“Aku nak…” – Tapa (Perempuan, Isteri & Jalang – Dir: U-Wei HajiSaari – 1993)
Dari kesenjangan dan konflik kelas dalam Kaki Bakar (The Arsonist) kepada keinginan dan keretakan moral dalam Buai Laju Laju (My Swing High, My Darling) serta keterasingan dan kegagalan impian kolonial dalam Hanyut (Almayer’s Folly), tiga filem pengarah Malaysia ini menelusuri kisah manusia yang terperangkap antara pergolakan peribadi, kuasa, pilihan dan akibat yang membentuk kehidupan.
Filem-filem Dato’ (Dr.) U-Wei bin HajiSaari kini bakal ditayangkan pada edisi kedua IndieChina Film Festival 2026 yang akan berlangsung dari 10 hingga 15 November ini di New York.

Festival ini akan mempertemukan semula karya-karya U-Wei dengan khalayak antarabangsa menerusi sebuah program dengan tiga buah filem dari auteur ini akan ditayangkan di HERE Arts Center, Manhattan dan 40°C Club, Flushing, Queens, merentasi lebih dua dekad perjalanan kreatif dan artistiknya.
Buai Laju Laju (Swing My Swing High, My Darling) 2004), Kaki Bakar (The Arsonist) 1995 dan Hanyut (Almayer’s Folly) 2014 bukan sekadar mewakili tiga fasa berbeza dalam daftar filmografinya.
Ketiga-tiganya turut memperlihatkan kesinambungan persoalan yang menunjangi sinemanya: bagaimana keinginan dan keterasingan membentuk tindakan manusia, bagaimana maruah dipertahankan dalam suasana yang tidak seimbang, dan bagaimana kuasa akhirnya menentukan batas kemampuan seseorang.
Dalam dunia sinematik U-Wei, watak-watak jarang bergerak diantara protagonis atau antagonis yang mudah ditentukan. Mereka lebih sering muncul sebagai individu yang terperangkap dalam dilema dan percanggahan sendiri, didorong hasrat, dibebani keadaan dan dipaksa berhadapan dengan akibat dari pilihan masing-masing. Konflik tersebut memberikan ketiga-tiga filem ini daya tarikan yang melampaui latar budaya dan sejarahnya.
Buai Laju Laju (Swing My Swing High, My Darling): Keinginan yang meruntuh ketertiban

Sebagai filem pembukaan festival pada 10 November, Buai Laju Laju, (Khalid Salleh, Eman Manan, Betty Benafe) atau ‘Swing My Swing High, My Darling‘, membawa penonton ke dalam sebuah drama tentang keinginan, ketidakpuasan, hubungan sulit dan keganasan.
Kisah yang berpusat pada Amran (Eman Manan- Pelakon Lelaki Terbaik FFM17), seorang perantau yang tiba di kafe milik lelaki tua dan berada bernama Ibrahim (Khalid Saleh) yang berkahwin dengan Zaiton (Betty Benafe), seorang wanita muda yang semakin merasa jauh dari kehidupan yang dia dambakan.
Hubungan antara Zaiton dengan Amran kemudian mencetuskan rangkaian peristiwa yang berpenghujung dengan tragedi.
Kekuatan filem ini tidak terletak semata-mata pada perkembangan plotnya, yang lebih menarik ialah bagaimana kehendak peribadi kemudian mengganggu susunan sosial yang kelihatan stabil.

Keinginan, ekonomi dan kuasa membentuk watak-watak ini bergerak, sementara kelicikan dan ketidakpuasan membuka keretakan dalam struktur tersebut.
Dalam pendekatan U-Wei, keinginan bukan sekadar urusan peribadi, ia menjadi daya yang mendedahkan ketegangan tersembunyi di sebalik hubungan manusia.
Keputusan watak-watak membawa akibat yang tidak dapat dikawal sepenuhnya, menjadikan drama tersebut suatu renungan tentang bagaimana hasrat individu bertembung dengan norma dan kepentingan sosial.
Unsur yang akrab dalam budaya tempatan berhadapan dengan pengkhianatan, nafsu dan kehancuran, sementara kehidupan seharian berubah menjadi medan perebutan kuasa.
Di sini sinema U-Wei menemukan ketegangannya: tragedi tidak semestinya muncul daripada peristiwa luar biasa, tetapi boleh tumbuh daripada hubungan yang pada mulanya kelihatan biasa.
Kaki Bakar (The Arsonist): Maruah masyarakat yang dipinggirkan

