Perdebatan mengenai kecerdasan buatan (AI) dan kreativiti lazimnya bermula dengan satu pertanyaan yang kelihatan mudah: bolehkah AI benar-benar kreatif?
Pertanyaan ini biasanya dijawab dengan membandingkan hasil mesin dengan karya manusia.
AI diminta menulis puisi, menghasilkan imej, menggubah muzik atau mencipta cerita, kemudian hasilnya dinilai berdasarkan keaslian, kedalaman dan kemampuan menyentuh pengalaman manusia.
Namun, disebalik perbandingan tersebut tersembunyi persoalan yang lebih mendasar: apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan kreativiti, dan di manakah kreativiti itu dikatakan berada?
Dalam eseinya mengenai kreativiti pada zaman AI, Maria Popova (2025) memulakan renungan daripada eksperimen meminta ChatGPT menulis puisi mengenai gerhana matahari penuh dalam gaya Walt Whitman.
Kekecewaannya terhadap hasil tersebut membawa kepada persoalan yang lebih luas mengenai sesuatu yang dimiliki manusia tetapi tidak dimiliki mesin: kehidupan yang telah dialami.
Melalui pembacaannya terhadap Elias Canetti dan Rainer Maria Rilke, Popova (2025) meletakkan kreativiti dalam hubungan dengan pengalaman, kefanaan, penderitaan dan kemampuan manusia mengubah apa yang dialaminya menjadi bentuk.
Pandangan ini, pada hemat saya, mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang ringan.
Mesin boleh memiliki perbendaharaan kata yang besar, mengenal pola dan menghasilkan kombinasi yang secara statistik baharu, tetapi ia tidak pernah berdiri di bawah gerhana, kehilangan seseorang, menunggu dalam ketidakpastian atau menyedari bahawa masa hidupnya semakin berkurang.
Dalam pengertian tersebut, terdapat jurang antara mengetahui representasi sesuatu pengalaman dengan menanggung pengalaman itu sebagai sebahagian daripada kehidupan.
Namun, hujah ini juga turut mengandungi satu andaian yang perlu diperiksa. Jika garis pemikiran ini diteruskan sehingga pengalaman hidup dianggap sebagai syarat ontologis kreativiti, kesimpulannya telah ditentukan sejak awal: manusia kreatif kerana manusia hidup; AI tidak kreatif kerana AI tidak mempunyai kehidupan.
Masalahnya mungkin bukan jawapan tersebut, melainkan pertanyaannya yang telah meletakkan kreativiti pada tempat yang salah.
Berpijak pada teori sistem sosial Niklas Luhmann (1995; 2000), esei ini menawarkan perspektif kreativiti sistemik yang memungkinkan suatu perpindahan epistemologi: daripada bertanya siapa yang mempunyai kreativiti kepada bertanya bilakah kreativiti berlaku dan apakah hubungan yang berubah apabila ia berlaku.
Perpindahan ini tidak bertujuan menghapuskan manusia, sebaliknya membolehkan kedudukan manusia diterangkan dengan lebih tepat tanpa perlu bergantung kepada metafizik genius, jiwa atau penderitaan.
Model sistemik ini mengubah locus kreativiti.
Kreativiti tidak terlebih dahulu dianggap sebagai zat psikologi yang dimiliki individu, tetapi sebagai operasi yang menghasilkan perbezaan yang dapat dikenali dan disambungkan dalam sesuatu medan komunikasi.
Persoalannya kini bukan lagi siapakah yang kreatif, tetapi apakah yang berubah selepas sesuatu keputusan memasuki sistem?
Peralihan ini penting kerana sejarah seni sendiri menunjukkan bahawa kebaharuan artistik tidak semestinya terletak pada penghasilan objek baharu.
Kreativiti, dalam keadaan tersebut, berlaku sebagai transformasi hubungan.
Penderitaan boleh menjadi sumber pengalaman yang luar biasa, tetapi ia bukan syarat mutlak kreativiti.
Manusia boleh mengalami penderitaan mendalam tanpa menghasilkan seni, manakala transformasi besar boleh muncul daripada permainan, eksperimen formal, kesilapan atau penyusunan semula konvensi.
