya membeli sebuah motorsikal secondhand dari sebuah kedai motorsikal milik seorang pelumba motorsikal terkenal di Jalan Bangsar. Motorsikal lama saya rosak teruk akibat kemalangan melibatkan Abang. Seingat saya bayaran bulanan motorsikal yang baru saya beli itu RM27. Tidak mudah mencari wang sebanyak itu. Ada kalanya saya tidak dapat menunaikan obligasi bulanan itu.
Saya tahu Debok baik dengan tuan kedai motor itu. Saya tanyakah kalau-kalau saya boleh bekerja sambilan di situ. Nasib saya baik, saya diberikan peluang bekerja tiga hari seminggu. Bayaran bulanan tak perlu bayar, saya dapat duit tambahan dan “duit makan” sekali. Tugas saya membersihkan motorsikal yang dijual, membantu mekanik memperbaiki motorsikal atau membersihkan longkang yang pekat dengan minyak hitam.
Pencuci Tandas Bangunan NSTP…
Di belakang kedai itu, adalah Jalan Riong di mana terletaknya bangunan New Straits Times Press (NSTP). Bangunan baharu NSTP dibina pada tahun 1971. Saya sudah dikenal sebagai penulis masa itu dan banyak juga menyumbang untuk Berita Harian dan Berita Minggu. Saya sering menemui A. Samad Ismail (Tan Sri), A Samad Said (Datuk), A.R Kamaluddin, Ahmad Sebi (Datuk) dan khususnya Syahril Lembang. Saya sering menemui Syahril pada waktu tengah hari kerana itu peluang terbaik makan percuma dengan beliau.
Pada satu hari wanita pekerja rencam di Bangunan NSTP bertanya kepada pemilik kedai motorsikal itu kalau-kalau ada orang yang boleh bekerja part-time di bangunan NSTP. Pemilik kedai segera menunjukkan pada saya. Saya menawarkan diri, kerjanya mudah, membersihkan tandas dan ruang stor dan kilang sekiranya diperlukan. Saya akan bekerja sebelah petang dua minggu sekali.
Saya tidak dapat membayangkan 34 tahun kemudian (2009) saya menjadi Pengerusi Media Prima Bhd, syarikat yang memiliki NSTP.
Kerja-kerja tambahan ini meringankan beban kewangan saya. Pada sebelah malam, dua atau tiga kali seminggu saya menjadi budak jaga kereta di Medan Selera Seksyen 14 PJ. Pada masa itu terdapat tempat makan terbuka sebelum kawasan itu dibangunkan. Ada kalanya saya bekerja dengan sebuah stesen minyak di PJ, pemiliknya abang sahabat saya, Jumadi yang sekelas saya di sekolah rendah lagi. Pada masa itu tidak ada konsep layan diri, stesen memerlukan pekerja untuk menuang minyak ke dalam tangka kereta atau motorsikal.
Setiap bulan saya menghantar wang ke kampung untuk meringankan beban Emak, tidak banyak tetapi mencukupi. Oleh sebab itu saya jarang balik sewaktu cuti panjang di UM. Saya membuat pelbagai kerja sambilan di KL. Dalam sepucuk surat yang dikirim oleh Kahtijah bertarikh 7 Jun 1975, beliau menulis:
“Engah ada cuti atau tidak, nanti kalau ada pulanglah ke kampung.”
Tulis Kahtijah lagi:
“Pasal makan jangan susah. Semuanya ada. Engah jagalah diri baik-baik di sana. Semua keluarga di kampung sihat-sihat tetapi Ayah dan Emak selalu pening kepala pitam dan lain-lain.”
Bagi saya berkarya adalah terapi kesusahan yang saya lalui. Mungkin keperitan hidup menjadi motivasi utama untuk saya memperbaiki diri, untuk bekerja kuat dan berjaya dalam hidup. Saya mahu keluar dari belenggu kemiskinan. Saya melihat kepayahan hidup Ayah dan Emak. Juga jiran-jiran saya di kampung.
Apabila saya masuk ke sekolah pada tahun 1960, Ayah membuat kejutan. Beliau menghantar saya ke sekolah Inggeris sedangkan semua kawan-kawan saya di kampung ke sekolah Melayu.
Peserian Primary English School dibuka pada tahun 1959. Itu merupakan sekolah Inggeris pertama di luar dari bandar Muar dan Batu Pahat. Masukan pertama ke sekolah itu kebanyakannya mereka yang sudah masuk sekolah Melayu dalam darjah tiga yang masuk semula ke kelas satu sekolah Inggeris. Saya dan 17 kawan-kawan lain merupakan batch kedua, kesemuanya berusia 7 tahun ketika itu.
Sehingga hari ini saya tidak faham mengapakah Ayah, yang buta huruf, memilih untuk menghantar saya ke sekolah Inggeris. Malah orang kampung juga berasa hairan mengapa “Jakpo Tukang Gunting” menghantar anaknya ke sekolah “orang putih” pada tahun 1960. Saya membesar di kampung yang rata-rata penduduknya dari keturunan Jawa. Di rumah Ayah dan Emak bercakap Melayu. Mereka keturunan Bugis. Di luar rumah, saya bercakap Jawa.
Saya masuk ke sekolah Inggeris dengan hanya tiga perkataan Inggeris, “yes, no, dan thank you.”
Peserian Primary English School sebenarnya menumpang di sebuah sekolah agama yang letaknya di Kampung Sarang Buaya. Pada sebelah pagi bangunan itu digunakan untuk sekolah Inggeris dan pada sebelah petang untuk sekolah agama.
Selain beberapa orang guru tempatan yang memulakan sekolah itu terdapat seorang guru berbangsa Inggeris yang didatangkan dari Yorkshire, England. Tubuhnya besar dan namanya Mr Gunn. Kami memanggilnya “Mr Gun” sesuai dengan garang dan penekanannya pada disiplin. Pada hari pertama lagi beliau sudah memberi amaran sesiapa yang bercakap dalam bahasa yang lain daripada Bahasa Inggeris dalam kelas, murid itu akan dikenakan denda 5 sen bagi satu perkataan. Saya bisu berbulan-bulan di dalam kelas. Sehingga darjah 5 saya tidak pernah membawa duit ke sekolah, selalunya bekal yang disedikan oleh Emak.
Satu kelebihan Mr Gunn adalah cara beliau mengajar Bahasa Inggeris. Beliau banyak menggunakan lagu-lagu, nursery rhythm, choral speaking, drama dan latihtubi perbualan. Beliau sedar Bahasa Inggeris adalah bahasa yang asing bagi hampir semua pelajar di sekolah itu. Oleh sebab itu penyebutan perkataan Inggeris diberikan penekanan khusus selain nahu dan tata bahasa. Beliau menjadikan kelas bahasa Inggeris menarik sekalipun menakutkan.
Saya percaya pada masa itu para guru tidak terlalu dibebani dengan sukatan pelajaran atau tatacara pengajaran yang rigid. Mungkin apa sahaja pendekatan boleh dilakukan demi memastikan mata pelajaran sampai pada murid-murid secara berkesan. Mr Gunn mengajar dengan cara yang tidak konvensional, membawa kita keluar kelas, mengajak kita berbual-bual secara santai atau memainkan watak daripada drama-drama mudah.
Pada masa itu tidak ada perpustakaan di sekolah. Buku teks amat terbatas. Kebayakannya didatangkan dari England. Cara yang paling mudah adalah dengan menyanyikan lagu, mengulang nursery rhyme atau mengingat bahan dari choral speaking. Kesemua itu saya ajarkan pada kawan-kawan saya di kampung. Tentulah menarik mendengar anak-anak keturunan Jawa melagukan “Here We Go Round the Mulberry Bush” di bawah pokok pisang lebih 10,000 kilometer dari tempat asal lagu-lagu itu.
Beliau memang menakutkan kami tetapi kelasnya tidak pernah membosankan. Satu perkara mengenai Mr Gunn adalah obsesinya pada William Shakespeare, penulis drama yang tersohor dari England. Kami sering mendengar cerita beliau tentang Shakespeare dan drama-drama tulisannya. Kami diberitahu tentang judul karya-karya Shakespeare seperti Hamlet, Macbeth, Julius Caesar, Romeo and Juliet, As You Like It dan lain-lain. Kami hanya ternganga mendengar nama-nama drama itu. Tetapi kami seronok dengan ceritanya. Banyak masa sewaktu kelas Bahasa Inggeris, kami didendangkan dengan cerita dari drama-drama Shakespeare.
Mencari William Shakespeare
Mungkin itulah pengenalan saya yang pertama pada sastera. Kebetulan saya sering menonton Opera Cina yang datang ke kampung, kemudiannya Kumpulan Bangsawan Bintang Timur Opera bermain berbulan-bulan lamanya. Saya hidup di tengah masyarakat Jawa yang kebanyakannya datang dari Kabupaten Ponorogo di Jawa Timur. Mereka membawa sekali pelbagai seni budaya asal termasuk kuda kepang, ketoprak, wayang wong dan lain-lain.
Dunia luar biasa Opera Cina dan Bangsawan membuka cekrawala saya tentang dunia seni yang baharu – gah, extravagant, meriah. Maka itu saya dapat membayangkan betapa hebatnya pementasan drama-drama Shakespeare yang diceritakan oleh Mr Gunn di tanah asalnya. Dunia wayang Jawa yang saya lihat di kampung saya juga memberikan dimensi kreativiti yang lain, dengan tradisi yang panjang dan membanggakan.
Seingat saya sewaktu dalam darjah tiga saya memberanikan diri menemui beliau. “Excuse me teacher, may I borrow one of your Shakespeare books?” Dia tidak berkata apa-apa. Keesokan harinya dia memberikan naskhah Hamlet pada saya – naskhah yang asli, bukan ringkasan, bukan abridged. Saya membawanya pulang.
Hamlet adalah salah sebuah drama Shakespeare yang terkenal dan dianggar amat mencabar. Saya meneliti setiap helaian naskhah itu. Saya tidak punya kamus ketika itu. Pada tahun 1962 tidak ada mesin xerox. Saya menyalin setiap baris drama itu dalam buku latihan. Saya menggariskan setiap perkataan atau ungkapan yang tidak saya fahami, lebih 95 peratus sebenarnya.
Saya mengembalikan buku asal pada beliau. Mr Gunn tidak menanyakan apa-apa. Beberapa bulan kemudian saya meminta beliau meminjamkan sebuah lagi drama Shakespeare. Seingat saya, 10 buah semuanya dari darjah tiga hingga darjah enam. Saya dapat membayangkan dalam fikirannya mengapakah saya, salah seorang pelajar yang paling lemah dalam kelas, meminjam karya-karya yang dianggap klasik malah agung dalam Bahasa Inggeris.
Pada tahun 1965 berakhirlah perkhidmatan Mr Gunn. Beliau akan kembali ke England. Pada masa itu kelas kami sudah menjadi 32 orang dsebabkan ada mutid-murid baharu, termasuk beberapa orang dari sekolah jenis kebangsaan Cina. Sudah terdapat enam kelas di Peserian Primary English School ketika itu. Pada tahun 1963 kami sudah mendapat sekolah baharu di Pekan Semerah.
Untuk majlis perpisahan Mr Gunn setiap kelas dikehendakki membuat dua persembahan. Kelas saya, darjah enam, ditetapkan mempersembahkan sebuah drama pendek dan choral speaking. Saya tidak dimasukkan nama dalam kedua-dua acara itu.
Saya berhasrat untuk menunjukkan sesuatu kepada Mr Gunn. Saya menghargai kepercayaannya memijamkan saya buku-buku drama Shakespeare. Saya menemui beliau dan meminta jasa baiknya memohon kepada guru kelas saya agar memberikan saya peluang membuat persembahan.
Guru kelas saya bertanya apakah yang akan saya persembahkan, saya mengatakan rahsia. Beliau malah mencadangkan saya mengulang menyanyikan lagu rakyat “Bangau Oh Bangau” yang saya buat bersama seorang kawan bernama Yusof sewaktu majlis perpisahan seorang guru lain pada tahun sebelumnya.
Saya memberitahunya lagu itu tidak sesuai untuk majlis Mr Gunn. Akhirnya dia bersetuju. “Just don’t make a fool of yourself,” dia menasihatkan.
Pada majlis perpisahan itu setiap kelas mempersembahkan pelbagai bahan yang telah mereka latih berminggu-minggu. Sampailah kelas terakhir, darjah enam. Selesai drama pendek dan choral speaking, guru pengacara mengumumkan ada satu acara lagi, yang tidak masuk dalam perancangan.
Beliau mempersilakan saya naik ke pentas.
Saya sudah membuat persiapan lebih enam bulan untuk majlis itu. Saya sudah menghafal sepenuhnya soliloquy watak Hamlet dalam drama Hamlet. Soliloquy yang mendefinisikan drama Hamlet. Soliloquy yang mencabar banyak pelakon tersohor dunia yang pernah membawakan watak Hamlet ke pentas. Soliloquy yang paling terkenal dalam sejarah teater.
Saya berdiri dengan penuh yakin dan memandang tepat ke mata Mr Gunn. Saya telah menghafalkan keseluruhan 35 baris soliloquy yang bermula dengan:
“To be or not to be, that is the question:
Whether ‘tis nobler in the mind to suffer
The slings and arrows of outrageous fortune,
Or to take arms against a sea of troubles…”
Saya tahu beliau terkejut, seperti juga guru-guru yang lain. Beliau tentu tidak menyangka, saya, salah seorang pelajar yang sering menduduki tangga paling bawah dalam peperiksaan kelas, akan menyampaikan soliloquy yang sukar itu.
Dalam ucapan balasnya beliau menyebutkan bahawa salah satu kegembiraan dan pencapaian yang boleh dibanggakannya sewaktu berkhidmat sebagai guru di sekolah itu dari tahun 1960 hingga 1965 adalah apabila seorang anak kampung berjaya menyampaikan satu segmen drama Hamlet karya Shakespeare dengan begitu baik. (Beliau menggunakan istilah flawless atau tanpa cacatnya) berkaitan dengan penyampaian saya).
Dunia kreatif saya bermula lama sebelum Wayang Cina, Bangsawan Bintang Timur Opera dan pendedahan pada drama-drama Shakespeare. Nenek saya seorang bidan kampung. Sewaktu di sekolah rendah saya sering memboncengkan beliau ke sekeliling kampung. Saya menyukainya kerana itu merupakan peluang mendengar pelbagai cerita rakyat dari mulut beliau. Memang beliau sering bercertia sambil menggobek sirih untuk cucu-cucu yang mendengarnya. Tapi di atas basikal buruk saya mendengar cerita Si Tanggang, Batu Belah Batu Bertangkup, Bawang Putih Bawang Merah, Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kaduk, Nujum Pak Belalang dan lain-lain secara dekat. Beliau bercerita kepada saya seorang.
Saya mengayuh basikal yang selalunya terlalu besar untuk saya melalui jalan kampung yang selalunya di atas tanah gambut, lecak dan licin. Untuk menghilangkan rasa bosan beliau akan bercerita sambil menyanyi, ada kalanya pada waktu malam, melengkapkanmya dengan cerita hantu, khususnya pontianak. “Pontianak tak datang kalau kita bercerita tentang mereka,” Nenek Zainab cuba meyakinan saya, yang terkial-kial melalui jalan kampung yang gelap gelita, dan kami hanya berbekalkan pelita kaca yang kecil. Saya tahu Nenek lebih takut pada kegelapan malam daripada saya.
Nenek Si Tukang Cerita
Semua itu membentuk kreativiti dalam diri saya. Saya punya banyak cerita dalam fikiran saya. Saya ada kisah Nenek dengan segala macam kepayahan membantu ibu-ibu muda yang bersalin. Setiap kelahiran bayi punya cerita yang tersendiri. Saya memahami makna kasih, kesakitan dan pengorbanan pada masa itu. Saya tahu Nenek, seperti Ayahnya juga, tidak selalunya diupah dengan wang ringgit, tetapi ubi kayu, keladi, nenas dan entah apa lagi. Nenek tidak merungut. Nenek menganggap kerjanya mulia dan membanggakannya.

