Abstrak
Artikel ini meninjau secara kritis persoalan kebebasan artistik dalam konteks teater yang menyentuh perkara sensitif seperti isu simbolik, sejarah, agama, budaya dan kenegaraan.
Dengan menggunakan kerangka teori resepsi (reception theory), semiotik persembahan, dan konsep alienasi Brechtian, artikel ini menjelaskan bahawa kebebasan berkarya tidak boleh dipisahkan daripada tanggungjawab dramaturgi.
Fokus utama diberikan kepada jurang antara niat pengkarya dan tafsiran khalayak, fungsi simbol sebagai memori kolektif, etika humor dan satira serta cabaran ekologi penerimaan dalam era media sosial apabila karya pentas turut wujud sebagai serpihan teks digital di luar konteks asalnya.
Artikel ini juga menawarkan satu kerangka reflektif lima lapisan; niat, bentuk, simbol, penonton dan akibat sebagai alat bantu dramaturgi bagi pengkarya yang berhasrat memasuki wilayah sensitif tanpa mengorbankan ketajaman kritis karya mereka.
Kata kunci: teater politik, kebebasan artistik, resepsi khalayak, semiotik simbol, dramaturgi, etika satira
1. Pengenalan
Teater sejak zaman purba lagi tidak pernah menjadi ruang yang neutral.
Ia adalah medan tempat masyarakat mempersoalkan struktur kuasa, identiti, sejarah dan nilai kolektifnya (Schechner, 2013).
Justeru apabila pengkarya kontemporari menyentuh perkara yang mempunyai nilai simbolik tinggi seperti bendera, teks agama, tokoh sejarah, institusi kenegaraan, persoalan yang patut diajukan bukanlah sama ada perkara tersebut boleh atau tidak boleh disentuh tetapi bagaimana ia disentuh, untuk tujuan apa dan bagaimana kemungkinan ia ditafsir oleh khalayak yang pelbagai.
Artikel ini bertujuan memperincikan persoalan tersebut menerusi lensa teori persembahan dan etika dramaturgi.
2. Kebebasan Artistik: Prasyarat, Bukan Lesen Tanpa Had
Kebebasan artistik merupakan prasyarat penting bagi perkembangan sesebuah tradisi teater.
Tanpa ruang untuk bertanya, mencabar dan menawarkan tafsiran baharu, seni akan tertumpu kepada pengulangan konvensyen yang sedia diterima.
Namun kebebasan ini wajar dibezakan daripada provokasi tanpa hala tuju.
Provokasi sebagai strategi estetik hanya bermakna apabila ia berfungsi sebagai kenderaan kepada pemikiran kritis dan ia akan gagal sebagai strategi apabila natijahnya semata-mata kejutan atau kemarahan tanpa membawa khalayak kepada refleksi lanjut.
Perbezaan antara mencabar pemikiran dan mencetuskan provokasi tanpa arah ialah dengan menjadikan penilaian kritis sebagai asas terhadap sebarang karya yang memasuki wilayah sensitif.
3. Niat Pengkarya versus Resepsi Khalayak
Salah satu andaian keliru yang sering berlaku dalam proses kreatif ialah pergantungan berlebihan pengkarya kepada niat sendiri sebagai penentu makna karya.
Dari perspektif teori resepsi, makna sesebuah teks persembahan tidak wujud secara tunggal dalam niat penciptanya tetapi terhasil daripada pertemuan antara teks, bentuk persembahan dan pengalaman khalayak (Iser, 1978; Bennett, 1997).
Apa yang dimaksudkan sebagai satira oleh pengkarya mungkin diterima sebagai penghinaan oleh sebahagian penonton; apa yang dimaksudkan sebagai kritikan sosial mungkin dibaca sebagai serangan terhadap institusi tertentu.
Justeru dakwaan bahawa penonton tersalah faham tidak semestinya menyelesaikan persoalan dramaturgi, sebaliknya ia sering menjadi petunjuk bahawa struktur dramaturgi karya itu sendiri belum cukup jelas dalam menyampaikan sasaran kritikannya.
4. Semiotik Simbol dalam Ruang Pentas
Objek seperti bendera, lagu kebangsaan, teks agama, pakaian tradisional dan dokumen kenegaraan bukan unit neutral dalam sistem tanda persembahan.
Dalam kerangka semiotik teater, simbol-simbol ini membawa makna memori kolektif, makna yang telah sedia terbentuk sebelum ia disentuh oleh pelakon di atas pentas.
Apabila simbol berkenaan diletakkan dalam konteks komedi, satira atau dekonstruksi, makna baharu lahir daripada pertembungan antara makna asal simbol dan tindakan pentas yang membingkaikannya (Fischer-Lichte, 2008).
Oleh itu persoalan dramaturgi yang lebih tepat bukannya bolehkah simbol ini digunakan? tetapi mengapa simbol ini diperlukan dan adakah makna yang ingin disampaikan benar-benar menuntut penggunaannya?
5. Warisan Brechtian: Alienasi, Bukan Kejutan Semata
Teknik Verfremdungseffekt (efek keterasingan) yang dipelopori Bertolt Brecht (penggunaan lagu, placard, narator dan pemecahan ilusi) bertujuan menghalang khalayak daripada sekadar larut dalam emosi, sebaliknya membolehkan mereka melihat keadaan sosial dari suatu alienasi dan bertanya mengapa sesuatu keadaan itu wujud, siapa yang memperoleh keuntungan daripadanya dan sama ada ia boleh diubah (Brecht, 1964).
Adalah penting untuk membezakan strategi Brechtian ini daripada andaian bahawa sebarang unsur kejutan secara automatik bersifat Brechtian atau bersifat teater politik.