Antara pengalaman dan puisi terdapat wilayah keputusan: pemilihan kata, ritma, struktur, penolakan, pembacaan, tradisi, ingatan dan pembentukan bentuk.
Perbezaan antara manusia dan AI menjadi lebih jelas apabila persoalan dipindahkan daripada penderitaan kepada taruhan kewujudan (stakes).
Taruhan merujuk kepada keadaan apabila suatu keputusan bukan sahaja memilih satu kemungkinan, tetapi menutup kemungkinan lain dengan cara yang menghasilkan kos, konsekuensi atau keterikatan yang tidak dapat dibatalkan tanpa menjejaskan agen yang membuat keputusan tersebut.
Setiap keputusan manusia dibuat dari dalam kehidupan yang terbatas.
Seorang seniman yang menghabiskan bertahun-tahun membentuk bahasa visual tertentu benar-benar telah menggunakan sebahagian masa kehidupannya yang tidak boleh dikembalikan.
Kefanaan dengan demikian bukan sekadar tema eksistensial; ia memberikan kos kepada keputusan.
Dan kerana keputusan mempunyai kos, pilihan memperoleh pemberat.
Sebaliknya, AI boleh menghasilkan sejumlah besar variasi dalam tempoh yang singkat tanpa kehilangan kemungkinan hidup yang sepadan, kerana penghasilan tersebut tidak berlangsung di dalam kehidupan terbatas yang setiap keputusannya menggunakan masa yang tidak dapat dikembalikan.
Namun, taruhan tidak boleh dijadikan syarat mutlak bagi kreativiti semata-mata, melainkan syarat penting bagi agensi kreatif yang berdaulat.
Kreativiti tidak memerlukan penderitaan, tetapi agensi kreatif yang berdaulat memerlukan taruhan.
Di sinilah perbezaan antara data dan biografi menjadi fundamental.
AI boleh mempunyai memori, menyimpan sejarah interaksi dan memproses data yang melampaui ingatan manusia. Tetapi penyimpanan masa lalu tidak sama dengan menanggung masa lalu.
Biografi bermaksud keputusan sekarang tidak bebas daripada keputusan sebelumnya; masa lalu yang telah dijalani membatasi kemungkinan masa depan kerana sejarah tersebut tidak boleh diulang atau dibatalkan tanpa akibat.
Dalam pengertian ini, biografi artistik tidak perlu difahami semata-mata sebagai himpunan pengalaman peribadi yang kemudiannya diterjemahkan menjadi imej.
Ia boleh difahami secara lebih ketat sebagai sedimentasi keputusan.
Praktik Ahmad Shukri Mohamed dapat memberikan contoh yang berguna: penggunaan kolaj, tekstur, ikon harian dan serpihan budaya dalam pameran terkininya berjudul IlmuAdab (2026) meneruskan bahasa visual yang telah dibentuk di sepanjang perjalanan artistiknya hampir empat dekad.
Keputusan baharu dengan demikian tidak bermula daripada sifar, tetapi memasuki sejarah keputusan terdahulu yang membatasi dan pada masa yang sama memungkinkan apa yang dapat dilakukan seterusnya.
Sebuah model generatif boleh menyimpan dan mengaktifkan jutaan imej, bahkan secara prinsip boleh dibina dengan memori berterusan terhadap output dan interaksi terdahulu.
Tetapi penyimpanan sejarah keputusan belum dengan sendirinya menghasilkan biografi dalam pengertian yang digunakan di sini.
Biografi muncul apabila keputusan terdahulu bukan sahaja tersedia sebagai data, tetapi mengikat kedudukan agen terhadap keputusan berikutnya melalui komitmen dan akibat yang perlu ditanggung.
Perbezaannya bukan antara mempunyai atau tidak mempunyai masa lalu, tetapi antara masa lalu sebagai maklumat dan masa lalu sebagai keterikatan.
Keterikatan ini membawa kita kepada hakikat bahawa kemunculan AI mengubah ekonomi kreativiti secara mendasar kerana ia menurunkan kos menghasilkan kemungkinan secara dramatik.
Apabila sejumlah besar variasi dapat dijana dalam tempoh yang singkat, kemampuan menghasilkan variasi kehilangan sebahagian daripada nilai epistemiknya.
