Tempoh hari saya mendapat kesempatan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri di Wayang Budiman. Di layar lebar terpampang empat judul filem dengan tema rasminya Citra Desa Gambar Melayu. Ia memberikan gambaran awal bahawa pada hari itu filem-filem yang bakal dinikmati berkisar tentang desa dan tema ini juga mengulang elemen kefitrahan manusia menjelang Syawal. Masing-masing akan pulang ke kampung untuk menyambut aidilfitri, seolah-olah mengenang detik kelahiran dan detik menjadi manusia buat pertama kalinya (dan terakhir).
Sekitar jam 11.30 pagi, filem pertama ditayangkan dengan judul Korban Hari Raya atau judul asalnya May 13 arahan Ahmad Mahmud yang diterbitkan pada tahun 1984.

Saya tidak mempunyai kesempatan menonton banyak filem-filem yang diarahkan oleh Ahmad Mahmud, walaupun beliau hanya mengarahkan empat filem. Sebelum Korban Hari Raya, saya pernah menikmati Dendam Dari Pusara yang diterbitkan pada tahun 1983. Saya sangat meminati Dendam Dari Pusara, malah menganggapnya sebagai sebuah kegelapan desa yang tidak pernah ditonton sebelum itu. Walaupun sinema Melayu pada asasnya bergerak dari titik desa, namun kebanyakan yang dapat kita tonton ialah menjadikan desa sebagai ruang suci dan kota adalah tapak segala kekotoran.
Setelah menonton sinema yang dibawakan oleh U-Wei Haji Saari, baru kita menyedari bahawa desa boleh menjadi pusat kegelapan psikologi, moral dan emosi. Pemandangan sawah, ladang getah, keindahan langit jingga dan mentari terbenam bukan suatu kecantikan lukisan tipikal, tetapi dapat diperah sebagai sebuah pergelutan yang menyaksikan desa adalah medan pertempuran sikap manusia. Tidak ramai pembikin filem yang mampu menangkap desa seperti dilaksanakan U-Wei, namun setelah menikmati sinema Ahmad Mahmud secara retrospektif, saya meletakkan beliau sebenarnya menjadi punca kepada kefahaman U-Wei tentang kegelapan desa.
Seperti kata Mamat Khalid, pembikin filem bergerak atas pinjaman bahu dan usaha pembikin terdahulu. Begitulah juga yang berlaku kepada Ahmad Mahmud yang mungkin terpengaruh dengan daya kegelapan yang dibawakan oleh pelbagai tontonannya sebelum itu. Kegelapan desa ini bukan semuanya tentang imej desa itu sendiri, namun ia juga dapat diterjemahkan dalam psikologi dan sikap wataknya.
P. Ramlee misalnya menerusi Semerah Padi memberikan kita gambaran gelap Kampung Semerah Padi itu dari imej pertama lagi, kemudian kita didedahkan pula dengan sikap penduduknya yang memberikan cantuman makna naratif dan imej. Begitu juga dilakukan beliau dalam Sumpah Orang Minyak. Dalam filem ini, P. Ramlee melanjutkan penerokaan kegelapan itu melalui pencerapannya dalam teks sastera barat seperti Faust. Malah tidak keterlaluan untuk kita katakan mengambil kira zaman ketika itu, Sumpah Orang Minyak adalah filem paling gelap pada era hitam putih.
Gelap dalam filem-filem Ahmad Mahmud juga selalu dicirikan dengan kemunculan elemen voyeurism di mana intai-mengintai ruang peribadi satu karakter kepada karakter itu sering berlaku. Dalam Dendam Dari Pusara misalnya elemen ini dibikin dalam ruang yang sangat erotis dan memaparkan pergelutan seksualiti karakter berusia melihat kemanisan asmara pengantin baru berusia muda. Malah ia sebenarnya kembali membawa kita membincangkan pertembungan imej dan sikap yang menghasilkan kesimpulan tentang kegelapan hidup di desa.
Voyeurism ini mengingatkan kepada sesuatu yang pernah muncul lebih awal dalam sinema kita apabila menyaksikan bagaimana pengarah seperti Hussain Haniff menjelmakannya dalam filem-filem seperti Jiran Sekampung dan Dang Anom.
Dalam Korban Hari Raya, sekali lagi voyeurism ini dijadikan ruang pertentangan pergelutan seksual antara karakter yang telah berusia dengan pengantin baru yang berusia muda. Jelas Ahmad Mahmud mempunyai kepandaian dalam memberi tafsiran yang sinematik terhadap elemen seksualiti dalam gambar Melayu. Bagaimana ia tidak seharusnya tentang nudity, tetapi tentang membangkitkan perasaan ingin tahu terhadap keinginan seksual karakter. Ia dibikin halus dengan memberikan kita sebagai penonton melaksanakan tafsiran sendiri.
