“KENAPA perlu menyibuk buat teater di luar zon selesa?” Dari awal sebelum mengambil keputusan mengarahkan teater Persiapan Seorang Aktor (PSA) persoalan ini sudah bermain di kepala. Saya boleh sahaja duduk diam-diam dan ‘tenang’ dengan kerja hakiki saya dalam dunia akademik. Membiarkan segala kepayahan dunia teater di luar atau melihat sahaja dari dalam sebuah ruang yang sesetengah orang industri namakan ‘rumah kaca’. Tetapi saya fikir keputusan ini bukan sahaja tentang ketagihan untuk berkarya tetapi keperluan untuk menyelami dan memahami realiti ekosistem teater kecil di Malaysia.
Hal ini telah selalu saya perkatakan termasuk dalam penulisan-penulisan akademik saya. Tetapi ia tidak sama dengan pengalaman sebenar membuat kerana ia mendedahkan beberapa kebenaran yang lebih kritikal tentang keperluan, prospek kelangsungan hidup berteater, dan peranan penting teater dalam wacana budaya dan peribadi kita.
Di tahun 2024 ini, teater kita masih perlukan dana sokongan. Semangat dan dedikasi adalah nadi teater, tetapi itu sahaja tidak cukup untuk menyokong produksi yang berkualiti. Pembiayaan ringgit adalah asas untuk memastikan kualiti dan kelangsungan pementasan. Tanpa sokongan kewangan, kita berisiko menghasilkan karya yang walaupun penuh jiwa dan pemikiran, tetapi mungkin tidak mencapai tahap sebenar yang divisikan.
Pembiayaan membolehkan kita membayar pelakon dan kru dengan lebih berpatutan, serta mencipta elemen-elemen teaterikal yang membawa penonton ke dimensi kreativiti yang baharu. Julie Taymor juga menghadapi skeptisisme awal dan halangan kewangan ketika mengadaptasi karya hebatnya The Lion King, namun kerana visi inovatif, beliau telah menghasilkan salah satu produksi Broadway yang paling berjaya. Situasi ini seiring dengan semangat inovatif yang diperlukan untuk mengekalkan teater berskala kecil di Malaysia, di mana idea segar dan penceritaan berani boleh mengatasi kekangan kewangan.
Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin, dua tokoh penting dalam pementasan ini, terpaksa menanggung survival di atas kemiskinan dana produksi teater PSA ini. Sebagai pengarah saya perlu akui apa yang mereka terima sebagai ‘wang saku’ itu adalah tidak setimpal berbanding nama dan pengalaman biarpun mereka okey sahaja (dalam hati mereka, saya tak tahu).

Mungkin benar kata Jimi Mahmud dalam tulisannya di Senimalaya, kami buat teater ini kerana rasa cinta kepada seni teater yang mendalam, lalu kami mengambil keputusan untuk mengetepikan hal-hal yang merenyahkan itu. Bayangkan, Aloy berkata “Ya, jom kita buat”, sebelum membaca skrip lagi. Itu satu tanda kerinduan dan persahabatan yang luar biasa. Kali terakhir kami bersama dalam satu produksi adalah pada 2011 dalam teater 1 Plastik Hitam di Stor Teater DBP. Dan duo ini kemudiannya pernah bersama dalam Neo-Romantik di Stor Teater DBP pada 2013. 11 Tahun yang lalu.
Tapi itu semua tidak mengembalikan kami pada realiti pahit yang harus ditanggung terutamanya Aloy dan Fazleena. Sebagai profesional aktor (juga struggle actor), mereka telah menolak sekurang-kurangnya dua bulan tawaran kerja kreatif lain demi komitmen kepada pementasan ini. Dengan bayaran yang murah, sudah tentu mereka terkesan. Mujurlah teater ini full house setiap malam. Terima kasih dengan reviews malam-malam awal termasuk dari Tan Sri Johan Jaafar yang banyak membantu meyakinkan penonton lain untuk datang ke Studio Sedar Ruang yang terletak jauh di Alam ‘Bunian’.
Jimi Mahmud (sebagai businessman katanya) dalam penulisannya juga ada membuat kiraan kasar untung rugi teater PSA ini. Tiket dijual dengan harga RM40 x 60 tempat duduk x 4 hari = RM9,600 (kiraan yang hampir tepat). Dan kalau dibahagi sama rata kepada enam orang = RM1,600 seorang. Malah sebenarnya kami lebih dari enam orang. Kami ada pengurus pentas dan pembantu-pembantunya, koordinator bunyi dan cahaya serta barisan pari-pari yang menjaga tiket. Penulis skrip juga perlu dihulur sedikit royalti.