Radio ketika itu sumber maklumat dan hiburan yang utama. Saya meminati drama radio, khususnya dari Radio Singapura yang mengetengahkan nama-nama besat seperti Musa al Bakri, Aziz Singah, Jorah Ahmad dan lain-lain.
Surat khabar Utusan Melayu yang selalunya sudah robek-robek apabila waktu petang dipungut oleh Ayah. Ayah tidak boleh membaca tetapi mengambilnya bagi menggalakkan saya menulis dan membaca jawi. Melalui Utusan Melayu dan Utusan Zaman, saya mula membaca cerpen dan sajak. Utusan Melayu dan Utusan Zaman pada tahun-tahun 1950-an dan 60-an adalah wadah dan suara bicara orang Melayu sebenar, selain gelanggang para sasterawan berkarya. Siapa yang dapat membayangkan 49 tahun kemudian, saya menjadi Ketua Pengarang syarikat yang menerbitkan kedua-dua akhbar itu.
Saya mulai membina dunia kreativiti saya sendiri. Saya mulai “menulis” di atas buku latihan dan apa sahaja kertas yang kosong. Mulanya mungkin pantun dan syair. Lama kelamaan saya mula menulis kisah-kisah manusia yang saya kenal, kawan-kawan saya, orang kampung saya. Selalunya tulisan itu saya bacakan pada kawan-kawan apabila ada kesempatan. Saya menjadi “Pengarang” kepada kawan-kawan saya. Kerap kali kawan-kawan akan bertanya “apa yang kau karang hari ini?” Dan saya dengan bangga menceritakan “karangan” baharu saya.
Seingat saya, saya sudah mula menghantar tulisan saya kepada editor Dewan Pelajar dan Utusan Pelajar seawal tahun 1968 sewaktu saya dalam tingkatan tiga. Banyak karya dan tulisan saya mula muncul dalam akhbar dan majalah tempatan pada tahun 1970. Pada masa itu saya dalam tingkatan lima.
Minat saya bukan sahaja dalam bidang cerpen tetapi juga drama. Seperti yang saya ceritakan dalam buku Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan Ke Media Prima Berhad (DBP, 2017), apabila kumpulan Bangsawan Bintang Timur Opera gulung tikar di kampung saya, muncullah sandiwara dari runtuhan itu. Seorang guru bernama Misdi Abu Bakar telah berjaya menyelamatkan pakaian dan peralatan lalu memulakan kumpulan sandiwara kampung yang diberi nama Badan Bestari Sungai Balang.

