PUISI yang baik bukan sahaja harus memiliki keindahan bahasa, tetapi mestilah memiliki kebenaran makna yang jujur, tidak berpaling dari hakikat dan tidak memperdaya khalayak dengan fatamorgana nilai. Dalam hal ini, puisi “Perlumbaan Arnab dan Kura-Kura” oleh Zurinah Hassan yang telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 mengundang suatu kejanggalan besar dari sudut falsafah dan pencerapan nilai.
Secara lahiriahnya, puisi ini cuba menawarkan bacaan semula terhadap sebuah fabel klasik. Ia mengambil suara arnab dan menyarankan bahawa kekalahan arnab adalah suatu keputusan sedar dan sengaja demi membiarkan kura-kura menang. Maka dari sana, kononnya lahirlah keinsafan, pembelajaran moral tentang keangkuhan dan suatu bentuk “pengorbanan simbolik”. Namun di sinilah bermulanya keretakan logik.
Pertama, naratif bahawa arnab sengaja mengalah atas nama kebaikan adalah suatu bentuk “pseudo-nobility“, sejenis faham mulia palsu yang jika dihurai lebih lanjut membawa makna bahawa kekuatan harus menahan diri dari menang, kononnya demi maslahat pihak lemah. Idea ini bukan sahaja mencabul etika keadilan dalam perlumbaan, tetapi mengaburkan garis antara kebajikan dengan kemunafikan. Dalam sistem nilai yang sihat, kekuatan bukan digunakan untuk menipu atau mengawal naratif kekalahan, tetapi untuk bertanding dengan adil. Jika puisi ini benar-benar mahu menawarkan nilai luhur, mengapa tidak dipersoalkan struktur pertandingan itu sendiri? Mengapa tidak dikritik sistem yang membenarkan dua makhluk tidak sepadan bertarung? Malangnya, puisi ini tidak sepicing pun sampai ke tahap itu.
Kedua, dalih bahawa kononnya kemenangan akan membawa ketawa dan penghinaan pada bait “adakah kemenangan aku akan dijulang / aku pasti mereka juga akan ketawa” mendedahkan satu bentuk manipulasi emosi yang menyamar sebagai renungan. Dalam falsafah, ini disebut sebagai logical fallacy iaitu justifikasi yang dibina atas andaian lemah. Tiada alasan yang cukup kukuh dalam puisi ini untuk mendamaikan tindakan arnab itu sebagai luhur. Ia sebaliknya menampakkan sikap self-glorifying yakni menyusun naratif untuk mengabsahkan kelekaan sendiri.
Ketiga, baris penutup yang menyatakan bahawa tindakan itu “lebih bermanfaat” adalah suatu kenyataan yang tidak disokong oleh sebarang prinsip nilai yang jelas. Neraca nilai apa yang digunakan untuk menjustifikasi bahawa membiarkan kura-kura menang itu lebih bermakna? Adakah manfaat yang dimaksudkan ialah manfaat kepada ego arnab? Atau manfaat kepada mitos moral yang disemai kepada kanak-kanak? Atau manfaat kepada penulis sendiri dalam mencipta sebuah “twist” yakni lencongan naratif yang kononnya unik, mendalam atau meletup tetapi hakikatnya cetek, karam lagi terlingkup? Di sinilah terlihatnya keruntuhan falsafah puisi ini.

Baris demi baris tidak menunjukkan ketegangan jiwa, konflik dalaman atau pencarian makna yang sebenar. Ia hanyalah penataan semula kisah lama dengan perspektif yang gagal ditimbang dengan akal dan rasa yang halus. Bahkan ia tidak sampai pun ke tahap pentafsiran semula apatah lagi pemurnian faham, kerana tidak membawa pulang pun tafsiran baharu yang sah dan bermakna. Ia sekadar mengangkat suara arnab tanpa menyemak semula struktur makna bahkan struktur naratif asal, lalu mengheret pembaca ke arah kesimpulan yang rapuh lagi menyimpang jauh bahawa memberi kemenangan kepada pihak lemah itu secara automatik adalah mulia.
Dalam pembacaan etika dan falsafah nilai, tindakan sebegini tidak semestinya benar. Dalam konteks moral Kantian, kebaikan bukan ditentukan oleh akibat, tetapi oleh niat dan prinsip kewajipan (duty). Apakah “kewajipan” arnab dalam perlumbaan ini? Jika dia masuk bertanding, maka kewajipannya adalah untuk berlumba, bukan untuk menipu secara senyap atas nama simpati. Dari sudut Islam pula, al-Ghazali menekankan kesepaduan akal dan qalb (hati) dalam menilai tindakan yakni adakah tindakan itu adil, jujur dan menepati maqasid (tujuan asal)? Dalam puisi ini, tidak ada ciri tersebut. Ia hanya satu naratif yang membenarkan kelalaian dengan menyarungnya sebagai keinsafan palsu.