Sedar Ruang juga ruang yang baharu, tentunya ada construction perlu dibuat untuk keselesaan penonton yang datang di luar jangka. Mujurlah kami tidak ada lebih dari itu termasuk yang penting seperti make-up artist, kerana teater kecil seperti ini perlu bergerak secara miskin dan sedar dengan kekangan. Tidak boleh demand lebih dan berharap seperti teater berskala puluhan ribu biaya. Jika tidak, tentunya marginnya akan lebih mengecil. Tetapi saya ada bercakap pada Fazleena, penting untuk teater PSA ni mendapat perhatian, pulangan yang lebih baik mungkin boleh diterima melalui restage yang ditaja. Pelakon-pelakon di Off-Off Broadway juga sering kali terpaksa menolak tawaran kerja lain dan berhadapan dengan bayaran yang rendah, sama seperti Aloy Paradoks dan Fazleena. Mereka melaburkan masa dan tenaga mereka dalam projek-projek yang mungkin tidak menjanjikan pulangan kewangan yang besar tetapi menawarkan kepuasan artistik dan peluang untuk berkembang sebagai seniman.
Bolehkah kita bertahan sebagai industri (walaupun masih dipersoalkan) kecil ini? Saya fikir kita perlu sentiasa mencari cara baru untuk menyampaikan cerita kita, sama ada melalui integrasi teknologi, permainan lakon skil tinggi, sinergi bersama seni lain, atau meneroka ruang-ruang yang tidak konvensional atau terpinggir seperti di Sedar Ruang. Membina komuniti yang kuat dan saling menyokong juga penting. Apabila kita menyokong satu sama lain, kita mencipta rangkaian yang tahan lasak yang mampu mengatasi cabaran industri.
Teater bukan sekadar margin keuntungan; ia adalah tentang manusia dan masyarakat. Membuat sebuah teater kecil di satu ruang baharu tentu berisiko tinggi. Tapi yang lebih penting adalah langkah pertama memulakannya. Di Alam Budiman terlebih dahulu telah ada Wayang Budiman yang telah berjaya kekal hampir 10 tahun mencipta komuniti sinemanya sendiri sebagai ruang tayangan dan diskusi filem. Jadi untuk teater mencipta komunitinya sendiri di sini tentunya memerlukan waktu yang lebih.
Teater adalah cerminan kepada masyarakat dan mencetuskan perbualan yang boleh membawa kepada perubahan yang bermakna. Persiapan Seorang Aktor bukan sekadar pementasan; ia adalah refleksi tentang kompleksiti pengalaman manusia bergelar aktor dan komentar tentang landskap teater kita. Melalui naratif ini, kita meneroka tema identiti, cita-cita, survival hidup, dan laluan penemuan diri yang sering berliku-liku.
Teater membolehkan kita melihat diri kita dari perspektif baru, mencabar kita untuk berfikir secara kritis tentang siapa kita dan siapa yang kita ingin jadi. Namun ia mungkin tidak cukup berjaya hanya dengan usaha Sadiq (watak yang dipegang Aloy) seorang diri. Perlu ada Nina (watak yang dipegang Fazleena) yang sentiasa teguh dibelakangnya, dan begitu juga Razak Stanislavski (lakonan saya sendiri), watak pengarah yang mendesak dan menjadi wake-up call kepada Sadiq. Support system inilah yang perlu wujud dalam ekosistem teater kita.

Pementasan yang baik tidak berakhir apabila selesainya curtain call. Ia kekal dalam fikiran penontonnya, mencetuskan perbualan dan debat yang berterusan. Jika Persiapan Seorang Aktor boleh dianggap berjaya, orang akan terus bercakap mengenainya. Perbualan-perbualan ini penting kerana mereka membawa teater ke dalam perbualan budaya yang lebih luas, membuat komuniti lebih sedar dan menghargai bentuk seni teater alternatif. Ulasan demi ulasan dan bualan dari mulut ke mulut boleh menjelmakan kehadiran kita, menarik perhatian kepelbagaian scene teater tempatan. Kesedaran yang meningkat ini adalah penting untuk mewujudkan komuniti teater mampan.
Mengarahkan Persiapan Seorang Aktor adalah satu tindakan kepercayaan terhadap kuasa teater untuk mengubah dan memberi inspirasi. Dengan melangkah keluar dari ‘rumah kaca’, saya berhubung secara langsung dengan komuniti, menyumbang kepada dialog tentang budaya, pemikiran, dan identiti kita. Sambutan terhadap pementasan ini telah menjadi bukti kepada kerelevanan teater yang berterusan, menunjukkan kemampuannya yang unik untuk mencerminkan dan membentuk nilai-nilai masyarakat.
Mengarahkan Persiapan Seorang Aktor adalah lebih dari sekadar projek kreatif. Ia adalah intervensi kritikal dalam ekosistem teater kecil kita. Ya, kita memerlukan pembiayaan, dan ya, ada kebenaran yang pahit untuk ditelan, tapi kita boleh bertahan dan berkembang. Dengan terus berinovasi dan berinteraksi dengan penonton, kita memastikan kehadiran kita sebagai bentuk seni alternatif tidak hanya diakui tetapi juga diraikan.
Bak kata Samuel Beckett, “Ever tried. Ever failed. No matter. Try again. Fail again. Fail better.” Ketabahan, inovasi, dan sokongan komuniti adalah kunci dalam mengatasi halangan dan memastikan kelangsungan teater kecil yang bermakna dan berpengaruh.
– SYAHRUL MUSA, seorang akademia di sebuah universiti tempatan. Pernah beberapa kali nak pencen awal dan buat teater sepenuh masa. Tapi ia cuma dibibir sahaja. Senang cerita, takut tak boleh survive.