Diterbitkan pada 1995, Kaki Bakar (The Arsonist) mengalihkan perhatian daripada keinginan dalam ruang domestik kepada persoalan kelas, identiti dan maruah.
Filem ini mengikuti kehidupan Kakang (Khalid Saleh), seorang pesara tentera perengus berketurunan Jawa yang berhijrah dan sering berpindah-randah kerana bermasalah disebabkan sering merasa ditindas.
Kakang merasakan dirinya sentiasa dipergunakan, lalu bertindak membalas ketidakadilan, penghinaan dan penganiayaan tersebut dengan membakar harta benda pihak yang dianggapnya menindas atas prinsip hidupnya.
Anak lelakinya, Kesuma (Bell Ngasri), menyaksikan tindakan bapanya sambil bergelut dengan perasaan bangga, takut, malu dan bersalah, sementara seluruh keluarganya juga turut menanggung kesan daripada tindakan tersebut.
Berasaskan cerpen William Faulkner, Barn Burning, filem ini memindahkan konflik sastera Amerika ke dalam konteks masyarakat Malaysia.
Kepentingan adaptasi tersebut bukan sekadar pada perubahan latar. U-Wei menempatkan persoalan tentang maruah dan kesetiaan keluarga dalam hubungan sosial yang dibentuk oleh ketidaksamaan ekonomi serta kedudukan masyarakat yang terpinggir.
Api menjadi lambang yang tidak mudah ditafsirkan. Ia menandakan pembersihan, tetapi pada masa yang sama merupakan tindak balas terhadap sistem yang dirasakan tidak memberikan ruang kepada mereka yang tidak berkuasa.
Kakang enggan menerima penghinaan dan penindasan secara pasif; tindakannya ialah pengisytiharan bahawa maruahnya tidak boleh dipisahkan daripada cara orang lain memperlakukannya.
Namun, penentangan itu juga menimbulkan persoalan tentang harga yang perlu dibayar oleh mereka yang berada paling dekat dengannya.
Melalui Kesuma, konflik tersebut memperoleh dimensi yang lebih rumit. Anak itu bukan sekadar pemerhati, tetapi individu yang perlu menentukan hubungannya dengan tindakan bapanya.
Kesetiaan keluarga bertembung dengan kesedaran moral, sementara keganasan yang diwariskan berpotensi membentuk cara generasi berikutnya memahami keadilan.
Filem ini mengelakkan penyelesaian moral yang mudah.
Kakang tidak semata-mata dibentangkan sebagai pemberontak yang harus dikagumi, mahupun sebagai pesalah yang boleh dihukum tanpa sebarang pertimbangan.
Sebaliknya, tindakannya memperlihatkan bagaimana kemarahan boleh menjadi satu-satunya bahasa untuk mewajarkan perbuatan yang dirasakan perlu demi keadilan.
Pemilihan Kaki Bakar bagi anugerah ‘Un Certain Regard’ di Festival Filem Cannes (1995), Filem Terbaik (kategori bahasa asing) di Festival Filem Bebas Antarabangsa Brussel ke-17, (1995 – Belgium) dan Anugerah Khas Juri – 1st South-East Asian Biennial Film Festival (1997 – Phnom Penh) turut menandakan bagaimana persoalan yang berakar dalam konteks Malaysia mampu berhubung dengan perbincangan sinema yang lebih luas.
Hanyut (Almayer’s Folly) : Keterasingan dan kegagalan impian kolonial

Dalam Hanyut, (Peter O’Brien, Diana Danielle, Sofia Jane, Adi Putra, Khalid Saleh) yang turut dikenali sebagai Almayer’s Folly, U-Wei memperluas skala naratifnya kepada sejarah kolonial di Alam Melayu.
Diadaptasi daripada novel Joseph Conrad yang diterbitkan pada 1895, filem ini mengikuti Kaspar Almayer, seorang pedagang Eropah yang cuba mengejar kekayaan melalui pencarian gunung emas dari mitos setempat.
Di sebalik cita-cita tersebut, kehidupannya dibayangi konflik keluarga, kepentingan perdagangan dan hubungan kuasa kolonial dalam masyarakat daripada pelbagai kelompok yang hidup dan bersaing antara sesama.
Almayer ialah watak yang ditentukan oleh impiannya sendiri. Kekayaan dan kedudukan yang dikejarnya menjadi ukuran kejayaan, tetapi cita-cita itu turut membataskan kemampuannya memahami dunia di sekelilingnya.
Hubungannya dengan anak perempuannya, Nina, memperlihatkan bagaimana keinginan seorang untuk mengawal masa depan bertembung dengan kehilangan diatas kehendak pribadi yang ingin memilih jalan dan juga identitinya sendiri.
Di sini adaptasi Conrad oleh U-Wei membuka ruang untuk pembacaan yang lebih kritis.
Novel Eropah tersebut berlatarkan Alam Nusantara, sebuah wilayah yang hadir dalam imaginasi kolonial melalui perdagangan, penguasaan dan pencarian kekayaan.
Dengan membawa kisah ini ke layar, U-Wei berhadapan dengan persoalan tentang bagaimana rantau ini diwakili, siapa yang memiliki kuasa untuk menentukan arahnya dan bagaimana pandangan kolonial membentuk hubungan antara manusia.
Filem ini tidak boleh dianggap sebagai penolakan mudah terhadap sumber sasteranya.
Sebaliknya, ketegangan antara impian Almayer dengan realiti yang dihadapinya membolehkan penonton menilai kelemahan suatu pandangan dunia yang mengukur kehidupan melalui pemilikan dan penguasaan.
Kegagalan dan keterasingan Almayer menjadi lebih daripada kehancuran seorang individu; ia mendedahkan batas sebuah cita-cita yang dibina atas andaian bahawa dunia boleh ditakluk dan disusun mengikut kehendaknya.
Sinema sebagai ruang pertentangan
Ketiga-tiga filem ini akan ditayangkan pada 10, 12 dan 14 November 2026 dalam edisi kedua IndieChina Film Festival, yang diasaskan dan diarahkan oleh kurator Zhu Rikun.

