KEINTIMAN: itulah impresi saya setelah meninjau karya-karya pelukis wanita yang diperagakan dalam pameran Siluet Wanita: Ekspresi & Emosi di Galeri Puteh daripada 8 Ogos hingga 1 September 2024 yang baru lalu. Pameran itu memperagakan karya-karya oleh 11 orang pelukis wanita, iaitu Aimi Athika, Ainin Fadli, Azliza Ayob, Syahmi Syazwin, Hidayah Ali, Alysha Fahmi, Auji Azmi, Rositah Ibrahim, Noura AR, Mastura Abd Rahman dan Ika Sharom.
Dalam konteks sejarah seni, Intimisme merujuk kepada pergerakan seni Perancis pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang menggambarkan suasana dalaman rumah dengan penampilan objek-objek biasa seperti perabot, pasu bunga, kerusi meja, dan barangan lain dalam kehidupan pelukis sebagai subjek.
Meskipun pemandangan atau objek-objek biasa, subjek-subjek ini begitu dekat dan mempunyai kaitan peribadi dengan kehidupan seharian pelukis. Antara pelukis penting pergerakan ini ialah Pierre Bonnard, Edouard Vuillard, Maurice Denis dan Paul Serusier.

Selain daripada objek-objek ini, pemilihan subjek juga tertumpu kepada suasana atau detik intim daripada kehidupan seharian pelukis itu sendiri. Jelasnya, kecenderungan utama mereka adalah kepada kehidupan peribadi mereka sendiri, termasuklah menggambarkan ahli keluarga mereka berbanding subjek-subjek yang lebih umum sifatnya.
Dari sudut bahasa, kata “intim” yang menerbitkan istilah Intimisme itu membawa maksud sangat mesra dan rapat atau karib dalam konteks perhubungan atau persahabatan, iaitu perihal keakraban. Persoalan keintiman atau keakraban inilah yang dapat dilihat dan dihayati dalam karya-karya Siluet Wanita: keintiman dari segi pengolahan bentuk, subjek dan makna pada karya mereka, di samping karya-karya yang secara jelas boleh dihubungkan dengan aliran atau gaya Intimisme itu sendiri.
Jika dipadankan dengan semangat Intimisme, pameran ini menampilkan karya-karya dengan pelbagai subjek atau hal yang sebenarnya akrab dengan wanita: perihal buku, manuskrip, rumah tangga, pesan, nasihat, kasih sayang, keluarga, ibu bapa, ilmu, adab, moral, nilai, emosi, ekspresi, dan jiwa. Kesemua hal ini digarap atau disampaikan menerusi pelbagai pengolahan: realistik, abstrak, rupa geometrik, dekoratif, simbolik, berkias dan berlapik.
Meskipun berada dalam fasa pascaisme, kesinambungan dengan gaya seni moden juga dapat dikesan dalam sebilangan karya mereka menerusi pengucapan aliran-aliran Surealisme, Kubisme, Seni Optik, dan seni berbatasan tepat (hard-edged paintings). Jika dikelompokkan kecenderungan-kecenderungan subjek itu, tiga kategori besar yang dikenalpasti adalah kesusasteraan, kesenian secara umum dan nilai-nilai kehidupan.

Kecenderungan terhadap kesusasteraan dapat dihayati dalam karya-karya yang berkaitan dengan manuskrip lama, syair, puisi dan peribahasa Melayu seperti dilihat dalam catan-catan Mastura Abd Rahman, Noura AR, Rositah Ibrahim, Azliza Ayob dan Ika Sharom. Dalam konteks ini, kaitan atau kecenderungan itu diterjemahkan menerusi inspirasi yang ditimba daripada teks mahupun visual. Jelasnya, teks yang menjadi teras pengimejan oleh Mastura, Rositah, Noura dan Ika Sharom, sementara sistem olahan gaya, bentuk atau imejan asal kesenian khususnya dalam manuskrip lama dan catan miniatur terbit dalam karya-karya Azliza Ayob.
Perhubungan karya-karya mereka dengan makna teks kesusasteraan yang dirujuk telah dihuraikan oleh Mohd Akhir Ahmad dalam esei “Siluet Wanita: seni, antara rupa dan jiwa” dalam The Blank Canvas (Galeri Puteh, 8 Ogos – 1 September 2024, Edisi #10). Apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana inspirasi asal itu diterjemahkan ke dalam bentuk visual menerusi pengolahan yang teliti dan rapi terhadap elemen-elemen visual, bahan dan teknik, justeru mencerminkan keintiman dan keakraban serta semangat Intimisme itu sendiri.
Karya Mastura Abd Rahman “Bicara pungguk 1: nikmat anugerah illahi” (media campuran atas kanvas, 2024) dan karya-karya lain dalam siri ini terhasil dengan penuh ketelitian dan keterperincian, suatu pendekatan yang sinonim dengan dirinya sebagaimana dilihat dalam karya-karya awalnya seperti “Tanpa tajuk: siri dalaman” pada tahun 1990. Itulah cerminan seniman Melayu tulen sebagaimana dalam kesenian tradisional, yang tertib dan tekun lagi sabar dalam proses pengkaryaannya.