Pada masa itu saya masih dalam tingkatan tiga. Saya selalu mengikuti latihan drama mereka di sebuah rumah di berek Jabatan Kerja Raya (JKR) milik Hassan Haji Yaakob. Apa yang kurang pada kumpulan itu adalah skrip yang baik. Cikgu Misdi menggalakkan saya menulis skrip berdasarkan kisah Hang Tuah, Keris Laksama Bentan, juga beberapa buah kisah daripada kitab Sejarah Melayu seperti Semerluki, Tun Jana Khatib dan Demang Lebar Daun. Saya juga menyesuaikan beberapa cerita dari kisah Jawa lama untuk kumpulan itu. Cikgu Misdi pula memberi saya peluang untuk memainkan watak anak muda dalam drama persembahan kumpulannya.
Pengalaman menulis skrip drama ini penting buat saya kemudianya. Minat saya pada drama tidak berakhir di pentas sandiwara. Saya mula menulis skrip sendiri sewaktu di sekolah menengah.
Saya juga beruntung sewaktu di Sekolah Menengah Semerah (SMS) guru Bahasa Melayu kami adalah Cikgu Mokhtar bin Talib atau Pak Matlob. Beliau seperti juga Mr Gunn mempunyai cara yang tersendiri mengajar Bahasa Melayu (BM). Seringkali beliau mengenepikan buku teks BM yang sedia ada. Malah beliau menulis buku sendiri dalam bentuk ‘siklostil’ (Cyclostyle – mesin pendua yang menggunakan stensil untuk menghasilkan salinan dalam jumlah yang banyak) yang di dalamnya mengandungi cara dan kaedah pembelajaran BM. Seperti juga Mr Gunn beliau menggunakan kaedah yang tidak konvensional. Cikgu Matlob sendiri adalah seorang penulis kreatif dan aktif dengan Persatuan Penulis Johor (PPJ).

Saya percaya beliau juga adalah guru pertama yang menubuhkan persatuan penulis di mana-mana sekolah di Malaysia. Maka lahirlah Persatuan Penulis Sekolah Menengah Semerah bagi pelajar yang meminati sastera. Saya salah seorang ahlinya. Pada tahun 1970, Cikgu Matlob telah membawa rombongan persatuan itu ke Malam Memperingati Jymmy Asmara di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Mulai tahun 1969, saya semakin aktif berkarya. Saya mulai menghantar cerpen ke pelbagai penerbitan termasuk Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah Mastika. Pada masa itu tidak ada bank di kampung saya atau di pekan terdekat, Semerah. Apabila honorarium hasil tulisan saya sampai saya tidak tahu apa yang patut dibuat. Saya tidak ada akaun bank. Selama beberapa tahun honorarium dalam bentuk kiriman wang (money order) atau cek (bank cheque) tidak dapat saya tunaikan. Bagi saya ketika itu yang penting karya saya tersiar.
Banyak editor sastera mulai memberi ruang untuk karya-karya saya. Sewaktu tingkatan lima terdapat sebuah kedai menjual surat khabar yang bersedia “membeli” cek. Oleh sebab beberapa orang pelajar Sekolah Menengah Semerah juga turut aktif menulis maka selalunya cek sampai pada mereka. Pekedai itu memotong 10 persen dari nilai cek.
Sewaktu di SMS saya sudah mula menulis novel. Saya telah menyiapkan novel kanak-kanak Api Di Tanah Perkuburan semasa saya dalam Tingkatan Tiga. Saya menulis pula Misteri Pulau Batu pada tahun 1969. Kedua-dua buah manuskrip itu saya serahkan pada Cikgu Matlob yang mempunyai hubungan baik dengan penerbit Pustaka Nasional di Singapura. Api Di Tanah Perkuburan terbit pada tahun 1973 sementara Misteri Pulau Batu terbit pada tahun 1974.
Bagaimanapun saya tidak puas hati dengan suntingan yang dibuat ke atas kedua-dua buku itu. Maka itu apabila saya menulis novel kanak-kanak berikutnya Tangan-Tangan Kaku pada tahun 1971, saya menghantarnya ke DBP. Novel itu disunting oleh editor DBP bernama Ayub Yamin dan terbit pada tahun 1974 sewaktu saya tahun pertama di UM.