Locus (pusat) kreativiti berganjak daripada penghasilan kepada pembezaan, pemilihan, penutupan, komitmen dan akauntabiliti.
Dalam keadaan kelimpahan, persoalan bukan lagi semata-mata sama ada seseorang mampu menghasilkan sesuatu, tetapi sama ada dia mampu membezakan kemungkinan yang mempunyai daya perubahan daripada kemungkinan yang hanya menarik pada pandangan pertama.
Namun pemilihan sahaja masih tidak mencukupi. Yang lebih menentukan ialah penutupan bentuk (closure).
Tindakan mengatakan “sudah cukup; inilah karya tersebut” menetapkan sempadan antara kemungkinan yang masih boleh dijana dengan karya yang telah memperoleh finaliti.
Penutupan menjadi sebahagian daripada authorship.
Dalam esei ini, istilah ‘authorship’ digunakan dalam pengertian seni visual untuk merujuk kepada kedudukan agen yang menetapkan, mempertahankan dan menerima tanggungjawab terhadap keputusan yang membentuk identiti sesuatu karya.
Di sinilah pemilihan berubah menjadi komitmen.
Daripada sinilah muncul kelangkaan epistemik: kelangkaan keputusan yang mempunyai alasan, konsekuensi dan komitmen yang cukup untuk menutup alternatif.
Dalam ekonomi seni tradisional, nilai sering dikaitkan dengan kelangkaan material, teknikal atau ekonomi.
Dalam ekonomi generatif, kelangkaan itu tidak lenyap, tetapi beralih kepada kemampuan menetapkan keputusan yang cukup beralasan untuk menutup alternatif.
Kelangkaan epistemik bukan kekurangan kemungkinan, melainkan kelangkaan keputusan yang sanggup menutup kemungkinan.
AI dengan demikian tidak menghapuskan kelangkaan; ia memindahkan locus kelangkaan daripada penghasilan kemungkinan kepada kemampuan menetapkan keputusan.
Apabila kemungkinan penghasilan menghampiri kelimpahan, yang semakin langka bukan lagi kemampuan menghasilkan, tetapi keputusan yang mempunyai cukup alasan, komitmen dan akibat untuk menghentikan kelimpahan tersebut.
Persoalannya bukan lagi berapa banyak kemungkinan yang dapat dihasilkan, tetapi keputusan manakah yang layak dipertahankan sebagai karya.
Kembali kepada praktik Ahmad Shukri (2026), IlmuAdab memberikan gambaran konkrit tentang peralihan tersebut.
Dalam IlmuAdab, beliau bekerja dengan himpunan bahan dan tanda yang secara prinsipnya boleh terus diperluaskan: fotografi lama, papan hitam, abjad, motif alam, serpihan seni bina Melayu, simbol kebangsaan, kaligrafi dan ikon budaya.
Namun kreativiti tidak terletak pada banyaknya unsur yang dapat dihimpunkan.
Persoalan yang lebih menentukan ialah mengapa unsur tertentu dipilih, mengapa ia dipertemukan dengan unsur tertentu yang lain, apakah kemungkinan yang ditolak, dan pada titik manakah susunan tersebut dianggap selesai.
Dilihat dengan cara ini, kolaj bukan sekadar teknik penggabungan tetapi teknologi keputusan: daripada kelimpahan tanda, seniman menetapkan hubungan tertentu dan menolak kemungkinan lain.
Kelangkaan yang muncul bukan kelangkaan bahan visual, tetapi kelangkaan keputusan yang mampu memberikan finaliti (tujuan akhir) kepada kelimpahan tersebut.
Dalam konteks ini, ungkapan “ilmu membuatkan seseorang menjadi pandai, adab menjadikannya dihormati” boleh dibaca melampaui pengertian kesopanan sosial.
Ilmu memperluas apa yang dapat diketahui dan dilakukan, manakala adab menyediakan kategori normatif untuk memerhatikan bagaimana seseorang berhadapan dengan kemampuan tersebut.