Yang lebih mengelirukan ialah apabila puisi ini, yang terlalu ringan dari segi beban intelektual dan cetek dari segi moralnya, dipilih sebagai karya terbaik negara. Kita harus menyemak semula: adakah ini benar-benar puncak kemuliaan puisi Melayu, atau sekadar bayang kepada nama besar penulisnya? Namun persoalan ini bukan soal nama; ia soal teks. Teks ini gagal membina ketegangan, gagal menyuburkan wacana moral dan gagal membangkitkan sebarang rasa takjub atau perenungan mendalam. Yang ada hanyalah alegori lemah yang berselindung di sebalik nada lunak dan suara seekor arnab yang berdalih bagi mengalihkan hakikat kekalahannya sedari awal.
Dalam kerangka etika Immanuel Kant, tindakan dianggap bermoral bukan kerana hasilnya, tetapi kerana ia dilakukan atas dasar kewajipan. Dalam konteks ini, jika arnab telah memilih untuk berlumba, maka kewajipan moralnya ialah untuk menyempurnakan pertandingan itu dengan jujur dan adil bukan untuk menarik diri secara senyap dan kemudian mendakwa bahawa tindakan itu luhur. Ketidaktulusan ini merosakkan asas moral yang tulen kerana ia mencampuradukkan kelekaan dengan kebajikan. Simone Weil pula menekankan konsep perhatian mendalam terhadap yang lain bukan sebagai tindakan belas kasihan yang manipulatif, tetapi sebagai penyaksian yang jujur terhadap penderitaan dan perjuangan makhluk lain.
Dalam puisi ini, tindakan arnab tidak membayangkan keprihatinan terhadap kura-kura, tetapi lebih kepada pengawalan naratif untuk memuliakan dirinya sendiri. Al-Ghazali, dalam pembahasan tentang akal dan qalb, menekankan keperluan pertimbangan batiniah yang seimbang dalam membuat keputusan moral dan di sini, puisi ini gagal mempamerkan sebarang pergelutan nilai yang kompleks antara akal, rasa dan adab. Justeru, dari pelbagai pandangan etika utama ini, tindakan arnab bukan sahaja tidak dapat disucikan, malah menjadi lambang kepalsuan moral yang dibungkus dalam kisah dongeng yang cuba diperindah semata-mata.
Apa yang lebih menyesakkan ialah usaha sebahagian pihak untuk mentakrifkan puisi ini sebagai “teks transformasi” yang kononnya menyumbang bacaan baharu kepada naratif klasik. Malangnya, transformasi yang dimaksudkan itu tidak lebih daripada penukaran sudut pandang tanpa sebarang muatan nilai yang memperkayakan makna. Transformasi bukan sekadar menukar suara naratif daripada pencerita kepada watak bahkan ia menuntut pemugaran makna, pencanggahan, dan pergelutan nilai baharu yang tidak songsang.
Namun, dalam puisi ini, yang berlaku hanyalah monolog dalaman seekor arnab yang cuba menjustifikasi kekalahannya, tanpa mempersoalkan ketidakadilan sistem, tanpa menganalisis etika kemenangan, dan tanpa mencabar status quo kisah asal. Maka, usaha menamakannya sebagai transformasi hanya mengangkat cangkerang, sedang isinya tetap kosong.
Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) sewajarnya menjadi medan pengiktirafan tertinggi bagi karya-karya sastera yang mencapai perpaduan halus antara ketajaman falsafah, keindahan bahasa, kekuatan struktur serta keberanian intelektual. Namun, apabila sebuah puisi seperti “Perlumbaan Arnab dan Kura-Kura” yang tidak mencapai mana-mana aras tersebut tiba-tiba dianugerahkan sebagai karya terbaik, maka ia bukan sekadar keganjilan, tetapi satu petanda keruntuhan neraca penjurian.
Teks ini terlalu ringan, terlalu literal dan terlalu banyak falasi lantaran itu tidaklah hairan jika khalayak mengagak-agak apakah nama besar penulisnya itu yang menjadi perkiraan? Jika puisi ini ditulis oleh orang biasa seperti saya, apakah karya saya ini akan juga diiktiraf sekalipun punya begitu banyak khilaf baik dari sudut estetika mahupun makna?
Benar, Zurinah tidak salah. Sebagai seorang Sasterawan Negara, menulis puisi bukan lagi hobi tetapi adalah darah daging yang menjadi legasi beliau. Yang menjengkelkan adalah mereka yang meletakkan karya yang bermasalah dari Zurinah di atas takhta yang salah sehingga tidak lagi salah jika kita katakan hal ini menimbulkan satu krisis nilai yang serius lagi bermasalah dalam dunia sastera negara.
– Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ia tidak sepenuhnya mewakili pendirian Senimalaya.