Ditubuhkan di New York pada 2025 oleh kurator Zhu Rikun, IndieChina Film Festival bertujuan menyediakan platform terbuka dan berterusan untuk tayangan serta perbincangan tentang sinema bebas China.
Edisi sulungnya pada tahun lepas, yang dibangunkan melalui hampir setahun persiapan dan menghimpunkan lebih 40 filem daripada pelbagai generasi serta latar belakang, terpaksa digantung sebelum tayangan awam bermula selepas beberapa peserta dan individu yang berkaitan dengan festival berdepan tekanan dan gangguan, menandakan bahawa filem masih menjadi punca ketakutan dari pihak pihak tertentu,
Kini pada 2026, festival ini meneruskan tumpuannya terhadap sinema bebas China, di samping memperkenalkan IndieAsia, sebuah seksyen selari yang memperluas program kepada filem bebas dari bahagian lain Asia.
Perluasan in memberi penghormatan pertamanya kepada U-Wei melaui karya beliau dalam pertemuan sinematik serantau yang lebih luas ke hadapan khalayak antarabangsa.

Kembalinya ke New York untuk festival ini bukanlah sesuatu yang asing bagi U-Wei sendiri yang telah menetap puluhan tahun dikota tersebut sewaktu melanjutkan pengajian (The New School) dan kemudian meneruskan kehidupan di sana sebelum pulang ke Malaysia.
Dalam keterhubungan festival yang menekankan kebebasan ekspresi dan pertukaran merentas sempadan, tiga filem U-Wei menawarkan sudut pandang tersendiri tentang bagaimana keinginan, maruah, kuasa, ketidakadilan dan sejarah membentuk kehidupan manusia.
Filem-filemnya bergerak melalui konflik yang dapat dirasai merentas konteks: ketidakadilan yang melahirkan kemarahan, keinginan yang merosakkan hubungan, dan cita-cita yang akhirnya menyingkap keterbatasan manusia.
Walaupun berbeza dari segi zaman dan latar, Swing My Swing High, My Darling, The Arsonist dan Almayer’s Folly berkongsi kecenderungan terhadap watak yang berusaha mempertahankan kehendak masing-masing dalam dunia yang tidak pernah sepenuhnya memihak kepada mereka.

U-Wei tidak menawarkan penyelesaian mudah terhadap pertentangan tersebut. Sebaliknya, membiarkan konflik berkembang sehingga watak-wataknya terpaksa berhadapan dengan akibat diatas pilihan sendiri.
Kekuatan ketiga-tiga karya ini terletak pada keupayaannya menghubungkan pengalaman individu dengan struktur sosial dan sejarah yang lebih besar.
Daripada sebuah kafe, ke pinggir masyarakat desa, hingga ke dunia perdagangan kolonial di Nusantara, sinema U-Wei menunjukkan bahawa keinginan dan kuasa tidak pernah terpisah daripada keadaan yang membentuknya.
Yang tinggal adalah persoalan tentang apakah harga yang perlu dibayar apabila kebebasan, maruah dan impian bertembung dengan realiti kehidupan.
IndieChina Film Festival – New York
10 – 15 November 2026
Jadual tayangan:
Swing My Swing High, My Darling
10 November 2026, 6.00 petang
HERE Arts Center, Manhattan.
The Arsonist
12 November 2026, 8.45 malam
HERE Arts Center, Manhattan.
Almayer’s Folly
14 November 2026, 7.00 malam
40°C Club, Flushing, Queens.
Setiap tayangan diikuti dengan sesi soal jawab U-Wei bersama para penonton.
Semua waktu adalah waktu tempatan New York.
IndieChina Film Festival