Hubungannya dengan kreativiti menjadi penting dalam keadaan generatif: apabila kemampuan menghasilkan kemungkinan semakin melimpah, adab boleh difahami pada aras pemerhatian kedua sebagai kategori normatif untuk menilai hubungan seseorang dengan kemungkinan, bahawa tidak semua yang boleh dihasilkan perlu dihasilkan, tidak semua kemungkinan perlu dipilih, dan tidak semua keputusan layak dipertahankan sebagai karya.
Dalam pengertian ini, menghormati kreativiti bukan bererti memuja kebebasan menghasilkan tanpa batas, tetapi menerima tanggung jawab untuk memilih, membatasi dan mempertanggungjawabkan apa yang akhirnya dipertahankan.
Adab dengan demikian menyediakan kategori normatif untuk memerhatikan dan menilai hubungan terhadap kemungkinan, sedangkan ‘Kedaulatan Keputusan’ menyediakan struktur untuk menelusuri bagaimana kemungkinan itu dipilih, ditutup dan dipertanggungjawabkan.
Perubahan ini mempunyai akibat langsung terhadap pasaran, pengumpulan seni dan asal-usul karya.
Pasaran dan penceritaan seni konvensional secara tradisinya memberikan pemberat yang besar kepada asal-usul objek (provenance of object): siapa menghasilkan objek, bila dan dari studio mana ia berasal.
Dalam seni generatif, objek akhir tidak lagi mencukupi untuk menjelaskan authorship.
Dalam konteks ini, ‘provenance of decision’ (asal-usul keputusan) merujuk kepada jejak keputusan konstitutif yang menetapkan bagaimana satu kemungkinan dipilih, alternatif ditutup, finaliti ditentukan dan tanggungjawab authorship dilekatkan kepada karya.
Pertanyaan bertukar kepada siapakah yang menentukan parameter, siapa yang memilih, apakah yang ditolak, siapa yang menentukan finaliti, dan siapa yang berdiri di belakang keputusan akhir.
Asal-usul tidak hilang, tetapi diperluas daripada sejarah objek kepada sejarah keputusan konstitutif.
Ini tidak bermaksud setiap prompt atau fail mentah perlu disimpan sebagai bukti birokratik.
Yang diperlukan ialah penjelasan mengapa keputusan tertentu bersifat konstitutif terhadap identiti atau hujah karya.
‘Provenance of decision’ tidak sama dengan dokumentasi keputusan; yang pertama menelusuri struktur keputusan yang menjadikan sesuatu kemungkinan sebagai karya, manakala yang kedua hanya merekodkan bahawa sesuatu proses pernah berlaku.
Perbezaannya boleh dirumuskan dengan mudah: provenance of decision bergerak ke belakang – dari manakah keputusan konstitutif datang, pada titik manakah ia ditetapkan, dan kepada siapa ia dapat dilekatkan?, manakala ‘consequence trail’ (jejak konsekuensi) bergerak ke hadapan, apakah yang berubah setelah keputusan tersebut dibuat?
Di antara keduanya terletak keputusan konstitutif sebagai titik apabila kemungkinan berubah menjadi komitmen.
Bagi muzium, biennale dan sistem pendidikan seni, tekanan ini menuntut perubahan struktur penilaian.
AI memperhebat persoalan tentang sempadan ontologi karya yang telah muncul dalam pendekatan media pemboleh ubah: sejauh mana variasi, regenerasi atau perubahan masih dapat berlaku tanpa menjejaskan integriti dan identiti sesuatu karya (Depocas, Ippolito & Jones, 2003).
Dalam konteks seni generatif, persoalan tersebut boleh dibawa lebih jauh: jika satu output boleh diganti dengan seratus output lain tanpa mengubah hujah atau identiti operasi karya, output tersebut mungkin bukan locus keputusan konstitutif karya.
Lantaran itu, biennale dan pameran antarabangsa perlu berhati-hati terhadap daya tarikan kebaharuan permukaan yang dihasilkan oleh AI.
Soalan kuratorial perlu beralih daripada ‘apakah teknologi baharu yang digunakan?’ kepada ‘apakah keputusan yang tidak boleh digantikan dalam karya tersebut?’