Seangkatan dengan Mastura, Noura AR misalnya menerusi karya “Bulan kesiangan-garisan waktu” (akrilik dan media campuran atas kanvas, 2024) dan Rositah Ibrahim dalam “Ada bunga tidak dapat digubah sesedap titah I” (akrilik dan media campuran atas kanvas, 2024) juga menunjukkan kecenderungan terhadap kesusasteraan khususnya puisi. Karya mereka bagaikan suatu penjelmaan kaedah manifestasi dua seni. Ketiga-tiga pelukis ini memperlihatkan unsur-unsur dekoratif dan ragam hias yang kebiasaannya menjadi teras kesenian tradisional Melayu seperti batik dan songket yang berinspirasikan motif-motif flora dan rupa geometrik.
Karya mereka menjelmakan bukan sahaja semangat dan nilai estetik kesenian tradisional Melayu, malahan selaras dengan pendekatan kesenian Islam yang abstrak, berpaut kepada kaedah pengolahan bentuk yang ditidaksejadikan dan penggayaan subjek.
Seperti mereka bertiga, Azliza Ayob yang mendapat pendidikan Seni Halus secara formal di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (AD) Institut Teknologi MARA (ITM) juga menunjukkan kecenderungan kepada seni Timur, khususnya menerusi penampilan karya dengan ciri-ciri visual seni catan miniatur Parsi atau Mughal. Pendekatan unik ini memungkinkan penghayatan tertumpu bukan sahaja pada pembacaan visual, malahan kepada aspek penceritaan dan pengembaraan kisah hidup peribadinya. Naratif visual dalam karyanya “Adventures of Azliza Ayob: in the zone, on a roll” (media campuran atas kanvas, 2024) dipersembahkan dengan tajuk-tajuk berbeza, bersifat sekuen meskipun terpisah oleh bingkai-bingkai berbeza.
Karya-karya Mastura, Rositah, Noura AR dan Azliza Ayob menunjukkan bahawa pendidikan seni formal yang dilalui mereka memberi kesan berpanjangan terhadap pendekatan pengkaryaan yang masih berpaut kepada nilai-nilai estetika Melayu Islam. Hal ini pastinya mencerminkan dampak kurikulum seni yang berteraskan pencarian identiti nasional pada akhir tahun 1970-an dan 1980-an itu masih berakar kuat, sementelah mencerminkan prinsip pengkaryaan mereka.
Dalam konteks ini, tidak dinafikan bahawa teras dan fokus pendidikan seni formal itu menjadi salah satu faktor penting dalam menentukan arah dan arus seni seseorang seniman secara individu mahupun dalam kelompok yang lebih besar.
Rujukan terhadap kesusasteraan tradisi khususnya melalui peribahasa menjadi asas dan katalis karya-karya figuratif Ika Sharom yang digaya-gayakan seperti kartun dan karikatur. Karya-karyanya seperti “Orang mengantuk disorong bantal” (akrilik dan potongan lino, 2024) dan “Menunggu kucing bertanduk” (akrilik dan potongan lino, 2024) memperlihatkan komitmen padu lagi intim dalam eksploitasi dan eksplorasi teknik dan bahan. Menariknya, pemilihan peribahasa itu juga mencerminkan hal-hal Intimisme, tentang keakraban hubungan manusia dengan manusia.
Karya-karya Alysha Fahmi, antaranya “Play time” (graphite dan pensil warna atas kertas, 2024) dan “Hidden treasures” (cat minyak atas kanvas, 2004) paling tepat dengan pendekatan Intimisme, malahan sepadan dengan istilah Intimisme Baharu (New Intimisme) yang diperkenalkan oleh penulis dan sejarawan seni Inggeris Richard Morris dalam mengklasifikasikan karya berjudul “The window seat” (1901) oleh William Orpen yang menggambarkan isterinya Grace di kamar sewaktu berbulan madu di Lisheen House, County Cork di selatan Ireland. Orpen adalah antara pelukis dalam kumpulan kecil yang digelar New English Intimisme kerana menghasilkan catan-catan suasana ruang dalaman yang intim (Richard Morris, @ahistoryinart, 1 Februari 2024).
Menerusi karyanya, Alysha Fahmi merakam figura kanak-kanak yang begitu asyik dengan dunia mereka yang akrab dengan alam permainan menerusi penampilan wajah-wajah yang jernih. Inilah semangat Intimisme Baharu yang dijelmakan pelukis dengan berkesan menerusi pengolahan warna dan cahaya yang menerbitkan suasana.