Mulai 1970 saya mulai mendapat “pendapatan” dari penulisan saya. Maka semakin rajinlah saya berkarya. Saya juga semakin giat terbabit dengan kumpulan Sandiwara di kampung saya. Mungkin disebabkan faktor pembabitan saya yang terlampau dengan drama dan penulisan saya mengabaikan persekolahan saya. Saya gagal pertama kali mengambil Malaysian Certificate of Education (MCE) pada tahun 1970. Saya telah dihantar ke Ledang English School, Tangkak, untuk mengulang. Dengan keputusan yang agak baik saya dapat melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam di High School Muar pada tahun 1972.
Belajar Sambil Mencari Makan…
Sewaktu dalam Tingkatan Enam di Muar High School, selama beberapa bulan Ayah ditahan di wad khas Hospital Muar oleh sebab disyaki mengidap batuk kering (tuberculosis ), maka saya makin galak menulis. Semakin banyak rencana yang tersiar dalam Mastika selain akhbar tempatan.
Untuk mencari wang saya mulai menulis untuk majalah Wanita terbitan syarikat Utusan Melayu. Rencana saya yang pertama tersiar di situ berjudul “Kisah Pahit Manis Doktor Wanita Pertama di Dunia” pada bulan Februari 1972. Kemudiannya saya menulis siri “Seks Tiang Perkahwinan” yang tersiar pada bulan Mac , April dan M ei 1972. Mungkin untuk tujuan melindungi nama saya atau bagi mengelakkan pembaca tahu yang menulis tiga rencana tentang seks itu berusia 19 tahun dan belum kahwin (saya mendirikan rumah tangga 10 tahun selepas rencana itu tersiar!) maka nama “J.J.” sahaja yang digunakan sebagai byline. Pada bulan Januari 1972, majalah Wanita menyiarkan sebuah lagi rencana saya berjudul “Satu Analisa Tentang Cinta”, juga menggunakan byline “J.J.”


Demikianlah saya menulis sewaktu Tingkatan Enam dengan giatnya bagi menampung kehidupan saya, khususnya keluarga. Sejak Abang meninggal, Ayah di hospital, saya harus membantu meringankan beban Emak. Tidak ada kawan-kawan yang tahu keadaan saya sebenar pada ketika itu. Saya mulai terbabit dalam pelbagai kontroversi sastera, antaranya pada 17 Jun 1973, saya menulis sebuah rencana untuk Mingguan Malaysia berjudul “Azizi Sudah Tandus?” Azizi Abdullah adalah seorang penulis terkenal yang telah menghasilkan banyak novel dan cerpen ketika itu.
Selain Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman, punca pendapatan saya adalah Mastika dan Wanita. Saya juga banyak menukis cerpen untuk pelbagai penerbitan yang lain ketika itu.
Tanpa diketahui oleh banyak orang apabila cuti panjang sekolah saya bekerja di sebuah kilang kelapa sawit di Kulai, Johor. Pada masa itu ladang kelapa sawit masih kurang. Kilang persendirian ini tempat bekerja kakak kawan sekampung saya, Surip. Saya diberikan tugas ringan menulis berat tandan sawit yang masuk ke kilang.
Pada waktu yang sama demikian rajinnya saya berkarya hinggakan salah sebuah cerpen saya keluar dalam dua buah penerbitan berbeza. Sebenarnya saya menghantar cerpen itu kepada editor Mingguan Malaysia tetapi setelah berbulan-bulan menanti, saya menganggap cerpen itu tidak akan disiarkan. Lalu saya menghantarnya kepada editor Dewan Masyarakat. Cerpen dalam Dewan Masyarakat itu berjudul “Penjerat Harimau” tersiar pada bulan Mei 1973.

Saya tidak menyangka cerpen yang sama keluar dalam Mingguan Malaysia pada 6 Januari 1974, dengan judul “Jerat” tujuh bulan setelah tersiar dalam Dewan Masyarakat. Mungkin editor MM tidak menyedari cerpen itu telah tersiar dalam DM. Silap saya tidak memaklumkan pada editor MM bahawa cerpen itu patut dibatalkan.
Honorarium yang saya perolehi dapat meringankan beban keluarga walaupun tidak banyak. Dari bulan Mei 1971 hingga 1 Februari 1979, saya telah menghasilkan 27 buah cerpen untuk pelbagai penerbitan. Selain MM, Utusan Zaman dan DM, saya menulis untuk Watan, Majalah Nora, Suara Merdeka, Suara Rakyat, Mingguan Rakyat dan Sarina.
Paling sukar saya terobosi adalah Berita Minggu (BM). Saya diberitahu kemudian bahawa editornya pada masa itu adalah Ahmad Sebi (Datuk). Tidak pernah sekalipun BM menyiarkan cerpen saya. Maka itu saya mulalah menulis surat iringan menyebutkan “Sekiranya cerpen ini tidak disiarkan, harap bakul sampahkan.” Rupa-rupanya Ahmad Sebi tidak memandang mudah ayat itu. Di mana-mana dia berceramah dia akan menyebutkan tentang “kebiadaban” seorang penulis muda bernama Johan Jaaffar. Apa yang penting BM mulai menyiarkan tulisan saya baik dalam bentuk rencana atau cerpen. Dan Ahmad Sebi menjadi sahabat saya sehingga hari ini. Saya pernah menjadi Setiuausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (Pena) sewaktu beliau menjadi Presidennya.
Saya menulis di mana sahaja, malah sebuah cerpen saya terbit dalam majalah Utusan Filem dan Fesyen (UFF) yang terkenal dengan sensasi dan unsur seksnya. Cerpen itu berjudul “Angin Kencang Bertiup Kencang” yang seperti judulnya sendiri sudah membayangkan nada cerpen itu, bukan sahaja sensasi tetapi berunsur lucah! Sehingga hari ini saya tidak percaya menulis cerpen itu pada usia 19 tahun dan disiarkan! Saya menganggapnya satu pengalaman kepengarangan yang bagi saya, menarik, lucu walaupun memalukan. Membaca beberapa perenggang terakhir cerpen itu meremangkan bulu roma saya hingga ke hari ini!

Cerpen memang kekuatan saya pada masa itu. Saya pembaca yang tekun. Dan saya gila membaca, hinggakan kamus menjadi bahan bacaan saya. Sastera Melayu lambat terdedah pada saya akibat pendidikan Bahasa Inggeris saya. Saya lebih dahulu mengenal karya-karya Shakespeare, Jane Austen, Charles Dickens, Geoffrey Chaucer, Geoge Eliot, George Orwell, Joseph Conrad, Ernest Hemingway, John Steinbeck, Somerset Maugham, dan kemudiannya terjemahan karya-karya Leo Tolstoy, Fyodor Dostoevsky, Vladimir Nabikov dan Boris Pesternak.
DBP menerbitkan Dewan Sastera pada tahun 1971. Melalui Dewan Sastera dan ruangan sastera majalah dan akhbar tempatan saya mengenal banyak penulis tempatan, termasuk Shahnon Ahmad (Datuk). Beliau juga banyak menulis untuk penerbitan lain. Cerpen-cerpen beliau seperti “Denak” (Dewan Masyarakat, Jun 1970), “Kalau Ibu Sampai takah Tiga” (Dewan Sastera, Februari 1971), “Igau” (Dewan Sastera, Disember 1971), “Lagu Kit Kit Kit” (Berita Minggu, 13 Ogos 1972) dan “Kelapa Nan Sebatang” (Dewan Sastera, September 1973) membuka minda saya pada dunia penulisan cerpen.