Dalam bidang pendidikan pula, penilaian portfolio tidak lagi boleh bergantung kepada kemahiran teknikal penghasilan semata-mata, sebaliknya perlu membuktikan mengapa daripada semua kemungkinan yang tersedia, seniman mempertahankan keputusan tersebut.
Namun institusi perlu mengelakkan diri daripada jatuh ke dalam perangkap birokratisasi yang menuntut ‘log prompt’ dan jurnal refleksi berlebihan, yang hanya menggantikan fetisisme objek dengan fetisisme dokumentasi.
Untuk menilai karya tanpa terjebak dalam birokrasi dokumentasi atau mitos personaliti, kita memerlukan metodologi kritikal yang disebut sebagai ‘Kritik Keputusan’ (decision criticism).
Objek kritikannya bukan psikologi seniman dan bukan pula objek akhir semata-mata, melainkan struktur keputusan yang memungkinkan karya mengambil bentuk tertentu serta konsekuensi yang lahir daripadanya.
Keputusan konstitutif memegang peranan utama kerana ia merujuk kepada keputusan yang jika diubah menyebabkan identiti atau hujah karya berubah secara substantif.
Untuk mengujinya, Kritik Keputusan menggunakan ujian kontrafaktual secara analitik.
Ujian kontrafaktual tidak semestinya dilakukan melalui pembuangan unsur semata-mata; ia merangkumi ujian variasi (variation test) yang melibatkan penggantian, perubahan hubungan, atau penyusunan semula elemen.
Pertanyaan utamanya ialah: jika keputusan ini diganti, diubah hubungannya, atau disusun secara berbeza, adakah identiti operasi, organisasi formal, dan hubungan semantik karya berubah secara substantif?
Jika perubahan itu membatalkan struktur akibat karya, kita mempunyai dasar yang kukuh untuk mengesahkannya sebagai keputusan konstitutif.
Namun ujian kontrafaktual tidak memberikan lesen kepada kritikus untuk mengisytiharkan setiap perbezaan sebagai konstitutif.
Beban pembuktian berada pada analisis: perubahan yang dicadangkan mesti dapat ditunjukkan menghasilkan akibat yang konsisten terhadap organisasi formal, hubungan semantik atau identiti operasi karya.
Semakin kecil akibat yang dapat ditunjukkan, semakin lemah alasan untuk menganggap sesuatu keputusan sebagai konstitutif.
Karya Ahmad Shukri dalam IlmuAdab (2026) membolehkan ujian ini dilakukan secara konkrit.
Dalam karya Jangan Diusik Bintang di Langit (2025-2026), misalnya, grid kaligrafi dipertemukan dengan imej awan cendawan sehingga menghasilkan ketegangan antara keteraturan, pengetahuan, kuasa dan akibat moral.


Jika imej kehancuran tersebut digantikan dengan imej neutral, atau jika struktur kaligrafi dikeluarkan mahu pun disusun semula, hubungan yang memungkinkan ketegangan itu turut berubah secara substantif.
Keputusan tersebut dengan demikian mempunyai akibat struktural dan boleh diuji sebagai keputusan konstitutif.
Tetapi ujian variasi kontrafaktual yang sama perlu dikenakan terhadap konsep IlmuAdab itu sendiri, sebagaimana dibentuk melalui tajuk pameran dan teks pengiring.
Jika istilah tersebut diganti atau kedudukannya dalam tajuk pameran dan teks pengiring diubah, adakah struktur formal dan semantik karya turut kehilangan operasi utamanya?
Jika struktur karya masih dapat mempertahankan operasi tersebut tanpa istilah itu, terdapat alasan untuk membezakan IlmuAdab sebagai kerangka interpretatif daripada keputusan yang secara konstitutif membentuk karya.
Sebaliknya, jika pembuangan atau penukaran konsep tersebut menyebabkan hubungan formal dan semantik utama tidak lagi dapat dipertahankan, konsep itu sendiri mungkin merupakan sebahagian daripada struktur konstitutif karya.
Namun, jika struktur interpretif IlmuAdab diruntuhkan dan karya-karya tersebut tidak lagi dibaca melalui tema yang diberikan kepadanya, yang tinggal bukanlah kekosongan makna.