Di samping Alysha, karya-karya Aimi Athika seperti “Still life series-opened album on the table” (akrilik atas kanvas, 2024) dan “Still life series- circle and manuscript” (akrilik atas kanvas, 2024) juga membawa aura baharu Intimisme Kontemporari yang menggambarkan ruang intim pelukis dengan penampilan figura dan alam benda sebagai subjek.
Perbezaan karya Aimi Athika dengan pelukis-pelukis Intimisme Kontemporari Amerika (Annikka Olsen, “Intimism revisited: the new generation of artists inspired by their private spaces” dalam news.artnet.com, 11 Ogos 2024) ialah dari segi pengolahannya yang lebih ekspresif dan gestural, berbanding dengan karya-karya mereka yang lebih bersifat dekoratif lagi terkawal, malahan seperti karya reka corak di permukaan kanvas.
Karya-karya Auji Azmi, Ainin Fadli, Syahmi Syazwin dan Hidayah Ali agak kompleks untuk dikategorikan dalam kelompok aliran Intimisme. Karya mereka mewakili kelompok pelukis dalam generasi seni pascaisme yang rencam dan pluralistik sifatnya.
Karya-karya Auji Azmi seperti “Dying meadow” (cat minyak atas kanvas, 2024) dan “Untamed garden” (cat minyak atas kanvas, 2024) begitu tepat dalam menterjemahkan kata kunci judul pameran ini, “ekspresi dan emosi” yang berkaitan perhubungan seni dengan perasaan dalaman dan perasaan yang diluahkan serta digambarkan secara mujarad. Hubungan karya ini dengan aura Surealisme dapat dikesan, di samping mengingatkan saya kepada karya pelukis Renaisans Utara dari Belanda, Hieronymus Bosch (1450-1516) yang menerusi catan “The garden of earthly delights” (1490-1500) menggambarkan landskap imaginatif penuh dengan simbolisme keagamaan dan kiasan serta imejan-imejan yang absurd lagi luar biasa, justeru disifatkan sebagai karya Proto-Surrealisme.
Unsur-unsur surealistik juga dapat dihayati dalam karya-karya Syahmi Syazwin seperti “Will and won’t,” “The lost, found,” dan “The keeper who lived,” (kesemuanya cat minyak atas kanvas, 2024) menerusi penampilan imejan-imejan yang menguji tafsiran khalayak.

Karya-karya Ainin Fadli pula bersifat optikal dan berbatasan tepat (hard-edged), seperti dalam “Echoes of silence” (akrilik atas kanvas, 2024) dan “Echoes of HER” (graphite dan akrilik atas kanvas, 2024). Pengolahan visualnya begitu kemas lagi berdisplin, sama seperti karya-karya Hidayah Ali yang berunsur seni pop dan reka bentuk grafik dengan gabungan tipografi dan imejan simbolik dalam menyampaikan pesan keakraban dan keintiman, seperti dalam “Bangsa pelaut” (dakwat dan marker atas kertas cat air, 2024) dan “Kasih dan sayang” (dakwat dan marker atas kertas cat air, 2024).
Keintiman dan Intimisme dalam konteks Siluet Wanita dilihat daripada tafsiran yang luas, iaitu dari aspek pemilihan dan pengolahan tema, subjek, gaya dan makna. Pelukis-pelukis ini menunjukkan kecenderungan kepada kesusasteraan, kesenian secara umum dan nilai-nilai kehidupan, yang diterjemahkan secara visual dengan penuh keintiman, di samping sebahagiannya berhubung secara langsung dengan Intimisme itu sendiri. Dari sudut yang lain, Siluet Wanita mencerminkan kesinambungan dan kepelbagaian gaya seni lukis kontemporari Malaysia.
– DR MULIYADI MAHAMOOD adalah mantan profesor pengajian seni kartun di Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau memperoleh ijazah kedoktoran PhD in Cartoon Studies daripada University of Kent, Canterbury, United Kingdom pada tahun 1997 dan telah menulis banyak buku mengenai seni kartun dan seni moden Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Beliau menerima Anugerah Akademik Negara pada tahun 2012.

