Status yang dimuat naik oleh kartunis legenda Ujang (Saudara Ibrahim Anon) dalam satu hantaran di media sosial mungkin ditulis secara santai dan lucu, tetapi kesannya jauh lebih besar daripada sekadar kisah seorang seniman diminta salinan sijil lama.
Ia membuka semula satu persoalan yang sudah lama membelenggu dunia seni budaya negara: bagaimana sebenarnya Malaysia menilai tenaga kreatif?
Dalam status tersebut, Ujang berkongsi bagaimana beliau ditawarkan mengendalikan bengkel lukisan oleh sebuah jabatan kerajaan. Namun kadar bayaran profesional ditentukan berdasarkan kelayakan akademik: RM100 sejam jika tiada ijazah atau master, RM200 sejam jika memiliki kelulusan tersebut.
Apabila diminta pula salinan sijil asal yang diperoleh hampir 40 tahun lalu, beliau akhirnya memilih untuk menarik diri.
Di permukaan, ia mungkin kelihatan seperti isu prosedur biasa. Tetapi hakikatnya, status itu menyentuh sesuatu yang jauh lebih mendalam iaitu kegagalan sistem memahami bagaimana dunia kreatif berfungsi.
Kerana Ujang bukan sekadar pelukis kartun biasa. Majalah Ujang pada era 1990-an pernah menjadi fenomena budaya nasional. Ia menguasai pasaran majalah humor Melayu, membentuk gaya bahasa generasi muda, mencipta budaya satira rakyat biasa dan menjadi sebahagian daripada identiti budaya pop Melayu moden.
Dalam era sebelum media sosial, pengaruh majalah Ujang sangat besar. Humor kampung, sindiran sosial, budaya lepak dan karakter rakyat marhaen yang dibawa majalah itu berjaya merentas kelas masyarakat: pelajar sekolah, mahasiswa, penjawat awam, pekerja kilang, malah golongan profesional.
Ramai membesar bersama karya beliau. Dalam erti kata lain, Ujang sudah lama menjadi sebahagian daripada memori budaya negara.

Namun apabila masuk ke dalam sistem rasmi, pengalaman puluhan tahun itu masih perlu “dibuktikan” melalui sijil. Inilah gejala sebenar kepada masalah yang lebih besar.
Malaysia masih cenderung menilai tenaga kreatif menggunakan kerangka birokrasi konvensional yang terlalu bergantung kepada pensijilan akademik. Dalam sistem seperti ini, nilai profesional seseorang disusun mengikut: degree, master, PhD, atau dokumen formal lain.
Pendekatan tersebut mungkin sesuai dalam sektor teknikal atau pentadbiran. Tetapi dunia seni tidak pernah berkembang melalui logik sedemikian.
Dalam industri kreatif, nilai seseorang lazimnya dibina melalui: portfolio, pengaruh karya, pengalaman lapangan, pencapaian industri, impak budaya, dan kemampuan membentuk generasi.
Sejarah seni dunia sendiri membuktikan perkara itu. Lihat sahaja Dato Lat; Satu figura yang diangkat sebagai Seniman Negara dan antara ikon budaya Malaysia paling dihormati. Karya beliau seperti Kampung Boy bukan sahaja diterjemahkan ke pelbagai negara, malah menjadi wajah Malaysia kepada dunia luar. Namun Lat sendiri bukan produk laluan akademik elit.
Beliau membina nama melalui pengalaman hidup, kerja lapangan dan kekuatan pemerhatian sosial. Sebelum menjadi kartunis terkenal, beliau pernah bekerja sebagai wartawan jenayah di New Straits Times. Pekerja biasa, B40.
Apa yang menjadikan Lat legenda bukan sijil universiti, tetapi kemampuan beliau merakam jiwa masyarakat Malaysia melalui kartun. Malah pada 2007, Universiti Kebangsaan Malaysia menganugerahkan beliau doktor kehormat dalam bidang antropologi dan sosiologi, satu pengiktirafan yang datang selepas sumbangan budaya beliau diiktiraf masyarakat dan dunia akademik sendiri.