Kita kembali berhadapan dengan sedimentasi keputusan yang telah terbentuk sepanjang praktik Ahmad Shukri Mohamed: keputusan tentang apa yang dikutip dan ditinggalkan, apa yang diulang dan diubah, bagaimana tanda dipertemukan, bagaimana material disusun, dan pada titik mana sesuatu hubungan dipertahankan sebagai karya.
Dalam pengertian ini, karya tidak semata-mata menyampaikan apa yang diketahui oleh seniman, tetapi meninggalkan jejak tentang bagaimana pengetahuan telah melalui proses pemilihan, penolakan dan penutupan.
Apa yang tidak diselesaikan oleh karya turut menghasilkan suatu lompangan pengetahuan antara seniman, karya dan audiens. Lompangan ini penting kerana hubungan antara apa yang diberikan oleh karya dengan apa yang masih perlu ditentukan oleh audiens menghasilkan suatu jarak epistemik.
Pada aras pemerhatian kedua, adab dapat digunakan sebagai kategori normatif untuk memerhatikan dan menilai bagaimana keputusan artistik mengatur jarak tersebut.
Dengan demikian, adab tidak diperiksa sebagai operasi karya, tetapi sebagai kategori untuk membaca hubungan yang dibentuk oleh keputusan artistik antara pengetahuan, karya dan kemungkinan interpretasinya.
Perbezaan ini penting kerana sesuatu konsep tidak menjadi konstitutif hanya kerana ia dinamakan oleh seniman, kurator atau teks pameran.
Kritik Keputusan dengan demikian menyediakan cara untuk membezakan antara konsep yang beroperasi melalui karya dengan konsep yang sekadar mengiringinya.
Beban analisis tidak diletakkan sepenuhnya pada seniman untuk menerangkan prosesnya; kritikus sendiri perlu menunjukkan, melalui struktur karya, mengapa sesuatu keputusan bersifat konstitutif dan bukan kosmetik.
Kritik dengan demikian kembali kepada karya dan struktur akibatnya, bukan kepada pengakuan emosional penciptanya.
Kritik Keputusan juga tidak khusus kepada karya yang menggunakan AI.
AI hanya menjadikan persoalan keputusan lebih kelihatan kerana kos menghasilkan variasi telah jatuh secara dramatik. Struktur yang sama boleh diuji pada lukisan, kolaj, instalasi, fotografi, filem atau bentuk seni lain.
Decision Criticism bukan metodologi untuk menentukan sama ada sebuah karya “dibuat manusia” atau “dibuat AI”, tetapi metodologi untuk menentukan di manakah agensi artistik benar-benar beroperasi.
Oleh itu, institusi tidak sepatutnya cuba menentukan sama ada taruhan seseorang seniman itu tulen atau sebaliknya. Sebaik sahaja institusi mula menilai keaslian emosi atau penderitaan, seni memasuki rejim polis ketulenan yang dangkal.
Yang perlu dinilai bukan keaslian taruhan, tetapi akibat komitmen (consequence of commitment).
Taruhan tidak perlu dibuktikan melalui naratif biografi; ia perlu dapat meninggalkan struktur akibat yang boleh dianalisis.
Dalam pengertian ini, persoalan terhadap karya Jangan Diusik Bintang di Langit (2025-2026) bukan sama ada Ahmad Shukri secara peribadi menanggung pengalaman Hiroshima atau memiliki emosi tertentu terhadapnya.
Pertanyaan tersebut akan mengembalikan kritik kepada psikologisme yang ingin dielakkan.
Persoalannya ialah apakah akibat formal dan konseptual daripada keputusan mempertemukan kaligrafi, rujukan keagamaan dan imej kehancuran dalam medan karya yang sama.
Yang dicari bukan bukti ketulenan perasaan seniman, tetapi jejak konsekuensi yang ditinggalkan oleh keputusannya.
Inilah prinsip metodologi yang mengelak daripada mencari jejak audit (audit trail) dan sebaliknya mencari jejak konsekuensi (consequence trail).
Jejak audit bertanya apa yang dilakukan, bila dan bagaimana, manakala jejak konsekuensi bertanya apa yang diputuskan, apa yang ditutup dan apa yang berubah akibat keputusan tersebut.