Korban Hari Raya berpaksikan kepada tema tipikal sinema Malaysia 1980an yang membentangkan perlawanan antara kota dan desa. Adegan pembukaan dalam Korban Hari Raya masih cuba berlingkar dalam hal ini apabila memaparkan karakter utama sedang berhibur di kelab malam dan kemudian bergerak dengan kereta melalui sinaran neon di kota sehingga tiba di desa. Sepintas lalu ketika adegan ini, saya teringatkan filem Taxi Driver arahan Martin Scorsese.
Saya tertarik bagaimana karakter Ani dan kekasih awalnya, Mokhtar saat melafazkan cinta, saya melihat satu sisi suci sebuah percintaan berlatarkan desa. Namun Ahmad Mahmud bijak menenggalamkan kesucian itu dengan kemunculan montaj ala sinema Soviet yang menggunakan motif alam bagi melihatkan wujudnya keserasian seksual dan kemunculan keberahian dalam lafaz cinta berkenaan. Misalnya antara lain dalam montaj berkenaan muncul imej air memancut keluar dari sebatang buluh.
Kegelapan desa dalam filem-filem Ahmad Mahmud tidak dapat dipisahkan dengan aspek moraliti yang sebenarnya menjadi tunjang kepada filem ini. Ia melihatkan pertentangan karakter Ani dari desa yang memiliki ciri-ciri tipikal gadis desa yang mempunyai didikan agama, polos dan mengikut rentak patriarki. Berbanding suaminya, Rahman yang memiliki sisi nakal anak muda kota sebagai suka berhibur, kaki perempuan dan tidak bekerja, melainkan mengharapkan wang daripada bapanya yang kaya.
Perkahwinan mereka didasari dengan keperluan dan jangkaan bahawa Rahman dapat berubah menjadi lebih baik setelah diberikan tanggungjawab sebagai suami dan kemudian menjadi bapa. Namun apa yang berlaku sudah dapat dijangkakan. Walaupun Rahman ditonjolkan sebagai seorang lelaki yang penyayang terhadap isterinya, tetapi sikap lamanya tidak dapat ditinggalkan dan ia akhirnya menjadi jerat sehingga beliau terlibat dalam kes jenayah berat dan menyebabkannya nyaris ke tali gantung, tetapi akhirnya berakhir dengan hukuman penjara seumur hidup.
Seperti tajuknya, filem ini adalah sebuah tragedi. Namun dalam kalangan penonton Wayang Budiman hari itu, ia adalah sebuah komedi. Berdasarkan pemerhatian hampir 80 peratus durasi tayangan dipenuhi dengan gelak tawa penonton, lebih pedih gelak ketawa itu juga muncul di waktu pelbagai adegan tragedi. Bayangkan seorang isteri meratapi nasib suaminya bakal ke tali gantung berlatarkan Aidilfitri, namun penonton tidak menunjukkan riak simpati, sebaliknya ketawa beramai-ramai terhadap adegan berkenaan.
Ini membuatkan saya terfikir tentang dua hal. Adakah tragedi boleh ditelan masa? Misalnya tragedi dalam sebuah filem pada tahun 1980an boleh menjadi suatu komedi pada era kecerdasan buatan. Relevansi tragedi boleh menjadi seperti teknologi bergantung kepada ruang dan masa ia muncul. Malah ini juga boleh dikaitkan dengan empati penonton yang merasakan apa yang berlaku dalam Korban Hari Raya sebagai tidak cukup sifat untuk dikategorikan sebagai tragedi. Ini kerana ketawa penonton pada hari itu menyentuh aspek luaran tidak bersangkutan dengan emosi sebenar yang berlaku. Misalnya ketawa pada kecanggungan lafaz dialog, tekstur lakonan yang mati dan emosi berlebihan khususnya dalam adegan marah yang menyebabkan penonton merasakan itu adalah komedi.
Malah hampir keseluruhan penonton terlupa bahawa pembukaan Wayang Budiman di pagi Sabtu itu ialah sebuah tragedi. Namun tidak pula saya menyalahkan reaksi ini, jauh sekali jumpa menjatuhkan hukuman atau melaksanakan kesimpulan. Namun reaksi saya terhadap reaksi penonton ini cuma membuahkan fikiran baharu bahawa emosi penonton berubah-ubah mengikut waktu, ruang dan keadaan sekeliling. Malah saya lebih mahu mengetahui apa agaknya reaksi penonton pada hari pertama Korban Hari Raya ditayangkan. Itu lebih mengujakan untuk diketahui, malah itu akan memberikan keadilan terhadap perbandingan reaksi penonton dalam dua era terhadap filem berkenaan.