Kejutan hanya menjadi bermakna apabila ia membuka ruang perbincangan kritis; provokasi yang tidak terkawal berisiko menutup ruang perbincangan tersebut apabila khalayak berhenti pada tahap kemarahan terhadap bentuk, tanpa sempat menangani substansi persoalan yang cuba diketengahkan.
6. Etika Satira: Laughing With versus Laughing At
Humor merupakan strategi berkesan dalam teater politik kerana kemampuannya melunakkan perbincangan tentang perkara yang sukar.
Namun humor turut mempunyai hala tuju dan etika tersendiri.
Teori satira membezakan antara laughing with (ketawa yang lahir daripada pemahaman bersama terhadap ironi sesuatu keadaan) dengan laughing at (ketawa yang terhasil akibat merendahkan seseorang atau sesuatu) (Hutcheon, 1994).
Pembahagi antara kedua-dua bentuk ketawa ini terletak pada kejelasan sasaran kritikan: adakah sasaran itu struktur, sikap atau kegagalan manusia melaksanakan sesuatu nilai atau adakah nilai itu sendiri yang menjadi objek ejekan.
Kekaburan sasaran inilah yang paling kerap mengundang kontroversi dalam karya satira.
7. Ekologi Penerimaan dalam Era Media Sosial
Konteks penerimaan karya pentas kini telah melangkaui ruang teater fizikal.
Sebuah adegan berdurasi satu jam boleh dipotong menjadi klip beberapa saat sahaja tanpa perkembangan watak, tanpa justifikasi dramaturgi dan tersebar kepada khalayak yang tidak pernah menyaksikan karya asal.
Fenomena ini melahirkan apa yang boleh dinamakan sebagai ekologi penerimaan karya iaitu realiti bahawa karya pentas dan karya yang beredar di media sosial bukan lagi entiti yang sama sepenuhnya.
Implikasinya, pengkarya kontemporari perlu memikul kesedaran dramaturgi yang lebih luas: bukan sahaja tentang bagaimana adegan diterima dalam konteks pentas tetapi juga bagaimana ia berkemungkinan diterima apabila tercabut daripada konteks tersebut.
8. Fungsi Dramaturg sebagai Mekanisme Refleksif
Dalam penghasilan karya yang menyentuh perkara sensitif, fungsi dramaturgi wajar diperkukuhkan sebagai mekanisme refleksif kepada sutradara dan pengkarya.
Antara persoalan asas yang patut diajukan sepanjang proses latihan termasuklah: apakah makna yang diharapkan dibawa pulang oleh penonton; apakah kemungkinan tafsiran alternatif terhadap sesuatu adegan; adakah simbol yang digunakan benar-benar diperlukan; adakah sasaran satira cukup jelas; dan apakah yang berkemungkinan dilihat oleh masyarakat sekiranya adegan tersebut tersebar tanpa konteks.
Soalan-soalan ini bukan bertujuan menyekat kreativiti sebaliknya berfungsi memperhaluskan ketepatan dan ketajaman kritis karya.
9. Kerangka Reflektif Lima Lapisan
Berdasarkan perbincangan ini artikel ini mencadangkan satu kerangka reflektif ringkas – think beyond intention – yang merangkumi lima lapisan pertimbangan sebelum sesuatu adegan sensitif dipentaskan:
i. Niat – apakah idea yang ingin dikomunikasikan?
ii. Bentuk – adakah bentuk persembahan benar-benar menyampaikan idea tersebut?
iii. Simbol – apakah sejarah dan nilai yang dibawa oleh simbol yang digunakan?
iv. Penonton – bagaimana khalayak yang berbeza mentafsirnya?
v. Akibat – apakah yang berlaku apabila karya itu meninggalkan ruang teater?
Kerangka ini dicadangkan bukan sebagai senarai semak birokratik tetapi sebagai sebahagian daripada proses kreatif itu sendiri.
10. Kesimpulan
Keberanian artistik dan tanggungjawab dramaturgi bukanlah dua kutub yang bertentangan, sebaliknya saling memperkukuhkan antara satu sama lain.
Teater yang berani memasuki wilayah sensitif memerlukan kecerdasan dramaturgi yang setanding; kesedaran tentang jurang antara niat dan resepsi, kepekaan terhadap muatan semiotik simbol, kejelasan sasaran kritikan, dan kesedaran tentang ekologi penerimaan karya di luar ruang pentas.
Kejayaan sesebuah teater politik tidak sepatutnya diukur berdasarkan tahap kontroversi yang dicetuskannya tetapi pada sejauh mana ia berjaya mengubah cara khalayak memandang dunia selepas tirai ditutup.
Dr. Andika Aziz Hussin (Bahagian Drama & Teater, Pusat Pengajian Seni, USM) merupakan ahli akademik, penulis dan pengiat teater, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Ijazah Sarjana dalam Produksi Teater dan Ijazah Doktor Falsafah dalam Drama dari University of Hull, United Kingdom. Buku tulisan beliau ‘Aku Sang Sutradara’ telah mendapat liputan media antarabangsa FOX News yang berpengkalan di Amerika Syarikat.
Rujukan:
Bennett, S. (1997). Theatre Audiences: A Theory of Production and Reception (2nd ed.). Routledge.
Brecht, B. (1964). Brecht on Theatre: The Development of an Aesthetic (J. Willett, Trans. & Ed.). Hill and Wang.
Fischer-Lichte, E. (2008). The Transformative Power of Performance: A New Aesthetics (S. I. Jain, Trans.). Routledge.
Hutcheon, L. (1994). Irony’s Edge: The Theory and Politics of Irony. Routledge.
Iser, W. (1978). The Act of Reading: A Theory of Aesthetic Response. Johns Hopkins University Press.
Schechner, R. (2013). Performance Studies: An Introduction (3rd ed.). Routledge.
