KETIKA tersiarnya coretan ini, kami sedang menuju hari-hari akhir ke pementasan Teater Persiapan Seorang Aktor (PSA). Ya, Teater PSA akan dipentaskan semula di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pada 25 hingga 27 Oktober ini. Siapa sangka begitu cepat rezeki dan peluang mementaskan kembali apa yang telah kami laksanakan pada Jun lalu. Bertambah teruja apabila ia dibawa terbang ke negeri Sarawak yang secara peribadi merupakan negeri favourite saya. Ini semua atas doa dan sokongan yang tidak berbelah bahagi dari kalian semua. Terima kasih sedalamnya.
Sahabat kami yang merupakan pensyarah Unimas iaitu Qawiem Hamizan dan Azri Ali melalui syarikat penerbitan Semarak Kreatif, dengan seluruh usaha dan ketekunan telah melakukan kerja-kerja penyedian proposal, pengurusan dana serta penyelarasan sehinggalah akhirnya Teater PSA rasmi dipentaskan di Panggung Eksperimen Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Unimas. Tanpa kerja keras dan kepercayaan mereka, tentu tidak akan wujudnya pementasan ini. Terima kasih tak cukup, kiranya.

Dalam keghairahan membawa naskah ini keluar berjalan ke Bumi Kenyalang, sedikit kesal dan ralat kerana hero teater ini iaitu Aloy Paradoks tidak dapat bersama. Panjang cerita disebaliknya (penuh drama dan tragedi), namun kami anggap Aloy tiada rezeki untuk mencipta kenangan dan pengalaman berpentas kali ini. Ketiadaan Aloy tentunya memberikan kesan kepada seluruh produksi, terutamanya pada saya sebagai rakan lakon, namun segalanya telah tersurat. Kami harus teruskan demi memastikan perjuangan yang telah dirancang berjalan lancar. Semoga ada ruang dan rezeki Aloy di kemudian hari.
Teraju utama yang memegang watak Sadiq Saufy digalas oleh Firdaus Karim yang merupakan pelakon baharu (pentas dan layar) yang semakin menyinar. Firdaus atau lebih dikenali sebagai Pidosan dikalangan kawan-kawan rapat, merupakan antara calon yang dipertimbangkan oleh Syahrul Musa (pengarah) saat pembentukan Teater PSA yang sebelumnya. Setelah perbincangan demi perbincangan, kami akhirnya memutuskan Pidosan yang akan ke Sarawak untuk menyambung perjalanan produksi ini. Begitulah takdir bergulir.
Tidak adil kiranya saya cuba membuat perbandingan antara kedua rakan lakon. Antara Aloy dan Pidosan pastinya ada kebaikan dan kekuatan masing-masing. Ketika latihan berlangsung, saya berusaha membiarkan Pidosan mencari rentaknya sendiri. Meletakkan ruh Sadiq Saufy dengan cara dan pemahamannya sendiri. Ia tentang bagaimana kita beradaptasi dengan rakan lakon yang baharu. Tidak mudah sebenarnya, namun tidak juga mustahil. Saya harus sentiasa berlapang dada dan tidak terlalu meletakkan high expectation. Dua perkara yang sukar untuk saya compromise terutamanya dalam lakonan (apa lagi untuk sebuah pertunjukan teater). Perfectionist? Mungkin juga. Saya bersyukur kerana sentiasa diingatkan oleh Syahrul Musa untuk rilek dan tidak terlalu keras pada diri sendiri.
Salute saya pada Pidosan yang mengambil peluang ini sebagai cabaran untuknya. Pastinya beliau melihat dari banyak perspektif dan faham kesan yang bakal dibawa pulang dari proses ini. Beliau mungkin kurang pengalaman di atas pentas, namun kesungguhannya wajar dipuji. Seorang yang sentiasa ingin belajar dan terbuka dengan kritikan. Dalam masa yang singkat, beliau berjaya menghafal dan berusaha menyumbat karenah dan pemikiran Sadiq Saufy yang begitu kompleks dan penuh kegilaan. Sesekali kami bertegang lidah, namun tidaklah berpanjangan. Sebenarnya kami berkongsi tarikh kelahiran (13 November) yang memungkinkan banyak percakaran idea dan sikap. Maklumlah bintang Scorpio ini terkenal dengan kedegilan, sensitif, keghairahan dalam menyatakan kehendak dan keinginan, namun sentiasa mudah memaafkan dan easy going. Kami sedar dan faham hanya yang terbaik ingin kami persembahkan di panggung Unimas nanti. Saya percaya penonton akan menikmati versi Sadiq Saufy yang baharu. Sebagai penggiat seni pentas yang struggle demi survival, kami melihat mata masing-masing, mengangguk dan membisikkan ayat yang paling signifikan dalam naskah Saat Omar ini:
“Hanya orang pentas yang faham orang pentas yang lain.”