Ini menunjukkan sesuatu yang penting dalam seni budaya, masyarakat selalunya terlebih dahulu mengiktiraf nilai seseorang pengkarya sebelum institusi akademik melakukannya. Perkara sama berlaku di peringkat antarabangsa.
Jacob Collier hari ini dianggap antara genius muzik moden paling berpengaruh di dunia. Beliau memenangi pelbagai anugerah di Grammy, menjadi rujukan teori muzik moden dan bekerjasama dengan nama besar antarabangsa.
Tetapi Jacob Collier sebenarnya tidak berjaya menamatkan pengajian formal muziknya di Royal Academy of Music. Namun dunia muzik tidak menilai beliau berdasarkan status graduasi.
Beliau diiktiraf kerana inovasi muzik, kemampuan teknikal, pengaruh industri, dan impak kreatif terhadap generasi pemuzik baharu.
Malah pada 2026, beliau menerima honorary doctorate daripada Berklee College of Music kerana sumbangan luar biasa kepada dunia muzik. Inilah perbezaan antara “academic credential” dan “industry credibility”.

Dalam dunia kreatif global, pemuzik dinilai melalui discography dan influence, pengarah filem melalui body of work, kartunis melalui impak budaya dan longevity karya, pereka melalui portfolio, bukan semata-mata fail atau sijikl akademik.
Sedangkan dalam banyak sistem tempatan, tenaga kreatif masih perlu melalui budaya birokrasi yang terlalu teknikal, kadar bayaran ikut sijil, kepakaran ikut kelulusan, pengiktirafan ikut dokumen.
Akibatnya, seni dipaksa masuk ke dalam struktur pentadbiran yang gagal memahami sifat sebenar kreativiti.
Lebih membimbangkan, budaya ini akhirnya mencipta hierarki palsu dalam dunia seni, seniman akademik dianggap lebih “sah”, manakala pengkarya lapangan dilihat sekadar bakat informal.
Padahal sebahagian besar sejarah seni dunia dibina oleh manusia yang belajar melalui pengalaman hidup, bukan silibus universiti. Ini tidak bermaksud pendidikan formal tidak penting.
Akademik tetap mempunyai peranan besar dalam pembangunan ilmu, penyelidikan dan latihan profesional. Universiti juga penting untuk melahirkan generasi pengkarya baharu yang mempunyai asas teori dan disiplin seni yang baik.
Tetapi masalah timbul apabila sijil dijadikan ukuran mutlak terhadap nilai seseorang tenaga kreatif. Dalam bidang seni budaya, pengalaman industri sepatutnya mempunyai nilai profesional yang setara.
Sudah tiba masanya Malaysia mempertimbangkan sistem penilaian kreatif yang lebih matang dan berasaskan industri. Kerana itulah saya, dalam penulisan yang lepas, mengangkat persoalan ‘anugerah’ seni.
Ia penting agar, sistem memahami bagaimana dunia kreaif bergerak dan berfungsi. Maka sesuatu kriteria pengiktirafn itu juga harus berkembang, sesuai dengan dinaik zaman.
Pengiktirafan veteran industri, penilaian portfolio nasional, rekod penerbitan dan pengaruh budaya, pencapaian profesional, anugerah seni, longevity karya, dan sumbangan kepada pembangunan industri, perlu diperluas dan diambil kira.
Dalam bidang lain, konsep seperti ini sebenarnya sudah lama wujud. Atlet profesional tidak dinilai melalui degree sukan. Cef terkenal tidak semestinya memiliki PhD kulinari. Usahawan teknologi pula sering diukur melalui inovasi dan pencapaian industri, bukan semata-mata sijil.
Tetapi apabila melibatkan seni budaya, sistem kita masih terlalu terikat dengan logik pensijilan.
Akhirnya lahirlah paradoks yang aneh: tokoh yang membentuk budaya rakyat diraikan dalam nostalgia nasional, dijadikan simbol budaya negara, diberi anugerah dan pengiktirafan awam, tetapi apabila masuk ke sistem rasmi, mereka tetap perlu membuktikan nilai diri melalui salinan sijil lama.
Sebab itu status Ujang menyentuh ramai orang. Ia bukan sekadar kisah seorang kartunis yang terlupa di mana sijilnya disimpan. Ia adalah simbol bagaimana sistem moden kadangkala gagal membaca nilai manusia kreatif.
Dan mungkin persoalan paling besar yang perlu ditanya hari ini ialah: adakah negara benar-benar mahu membina ekosistem seni yang hidup dan berpengaruh, atau sekadar industri budaya yang mudah diurus melalui fail, borang dan prosedur?