Namun di sebalik itu, saya tanpa ragu menyatakan bahawa Korban Hari Raya masih tidak dapat menandingi kekuatan Dendam Dari Pusara. Malah dalam sesetengah keadaan saya melihat sendiri bagaimana Korban Hari Raya dibikin tanpa penulisan yang kukuh, justeru menyaksikan struktur asasnya sebagai sebuah filem dan sebagai sebuah penceritaan telah roboh perlahan-lahan. Malah kerapuhan Ahmad Mahmud dalam meyakinkan kita terhadap karakter-karakternya telah membuatkan filem tidak dapat bertahan. Ia rebah di pertengahan jalan.
Apabila filem kedua, Rentak Desa (1990) ditayangkan pada Sabtu itu, saya merasakan suasana absurd. Jika tadi filem tragedi disambut dengan ketawa, kali ini filem komedi menerima sambutan dingin, penuh tekanan tanpa ada ketawa terbahak-bahak. Malah saya berasa pelik kerana ketika sesi soal jawab ramai yang menganggap komedinya membosankan, meleret dan sukar dicari pada bahagian mana harus ketawa.

Ketika mencelah semasa sesi perkongsian, saya melontarkan pandangan bahawa apa yang dilakukan Rahim Razali dalam filem ini adalah percubaan berani dalam meletakkan komedi bentuk baharu dengan pendekatan teater, ketika pada era berkenaan penonton sudah biasa dihidangkan dengan komedi Z. Lokman, A.R Badul, Aziz Sattar dan Raja Ismail. Jika diletakkan dalam satu bakul kita boleh membezakan komedi Rahim dan komedi pengarah-pengarah ini.
Malah Rahim dalam Rentak Desa masih tekal dengan tema sosiopolitik dan kali ini kelihatan cuba mencubit sedikit sosialisme (walaupun tak adalah sosialis mana pun) dengan menggarap pergelutan kelas pekerja serta caranya membentuk penampilan fizikal karakter Desa seperti seorang pejuang gerila dari Argentina atau Cuba.
Apabila suasana sunyi muncul ketika komedi sepatutnya ditonton dalam ketawa, maka perasaan sama ketika menonton Korban Hari Raya terbit kembali. Apakah sebenarnya yang berlaku? Saya tidak mempunyai jawapan tepat untuk persoalan ini, namun saya teringatkan kepada perbincangan mengenai genre tragedi dan komedi yang sering dikaitkan dengan ruang dan masa. Tragedi akan mengundang tangis dan komedi akan mengundang tawa jika ia berlaku pada ruang yang betul dan masa yang tepat.
Malah seniman Charlie Chaplin mengungkapnya dengan benar apabila menyebutkan: “Life is a tragedy when seen in close-up, but a comedy in long-shot.” Saya percaya Chaplin ketika meluahkan hal ini melihat spektrum yang sama dengan apa yang dapat diperhatikan sebagai gelagat penonton di Wayang Budiman Sabtu itu. Ketika kita mengakui bahawa kesakitan itu menyukarkan, namun dalam perspektif lebih luas mungkin humor atau absurdity dapat muncul dalam situasi sama.
Semakin lama saya mengenang, saya merasakan apa yang diterjemahkan oleh masyarakat penonton di Wayang Budiman sebagai sesuatu yang boleh diterima akal. Saya merasakan filem mempunyai emosi yang berubah-ubah dan ia menjadikannya sebagai suatu bentuk seni paling rumit dan menyukarkan. Pengalaman menonton tidak akan sama walaupun kita menonton sudah beratus kali. Emosi peribadi, percaturan sekeliling, kemampuan berfikir, naik turun empati dan simpati semuanya menjadi rencah dalam membentuk rasa berbeza dalam penontonan.
Malah apabila menyuarakan tentang pertentangan tragedi-komedi (dalam kes Korban Hari Raya dan Rentak Desa) yang tidak dapat dipastikan wajar atau tidak ia berlaku, saya menemui jawapannya dalam sinema Finland.
Dalam Drifting Clouds (1996) arahan Aki Kaurismaki, terdapat adegan ketika suami dan isteri menonton wayang dan mereka keluar dengan si suami berang dan meminta wang dikembalikan oleh pihak pawagam kerana beliau tidak ketawa walaupun sedang menonton filem komedi. Ia sebenarnya menjadi refleksi kepada hubungan tragedi-komedi dalam hidup sebenar kerana dalam adegan sebelumnya si suami berdepan tragedi dibuang kerja.
Jadi bagaimana ketawa dalam ruang komedi artifisial mampu mengatasi tragedi dalam hidup yang nyata.
Saya berasa lega, Wayang Budiman tidak mengenakan tiket, kalau tidak pasti ramai yang akan menuntut kembali wang mereka setelah menonton Korban Hari Raya dan Rentak Desa.
