SEBANYAK RM1 juta diperuntukkan bagi menjayakan kempen Baucar Buku Semarak Membaca, kata Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang.
Aaron berkata kempen tersebut merupakan inisiatif di bawah Program Semarak Seni Budaya oleh kementerian melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan rakan-rakan industri buku Malaysia.
Katanya, Kementerian Perpaduan menerusi kenyataannya berkata insentif ini adalah bertujuan meringankan beban rakyat dalam pembelian bahan-bahan ilmiah serta menggalakkan perbelanjaan domestik bagi merancakkan lagi industri perbukuan negara.
“Kerajaan MADANI sentiasa komited dalam usaha untuk meringankan beban rakyat, terutamanya dalam aspek pendidikan dan akses kepada sumber ilmu.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuklah pemberian baucar buku, yang bukan sahaja membantu meringankan kos pembelian bahan bacaan, malah secara langsung dapat memupuk dan memperkasa budaya membaca dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut Aaron lagi, Kementerian Perpaduan turut menyatakan penghargaan kepada syarikat Shopee selaku rakan e-dagang rasmi PNM kerana memudahkan penebusan baucar serta memperluas akses kepada buku berkualiti.
Beliau menjelaskan para penggemar buku layak untuk menebus baucar tersebut dengan pembelian minimum RM20 ke atas buku tempatan atau diterbitkan dalam negara sahaja.
Baucar buku tersebut boleh ditebus di Pesta Buku Negeri yang terlibat melalui portal https://semarakmembaca.com/