Secara peribadi saya tidaklah berapa gemar dengan re-staging yang terlalu cepat dari pementasan sebelumnya, atas banyak faktor. Namun setelah dikaji dan mendengar respond dari khalayak, serta bertanya pada sahabat-sahabat industri, Teater PSA harus dinikmati dengan capaian yang lebih luas lagi. Lebih ramai yang menonton, lebih banyak diskusi dan retrospektif yang segar. Kembara ke Borneo ini mungkin menjadi permulaan kepada sesuatu yang lebih besar lagi. Semoga Tuhan permudahkan jalannya.
Kembali menjadi Nina, saya meneliti dan menelusuri komentar yang diberikan pada pementasan sebelum ini. Saya mengambil setiap satunya, serapkan ke urat dan nadi, agar dapat menjadi Nina yang lebih baik dari sebelumnya. Setiap kelemahan dan kekurangan yang saya sedar telah sengaja atau tidak saya lakukan pada kisah Nina yang lalu, saya perbaiki dan perkemaskannya semula. Inilah masanya untuk saya memberikan keadilan sewajarnya kepada Nina yang mungkin terlepas pandang sebelum ini. Saya fikir inilah kemanisan dan kebaikan sesebuah pementasan yang diangkat semula.
Teater sentiasa menampilkan hal-hal baharu setiap kali ia dipentaskan. Bermain di panggung tentulah tidak sama dengan Studio Sedar Ruang yang berbeza dari segi kapasiti penonton, struktur panggungnya, alatan teknikal yang melengkapinya, begitu juga pada aura dan nyawa yang bakal dihidupkan. Tambahan lagi, khalayak yang akan menonton nanti merupakan mereka yang pertama kali bakal menyaksikan naskah ini. Justeru kami sebagai ahli produksi bukan sahaja harus menampilkan yang terbaik, malah memberikan seluruh dedikasi dan ketekunan agar tidak sekadar melepaskan batuk di tangga.
Kami bertuah disokong sepenuhnya oleh pasukan Semarak Kreatif dan pelajar teater di Fakulti Seni Gunaan, Unimas yang bertungkus lumus membantu dari sebelum kami tiba di Kuching. Hal-hal kreatif seperti rekaan dan pembangunan set, props, lighting, audio telah dipersiapkan mengikut arahan dan selian Syahrul Musa secara atas talian. Begitu juga dengan pengurusan tiket dan promosi yang telah dijalankan dengan begitu analitis dan efisien. Kemudahan logistik untuk kami juga tip top. Alhamudulilah untuk pasukan yang dinamik dan sangat membantu. Kolaborasi seperti inilah yang menjadi harapan dan impian setiap pengkarya. Terima kasih sekali lagi untuk Azri Ali, Qawiem Hamizan, Hanis Ali, Jalwa, Raihan, Yadan dan semua yang telah mempertaruhkan tenaga, masa dan kudrat untuk merealisasikan produksi ini.

Ada banyak jangkaan yang tertanam di minda saat ini. Bagaimana dengan penerimaan terhadap naskah dan bentuk teater ini nanti? Sampaikah agaknya segala objektif dan tujuan pementasan? Mampukah permainan dan penghayatan kami dapat dinikmati sepenuhnya? Seperti yang kami dengar dari para pensyarah yang terlibat, misi utama adalah untuk memberikan pengalaman tontonan yang segar dan kontemporari kepada penonton yang rata-ratanya mungkin kurang terdedah dengan style serta konsep sebegini. Tambahan lagi peratus yang akan hadir terdiri daripada para pelajar sendiri. Ketakutan dan keresahan terhadap jangkaan-jangkaan yang belum pasti sepatutnya tidak menganggu fikiran. Memberikan persembahan yang ikhlas dan jujur mengikut apa yang telah dirancang saat latihan, itulah yang harus didahulukan. Proses tidak pernah mengkhianati hasil.
Saya dengan sepenuh kerendahan hati mengundang sahabat, saudara serta hadirin dan hadirat sekelian ke pementasan kami pada 25 hingga 27 October ini, 8 malam di Unimas, Kuching Sarawak. Semoga pementasan ini memberikan sebuah pengalaman dan momen yang akan dikenang.
Jumpa nanti.
– FAZLEENA HISHAMUDDIN merupakan seorang penulis, aktivis teater dan pengasas Kultus Kata.