Saya mengagumi teknik penulisan Shahnon melalui cerpen-cerpen itu. Dalam proses awal saya untuk mencari stail dan bentuk, cerpen-cerpen itu memberikan saya inspirasi baharu. Malah saya mengakui bahawa cerpen-cerpen awal saya seperti “Surat Dari Kampung” (Mingguan Rakyat, 14 Ogos 1976), “Warkah Dari Kota” (Utusan Zaman, 27 Jun 1976), “Surat Seorang Siswa” (Mingguan Malaysia, 9 Oktober 1978) dan “Peah” (Mingguan Malaysia 16 September 1976) banyak dipengaruhi oleh gaya Shahnon Ahmad.
Kesemua cerpen ini serta 11 cerpen yang lain terkumpul dalam antologi Pelarian Sang Hero (terbitan Eastern University Press, 1980), saru-satunya antologi cerpen saya.

Dari Jeha ke Senah ke Salina…
Saya juga terdedah pada novel Ranjau Sepanjang Jalan, novel ketiga beliau yang diterbitkan oleh Penerbit Utusan Melayu pada tahun 1966. Seperti ribuan pelajar pada penghujung tahun 60-an dan awal 70-an, Ranjau Sepanjang Jalan menjadi bahan teks sastera. Generasi kami terdedah dengan kisah penderitaan keluarga petani bernama Lahuma dan isterinya Jeha serta tujuh orang anak perempuan mereka. Kami diperkenalkan dengan desa yang bernama Banggul Derdap serta banyak istilah dan ungkapan unik dari Utara. Saya boleh relate dengan novel ini disebabkan oleh kemiskinan yang saya lalui.
Saya juga banyak dipengaruhi oleh karya-karya A. Samad Said, (Datuk) khususnya Salina. Kali pertama kali saya membaca Salina sewaktu Tingkatan Lima, saya segera jatuh hati. Salina merupakan novel Melayu pertama yang secara serius mendedahkan saya pada cekrawala sastera Melayu. Saya mengangumi Salina seperti saya mengagumi karya-karya Joseph Conrad, Ernest Hemingway, John Steinbeck dan Boris Pasternak.
Sekali lagi tema penderitaan dan kesusahan mengingatkan saya pada apa yang saya lalui. Walaupun kisah kehidupan Abdul Fakar, Siti Salina, Hilmi, Katijah, Nahidah, Haji Karman, Sunarto, Mansur, Karupaya Samy dan Bulat dalam novel itu berbeza eranya, tetapi siapakah yang dapat melupakan kehidupan sukar yang diketengahkan oleh penulisnya? Bagi saya Salina lahir pada zaman susah dan ditulis oleh penulisnya pada zaman susah. Maka terlihat benar kejujuran novel ini.
Saya telah juga menghasilkan tiga buah novel dewasa. Warna Tinta yang terbit pada tahun 1976 adalah satu-satunya novel Melayu yang berlatarbelakangkan gerakan pelajar tahun 1974. Saya menggunakan watak Agus sebagai simbol protes dan penentangan terhadap establishment. Novel yang diterbitkan oleh Penerbit Utusan Melayu ini menggambarkan situasi tegang dan panas yang dirasakan oleh para pelajar, khususnya di UM pada tahun 1974. Saya juga telah menghasilkan Genta Rasa (terbitan Utusan Publications and Distributors, 1977) dan Laguku Untukmu (Rahmanmat Media, 1979). Penulisan novel saya terhenti setakat itu.
Namun demikian saya terus membaca sekian banyak novel Melayu. Salina yang mencelikkan mata saya pada dunia telah saya buat adaptasi ke pentas pentas. Tapi sebelum itu saya telah mencuba membawakan novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman ((HHTSS) karya Anwar Rithwan (Datuk) ke pentas. Seperti Salina, HHTSS adalah cinta pandang pertama bagi saya. Novel ini telah memenangi Sayembara Menulis Novel Gapena-Yayasan Sabah pada tahun 1979. Novel ini diterbitkan oleh DBP pada tahun itu juga.
Saya melihat novel itu daripada pelbagai perspektif. Saya menyamakan Pak Hassan dengan nenek saya, si tukang cerita yang juga bidan kampung yang saya bawa berkeliling desa dengan basikal tua. Cuma bezanya Pak Hassan harus bersaing dengan medium baharu yang mencabar pengaruhnya -radio. Pak Hassan si tukang cerita yang hidup sukar bersama-sama anaknya Senah dan Mat Junuh. Novel ini tidak mudah, lalu saya harus mewujudkan alter-ego Pak Hassan dalam bentuk Tuk Selampit.
Selama dua tahun HHTSS di bawa ke mana-mana di Malaysia dan di Singapura. Adaptasi yang saya lakukan ke atas novel ini memberikan kemenangan pertama saya dalam ketagori baharu Hadiah Karya Sastera pada tahun 1986, “Adaptasi.”
HHTSS tidak berakhir di pentas, Sewaktu saya mementaskan HHTSS pada tahun 1984, anak saya yang kedua, Syahid belum lahir. Sabri Yunus yang membawakan watak Tuk Selampit pertama kali membawakan watak penting di pentas KL. Wan Hanafi Su baru berusia 27 tahun apabila drama itu dipentaskan. Tetapi 27 tahun kemudian, Syahid menjadi penerbit drama HHTSS untuk Astro. Sabri menjadi pengarah dan Wan Hanafi Su sudah cukup tua memainkan peranan itu tanpa perlu dimake-up. Begitu juga Bohari Ibrahim sebagai Paman Bahari yang memainkan watak asalnya, sudah cukup tua 27 tahun kemudian. Wan Hanafi Su memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrip pada tahun 2013 kerana lakonannya sebagai Pak Hassan.
Saya amat bangga dengan HHTSS. Dan lebih bangga lagi dapat mementaskan drama Salina. Saya menganggap itu pencapaian penting sebagai orang teater. Sama juga perasaan saya apabila membuat adaptasi cerpen A. Samad Ismail “Rumah Kedai Di Jalan Seladang” yang pernah tersiar dalam DS pada tahun 1988. Seperti Salina, ini merupakan cerpen yang luar biasa istimewanya. Kehidupan keluarga Mak Nah Bee yang didampingi oleh wartawan muda bernama Leman tidak mungkin dapat secara berkesan digambarkan dalam bentuk tulisan. Maka itu saya membuat adaptasinya.