Secara analitik, keseluruhan proses ini dipadatkan kepada rantaian empat operasi asas: kemungkinan → pemilihan → penutupan → akauntabiliti.
Pemilihan merangkumi tindakan membezakan dan menolak; penutupan berlaku apabila keputusan konstitutif menetapkan konfigurasi tertentu sebagai karya; dan akauntabiliti muncul apabila akibat keputusan tersebut dilekatkan kepada agen yang mempertahankannya.
Empat operasi ini bukan kronologi psikologi proses penciptaan, tetapi model analitik untuk menelusuri bagaimana kemungkinan memperoleh bentuk, finaliti dan tanggungjawab.
Protokol asas Kritik Keputusan dengan demikian boleh dirumuskan secara bersistem: kenal pasti keputusan konstitutif; lakukan ujian kontrafaktual; tentukan apa yang ditutup oleh keputusan tersebut; analisis akibat formal dan konseptualnya; dan tentukan kepada siapa akauntabiliti terhadap keputusan itu dilekatkan.
Perubahan ini akhirnya menyentuh pasaran seni dan konsep authorship secara mendalam.
Kolektor tidak hanya membeli pigmen, kanvas atau fail digital; mereka turut memperoleh konfigurasi keputusan yang telah ditetapkan sebagai final dalam sempadan karya tersebut.
AI memaksa kita memeriksa semula konsep authorship, walaupun sejarah budaya sudah lama mengenal pengorganisasian keputusan strategik melalui arkitek, pengarah filem, komposer dan bentuk penghasilan kolektif yang lain.
Formula yang lebih tepat dalam era generatif ialah author sebagai pembuat keputusan yang akauntabel (accountable decision-maker).
Keputusan tidak menggantikan material, teknologi, institusi atau resepsi sebagai sumber makna. Ia menentukan titik di mana seorang agen mengambil tanggungjawab terhadap konfigurasi tertentu daripada jaringan tersebut sebagai karya.
Penting untuk ditegaskan bahawa Kedaulatan Keputusan tidak sama dengan Kedaulatan Makna.
Seniman boleh menetapkan keputusan yang membentuk sempadan karya, tetapi tidak dapat menetapkan secara mutlak bagaimana karya tersebut akan dibaca, dipertikaikan atau disambungkan dalam sistem seni.
Authorship memberikan tanggungjawab terhadap keputusan, bukan monopoli terhadap interpretasi.
Kedaulatan keputusan dengan demikian boleh ditakrifkan sebagai kapasiti seorang agen untuk menetapkan keputusan konstitutif dalam medan kemungkinan, menutup alternative sehingga konfigurasi tertentu memperoleh finaliti sebagai karya, dan menerima akauntabiliti terhadap akibat keputusan tersebut tanpa menuntut kedaulatan terhadap seluruh maknanya.
Kedaulatan di sini bukan kuasa mutlak, tetapi autoriti yang disertai tanggungjawab.
Ia bersifat relasional, bukan absolut: ia beroperasi di dalam jaringan material, teknologi, sejarah dan institusi tanpa menghapuskan kemampuan agen untuk mengambil tanggungjawab terhadap keputusan tertentu.
Seniman berdaulat bukan kerana segala sesuatu berasal daripadanya, tetapi kerana pada suatu titik dalam jaringan tersebut dia mengatakan: “daripada kemungkinan yang tersedia, inilah konfigurasi yang saya pertahankan sebagai karya”.
Kerangka ini tidak perlu menetapkan secara ontologis bahawa hanya manusia yang berupaya menjadi pembuat keputusan yang boleh dipertanggungjawabkan; ia menetapkan syarat-syarat operasi-taruhan, penutupan bentuk, jejak konsekuensi, dan akauntabiliti yang perlu dipenuhi sebelum kedaulatan keputusan boleh dilekatkan kepada mana-mana agen, sama ada manusia mahupun entiti bukan manusia.
Akhirnya, AI dalam hujah ini bukan objek akhir teori, tetapi keadaan tekanan yang mendedahkan kelemahan kategori lama tentang kreativiti, authorship dan nilai.