Saya juga pernah mencuba membuat adaptasi novel Langit Petang oleh A. Samad Said. Pada satu hari saya dihubungi oleh Syahril Lembang yang saya kenal sejak saya masuk ke UM dan bekerja di kedai motorsikal di Jalan Bangsar. Beliau memberitahu saya seorang penerbit berminat untuk membuat adaptasi novel Langit Petang untuk TV. Saya memberitahunya bahawa Shaharom Mohd Dom pernah membawakan novel itu ke layar perak pada tahun 1982. Saya cadangkan pembaruan cara adaptasi. Apa kata jikalau saya bawakan kisah dalam novel itu ke hadapan, 12 tahun kemudian. Maknanya 12 tahun setelah meninggalnya watak yang menjadi teras novel itu, Hafiz. Maka apakah yang berlaku pada watak-watak yang pernah ditemui oleh Hafiz 12 tahun sebelumnya? A Samad Said setuju pendekatan ini. Kami dibayar mahal. Dramanya tidak terbit. Saya menerbitkan naskhah itu dalam buku Langit Petang: 12 Tahun Kemudian terbitan DBP pada tahun 1991.
Dalam penulisan teater tentunya saya dipengaruhi oleh banyak penulis luar selain beberapa orang dramatis kontemporari khususnya Usman Awang, Mustapha Kamil Yassin @Kala Dewata (bapa kepada pelakon Azmil Mustapha), Kalam Hamidi dan banyak lagi.
Pembabitan saya dalam penulisan drama-drama TV sebenarnya adalah secara kebetulan. Saya cuba mencari wang tambahan untuk membantu keluarga di kampung. Saya masih bujang ketika itu. Saya menemui Mohd Nordin Abdul Rahman (Datuk) atau Atondra yang ketika itu penyunting skrip untuk RTM.
Saya mengenal Atondra lama sebelum itu, semasa beliau menyunting majalah Pemimpin. Saya banyak menyumbang untuk majalah terbitan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan (KKBS) masa itu. Saya menemui beliau pada kira-kira tahun 1979 bertanyakan kemungkinan kalau-kalau saya boleh menyumbang untuk slot “Drama Minggu Ini” (DMI). Kata beliau, “Bawa skrip ke mari, Abang tengok.”
Atondra adalah pembentuk dan guru terbaik penulis muda. Saya membawakan skrip pertama saya, saya tidak ingat judulnya tetapi beliau cadangkan namanya “Menapak Di Paya.” Saya mahu menggunakan nama samaran “Hantu Semerah” tetapi beliau memarahi saya. “Tak ada nama lebih elokkah?” Lalu beliau menulis di atas manuskrip itu nama “Jaafar Khan .”
Maka kekallah nama Jaafar Khan yang saya gunakan untuk skrip drama TV. Saya enggan menggunakan nama sendiri disebabkan pada masa itu saya dikenal senbagai aktivis teater eksperimen. Drama TV berada dalam cekrawala yang lain. Nama “Johan Jaaffar” adalah aktivis teater, letaknya di pentas teater. Jadi nama Jaafar Khan itu memang sesuai.
Dari Asy-Syura Ke Orang Jauh
“Menapak Di Paya” diterbitkan oleh Helan Abu. Selepas itu saya menulis drama TV “Anak Tiong Si Noni Sayang” yang diterbitkan oleh Hasiah Arifin.
Pada satu hari Abdullah Zainol, seorang lagi penerbit RTM mengajak saya duduk di kantin RTM. “Ada skrip baru?” Dia bertanya. Saya memberitahunya saya sedang menulis skrip “Asy Syura”. Apabila skrip itu selesai saya serahkan terus pada Abdullah Zainol. Dia menyukainya. “Asy Syura” meletup. Saya percaya drama itu paling diingat oleh banyak penonton RTM ketika itu. Selepas itu kesemua drama-drama TV saya diterbitkan oleh Abdullah Zainol – “Pak Tua”, “Pendekar Raibah”, “Pelari”, “Angin Bila Menderu”, “Pemandu Teksi” dan “Anjung Batu”. Pada tahun 1983, saya tidak lagi menulis untuk RTM. RTM sudah memulakan konsep “drama swasta” di mana penerbit luar akan menyediakan drama untuk tayangan.

Saya juga pernah menyumbang untuk siri komedi TV paling popular, “Pi Mai Pi Mai Tang Tu” terbitan dan arahan Othman Hafsham. Episod yang saya tulis adalah “Orang Jauh” yang mempertemukan Wan Ismail Golok, budak Kelantan dan budak Jawa, Abon di Kampung Seriwangi. Saya mencadangkan pada Hafsham untuk memberikan nama pada watak yang pertama kali diperkenalkan dalam skrip Zakaria Arifin, “Cermin Gelap.” Nama Wan Ismail Golok itu dicadangkan sendiri oleh Sabri Yunus. Episod itu ditayangkan pada hari Ahad 24 Januari 1988. Agaknya demikian popular “Orang Jauh”, Zainuddin Maidin (Tan Sri), Ketua Pengarang Utusan Malaysia pada masa itu meletakkan berita itu pada halaman depan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 26 Januari 1988. Berita yang membawa judul “Rahsia Kejayaan Pi Mai Pi Mai Tang Tu” yang ditulis oleh wartawan Ku Seman Ku Hussain. Bagi saya itu merupakan penghormatan besar pada pelakon, pengarah dan penulis skrip episod berkenaan.
Pada tahun 1991 beberapa bulan sebelum saya bertolak ke Universiti Nottingham di United Kingdom, saya didatangi oleh Malim Ghazali PK (Datuk). Beliau mencadangkan sebuah sitcom untuk TV. Pada masa itu Rohani Yusof, pelakon yang pernah terbabit dengan drama-drama DBP dan pernah berlakon dengan saya menjadi penyelarasnya. Maka saya mencadangkan “Kelab”. Siri itu bagaimanapun hanya bertahan selama enam episod sahaja.
Di pentas, saya lebih bangga bahawa banyak daripada mereka yang merupakan “graduan” ketiga-tiga drama adaptasi saya itu hari ini menjadi nama-nama besar dalam bidang teater, TV dan drama. Di antara mereka termasuklah Sabri Yunus, Fauziah Nawi, Jalil Hamid, Wan Maimunah Aziz, Bohari Ibrahim, Mior Hashim Manap, Liza Othman, Badrul Hisham Mohd Noh, A Rahim Muda (Imuda), Syarizan Ahmad (Abon), Izzaidah Khairan, Rasdi Daud, sekadar menyebut beberap nama. Sistem ini juga telah melahirkan banyak petugas teater, dari pereka set, lampu dan pengurus serta petugas pentas.
Mereka bukan sahaja anak didik saya tetapi sebahagian daripada “sistem DBP” yang telah membantu menyuburkan dunia teater tanahair. DBP telah memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan drama tanahair. Sejak drama Baharuddin Zainal mengarahkan “Tamu Di Bukit Kenny” karya Usman Awang di DBP pada tahun 1967, organisasi telah mempersembahkan lebih 60 buah drama di atas labelnya, itu tidak termasuk drama-drama yang dibantu penerbitannya oleh DBP atau yang dipentaskan di DBP.
Saya salah seorang yang lahir daripada sistem itu. Saya bukan sahaja menulis skrip, membuat adaptasi dan mengarah tetapi turut berlakon dalam drama-drama terbitan di BBP, di antaranya “Hikayat Pelayaran Indraputra II”, “Titah Tuanku” dan “Zaman Gerhana”. Sistem ini tidak sahaja memberi ruang pada pelakon atau petugas seni dari DBP, tetapi juga orang luar DBP. Saya juga pernah berlakon di bawah arahan Dr Hatta Azad Khan dan Mustapha Noor.
Saya selalu memberitahu aktivis teater, sastera ada DBP, tetapi DBP juga menaungi seni budaya, dulu, kini dan selamanya.
Tapi kekuatan saya memang dalam bidang dramanya agaknya. Mungkin oleh sebab pendedahan saya begitu awal pada drama-drama Shakespeare, pertunjukan Opera Cina di kampung, kedatangan Bintang Timur Opera dan pembabitan dalam Sandiwara kampung, maka dunia kepengarangan saya banyak tertumpu pada teater.
Setelah berjaya mementaskan “Kotaku Oh Kotaku” pada Malam Berbunga Sajak di Panggung Eksperimen Universiti Malaya pada tahun 1975, saya menulis pula “Angin Kering”. Sekali lagi ia merupakan drama eksperimental yang saya cubakan, berlainan daripada drama-drama zaman Sandiwara saya. Saya amat senang dengan “Angin Kering”, bagi saya drama ini adalah “pembaikan” daripada kreativiti saya dengan “Kotaku Oh Kotaku.” Baik “Kotaku Oh Kotaku” atau “Angin Kering”, saya mendapat ilham daripada pendedahan dengan teater moden di KL, di luar daripada tirai dan peralatan set yang konvensional. Sudah tentulah Kumpulan Teater Keliling yang dipimpin oleh Rudolp Puspa yang datang ke KL pada tahun 1973 dan 1974 itu ada pengaruhnya pada saya. Juga drama “Bukan Bunuh Diri” karya Dinsman yang menjadi drama utama Malam Berbunga Sajak I” pada tahun 1974.

Saya mementaskan “Angin Kering” mulanya di UM, kemudiannya dengan Kumpulan Anak Alam yang telah saya dampingi sejak saya tahun 1 di UM lagi. Malah “Angin Kering” merupakan drama penuh pertama persembahan Anak Alam. Pengkaji drama tanahair menganggap saya, Nordin Hassan, Dinsman, Hatta Azad Khan dan Mana Sikana sebagai pelopr “teater absurd” di negara ini, teater yang mengambil tradisi teater eksperimental oleh Samuel Backett, Arthur Adamov, Eugene Ionesco, Luigi Pirandello dan lain -lain.

Saya tidak pernah memikirkan aliran apakah yang saya bawakan dalam drama-drama saya, saya hanya tahu menulisnya. Dan drama-drama pentas menmberikan saya keseronokan menulis yang luar biasa. Saya misalnya berekseperimen dengan “Sang Puteri”. Saya mendisiplinkan diri menulis setengah jam sehari sehingga drama itu siap. Hanya setengah jam, walaupun idea masih mencurah.

Saya bereksperimen dengan menjadikan drama berikutnya “Pemain” sebagai sebuah novelet, drama atau cerpen. Drama itu saya tulis pada tahun 1986. Bagi saya tahun-tahun 1985/86 adalah waktu yang amat menggelisahkan. Saya dalam dilema yang teruk. Apakah saya akan terus menjadi pegawai Kerajaan atau memilih jalan lain? Ada niat untuk terus menjadi orang seni, maksudnya menumpukan perhatian sepenuhnya pada seni. Atau membuat studi filem. Ada juga keinginan untuk meninggalkan dunia sastera dan seni sama sekali lalu terjun ke dalam dunia kewangan dan ekonomi. Saya juga terfikir untuk membuat Masters in Business Administration (MBA).
Saya juga sebenarnya sudah bermain-main dengan idea “Pemain” sejak lama. Seingat saya sewaktu berlakon dengan Othman Haji Zainuddin dalam “Zaman Gerhana”. Saya hanya ada satu baris dialog yang saya jajakan pada kawan-kawan pada masa itu:
“Dulu terbitnya di sana, sekarang terbitnya di sini. Esok entah di mana.” Itulah ayat pembuka drama itu.
Dalam wawancara saya dengan wartawan Mingguan Wanita pada 2 Oktober 1987, saya berkata:
“Pemain begitu memuaskan hati. Saya rasa drama inilah yang paling dekat dengan diri saya, kerana apa yang saya fikirkan itulah yang saya tulis.”
Saya menulis “Dia” dan “Pasrah” sewaktu aktif dengan Anak Alam, sebagai kemuncak improvisasi gaya Kumpulan itu. “Dia” adala drama yang bagi saya unik, baik persoalan atau perwatakannya. “Pasrah” mengetengahkan hanya nama-nama watak Satu, Dua, Tiga, Empat dan Orang Asing. Apabila saya mementaskan “Pasrah” di Panggung Drama KL saya tidak menggunakan set apapun. Pentas kosong sekosong-kosongnya. Saya teringat salah seorang pelakonnya, Wan Yusof Hassan yang kehairanan melihat pentas kosong pada malam pementasan pertama lalu bertanya, “kita rehearsal akhir ke?”

Menjadi Wartawan, Pemimpin Korporat
“Asiah Samiah” saya tulis 15 tahun setelah saya tidak menulis drama lagi. Saya menjadi Ketua Bahagian Majalah pada tahun 1988 dan kemudian menjadi Ketua Bahagian Penerbitan Am (BPA). Pada tahun 1991 saya mengikuti pengajian Critical Theory di University of Nottingham. Sekembalinya saya dari sana saya diletakkan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Pada tahun 1998 akibat pergeseran Anwar Ibrahim (Datuk Seri) dan Dr Mahathir Mohamad (Tun), saya dibuang daripada jawatan saya.
Sekali lagi zaman gelisah dan dipinggirkan melahirkan yang terbaik daripada saya. Saya menulis “Asiah Samiah” sebahagian besarnya dengan pena di ladang pisang saya di Gambang, Pahang. “Asiah Samiah” bukan sahaja memenangi drama terbaik Hadiah Sastera Malaysia tetapi juga Hadiah Sastera Johor. Sehingga hari ini “Asiah Samiah” masih digunakan sebagai teks untuk Mata Pelajaran Kesusasteraan Tingkatan Enam. Hanya sekali “Asiah Samiah” dipentaskan, di Aswara dibawah arahan Dr Lenny Erwan. “Asiah Samiah” mengembalikan nostalgia saya tentang kemiskinan, kepayaan, penindasan, penganiayaan, cinta yang gagal dan lebih penting lagi kuasa. “Asiah Samiah” adalah pertentangan kelas dan status, isu yang menghantui saya sebagai pelajar di UM pada awal tahun-tahun 70-an.
“Asiah Samiah” adalah gelombang kreatif yang memacakkan kepengarangan saya sebagai penulis yang tidak mungkin melupakan cetrita orang-orang kecil dan kemiskinan yang pernah saya lalui sendiri dan temui.
Maka itu amat bangga dengan “Asiah Samiah.”

Saya menjadi wartawan berkat latihan saya menjadi sidang pengarang beberapa buah majalah terbitan DBP. Pada tahun 1988 saya menjadi Ketua Bahagian Majalah DBP yang sekaligus membawa peranan Ketua Pengarang. Saya mulai dikenal di kalangan para wartawan bukan sekadar sebagai sasterawan tetapi pemimpin majalah yang dibaca oleh ratusan ribu orang, khususnya laporan penyiasatan Natrah yang tersiar dalam DM selama bulan bermula daripada bulan Mac 1989. Laporan yang dibuat oleh Fatini Yaacob (Puan Sri) itu mendapat perhatian meluas.
Apabila saya menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, hal itu tidaklah memeranjatkan sangat. Banyak pemimpin redaksi akhbar pada masa itu sudah saya kenal. Saya sekadar meneruskan tradisi sassterawan-wartawan yang hidup dalam dua dunia. Orang-orang seperti A Rahim Kajai, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako) Usman Awang (Tongkat Warrant), Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), A Samad Said, A Samad Ismail dan Abdul Wahab Muhammad (Awam il-Sarkam) adalah daripada tradisi ini sasterawan-wartawan.
Secara jujur selama kira-kira 15 tahun semasa saya menjadi Ketua Bahagian Majalah dan Ketua BPA di DBP dan kemudian menjadi Ketua Pengarang di Utusan Melayu, saya tidak berkarya. “Asiah Samiah” adalah drama “comeback” saya. Di antara 1998 dan 2006 saya sebenarnya “menghilang dari radar. Sastera.” Malah radar politik dan media sekaligus.
Walaupun saya ada membantu teman-teman politik dari luar, saya lebih suka menganggap diri saya di Limboland. Tulisan saya tidak tersiar di mana-mana. Malah saya menulis semula dalam akhbar yang pernah saya pimpin hanya pada hari selepas meninggalnya Usman Awang pada tahun 2001. Rencana ini berjudul “Usman Awang yang Saya Kenal.” Kali terakhir saya menulis di Utusan Malaysia adalah pada 13 Julai 1998, sehari sebelum saya berundur. Maknanya tulisan saya hanya tersiar semula dalam Utusan Malaysia setelah 3 tahun, 4 bulan dan 17 hari.
Saya kemudiannya dilantik Pengerusi DBP menggantikan Kamarul Ariffin (Tan Sri) pada 2006 hingga 2010. Beliau pernah menjadi Pengerusi Utusan Melayu menganyikan Khalid Abdullah (Tan Sri). Saya pernah jadi Timbalan Pengerusi Lembaga Pengola di bawah Kamarul Arifin sebelum menjadi Pengerusi. Pada bulan Mei 2009 saya dilantik sebagai Pengerusi Media Prima Berhad sehingga tahun 2015.
Saya terlalu sibuk dengan urusan bisnes dan pentadbiran syarikat.
Semasa menjadi Ketua Pengarang di Utusan Melayu, tulisan saya bukan lagi tentang sastera tetapi tentang isu semasa, khususnya politik. Sebagai Ketua Pengarang, saya punya kolum sendiri yang perlu saya isi, selalunya tentang soal politik semasa. Saya juga banyak membuat liputan lawatan Perdana Menteri ketika itu. Di Utusan Melayu saya punya ruangan “Selayang Pandang” dalam akhbar Mingguan Malaysia yang bermula pada 8 November 1992 hingga 19 Julai 1998. Ruangan “Nota Kaki” yang lebih ringan berjalan tersiar setiap Isnin daripada 20 Jun 1994 hingga 13 Julai 1998. Ruangan ini banyak juga menyentuh tentang soal sastera, budaya, seni dan human interest stories. Saya juga punya ruangan pojok “Selentik” dalam majalah Massa dari 17 Januari 1996 hingga 13 Julai 1998. Dalam majalah hiburan Hai saya menulis ruangan “Sembang Filem” dari 4 Ogos 1996 hingga 11 Julai 1998.