Ia menunjukkan bahawa kemunculan AI tidak semestinya menghapuskan kepentingan manusia; sebaliknya, ia memindahkan locus kepentingan tersebut kepada kemampuan membezakan, menolak, menutup, mempertahankan dan mempertanggungjawabkan pilihan.
Era AI ialah zaman limpahan kemungkinan.
Krisis kreativiti masa depan mungkin bukan ketidakmampuan menghasilkan sesuatu yang baharu, tetapi ketidakmampuan menentukan apa yang layak dipertahankan daripada banjir pembaharuan tersebut.
Menolak bukan ketiadaan kreativiti, melainkan kemampuan menetapkan batas terhadap kemungkinan yang tanpa had.
Penutupan bentuk memberikan karya identiti, manakala akauntabiliti mengikat agen kepada penutupan tersebut.
Maka proposisi utamanya ialah: kreativiti tidak memerlukan penderitaan, tetapi agensi kreatif yang berdaulat memerlukan taruhan.
Keputusan memperoleh pemberat epistemik apabila ia menutup kemungkinan lain, menghasilkan akibat yang dapat diuji, dan dipertanggungjawabkan oleh agen yang terikat kepada sejarah keputusannya.
Kekuatan sesuatu keputusan dengan demikian tidak perlu dibuktikan melalui deklarasi niat, biografi emosional atau konsep yang dilekatkan kepadanya; ia perlu dapat dikesan melalui perbezaan yang dihasilkan oleh keputusan tersebut terhadap struktur karya dan kemungkinan yang ditutupnya.
Biografi, dalam kerangka ini, bukan sekadar arkib pengalaman yang dimiliki seseorang.
Ia adalah sedimentasi (pemendapan) keputusan yang menyebabkan keputusan sekarang tidak pernah bermula daripada sifar. Keputusan terdahulu membentuk bahasa, komitmen, batas dan kemungkinan keputusan berikutnya.
Masa lalu biografis bukan sekadar sesuatu yang boleh diakses kembali seperti data; ia telah mengubah kedudukan agen yang perlu membuat keputusan seterusnya.
Di sini perbezaan antara data dan biografi memperoleh makna penuhnya.
Data boleh menyimpan dan mengaktifkan kemungkinan daripada masa lalu, tetapi biografi mengikat keputusan kepada sejarah yang telah dijalani dan masa depan yang semakin terbatas.
Yang membezakan keduanya bukan semata-mata kapasiti mengingat, tetapi keadaan menanggung akibat daripada apa yang telah dipilih.
Data menyimpan masa lalu; biografi menanggungnya.
Dalam dunia yang boleh menghasilkan hampir segala-galanya, kemampuan untuk tidak menghasilkan segala galanya mungkin menjadi tindakan kreatif yang paling radikal.
Badrolhisham Mohamad Tahir merupakan kurator, pengkritik, pensyarah dan juga ahli akademik. Beliau diiktiraf diatas kerjanya mendokumentasi dan menulis kritikan berkaitan seni visual kontemporari.
Rujukan:
Pameran solo “IlmuAdab” oleh Ahmad Shukri Mohamed di SARENG dari 3 hingga 19 September 2026.
1. Ahmad Shukri Mohamed. (2026). IlmuAdab. [Katalog Pameran]. Kuala Lumpur: Galeri Sareng.
2. Depocas, A., Ippolito, J., & Jones, C. (Eds.). (2003). Permanence Through Change: The Variable Media Approach. Guggenheim Museum & Daniel Langlois Foundation for Art, Science, and Technology.
3. Luhmann, N. (1995). Social Systems (J. Bednarz, Jr. & D. Baecker, Penterjemah). Stanford University Press.
4. Luhmann, N. (2000). Art as a Social System (E. M. Knodt, Penterjemah). Stanford University Press.
5. Popova, M. (2025). Uncoding Creativity in the Age of AI: What makes a Great Poem, What makes a Great Storyteller, and What makes a Great Person. The Marginalian. https://www.themarginalian.org/2025/07/07/suffering-creativity-canetti-rilke/
6. Senimalaya (2026) IlmuAdab: Ahmad Shukri Mohamed. https://senimalaya.com/ilmuadab-ahmad-shukri-mohamed/ Dirujuk pada 5 September 2026