Kemudiannya saya diberikan ruangan untuk menulis dalam Berita Minggu “Di Luar Lingkaran” yang berjalan dari 23 Mac 2003 hingga April 2009. Saya juga menulis ruangan “Point Blank” untuk akhbar New Straits Times dari 30 November 2002 higga 17 Oktober 2015. Saya menulis ruangan “The Bowerbird Writes” untuk akhbar The Star dari 18 April 2016 hingga 2022. Saya masih menulis untuk The Star sehingga hari ini.
Untuk majalah-majalah DBP, saya menulis ruangan “Jejak Seni” untuk majalah Dewan Budaya dari Julai 2007 hingga Jun 2011. Ruangan inilah yang menjadi asas buku saya, Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan Ke Media Prima Bhd. Saya juga diberikan kesempatan menjadi kolumnis Dewan Sastera dari tahun 2002 hingga 2004 di bawah banner “Sesedap Rasa.”
Hanya apabila saya berhenti daripada kedudukan saya sebagai Pengerusi Media Prima Bhd pada tahun 2015 itu saya menulis kreatif semula. Saya telah menghasilkan “Pokok” yang tersiar dalam Dewan Sastera September 2017. U-Wei HajiSaari (Dato’ Dr.) membawakannya ke pentas dengan pelakon-pelakon terdiri daripada Haliza Misbun, Ebby Saiful, Rahim Jailan dan Buyung Zasdar. Saya pernah mencipta watak wanita yang “kuat” 14 tahun sebelum itu, Asiah Samiah. Kali ini muncul pula Mardiah. Selepas itu saya menghasilkan pula “Bangku”.

“Bangku” yang tersiar dalam Dewan Sastera, Ogos 2019 adalah satu lagi percubaan saya membawakan kelainan pada drama tempatan. Kali ini bukan sifat eksperimentalnya seperti drama-drama saya yang dilabelkan “absurd” sebelum ini. “Bangku” membawakan kisah sebuah bangku dengan latar yang sama, tetapi dalam konteks tiga era berbeza, dipisahkan oleh jarak waktu 30 tahun.
Babak pertama berlaku pada tahun 1959 di mana seorang tali barut British (nama wataknya Penyiasat) menyiksa bekas kekasihnya sendiri, seorang nasionalis (Wanita).
Pada tahun 1989, di bangku itu juga merupakan pertemuan seorang Pelawak dan Pengambil Rasuah. Babak Ketiga membawa pada tahun 2019 di mana seorang Ayah yang meninggalkan anak-anaknya semasa kecil harus berdepan dengan Anak Perempuan.
Drama ini telah dipentaskan oleh Dr Lenny Erwan di Panggung Eksperimen UM pada bulan Februari 2023.
Saya kemudiannya menulis “Master Kobid” yang merupakan sebuah komedi tentang Covid-19. Drama ini telah dipentaskan di DBP di bawah arahan Aris Othman pada bulan Februari 2023.
Kembali Pada Akar…
Sehingga hari ini, di manapun saya berada dan dalam kedudukan mana sekalipun, saya tidak melupakan asal saya jauh di desa pedalaman, 27 kilometer dari bandar yang terdekat. Saya hidup dalam dunia yang sukar. Namun demikian saya tidak pernah terdengar rungutan kesal daripada Ayah, Emak atau jiran-jiran saya. Saya dicorakkan oleh kehidupan itu. Saya mugkin lebih beruntung daripada banyak kawan-kawan saya di kampung. Tapi akar yang membentuk saya tidak pernah saya lupakan. Saya mungkin berjaya sebagai pemimpin syarikat, Ketua Pengarang, Pengerusi syarikat atau organisasi atau sebagai wartawan. Tapi saya tidak pernah melupakan dari mana saya bermula.
Saya juga mengenal makna perjuangan semasa terdedah pada revolusi pelajar tahun 1974. Novel Warna Tinta adalah rakaman kreatif saya tentang peristiwa itu. Saya masih menganggap bahawa perjuangan mengeluarkan rakyat yang tidak bernasib baik belum berakhir. Saya masih bercerita tentang kemiskinan dalam karya terakhir saya, kisah Darwis dan Mardiah dalam “Pokok “dan watak Pelawak dan Ayah dalam “Bangku.”
Macam kata Mardiah pada Darwis:
“… Kita dalam lingkaran kehidupan yang sememangnya begini. Kita tidak boleh keluar ke mana-mana. Anak kita pun tidak akan ke mana-mana melainkan dalam lingkaran kemiskinan juga. Dalam putaran ini. Dalam pusingan ini. Tak boleh keluar ke manapun. Percayalah cakap saya.”
Lingkaran itulah yang patut kita tangani. Saya berhasrat mahu memperjuangkan orang-orang yang terpenjara di dalamnya dengan cara saya sendiri. Mungkin melalui tulisan saya, kedudukan saya dan pengaruh saya, jika ada.
Saya percaya, karya sastera ada peranannya dalam membuat perubahan. Asalkan sasterawan kekal jujur. Sasterawan bukan menjadi suara pemerintah. Sasterawan seperti juga wartawan punya peranan besar mewarnakan negara ini. Memberikan inti dan makna pada kemusiaan. Menyatakan yang benar. Memang kebenaran itu relatif. Tetapi dengan cara-cara kita sendiri kita boleh memberikan “kuasa” pada “yang tidak berkuasa”.
Bagi saya sastera dan sasterawan adaah suara sebenar hati nurani kemanusiaan.
Suara yang sepatutnya tidak dikelabui oleh sebarang kepentingan dan keperluan.
Kita harus memberikan suara bagi yang tiada suara.
Bagi saya itulah tugas utama sastera dan makna sebenar kepengarangan. Jangan sampai apa yang berlaku pada Kahtijah adik saya berlaku lagi. Surat yang beliau tulis pada usianya 10 tahun masih menghantui saya pada hari ini:
“…Engah kan suruh beli Utusan Pelajar, tetapi Jah tak mampu membelinya. Kalau ada duit bolehlah Jah beli.”
Itulah yang mencorak dan mendefinasikan kepengarangan saya dan perjuangan saya dalam hidup ini. Semoga tidak ada Kahtijah sedemikian lagi di kalangan kita.

Terima kasih.
Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau juga seorang aktivis seni. Beliau telah menghasilkan Jejak Seni: Dari Pentas Bangsawan ke Media Prima Berhad yang merakamkan pembabitan beliau selama lebih 50 tahun dalam bidang seni.
